Wednesday, November 25, 2015

Bab 5 - Patri




Bab 5


RAFAEL pandang wajahnya di hadapan cermin. Rasanya kali terkahir dia pakai macam ni waktu belajar dulu. Pakai kemeja dengan tagging seluar ke dalam baju. Rambut yang panjang dipotong pendek mengikut fesyen terkini. Fesyen undercut macam sesuai sangat dengan bentuk wajahnya.
“Haa…ini baru anak jantan mama. Handsome!” puji Puan Awanis dari belakang.
“Kata anak jantan, perangai tu jangan jadi macam syaitan sangat.” Encik Zaid menyampuk. Rafael hanya pandang sekilas sambil membetulkan kolar baju kemeja bewarna putih itu. Sekali sekala yang keluar dari bibir papanya itu berbisa jugak.
“Tak baik abang cakap anak macam tu.”  
Ntah papa ni. Cuba doa yang baik-baik.” untung dapat mama yang selalu back up anak walaupun anak ni punya perangai betul-betul menyusahkan.
“Dah tiba masa kau berubah Rafael. Berhenti dari mencipta masalah yang akan merosakkan diri tu. Belajar buat sesuatu dengan ikhlas.” Nasihat Encik Zaid lagi.
“Hmm…” Rafael hanya berdehem. Dia bukan tak nak cuma penyakit ‘M’ dia tu lebih menguasai. Penyakit untuk berseronok tu tak habis lagi padahal umur dah nak bertukar angka dah pun.
“Doktor Mohamad dengan Puan Ain dah tunggu di sana. Tolonglah uruskan pakej ni baik-baik Raf. Bukan yang kamu bawak tu semua sihat-sihat dan berkudrat. Sakit, demam, makan, tidur mereka tolong bantu dan pantau. Tolong bahagiakan mereka semua. Sebab papa nak semua yang pergi rombongan tu gembira. Tolong jangan timbulkan masalah dan menyusahkan papa.” Nasihat dan segala pesanan telah berulang kali dia berikan untuk anak kesayangan.
Doktor Mohamad kenalannya sewaktu sama-sama belajar di German dahulu. Mereka berlainan bidang tetapi mempunyai misi yang sama. Bila Doktor Mohamad buka rumah jagaan orang tua. Dia cuba bantu dari segi keperluan-keperluan asas yang diperlukan. Bila dia suarakan hasrat hati nak menaja warga emas itu semua makan angin jawapan yang dia dapat dari Doktor Mohamad ‘kau biar betul’. Ya, dia akan buat sesuatu yang orang tak pernah buat. Lagipun dia nak Rafael belajar . Dia rasa dah tiba masa Rafael belajar apa itu tanggungjawab.
“Ingat pesan papa. Jangan main-main.” Nasihat papa. Rafael boleh buat ‘derk’ aje.
“Kau nak pergi sana naik apa tu?”
“Naik apa lagi mama. Sekarang pun dah pukul lapan. Kalau naik kereta nanti lewat pulak.” Arai Speed King yang terletak di atas alamari dicapai. Jacket kulit disarungkan ke tubuh sebelum beg pakaiannya disandang ke belakang.
“Ingat Rafael uruskan percutian tu dengan sempurna. Besar tangungjawab kau tu. Yang kau bawa bukan orang yang senang untuk kau jaga. Jadikan cabaran apa yang akan kau tempuh nanti.” pesan Encik Zaid tak henti-henti.
Rafael mengangguk. Malas nak cakap banyak lagi. Enjin motorsikal segera dihidupkan. Pedal minyak dipulas tiga kali seperti kebiasaan. Mujurlah kawasan rumah ni jauh jugak dengan rumah jiran sebelah. Kalau tidak mahu kena makan tapak kasut hari-hari. Dia peduli apa. Motorsikal dia, dia punya pasallah nak buat macam mana pun. Lajunya tak ke mana. Bunyinya yang lebih.
Dia terus bergerak keluar dari banglo itu. Harapan dan tanggungjawab sedang menantinya.
You can do it Rafael!


PAPAN tanda Rumah Jagaan Cahaya Kaseh terpampang di hadapannya. Dia membelok masuk motor ke dalam bangunan dua tingkat itu dan berhenti berhampiran dengan bas yang sudah sampai. Dia menongkat motor. Kunci dan tinggalkan helmet Arai di situ. Kawasan selamat untuk di tinggal harta pusaka miliknya. Langkah kaki terus dituju ke arah pembantu papanya, Sollehudin.
“Dah ready bro?” tegur Sollehudin sambil menghulurkan sekeping file kepadanya.
Di dalam tu terdapat senarai nama-nama penghuni yang mengikuti rombongan ini. Satu persatu nama diperhati. Di ruangan sebelah nama tertera penyakit setiap seorang.
Dia tepuk dahi. “Papa…papa… ada yang siap makan perlu disuap.” Teruklah dia nanti.
“Semua yang ikut ni ada penyakit?” dia soal Sollehudin perlahan.
“A’ah…tolak kau dengan aku jer bro! Itu hah… nurse dua orang tu pun ada penyakit. Dari tadi aku tengok tak sudah-sudah perhatikan kau. Apa diaorang tak nampak ke aku yang handsome ada kat sebelah kau ni?” jawab Sollehudin selamba. Rafael kerling sekilas.
“Kalau kau nak, kau ambil satu yang kurang cantik tu. Yang cantik kau bagi kat aku.” Balasnya pula.
“Banyak cantik muka hang.”
“Kalau macam tu hang ambik la semua. Stok aku lagi banyak. Tak luak.” Rafael ketawa.
“Jangan macam-macam bro, papa kau suruh aku ikut kau sebab kerja.”
Ngok…tak payah nak skema sangat dengan aku.” Chillexs…kerja-kerja jugak. Part untuk bersuka ria jangan tinggal terus. Tapi dia macam tinggal kerja dan tak peduli soal kerja. Dah kena ugut baru nak kerja.
“Kau nak mati dengan papa kau? Dia suruh aku tolong kau datang sini buat kerja. Bukan ikut kau jual minyak urat. Kau nampak tu satu persatu wajah yang ada tu perlukan perhatian sepenuhnya. Aku tolong kau jer yang lain-lain pandai-pandai kaulah. Kalau aku buat nanti tak amanah pulak. Sebab Encik Zaid nak kau yang uruskan semua.”
“Masaklah aku nanti.” Rafael garu kepala yang tidak gatal. Dia membuang pandang ke arah satu persatu wajah penghuni Rumah Jagaan Cahaya Kaseh. Entah kenapa apa yang dia pandang telah memberikan satu perasaan halus. Menyelinap betul-betul di dalam urat saraf jiwa sehingga mulutnya diam tak bersuara.
           “Raf,” namanya dipanggil. Dia menoleh memandang Doktor Mohamad yang tersenyum ke arahnya.
Sorry, saya ada hal tadi.” Ujar Doktor Mohamad sambil menghulur tangan untuk bersalam dengannya.
“Tak apa doktor, saya pun baru sampai.”
“Kenalkan ni Puan Ain. Pembantu saya dekat sini. Kalau ada apa-apa nanti boleh bagitau dekat Puan Ain kita.” Ujar Doktor Mohamad kepadanya. Dia angguk. Sebelum ni pun dia pernah dengar beberapa kali nama Puan Ain disebut.
“Papa tak datang sekali?”
Rafael geleng. Untuk apa ditanya lagi sebab dah terang lagi bersuluh papa serahkan bulat-bulat kepada dia. Kertas kerja yang dia buat ni pun entahkan sesuai entahkan tidak. Hentam sajalah apa aktiviti yang dia nak buat dekat Langkawi nanti. Matanya beralih pula ke arah warga emas yang sedang beratur untuk naik ke atas bas. Mereka dibantu untuk menaiki bas oleh kakitangan rumah jagaan yang ada. Papa betul-betul buat kerja gila.
“Doktor saya pergi dekat diorang dulu.” Dia tunjuk ke arah bas. Doktor menepuk-tepuk bahunya perlahan.
Good luck Raf. Jaga mereka baik-baik ya.”
Rafael angguk. Doktor Mohamad memang baik. Bukan semua orang nak bukak pusat jagaan untuk warga emas yang memerlukan kos yang tinggi. Dia kagum. Pulak tu kebanyakkannya yang dia nampak majoriti semuanya Melayu.
“Ini aje kan yang pergi ikut kita?” soalnya tatkala menghampiri Sollehudin.
Lelaki itu mengangguk.“Kau tahu bro, yang ikut ni kira yang okeylah. Ada lagi kat dalam sana yang teruk.”
“Kenapa?”
“Maksud aku yang makan, pakai semua orang kena uruskan.”
“Kesiannya. Ramai ke?”
“Betul bro, kesian tengok diorang semua. Tak adalah ramai. Dua tiga orang macam tu.”
“Papa pun satulah. Banyak lagi rombongan lain yang dia boleh taja. Kenapalah rombongan macam ni jugak dia mintak aku urus. Buatnya jadi apa-apa nanti tak ke menyusahkan diri sendiri.”
“Cabaran bro! Cabaran angkat dua tayar depan belakang berani. Tak kan hal macam ni tak boleh.”
“Cabaran hotak hang macam ni.”
Terus berderai tawa kedua-duanya.

