Thursday, October 8, 2015

Patri - Bab 1

Bab 1


           KETAWA kuat Rafael memenuhi ruang rumah banglo dua tingkat itu. Puan Awanis dan Encik Zaid saling berpandangan. Raut muka Rania dah berkerut seribu. Hanya Faqih yang tenang melihat telatah si abang ipar yang sedang ketawa. Malas dia nak masuk campur.
Rafael terus ketawa kuat. Tak risau langsung pada jelingan si papa. Nak sangat mama jodohkan dia dengan si Nur Layla tu. Harap muka cantik tapi sombong. Bila datang rumah dia mesti tengok dia macam penyamun. Bukan nak tegur bagi salam ke apa ke. Dia tak ingin pun perempuan macam tu. Perempuan sombong tak mesra alam macam tu. Mama betul-betul dah buang tabiat agaknya. Masalah dengan Zyra pun tak selesai. Nak kahwinkan dia pulak dengan orang lain.
 “Pergilah minang si Zyra tu kalau nak sangat saya kahwin. Ini tak dengan minah cekang tu buat apa?”
“Salah ke Raf?” soal Puan Awanis. Nadanya jelas kecewa.
“Budak tu kalau dengar pun mesti dia gelak macam Raf gelak mama. Dah-dahlah nak jodohkan orang ni. Tak laku sangat ke budak tu atau terlebih bagus untuk dijodohkan dengan saya?” Rambutnya yang panjang diusap berulang kali. Rasa geli hati. Geli jugak usus perut dia. Layla? Cetttt…tak hingin.
“Kawan Rania tu tak seteruk Zyra.” balas Rania geram. Abang dia ni buta ke memang tak reti nak menilai. Nur Layla tu seribu kali lebih baik dari Zyra yang dia puja-puja sangat tu.
“Teruk tu memang tak lah. Tapi taste aku macam Nur Layla tu ke?” balas Rafael geram. Benda kahwin aci nak paksa-paksa. Semak!
Rania senyum sinis. Berlagak. Kalau nak samakan dengan Zyra si minah rempit tu memanglah jauh beza. Si Zyra tu muda lagi. Nur Layla jauh lebih matang. Ringan tulang, tak pernah berkira langsung nak tolong dia. Dia rasa Nur Layla memang boleh bimbing abang dia yang sorang ni.
“Jodoh kita tak tahu, Rafael. Belum cuba belum tahu. Manalah tahu nanti kamu akan jatuh cinta dengan si Layla tu,” Puan Awanis cuba memujuk seolah-olah Nur Layla tu dah setuju dengan permintaan dia.
“Kalau nak jodohkan pun biarlah yang kena dengan taste sikit mama. Ini yang macam tu. Dahlah sombong. Macam muka dia cantik sangat.” Ego seorang Lelaki kalau dah tak nak yang cantik pun dia akan cakap tak cantik.
“Dah tu kau nak macam mana abang? Nak yang sakitkan hati kau tu atau nak yang sama spesis macam kau tu. Kerjanya melepak, merempit dan bersosial dalam kelab tu je ke?” balas Rania lagi. Tak boleh orang kutuk-kutuk Nur Layla. Panas hati dia walaupun abang sendiri.
“Mulut tu jangan nak kurang ajar sangat eh!” Rafael baling iPhone yang berada di tangan ke arah Rania. Nasib tak kena. Marah orang kutuk awek dia. Ceh…