          
BAS sampai di Jeti Kuala Perlis tepat pukul sebelas pagi. Semua urusan tiket ferry telah diuruskan lebih awal melalui tempahan yang dia buat. Seramai lima belas orang sahaja yang ikut. Yang selebihnya pekerja Rumah Jagaan Cahaya Kaseh yang kebanyakkan terdiri daripada jururawat yang bertugas. Kalau yang dah tak boleh bangun dari tempat tidur tu memang tak dibenarkan untuk bawa oleh pihak pengurusan. Entahlah, sejak dalam perjalanan menaiki bas tadi dia rasa ke perasaannya lain sangat. Rasa sayu semacam aje bila pandang wajah pak cik, mak cik ni. Ada yang teruja. Ada yang macam tak tahu apa. Ikut aje apa arahan yang diberikan.
Dia membelek-belek maklumat mengenai Rumah Jagaan Cahaya Kaseh. Sejak lapan tahun penubuhannya ini adalah kali pertama lawatan luar dibuat.
“Kita nak naik ferry pukul berapa ni?” Rafael menoleh melihat seorang mak cik tua separuh abad menyoalnya. Masih mampu berjalan tanpa bantuan sesiapa. Dia agak mak cik ni mungkin dalam umur lingkungan 60an macam tu.
“Mak cik duduk dululah di bangku tu. Kita akan naik ferry lagi dua puluh minit.” Rafael membawa wanita itu untuk duduk di ruang menunggu. Entah apa yang menyebabkan mereka semua berada di rumah perlindungan itu. Apa yang mereka buat waktu muda memungkinkan hari tua mereka berada di sini.
Sebelum ni kalau sebut pasal rumah orang tua, mesti terbayang rumah kenangan kat Cheras, Kubu Bharu dan beberapa lagi tempat perlindungan swasta yang ada. Tapi dekat Cahaya Kaseh ianya hanya dikhaskan untuk orang Islam sahaja.
“Mak cik nama apa ya?” dia soal perlahan.
“Fatimah.” Jawab orang tua itu. Rafael angguk sambil membuka fail yang mengandungi maklumat setiap peserta tadi. Dia meneliti nama mak cik Fatimah. Hmm…mak cik Fatimah ada penyakit kencing manis sahaja.
“Mak cik okey tak ni? Suka tak dapat jalan-jalan pergi Langkawi macam ni?”
“Seronok la sebab mak cik tak pernah pi lagi Langkawi.” Jawab Mak cik Fatimah dalam lorat utaranya.
“Seronok Langkawi tu mak cik. Ada pantai macam Penang jugak. Tapi sana lagi tenanglah.” Padahal dia pun first time pergi. Nak juga cari Mahsuri. Kot bila jumpa Mahsuri nanti berubah perangai dia.
Dia gelak kecil. Orang tua tu pandang pelik.
“Bila sebut Langkawi teringat dekat sorang perempuan ni mak cik. Dia cakap dia keturunan Mahsuri. Tak dinafikan dia memiliki raut wajah yang cantik. Yang boleh buat sesiapa sahaja tertarik. Alis mata yang menggoda. Tapi masalahnya perempuan tu berlagak. Cekang giler perangai dia.” Selamba dia mengutuk Nur Layla. Pusing kiri pusing kanan cerita Layla jugak yang dia persembahkan. Cakap sajalah kau rindukan dia Rafael.
“Cantik wajah tak bawak ke mana pun. Kita ni kalau nak cari calon isteri tak payahlah nak yang cantik-cantik sangat. Cukup jaga makan pakai kita sudahlah.”
“Sungguh jugak mak cik Timah kan. Hmm…” Dalam hati macam lain. Orang kacak macam saya ni kena pasangan yang cantik.
“Kalau mak cik nak apa-apa bagitau saya okey.” Rafael bangun dari duduknya. Cadangnya mahu pergi ke arah Sollehudin yang mula sibuk menyusun beg-beg di atas trolley.
“Terima kasihlah nak oi. Seronok sungguh kami rasa. Pak hang ka yang taja kami semua pi Langkawi ni. Baik dia tu. Patut anak dia pun baik macam ni.”  Seorang lagi wanita separuh abad menegur. Wanita itu duduk bersebelahan dengan mak cik Timah.
Lebar senyuman Rafael. Mana ada manusia yang tak seronok bila kena puji. Baik sangat mak cik. Sebab baiklah papa bagi kerja macam ni.
“Hai auntie?” Rafael gayang tapak tangan. Say Hai! Salah satu sebabnya penampilan auntie ni lain dari yang lain walaupun dah boleh panggil nenek. Nampak bergaya dengan bibir merah ‘baq hang’. Rambut bercekak. Melayang seketika ingatannya pada Chomby. Ini spesis Chomby lah ni.
Auntie pulak nama apa?”
Auntie Lat.” Wanita itu angkat kening berulang kali selepas beritahu namanya. Tadi ada jugak yang Puan Ain pesan pada dia tak semua yang warga tua ni cakap boleh percaya. Sebab ada di antara kalangan mereka yang dah nyanyuk.
“Lat for?”
“Latifah!” amboih pandai auntie ni sambung. Rafael tahan gelak. Nama manja kut.
“Mak cik Timah dengan auntie Lat ni dah lama ke tinggal di Rumah Jagaan Cahaya Kaseh tu?” Dia kembali duduk di sebelah mak cik Timah. Bertudung labuh warna kelabu. Baju kurung yang tersarung ditubuh dari warna yang sama. Wajah yang sudah dipenuhi kedutan. Yang dia nampak mak cik Timah seorang yang tenang dan tak cerewet. Memang berbeza dengan penampilan auntie Lat.
“Mak cik Timah dah tiga tahun.  Auntie Lat  ni lebih kurang jugak kot.”
“Yalah Timah, lepas kau masuk aku pulak masuk.”
“Nasib orang tua-tua macam kami ni. Bukannya ada sesiapa yang nak jaga pun.” Becok Auntie Lat bercerita.
“Mak cik Timah tak ada keluarga ke?” Rafael menyoal ingin tahu.
“Anak mak cik ada sorang perempuan. Yang tu ja harta yang mak cik ada kat dunia ni. Dia sibuk kerja. Kerja bank. Tak sempat nak mai melawat mak cik. Tak pa aih, mak cik faham dia sibuk. Mak cik pun tak kisah. Nanti dia tak sibuk dia datang melawat mak cik ni. Tinggal tang sini semua kawan-kawan ada.”
Anak tunggu tak sibuk baru nak melawat ibu bapa. Dalam dunia zaman sekarang masa kadangkala macam tak cukup dua puluh empat jam. Apalah salahnya luangkan sedikit masa dengan ibu ni. Bukan ada sepuluh pun ibu dekat dunia. Dia pun sama jugak buat dekat mama dan papa. Merajuk berbulan-bulan tak nak balik rumah. Banyak betul dosa dia pada papa dan mama.Terasa insaf tiba-tiba.
Mak cik Fatimah termenung jauh. Dia tak sepatutnya mempersoalkan semua tu tadi.
“Mak cik tak ada pilihan la. Mau tak mau ikut ja dok tang ni.” Wanita tua itu mengeluh berat.
Tak pa lah mak cik Timah. Duduk dekat sini pun ramai kawan-kawan. Macam-macam yang kita boleh buat. Kalau tinggal sorang tu yang bahaya.” Sambung auntie Lat pula. Rafael cuba sedapkan hati. Risau betul dia nak uruskan pakej ni.
“Yang tak sakit tu boleh la nak sembang hari-hari. Tapi dengan Tok Aki yang hujung tu. Macam anjing dengan kucing. Kalau duduk dekat dengan auntie Lat asyik nak cari pasal saja.”
“Dia tu jenis suka dok sorang-sorang. Sejak dia mai kat Rumah Jagaan Cahaya Kaseh macam tulah dia punya perangai. Payah nak tengok dia dok bergaul dengan kami semua. Dia buat hal dia saja.” Seronok mendegar mereka bercerita. Mak Cik Fatimah arahkan jari telunjuknya ke arah seoang lelaki berkopiah putih dengan baju t’shirt tertera Rumah Jagaan Cahaya Kaseh.
“Apa nama Tok Aki tu?”
“Kami semua panggil dia Tok Aki.”
Rafael sekali lagi membelek fail miliknya.
“Othman bin Hashim. Ini ke Tok Aki tu mak cik Timah?”
Mak cik Fatimah angguk. “Ha…yang tu la kot.”
Tok Aki ni ada sakit kencing manis dan darah tinggi. Pernah dapat rawatan pasal serangan jantung. Tok Aki inilah yang dia perhatikan tadi sewaktu di dalam bas. Tak bersuara langsung sepanjang perjalanan mereka tadi.
Auntie Lat pulak macam mana boleh duduk situ?”
“Sebab hidup sebatang kara. Tak ada anak tak ada cucu. Semua dah tak ada.” Auntie Lat tenang sahaja bercerita. Tapi dalam hatinya siapalah yang tahu. Gelodak jiwa mereka.
Pengumuman dari pembesar suara mengenai jadual ferry mula kedengaran. Rafael bangun semula dari duduknya. Penumpang diminta berbaris kepada satu barisan untuk menuju ke pintu keluar. Ferry Sejahtera sudah bersedia untuk membawa mereka dan penumpang-penumpang yang lain ke Langkawi.
Sewaktu di dalam ferry Rafael mengambil keputusan untuk duduk di sebelah Tok Aki. Tok Aki macam takut-takut untuk duduk dalam ferry. Tadi masa dia suruh duduk orang tua ni buat derk saja. Sollehudin dah gelak bila tengok dia garu kepala.
“Tok Aki kalau mengantuk, tidurlah. Nanti sampai saya akan kejutkan.” Dia tepuk bahu orang tua tu lembut. Nak cari modal bersembang sebenarnya.
“Siang-siang hari tak elok sangat tidur.”
“Beza siang dengan malam cerah dengan gelap saja Tok Aki. Yang tak baiknya cerah-cerah kalau tidur nanti bila air liur meleleh orang nampak.” Selamba cakap dengan Tok Aki dah macam orang tua tu taraf-taraf kawan dia pula.
Tiba-tiba Tok Aki tarik dan pegang tangannya kuat.
“Kenapa ni Tok Aki? Tok Aki takut naik ferry ni ke?”
“Jangan risau…saya ada ni.” Sambungnya sekali lagi.
“Tok Aki nak pergi tandas.”Orang tua tu terus bangun. Pegang tangan dia kuat macam tu hanya semata-mata nak pergi tandas. Macam suspend sangat. Dia hela nafas panjang. Kalau muda dah lama dia mencarut bagai.
“Saya bawak Tok Aki pergi tandas.” Rafael terus bangun. Dia memegang erat lengan tua itu. Tiada lagi rasa malu pada penumpang ferry yang lain. Sollehudin yang berada di tempat duduk hadapan tersengeh memandang dia. Sempat dia kuis kaki Sollehudin. Adalah tu nak gelakkan dia.
“Tok Aki masuk saya tunggu di luar.” Tok Aki angguk.
Dia menanti dengan penuh sabar di luar tandas. Lima minit, sepuluh  minit, dan lima belas minit. Dia mula dah gelisah tak sedap hati. Bimbang apa-apa terjadi dekat dalam tu. Dia ketuk pintu tandas berulang kali. Waktu ini baru terasa darah merah menyerbu ke muka. Penumpang ferry dah mula pandang dia. Sollehudin beri isyarat soal dari jauh.  Ferry dah jalan sampai ke tengah laut tapi Tok Aki tak keluar-keluar lagi.
Dia ketuk sekali lagi pintu tandas. Agak lama dia menunggu sebelum pintu dikuak dari dalam. “Kenapa Tok Aki sakit perut ke ni?”
Lelaki tua itu geleng. Kopiah putih yang dipegang kembali dibawa ke atas kepala.
“Habis tu lama sangat Tok Aki buat apa kat dalam tu?”
“Tok Aki takut duduk dalam ferry besaq macam ni. Duduk dalam tandas tu kecik sikit. Tak nampak ombak. Kurang la sikit rasa takut.”
Rafael tepuk dahi. Macam kena game Allahu…