“Apa kau ingat semua mat rempit tu teruk sangat?” Rania tak perlu nak pandang hina pada dia. Yang masuk pertandingan moto GP tu pun semua mat rempit macam dia. See, sekarang dah mengharumkan nama Negara. Tak payah nak hina sangatlah. Contoh macam Hafiz Syahrin. Satu dunia kagum dengan dia. Bermula petak empat belas tahu-tahu dah boleh pergi ke nombor satu. Itu cerita semalam yang dia tengok dekat kaca Televisyen. Nasib dia jatuh aje kalau tidak dah naik podium semalam. Itu kehebatan mat rempit yang budak-budak nerd mana tahu.
“Suka hati kau lah abang.” balas Rania dan terus bangun dari sofa coklat itu. Faqih menurut. “Kadang-kadang yang kita tak nak tu lah lagi Tuhan nak dekatkan. Lebih baik tarik balik statement tu. Nanti kang ada yang malu sendiri.” Faqih tarik Rania. Bagi isyarat dengan letak jari di mulut.
“Kau dengan kawan kau tu elok sangat. Suruh kawan kau tu pergi kelas belajar senyum.” Rafael geram sangat bukan apa. Waktu pertama kali diorang jumpa Nur Layla pandang dia macam dia penyamun. Hajat di hati dulu teringin jugak nak mengayat bila pandang wajah Nur Layla tu. Tapi minah tu berlagak sangat. Kedekut senyuman. Mentang-mentang dia serabai macam ni. Dia pandang dengan satu jelingan. Sumpah, menyakitkan bila tengok cara Layla tu.
“Kalau dah tak nak tu tak payahlah nak gaduh-gaduh. Mama suarakan bukan mama paksa anak-anak mama pun.” Ayat rajuk mama dihujung tu tak menahan.
“Bukan taste la mama. Nak sangat saya kahwin pinangkalah Zyra tu. Boleh?” Anak mata dihalakan ke arah papa. Papa yang sedang belek telefon di tangan angkat jari telunjuk sambil goyang-goyangkan ke kiri dan kanan. Dah agak papa memang tak setuju. Papa memang susah. Nak calon menantu yang elok-elok. Tak nak macam Zyra tu. Padahal dia bukannya bagus mana nak dapat yang bagus.
“Okey!” dia terus capai helmet Arai dan bergerak keluar dari rumah. Waktu sampai di motorsikal Chomby sedang bercakap di telefon. Dia jeling geram. Tersengeh-sengeh macam orang bercinta. Terus motosikal Yamaha RZX itu dihidupkan. Misi balas dendam. Bunyi exzos RXZ di luar rumah mula kedengaran. Minyak dipulas banyak kali. Pertama sebab nak tunjuk ketidakpuasan hatinya. Kedua sebab nak kenakan Chomby yang duduk bercakap di telefon bimbit tu. Dia toleh ke belakang. Chomby dah cekak pinggang. Pelik betul siapa yang majikan siapa yang orang gaji sekarang.
“Hoi!” Baru dia sebut. Sekarang dah dijerkahnya.
Prenggggg!!! Pregggggg!
Rafael tambah bara.
Chomby sudah mendekati. Rafael pantas memecut laju. Sakit hati betul dia. Dah macam menumpang dirumah sendiri. Huh!