“ENCIK…” Rafael pusing tubuh.
What?” suara Rafael kuat menyoal. Ini rancangan lagi atau kebetulan. Yang terhidang di hadapannya kini adalah Nur Layla. Layla lagi. Dalam mimpi pun Layla jugak. Layla di mana-mana.
Raut wajah Nur Layla berkerut seribu. Senyuman yang pada awal tadi meniti di bibir bagaikan mati. Rasa walaupun tak cukup jauh dia lari tapi kenapa masih lagi wajah ini yang muncul di depan matanya kini. Kebetulan? Rancangan? Apa lagi?
Rafael raup muka. Dia mendengus perlahan. Cool Raf, cool Raf. Okey… Dia akan cuba berlagak selamba.
“Jumpa lagi kita kat sini ya Cik Nur Layla.” Rafael hulurkan tangan untuk bersalam. Tapi Nur Layla hanya pandang kosong.
“Oh! sorry…”
Welcome to Sri Beringin Hotel Encik Rafael.” tutur Nur Layla setelah agak lama berdiam. Terkejut sebenarnya bila wajah Rafael yang muncul di depan mata. Lain benar sampai dia hampir-hampir tak kenal tadi. Dia pandang dari atas sampai bawah. Serius banyak perubahan.
Pertemuan ini bagaikan menggores semula luka dalam hati. Mengenang sikap sahabat baik sendiri. Rafael bagaikan bayangan Rania. Argh! Hatinya sakit setiap kali peristiwa itu datang bertamu di ruangan mata. Mana mungkin dengan mudahnya untuk dia lupa. Maruahnya tercalar kerana perkara itu walaupun di sini tak ada sesiapa yang tahu.
“Cik Layla, Encik Rafael, ini kunci-kunci bilik yang diperlukan. Kita beri satu bilik tiga orang.” Beritahu penyambut tetamu itu. Rafael segera mengambil kunci-kunci itu lalu diberikan kepada pekerja Rumah Jagaan Cahaya Kaseh. Mereka akan agih-agihkan mengikut nama yang telah siap dia aturkan.
“Kalau boleh saya cadangkan biar mereka semua pergi ke dewan makan dulu. Lepas tu baru kita bawa mereka ke bilik. Macam mana Encik Rafael? Setuju ke dengan cadangan saya? Sekarang pun dah hampir pukul dua petang.”
Rafael pandang Nur Layla. Dia fikir nak buat begitu lagi awal dari apa yang Layla cakap. Tapi minah ni dah cakap awal pulak dari dia. Hai… nak tunjuk dia lagi pandai dari aku. Manalah dia tahu Nur Layla tu kerja hotel. Tak sangka sungguh berpisah di sana jumpa di sini.
“Okeylah…saya ikut aje apa yang cik Nur Layla cakap. Sebab cik Nur Layla bukan ke lagi bijak orangnya dari saya?”
“Raf,” panggil Nur Layla gelisah.
“Jangan awak beritahu Rania saya di sini.”
“Dan kau tahu yang semua itu ada syarat-syaratnya.” Ambik. Dah lama aku cari kau. Kau tau tak semua orang dalam rumah tu risaukan kau. Tapi aku tak akan salahkan kau Layla. Kau dan aku jadi mangsa. Saja dia nak kenakan minah cekang ni. Pergi mati dengan syarat dia tu. Tak habis-habis nak menyusahkan aku.
“Perlu ke ada syarat dengan apa yang jadi?” Layla berkeras. Tidak bersetuju dengan apa Rafael cakap.
“Kau nak aku call Rania sekarang?” Rafael keluarkan iPhone 5 dari poket seluarnya. Nombor telefon Rania dihujung jari. Layla ketap bibir. Mat preng tak habis-habis nak sakitkan hati dia. Tak puas-puas lagi dengan apa yang jadi dulu. Walaupun bukan salah lelaki ni tapi dia tetap terkait sama. Sebab Rania tu adik Rafael. Lepas tu sewaktu di mahkamah bukan main Mat Preng memarahinya. Dia tak akan lupa.
“Kita bincang kemudian.”
“Okey…” IPhone 5 kembali disimpan ke dalam poket. Rafael senyum lebar menampakkan sebaris giginya yang tersusun cantik. Wajah yang dia selalu elak nak pandang kini ada depan mata dalam keadaan yang berbeza.
Nur Layla perhatikan tingkah Rafael yang memimpin seorang lelaki menuju ke dewan makan. Dia masih tak percaya Rafael buat semua ni. Dia kemudian mengikut jejak langkah mereka kerana dia bertanggungjawab untuk memastikan semua dalam keadaan baik. Dia langsung tak ingat syarikat Mewah Technology Sdn Bhd milik Encik Zaid. Itukan syarikat milik papa Mat Preng.
“Tak sangka aku jumpa kau lagi kat sini. Macam berjodoh pulak aku dengan kau kan?” Mereka duduk semeja. Jelas pada pandangan matanya yang Layla tidak selesa. Tapi sebagai lelaki dia tetap selamba.  
“Ermm…harap-harap ini bukan satu lagi rancangan keluarga awak nak satukan kita.”
“Tak ada orang nak buat kerja bodoh dua tiga kali.” Nak tegak benang yang basah tu sia-sia. Dah salah lebih baik mengaku salah. Tapi bila ego tinggi melangit terpaksa dia menjawab soalan Layla dengan jawapan yang sebegitu.
Excuse me,” Rafael terus bangun.