Slippery Senoritas Club

TUNGGU punya tunggu bayang si Zyra tak muncul-muncul. Puas dia cari siang tadi lepas Zyra lari keluar dari rumah. Panas hati dia dekat Layla. Puas pujuk Zyra datang ke majlis kenduri Rania. Dia dah semangat nak tunjuk Zyra pada mama dan papa sebab sebelum ni bila dia nak tunjuk asyik ada saja halangan. Macam-macam alasan yang papa bagi. Tahu sangat papa dan mama memang tak berkenan dari awal lagi bila dia cakap budak tu kerja kilang. Jumpa dekat kelab. Susah jadi manusia jujur. Tak semua orang boleh terima. Kalau tahu baik dia cakap Zyra tu Ustazah KAFA (Kelas Agama Fardu Ain). Confirm papa dan mama terima dengan senang hati.
Tubuh yang sedang berjalan ke arahnya dipandang tanpa perasaan. Berjalan berkepit tangan dengan si lelaki kurus kering. Tak padan dengan Damia yang bum bum. Rafael bangun dari duduknya.
“Damia,” Damia ni badan dah macam tong drum tak payahlah nak pakai seksi-seksi sangat. Masalahnya Damia dengan awek dia tu pun lebih kurang sama je. Cuma beza kurus dan gemuk. Zyra pakai seksi tak pulak dia kutuk.
“Mana Zyra ni? Aku call tak jawab. Pergi rumah pun dia tak ada. Kau tahu tak dia pergi mana? Apa dia ingat aku tunggul dekat sini?” Rafael menyoal laju.
“Yang kau nak bebel dengan aku dah kenapa? Manalah aku tahu dia pergi mana. Kau ingat stok Zyra kau sorang aje?”
Panas hati Rafael bila dengan si Damia buat statement macam tu. Tak kan Zyra curang dengan dia. Dia dah serius gila dengan Zyra. Pasal siang tadi punya kes pun nak curang ke? Eh! Melampau betul.
“Aku tanya aje. Tak payah nak keluarkan statement macam tu. Kalau Zyra tu banyak stok kau pun apa kurangnya. Dua kali lima je lah. Sama tak ada beza.” Luah Rafael geram. Mamat yang berada di samping Zyra muka tak ada perasaan. Rafael tak pernah nampak pun sebelum ni. Dekat manalah si Damia ni rembat. Hmm…
Damia yang mendengarkan kata-kata itu terus tarik tangan si lelaki kurus kering tadi masuk dalam Slippery Senoritas. Eleh tak padan dengan dia. Kutuk hati Rafael lagi.
“Kau tu nama je kawan dia. Tapi belakang dia kau kutuk. Kawan jenis apa kau ni hah? Muka tebal sangat sampai tak reti rasa malu.” dia laung kata-kata itu dengan kuat. Damia berpaling ke arahnya dengan muka tak puas hati. Pipi dah macam pau tak sedar diri. Yang dia pun satu. Backup awek yang sikit-sikit nak merajuk. Eh! Bosan pulak dia dengan perempuan ni. Tapi itulah realiti di sini. Realiti dunia yang dia sedang hadap. Oleh sebab itu dia sedar, diri sendiri tak sebaik mana untuk dapat perempuan yang baik-baik. Dia kemudian bergerak ke arah motorsikal untuk tinggalkan hiruk pikuk di hadapan Slippery Senoritas.
Bro, life baru nak bermula kau dah nak balik?” Rafael pusing belakang. Faisal sedang jalan berpelukan dengan seorang perempuan. Faisal ni rupa tak ada pun. Nak bandingkan dengan dia yang jauh lebih handsome. Tapi dapat awek semua dahi lincin. Sebutir jerawat pun tak ada. Perempuan ni pandang lelaki sebab apa? Sebab duit?Tapi Faisal ni bukan anak orang kaya pun. Yang duk payung masuk kelab tu dia. Itupun banyak pulak perempuan suka dekat si Faisal. Mungkin sebab mulut manis. Tak macam dia. Mulut celopar.
“Aku malaslah nak duduk tempat ni lama-lama. Serabut tau tak?” Dia sarung helmet ke atas kepala semula.
“Sedondon baju malam ni ingatkan hari raya je orang pakai baju sedondon.” Sempat lagi buat lawak bodoh. Sedondon berbaju putih. Faisal ketawa. Rafael sempat kerdip matanya untuk orang sebelah. Memang nak kena agaknya. Yang orang sebelah tu pun bukan main senyum sampai telinga. Hai…taknaklah potong jalan corner ni. Hati dia belum rosak nak kebas orang lain punya.
Bro, kalau serabut kat dalam tu tempat dia. Kita berhibur dulu. Macam tak biasa pulak bro?” Faisal memujuk sambil goyang-goyangkan badan.
“Malaslah Faisal. Aku masuk dalam pun tak macam korang semua. Ini korang siap minum air ‘akuarium’ tu. Memang terhapuslah korang punya serabut. Dah-dah, pergilah masuk dalam tu. Damia pun datang dengan pakwe kurus kering mana ntah dia rembat. Aku nak gerak tempat lain. Lone ranjer tonight.” Enjin motorsikal dihidupkan. Orang lain datang kelab pakai kereta mewah-mewah dia naik RZX 125cc je. Buat apa naik kereta mewah tapi poket kosong. Tengok poket dia berkepuk duit.
“Zyra kau mana?” laung Faisal lagi.
Rafael hanya bagi isyarat guna tangan Kalau Zyra ada tidaklah dia sendiri malam ini. Perlahan-lahan motorsikal bergerak tinggalkan perkampungan clubbing ini. Malam minggu yang ramai orang. Tapi jiwanya kosong.


Foodcourt Padang Kota Lama@Esplanade

NUR LAYLA datang sini semata-mata nak penuhkan keinginan anak tekak dia. Pasembor dengan dia mana boleh dipisahkan. Tak kenyang makan kenduri Rania siang tadi sebab terpandang adegan Rafael tu. Meja-meja di sekitar kelihatan penuh. Nur Layla capai pinggan dan mula memilih apa yang dia nak makan. Ketam, udang ,cucur , tauhu goreng dan ubi kentang rebus tu wajiblah ada dalam pinggan.
“Mamak letak serbuk kacang lebih ya,” Mamak tu angguk dengar arahan dia.
Pasembor ni ada yang panggil Rojak Mamak. Kalau dekat Johor orang panggil Asma Rojak. Bahan dia lagi pelbagai. Dia sejak datang duduk di Pulau Pinang ni memang dah jadi favourite dia. Sepanjang jalan dekat Gurney boleh dapat pasembor yang sedap-sedap. Kuah cukup lemak manis.
Mamak gerai hulurkan pinggan yang dah siap berisi kuah kepadanya. Sambil hulur duit matanya meliar mencari meja kosong. Ambil balance dan pinggan pasembor yang berada ditangan dibawa berhati-hati. Kaki terus bergerak pantas tatkala nampak satu meja kosong. Laju dia duduk takut ada yang cop dulu. Tapi ini kebetulan tahap tujuh petala langit. Di depan dia tersua muka tak puas hati.
“Aku duduk dulu,”
“Eh?” Nur Layla rasa dia yang duduk dulu.
“Apa eh?eh?”
“Saya yang duduk dulu.”
“Aku dulu,” masing-masing tak mahu mengalah. Masing-masing ada ego tinggi yang sedang dijulang.
“ Okey, kerusi ada empatkan. Kau ambil dua aku ambil dua. Fair.Tak kan kau nak halau aku? Dan aku pun tak akan halau kau. Dayuslah…”
 Muka Layla masam mencuka. Hilang selera macam ni. Menyesal tak bungkus tadi. Konon-konon nak makan sambil kena angin malam dan dengar bunyi ombak pantai yang tersipu-sipu menghempas tembok. Last-last jumpa Mat preng ni pulak. Potong usus nak makan dengan selesa.
“Teh o ais.” Pesannya kepada budak yang datang ambil order minum.
“Okey sama.”
Tiru lagi. Dia nak makan tapi Rafael ni duk ushar dah kenapa.
“Nak rasa?” pelawa Nur Layla semula.
Rafael terus tarik pinggan pasembor Nur Layla. Selamba makan udang dan ketam dia. Lepas tu bila air dia dah habis diambil dan dihirupnya pula air Layla sampai tinggal separuh. Ini dah melampau. Tapi sebab kenangkan kesalahan dia siang tadi hati cuba bersabar. Dia ushar je mamat ni sapu bersih makanan kegemaran dia.
“Nah,” Rafael tolak balik pinggan kepada dia.
“Nak makan banyak-banyak pergi pilih lainlah.” Ujar Nur Layla tak puas hati. Hanya tinggal kepala udang dengan sepit ketam siapa tak angin.
Rafael terus bangun tarik pinggan Nur Layla semula. Dia bergerak menuju ke gerai pasembor. Udang dua ketam dua. Penuh pinggan. Dia bayar double apa yang dia makan tadi. Kesian minah cekang tu kebulur. Dia bukan lelaki jenis yang suka mengorat ni. Merapu pun dia tetap setia pada sorang aje asalkan orang tu pun setia seperti dia. Pandai jaga hati dia. Prinsip hidup dia simple. Apa yang dia nak dia akan KEJAR SAMPAI DAPAT. Itukan memang moto mat rempit macam dia. Rafael kembali ke meja tadi. Pinggan dihulurkan dihadapan Layla. Muka masam macam ikam pekasam dah dia tengok.
“Boleh ke tak kau nak kupas kulit udang tu? Kau pun satu pilih ketam ni tak takut ke tersepit jari. Kalau jari okay. Takut tersepit dalam hati.” Jari Nur Layla yang baru nak pegang garpu disentuh. Serentak dengan itu garpu terlepas jatuh ke lantai.