Nur Layla hanya memerhati tingkah Rafael yang menuju ke arah seorang seseorang. Gaya Rafael berbaju kemeja warna putih dengan seluar jeans warna biru. Layla masih dalam keadaan pelik.
“Perkenalkan ini Tok Aki.” ujar Rafael kepadanya. Dia angguk.
“Duduklah Tok Aki.” Pelawa Nur Layla pula sambil menarik kerusi untuk orang tua itu duduk. Orang tua tu pandang Nur Layla macam tak nak lepas. Rafael pulak yang diserbu rasa hairan.
“Kenapa Tok Aki pandang wajah cik Layla kita macam tu?”
Hang tak berkenan ka dekat dia ni? Dia cantik.” Beritahu Tok Aki.
“Uhuk!” Nur Layla tersedak.
Tak cukup kat dalam ferry dia buat lawak pulak kat sini. “Macam-macamlah Tok Aki ni. Tengok tu cik Layla sampai dah tersedak. Ke Tok Aki yang suka ni?”
Nur Layla jegil biji matanya bulat-bulat.
“Cik Nur Layla pun macam suka aje. Jatuh cinta pandang pertama ke dengan Tok Aki. Eh! Abang Aki.” Rafael cuba tahan tawa dari meletus. Melihat raut wajah wanita itu yang bagaikan nak terkam dia. Hey...hey…kau jangan Nur Layla. Nanti kang aku yang terkam kau. Ujar hatinya nakal.
“Dah la Tok Aki, jangan layan Mat Preng ni. Layla ambilkan nasik untuk Tok Aki ya.” Nur Layla tarik pinggan. Nasik ayam itu terus dicedok ke dalam pinggan. Tanpa sedar Rafael sedang merenungnya tajam. Adakah patut Rafael menduga yang dia jatuh cinta pandang pertama dengan lelaki separuh abad ini. Memang gila.
“Mat Preng tu mende?” Sudah banyak kali dia dengar perkataan mat preng tu keluar dari mulut Nur Layla. Kali ni dia tak teragak-agak nak menyoal semula.
“Jemput makan Tok Aki, Encik Rafael.” Nur Layla berpura-pura bagaikan tiada apa-apa. Walhal jantungnya berdegup lebih laju dari kebiasaan. Bila Rafael pandang dia macam tu. Dia rasa tidak selesa. Hatinya teringat kejadian beberapa bulan yang lalu. Waktu mereka ditangkap khalwat berdua. 
“Jangan pandang wanita lebih dari tujuh saat Rafael nanti hang akan jatuh cinta.” Tok Aki mencelah dengan selamba.
“Mana ada.” Cover line balik. Dah 2-0 ni Tok Aki. Tak aci.
“Kalau dengan minah cekang ni kena lebih dari tujuh saat kut Tok Aki” Kata-kata Rafael perlahan tapi jelas di pendengaran Layla.
“Apa awak merepek ni?” tanya Layla.
“Merepek apa kebendanya.” Rafael suap nasik dalam mulut. Kenapa dia jumpa dengan perempuan sombong ni lagi. Sejak dia sampai senyum pun tidak. Kalau ada pun tu plastik semata-mata. Bukan dia tak nampak senyuman sinis Layla ataupun Tuhan dah makbulkan doanya untuk jumpa Mahsuri. Dia gelak halus.
“Kalau suka lebih baik buat ‘resume’ siap-siap.” Tok Aki menyampuk. Macam tahu hujung pangkal kisah dia dengan Layla.Amboih!
“Mat rempit tak layan nak buat resume tu semua Tok Aki. Resume tu untuk orang yang nak dapatkan kerja bolehlah. Ni kalau nak dapat hati tak perlu resume. Tak perlu pun ayat manis macam sugar brown tu. Setiap orang ada cara dia sendiri. Tambah kalau spesis cekang macam ni.” Dia acuh bibir ke arah Layla macam tak hairan sangat kalau setakat perempuan macam Layla ni.
“Tapi Raf, apa yang Tok Aki cakap tu selalunya akan jadi. Lelaki pandang perempuan lebih dari tujuh saat. Panahan mata akan melahirkan satu rasa dalam hati yang di namakan cinta.” Siap dengan gaya orang tua ni bersastera.
Rafael rasa nak gelak kuat-kuat bila dengar ayat tu. Tapi dia cuba bertenang. Tok Aki ingat dia jenis nak berjiwang ke apa.
“Tok Aki dulu cikgu sastera ke?
Orang tua tu kembali diam. Tak peduli lagi bila dah mula makan. Makanan pulak sedap. Duduk pulak dekat orang yang cantik dan boleh buka selera. Ceh! Cantik tapi perangai cekang sangat buat apa.
“Kalau lelaki pandang perempuan lebih dari tujuh saat and then jatuh cinta. Tapi kalau sebaliknya bila perempuan pandang lelaki lebih dari tujuh saat. Tok Aki rasa? Perempuan tu nak apa?”
“Perempuan tu pun ada perasaan yang sama. Cinta.” Jawapan bersahaja orang tua tu memang tak boleh pakai. Bila dia perasan Layla pandang dia lebih dari tujuh saat sebab tu keluar idea dia nak soal balas macam tu. Asyik cakap lelaki. Perempuan tu yang lebih cepat tergoda dari lelaki. Tapi perempuan cekang macam Layla ni. Semudah tujuh saat ke nak tergoda dengan dia. Impossible la. Tak payah sembang bab tergoda. Layla tak ada dalam list dia untuk tergoda dan digoda pun. Tahu pun malu nak tunduk pandang pinggan nasik. Tadi pandang dia macam nak telan. Bukan dia tak perasan. Hah! Pandanglah lagi.