 “Tak sengaja. Ingat garpu tadi. Rupanya jari.” Rafael tahan tawa. Keluar rumah tadi pasal tak puas hati mama dan Rania nak jodohkan mereka. Sudahnya jumpa jugak dia dengan minah cekang ni.Ada jodoh sungguh agaknya.
Nur Layla perhatikan aje. Dia ingat dia siapa agaknya nak sentuh-sentuh aku.
“Yang mamak ni pun satu lain kali tolonglah kupaskan siap-siap.” Mulut bebel tangan jalan tolong kupaskan udang untuk Nur Layla. Tapi masuk mulut sendiri.
Nur Layla semakin bengang.
“Kau pandai tak buat pasembor?” Kau dah kenapa Rafael tak ada soalan lain nak tanya. Tak nampak muka bengang minah cekang ni.
“Tak!”
“Yalahkan, aku tengok kau putih melepak. Tak ada kulit anak mami. Hidung pun tak adalah mancung. Tapi mancung jugak sikit dan tak kemek. Yang penting tak kembang. Alis mata kau pun lebat. Sapu minyak sapi ke lebat macam pakai celak?”
Nur Layla pandang ke arah lain. Tidak tahan dengan renungan tajam Rafael ke setiap inci wajahnya. Lain macam dia punya renungan. Ayat memuji dengan ayat cari pasal tu memang bebeza. Ayat Rafael ni sah-sah ayat cari pasal dengan dia. Sampaikan bulu mata lebat pun dia boleh cakap sapu minyak sapi. Kenapa tak cakap sapu minyak diesel lagi senang.
“Tak tahu ke?” Layla soal balas. Rafael angkat bahu.
“Saya ni keturunan Mahsuri.”
Berhembur tawa Rafael kuat memenuhi kawasan sekitar. Sekarang semua mata banyak yang tertumpu ke arah mereka. Menyesal pulak Layla cakap. Baik dia kunci mulut sahaja.
“Mahsuri?” dengan gelak tawa yang masih bersisa Rafael menyoal dia semula. Tubuh Rafael terhinggut-hinggut menahan tawa agar tidak terus berderai. Rambut yang agak panjang, gelang bangle di tangan. Kumis nipis. Janggut sejemput. Badan tak berapa nak sado. Tapi raut wajah tu jelas nampak manis. Ada pujian dihujung andaian.
“Kau ni keturunan Mahsuri yang ke berapa?” Bila soalan tadi tidak berjawab makin giat Rafael mengusik dia.
Mati-mati dia ingat mat rempit ni tak tahu sejarah. Mahsuri adalah lagenda Langkawi. Kisah yang paling popular tentang kehidupan Mahsuri adalah saat akhir sebelum beliau dibunuh akibat fitnah. Orang macam dia cintakan sejarah. Sebab tu makin lama makin dia suka duduk di Pulau Pinang ni. Bangunan dan segala yang ada dekat sini penuh dengan sejarah.
 “Kenapa kau diam? Selalu bila datang banglo tu suara kau paling banyak aku dengar. Mengalah murai pot pet pot pet. Sama naik dengan Chomby.”
Malas betul Layla nak layan.
“Hoi! Aku cakap dengan kau ni. Bagi perhatian lebih sikit boleh tak?” Rafael kuis kakinya. Layla mendengus geram. Kalau tak kenangkan tempat ni tengah ramai orang nak saja dia sepak balik kaki Rafael.
“Awak makanlah semua pasembor ni saya dah kenyang.” Keinginan nak makan pasembor terus hilang.
“Aku tolong kupaskan dekat kau kulit udang ni. Nah…makanlah cepat.” dia cucuk garpu dekat udang yang tinggal satu sahaja lagi. Yang lain dia dah telan. Dia hulurkan ke mulut Nur Layla.
Nur Layla tepis.
“Tak baik tolak rezeki. Papa cakap yang last tu selalunya rezeki lebih,”
“Kalau dah tahu macam tu baik awak saja yang makan.”
“Rezeki aku dah banyak. Dah habis satu pinggan rezeki aku tadi. Kau lah pulak. Meh laa…aku suap kan kau.” Nakal. Lebih nakal tatkala sudu sudah mula singgah ke bibir. Rafael ni beranak tahun apa. Berani betul dia.
           Layla tepis lagi. IPhone di atas meja dicapai. Aplikasi Facebook dibuka. Status dikarang laju.  Asal nak buat luahan je dalam Facebook. Emosi tak mampu nak kawal sorang-sorang. Nak jugak berjemaah beramai-ramai.