Thursday, November 19, 2015

Patri - Bab 3 & 4




Bab 3


Tiga bulan berlalu

RAFAEL bersandar di sebalik tiang lampu yang terletak berhadapan dengan Slippery Senoritas. Cahaya lampu di perkampungan clubbing yang meriah. Zyra di sebelah memeluk tubuhnya erat. Memanaskan badan yang kesejukan tapi dalam kepanasan yang amat. Rasanya sudah hampir tiga bulan dia tidur di Friendship Motel dekat Padang Kota tu. Geram dengan Rania yang buat rancangan macam tu. Sanggup fikir cara bodoh semata-mata nak satukan dia dengan Nur Layla. Sampai hari ni dia dah tak nampak bayang wajah Nur Layla. Masih ingat lagi tangisan Nur Layla pada malam itu. Kalau dia duduk kat tempat Nur Layla pun mesti dia kecewa dengan perangai Rania. Kawan baik sendiri sanggup buat begitu. Adiknya tu memang tak waras lagi dah.
“You tak nak masuk dalam ke Raf?”
Rafael geleng. Masuk dalam lagi kusut kepalanya. Buat apa semua berdengung aje kat dalam tu.
“Kalau you nak masuk, you masuk ajelah. I duduk luar okey.” Kalau Zyra nak merajuk lagi dia dah tak peduli. Macam-macam dah dia korbankan untuk si Zyra ni. Minah ni jenis spesis yang tak tahu apa tu erti pengorbanan.
“Kalau you tak nak masuk, lebih baik you tak payah datang sini. I bosan nak temankan you hari-hari dekat luar macam ni. Dah tiga bulan you macam ni. Baik you balik tidur kat bilik hotel tu.” balas Zyra sedikit kasar sambil melepaskan pelukannya.
“Kenapa you nak ikut I balik tidur hotel sekali ke?” Rafael mengusik.
“Jangan cari pasal Rafael. Tak perlu pun you buat benda yang tak pernah you buat.”balas Zyra yang nampaknya langsung tak terkejut.
“Kepala I tengah serabut. You jangan nak tambah serabut I boleh tak?”
“You masuk dalam, kita enjoy…menari…minum…” pujuk Zyra kembali.
“Minum air ‘akuarium’ tu?” soal Rafael semula kepada Zyra.
“You pernah nampak I masuk kelab minum air akuarium macam you?”
Zyra geleng.
So, you nak ajar I minum pulak?”
“Apa salahnya?” soal Zyra pula.
“Salah tu memanglah tak salah. Tapi I ni bukan bodoh sangat macam you. Nak minum air kencing syaitan tu. Banyak lagi air lain yang I boleh minum.” balas Rafael geram. Zyra ni muda lagi. Susah betul dia nak kawal. Kenapalah hati ni boleh suka sangat kat Zyra ni. Dia yang bawak Zyra datang sini. Sudahnya, Zyra pulak terlebih pandai dari dia. Nak kawal memang susahlah. Diri sendiri pun tak terkawal. Merapu-merapu dia pun air kencing syaitan tu dia tak minumlah.
Zyra tarik muka. Sakit hati dia dengan kata-kata yang terbit dari bibir Rafael. Kalau tak fikir siapa yang akan payung dia tak mungkin dia akan kekal dengan lelaki ni. Mulut macam duri selumbar. Tajam manikam. Semua orang dekat sini dah masak sangat dengan mulut celopar Rafael. Rafael ni dah macam King dekat sini.
Rafael pandang wajah kelat Zyra. Itulah kalau cakap dengan dia tak nak fikir. Seteruk-teruk dia dua benda dia tak buat. Main perempuan dan minum arak. Dia pun bukan selamanya nak macam ni. Hidup macam tak ada arah tujuan aje. Kalau kerja dengan tak kerja pun papa tetap bagi elaun bulanan untuk dia. Lebih dari cukup apa yang papa bagi. Kalau tak cukup dia mintak dekat mama. Tak pun rembat dekat Rania. So, kerja tu syarat ajelah. Pergi kerja tidur. Cover malam punya pasal. Sebab berjaga sampai subuh. Tapi dia pun ada akal fikiran jugak sampai bila nak macam ni. Sampai bila dia nak sesat begini. Selepas kes tangkap khalwat tu dia rasa macam makin huru hara hidup dia. Di jiwa dia ni macam ada satu ombak yang sedang berhempas.
“Orang datang sini bukan nak fikirkan masalah. Apa lagi yang you nak risau. Bukan papa dengan mama paksa sangat you kahwin. Bukan ke semua sudah selesai. Budak perempuan tu pun dah hilang kan. ”
Rafael pandang Zyra. Senang sangat cara gadis ni fikir. Memanglah, tapi penyakit geramnya tak habis lagi. Lagi satu mana Nur Layla menghilang. Ada satu rasa dalam hati yang mengganggu. Rasa ingin tahu tentang keadaan Nur Layla sekarang.
“Kan bagus kalau kena tangkap khalwat dengan you! Boleh kahwin freekan.”
“Tak kan semudah tu…”
“Ahli-ahli ilmu masyarakat menyarankan bahawa di antara suami dan isteri pastilah ada persamaaan dari segi cara fikir dan taraf pelajaran. Barulah kebahagiaan dalam rumah tangga dapat dicapai.” Terang Rafael tenang. Sebab dia fikir Zyra ni nakal lebih kurang macam dia. Dunia pun lebih kurang sama dengan dunia dia. Minat huru hara macam ni. So, tak akan timbullah kut masalah seorang nak macam tu. Seorang nak macam ni. Kalau dengan Layla tu memang dia tak kenal. Nur Layla tu kerja apa, minat apa, manalah dia tahu. Tup!tup!nak kena kahwin. Itu kebodohan baginya walaupun sekarang ni hati membuak-buak nak tahu mana Nur Layla hilang. Banglo tu mesti sunyi sepi. Dia pasti itu.
“I rasa lebih baik you balik aje, Raf. Dah jauh benar you melalut ni.”
“I normallah!”
Zyra senyum sinis. Memang Rafael tak ambil alcohol. Tapi kalau sekali sekala lelaki ni akan ambil juga pil-pil kuda yang ada. Macam dia tak tahu.
“You jangan nak tuduh I yang bukan-bukanlah.”
“Suka hati you lah, I nak masuk dalam. Kalau you tak nak ikut lebih baik you balik.” ujar Zyra dan terus bangun.
“Banyak duit you nak masuk? Siapa yang you jadikan mangsa untuk payung you masuk kali ni?”
“Raf, I ada duit. I boleh masuk sendiri guna duit gaji I.” Zyra terus tinggalkan dia.
“Hah, eloklah. Mak bapak you bagi keizinan dekat you datang kerja di sini. Dapat gaji hulurkan dekat orang tua di kampung tu.”
“Rafael kau tak perlu nak jadi ketam ajar anak boleh tak. Kalau pun sama aje menghabiskan harta mak bapak.” Terus Zyra bergerak tinggalkan dia.
Rafael mengeluh kasar. Helmet Arai Speed King bewarna kuning itu segera disarungkan ke atas kepala. Laju sahaja langkah kakinya menuju ke motorsikal Rxz miliknya. Enjin dihidupkan. Dia pulas minyak berulang kali. Tak peduli mata-mata yang memandangnya. Terus dia pecut laju meninggalkan kawasan itu. Nak tak nak malam ini dia terpaksa balik ke rumah mama dan papa selepas tiga bulan berkelana di hotel bajet tersebut. Duit yang ada tak cukup untuk terus sambung tidur di motel tu. Zyra makin berlagak dengan dia sekarang. Menyesal pulak dia ajar minah ni masuk kelab. Sekarang bila dia tengah serabut, awek sedang berseronok tinggal dia sorang-sorang. Itu memang petanda bakal dia tinggalkan. Boleh mati dengan ayat cinta mati.


RANIA turun ke dapur. Tekaknya terasa haus. Walhal jam sudah menunjukkan ke angka tiga pagi. Sejak kebelakangan ini kesihatannya terganggu. Semua salahnya. Kebodohan yang dia buat akhirnya memakan diri. Terpaksa ditelan amarah papa dan mama. Namun mama tak ketara sebab mama sendiri harap abang Raf kahwin dengan Nur Layla. Sudahnya, kedua-dua buat keputusan tak nak kahwin. Tiga bulan berlalu dia benar-benar rasa rindu. Jiwanya dihantui rasa kesal yang tak sudah. Tiada lagi gelak tawa Nur Layla yang akan menghiasi suasana ceria di dalam rumah ini. Dia benar-benar rindu.
Sehingga ke saat ini dia tak dapat hubungi Nur Layla. Marah benar sahabatnya itu. Ya, dia memang dah buat silap besar. Kalau dia berada di tempat Nur Layla pun entah mungkin lebih teruk lagi. Dah la Nur Layla sorang-sorang kat bumi Pulau Pinang ni. Dia pulak menambah penderitaan. Benar kata Faqih dia perlu tanggung apa yang dia buat.
Gelas kosong yang terletak dirak diambil. Semuanya terasa hambar. Air suam yang berada di atas meja segera dituang ke dalam gelas. Dia duduk di kerusi itu. Mengeluh perlahan. Orang pengantin baru macam dia happy, tapi dia pulak jadi begini. Tak pasal-pasal Faqih pun terkena tempias rancangan gilanya itu.
Bunyi motorsikal Rafael tiba-tiba menghentikan lamunannya. Selepas kes tempoh hari Rafael terus keluar rumah. Gaduh tak usah cakaplah macam anjing dengan kucing. Tunggu tak naik kaki dan tangan aje lagi.
Tanpa berlengah dia terus bangun. Menutup suis lampu dapur untuk naik ke tingkat atas semula.
“Ouh!” suaranya mengaduh kuat. Dia belum sempat berlalu Rafael dah langgar dia.
“Elektrik dalam rumah ni kena potong ke apa?” marah Rafael geram.
“Grrr!” serentak itu kepalanya ditunjal geram oleh Rafael.
“Sakitlah!” jeritnya kuat.
“Tahu pun kau sakit! Waktu kau buat kat aku, tak fikir pulak kau sakit!”
“Alah…orang tak sengaja pun nak buat macam tu.” balas Rania semula.
“Tak sengaja apa kebendanya. Itu sengaja namanya. Kau dah atur rancangan baik punya kau cakap tak sengaja. Teruk betul perangai kau kan. Sanggup kau buat kat abang dengan kawan baik kau sendiri macam ni. Aku tak kisahlah, sebab aku ni jenis memang tak reti nak malu. Tapi kawan kau tu? Kau ingat dia tak malu.”
“Abang Raf…” Rania tarik tangan Rafael. Dalam usaha untuk memujuk. Dah beribu kali Rafael mengulangi kata-kata yang sama padanya.
“Aku rasa esok kau mintak papa sembelih lembu seekor. Lepas tu, ambik otak lembu tu ganti dengan otak kau ni.”
“Apa kurangnya Nur Layla tu dia cantik apa. Lagi cantik dari Zyra.”
Rafael gelak kuat. “Cantik macam bidadari pun kalau aku tak tertarik tak guna jugak. Jangan kau cuba nak banding-bandingkan dengan si Zyra tu.”
“Sampai bila abang nak macam ni? Tak tentu arah macam ni?”
“Sekarang ni padan muka kau Nur Layla dah hilang. Mana kawan kau tu? Kau ni nama je kawan tapi sanggup buat macam tu.”
“Abang Raf…”
“Apa? Bahagia bila hilang kawan macam ni. Kau dah lukakan hati dia kau sedar tak?”
“Saya akan terus cari Layla.”
“Kau nak tambah sakitkan hati dia lagi. Remuk hati dia dengan kau. Kau tak nampak tangisan dia malam tu. Eh! Tahniahlah untuk kau sekian kali.”
“Rania menyesal. Tolonglah Rania cari dia.” Air mata bertakung. Benar-benar dihujani rasa bersalah. Rafael cakaplah apa sahaja sekarang Rania dah tak kisah.
“Abang tolong Rania... Rania takut kalau apa-apa jadi pada Layla.” Tangan Rafael ditarik.
“Kau yang buat masalah kau tanggung sendiri. Jangan sampai nanti yang kau jumpa jasad Layla yang dah tak bernyawa.” Rafael tarik tangannya kembali. Tubuh Rania ditolak sedikit untuk berlalu menuju ke atas. Kalau ikutkan baran dia ni mahu pecah muka si adik. Tapi risau muka dia pulak yang pecah dengan papa nanti.
Tak habis-habis memuji Nur Layla tu. Risaukan Nur Layla setengah mati. Dia tak balik berbulan-bulan tak nak pulak cari. Habis kuat mama call dan whatApps je. Siapa Nur Layla tu sebenarnya? Apa yang istimewanya gadis sombong yang tak pernah nak senyum kepada dia. Gadis yang akan hilang setiap kali nampak dia pulang. Misteri Nur Layla pada pandangan matanya adalah senyuman. Tidak pernah ingin senyum padanya. Rania dah tak tentu arah sehinggakan mintak bantuan dia. Sendiri cari penyakit tak ada siapa yang suruh.



