Mat rempit gelang tangan besar rantai motor ni nak memang betul-betul nak kena buang dalam laut. Menyemak depan mata aku. Dah kebulur curi pasembor aku. Tak bertamadun langsung…%$#@^

“Dari layan Mat Preng tak ada akal ni lebih baik balik tidur. Kenyang pun kenyang. Makanlah bagi kenyang sebab saya tengok awak ni dah macam mangsa Rohingya yang kebuluran.” Nur Layla terus bangun tinggalkan Rafael. Menyakitkan hati. Dia tak hairan pun dengan Rafael ni. Kalau semua orang takut dengan Rafael ni tak apa dia cuba berlagak berani. Sejauh mana Rafael ni boleh buat. Ye tak?
Dia dengar Rafael gelak kuat. “Segila-gila aku tak adalah nak tumpahkan air atas baju orang.”
Rafael tu tak faham kut dia cakap tak sengaja. Benda kecil macam tu pun nak kecoh macam dia koyakkan baju tu pulak. Padahal masukkan duit dua ringgit hantar dobi selesai masalah. Itu pun nak kecoh sangat kenapa?
Nur Layla terus bergerak menuju ke tempat dia parking kereta tadi. Tak kuasa dia nak berlama-lama di sini. Dalam banyak-banyak tempat sini juga mereka terserempak. Siap habiskan pasembor dia lagi. Sakit hati pulak dia dengan Rafael ni. Tapi sebab kenangkan salah dia yang pada hakikatnya dia langsung tak bersalah terpaksa juga dia biarkan Rafael makan sampai habis. Sepanjang jalan menuju ke tempat dia meletakkan kereta tadi bersepah-sepah orang berniaga. Walaupun papan tanda dilarang menjaja denda RM1000 sudah terpampang besar di atas kepala.
Baru tubuhnya hendak masuk ke dalam kereta bahunya ditepuk dari belakang. Terkeluar kata-kata kurang enak dari bibir akibat tepukkan itu. Dia berpaling.
“Awak lagi?”
Skrin IPhone 5 terus melekat di wajah Layla. Layla tepis kasar. Sekali lagi Rafael angkat skrin dan tunjuk depan muka dia.

Mat rempit gelang tangan besar rantai motor ni nak memang betul-betul nak kena buang dalam laut. Menyemak depan mata aku. Dah kebulur curi pasembor aku. Tak bertamadun langsung…%$#@^

Raf, kau baca ni. Hahahaaa... Padan muka hang Raf. – Chomby

Print Screen status di Facebook dia tadi. Terpampang nama Chomby dekat WhatsApp. Kureng asam betul Chomby. Tak boleh nak cover langsung.
“Semua benda kau nak tulis dalam Facebook ke mak enon?”
Facebook saya…so?”
“So, kau nak cakap aku tak bertamadun sebab makan pasembor kau. Eh! Perempuan jangan nak berlagak sangat dengan aku. Apa masalah kau ni?”
“Tak ada masalah pun.”
           Layla terus masuk dalam kereta. Sekali lagi malas dia layan. Huru hara Rafael. Emosi yang menggila. Baru kena kutuk timing berubah macam bunyi Rxz dia tu la.

Bukan hal aku…
Bukan hal aku…
Bukan hal aku…

Lagu di radio kena betul pada masa. Tingkap dibuka separuh. Satu jelingan siap bahasa mulut BUKAN HAL AKU sebelum kereta Pesona itu bergerak laju.

           Sakitkan hati?


11 comments :

  1. sungguh2 superb...walau pn baru mukadimah..nk lagi..

    ReplyDelete
  2. kak mana entri Bila Cinta Hadir?? x best la baca sekerat2 mcm tu.. plisss sambung lagi��

    ReplyDelete
    Replies
    1. ameera, saya dah delete banyk entry dekat blog pasal story ni. sorry... :( kemungkinan saya akan terbitkan sendiri. Tunggu...

      Delete
  3. kak smbung la lagi bila cinta hadirrr😭

    ReplyDelete