Bab 4


WAJAH Rafael berkerut seribu. Kata-kata papa adakah satu ugutan untuk dirinya. Papa nak dia uruskan pakej tu dengan sempurna. Manalah dia tahu pun. Selama ni dia arahkan aje pekerja papa yang uruskan pakej pelancongan tu. Siap tak nak bagi elaun lagi dah untuk dia. Habis tu nak enjoy guna apa?nak isi minyak motor guna apa? Daun kering? Kangkung? Heh!buat lawak pulak.
“Kalau kau tak nak segala elaun kau papa tak akan beri. Kau belajarlah berdikari. Selama ni papa bagi muka pada kau. Kau datang pejabat tidur goyang kaki. Dengan pakaian kau yang macam ni tak mencerminkan langsung sebagai seorang ketua kat sini. Sesuka hati kau aje. Kau ingat ni Litar Sepang untuk kau pergi race ke Raf? Now, papa mintak kau uruskan. Jangan sampai gagal. Kalau kau nak papa boleh beri dua kali ganda dari elaun yang kau dapat tiap-tiap bulan tu.” ujar Encik Zaid tegas.
“Kalau gagal jugak?” soal Rafael tanpa sedikitpun rasa takut.
“Kau kahwin!”
Rafael gelak kuat dengar jawapan Encik Zaid.
“Papa ingat zaman dulu-dulu ke papa? Nak kahwin-kahwin kan orang macam tu je. Papa, mama dan Rania samalah. Bersubahat nak kahwinkan Raf dengan pompuan tu. Tak baik papa.Orang yang ada ilmu tak akan aniya orang macam tu.” Selamba dia cakap begitu dengan papanya.  Bibir ukir senyum sinis. Cuba menahan tawa dari meletus. Bila lihat wajah papa dan berubah warna. Apa ingat dia tak pandai nak tazkirah ke?
“Kau jangan nak tuduh apa-apa Raf. Papa tak tahu menahu pun pasal kes tu.”  Sudah sampai masa dia berkeras dengan Rafael. Anak Lelaki harapan tapi macam tak boleh nak letak harapan. Mungkin salahnya sebab bagi muka sangat. Soal ditangkap khalwat antara Rafael dan Nur Layla dulu memang dia tidak terkait sama. Lagipun dia sudah warning kepada Rania agar jangan ulang perkara bodoh yang boleh memalukan keluarga.
“Kalau papa bagi saya rombongan budak sekolah ke, mat rempit ke, minah disko ke senanglah kerja saya papa. Ini apehal nak uruskan orang-orang tua kat rumah perlindungan tu. Pening kepala aje nanti. Apa aktiviti yang saya nak diorang semua buat? Menari tenggo tepi pantai? Macam tu ke papa?” Selamba sahaja dia berbahasa dengan papanya sendiri. Niat papa tu bagus sebab nak taja percutian. Tapi masalahnya dia pergi taja dekat warga emas di rumah Rumah Jagaan Cahaya Kaseh tu jugak. Tak ke susah dia nak buat kerja.
“Baru besar ni kau dah merungut. Papa tak kisah kalau kau nak tolak. Tapi kau fikirlah peluang tak akan datang bergolek untuk kedua kali. Papa bukan saja-saja beri kau tanggungjawab yang besar macam ni. Sampai bila kau nak macam ni? Papa tak nak tengok kau pakai macam ni lagi dalam pejabat.”
“Papa kalau nak buat kerja bukan guna pakaian pun. Nanti esok-esok kat sana kain putih jugak yang kita pakai.” Ewah!dia sendiri hampir tergelak dengan kata-katanya tadi. Mat rempit ceramahlah pulak.
“Tapi pakaian tu menunjukkan etika kau tahu tak?Perlu ada perbezaan Raf. Ini pejabat bukan kelab malam!”
“Hmm…etika tu macam ajar saya jadi manusia yang hipokrit aje. Buat sesuatu tak ikhlas tak guna papa.” Cakap pandailah dia. Sengaja nak memeningkan orang tua tu.
“Papa tak nak dengar alasan tak masuk akal kau tu. Kau setuju ke tak?”
“Apa ni papa? Raf tak naklah macam ni?”
“Okey baiklah. Kau belajarlah hidup berdikari. Papa tak nak cakap lagi.” Encik Zaid terus bangun dan keluar dari bilik.
Rafael mendengus perlahan. Kalau tak ada duit macam mana nak hidup. Papa ni betul-betul menduganya. Nak mintak kat mama, mahu meleleh larva-larva di telinganya. Bebelan mama tak habis-habis. Si Rania pulak, lagilah tak boleh mintak. Sebab dia dah basuh kaw-kaw adiknya itu dek kejadian tangkap khalwat dengan Nur Layla dulu tu. Alahai…harapkan Zyra? Memang tak boleh harap. Umpama harapkan pagar, pagar makan padi.
Dia terus bangun dari pejabat milik papanya itu. Keluar menonong aje sakit hatinya punya pasal. Masuk pejabatnya terus dikunci dari dalam. Nampak sofa kulit itu aje untuk dia landing. Malas nak fikir apa-apa lagi dah.
“Mimpi yang indah-indah ya Rafael. Pedulikan kejap cakap papa tu. Kut-kut nanti dalam mimpi dapat istikharah.” Rafael ketawa sendiri. Dah macam orang gila cakap sorang-sorang. Mahunya tak stress bertimpa-timpa ujian datang menguji sungguh keimanan dia yang memang sah-sah kurang ni.


ANGIN bertiup lembut ke wajah. Dia masih duduk di atas motorsikal sambil membuang pandang ke arah laut. Pantai Seagate yang tak pernah sunyi. Cuma hati dia sahaja yang sunyi. Keluar dari pejabat tadi terus datang melepak di sini sendiri. Zyra, minah kilang tu masih belum balik. Sorang diri pun tak ada masalah baginya.
Dum! Hatinya tersentak! Bunyi kuat dari arah belakang membuatkan dia cepat-cepat menoleh. Dia melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalan jalan. Sebuah kereta proton perdana dan motorsikal dari jenama Honda turut kelihatan bersama. Tanpa berlengah dia terus berlari menuju ke arah tersebut.
“Layla!” dia kaku. Kaku pada tubuh yang terbaring itu. Dia yakin itu Layla. Rupa gadis itu yang ditangkap khalwat dengannya itu masih jelas terakam dalam kotak memori. Apatah lagi wajah itu yang dulunya selalu hadir di rumahnya hari-hari. Dia segera memangku tubuh yang langsung tidak bergerak itu. Tangannya bergetar. Darah merah mengalir laju dari hidung dan bibir gadis itu. Allah!
“Bangun Layla! Bangun!” dia panggil kuat. Orang ramai mula memenuhi tempat kejadian.
“Layla! Bangun Layla. Bangun Layla!” dia terus memanggil nama gadis itu.  Entah kenapa perasaan bersalahnya menebal. Sewaktu di mahkamah tempoh hari  bermacam kata yang telah dilemparkan untuk Nur Layla. Semuanya kerana amarah yang tak tertahan. Allah…
“Layla!!!!!!!!!!!” dia menjerit kuat.
Saat itu juga terasa air sejuk menyimbah ke mukanya. Dia terkebil-kebil membuka mata. “Layla? Mana Layla?” dia toleh kiri dan kanan.
“Banyak Layla kau? Kenapa kau dah suka pulak Layla sampai termimpi-mimpi.”
Mimpi? Dia terus bangun. Melihat papa yang memegang segelas jug air yang berisi ketul ais. Allah! Apa yang dia mimpi tadi. Kenapa dia boleh mimpikan Nur Layla. Hesy!
“Apa papa ni…” tuturnya tak puas hati sambil menyapu air yang bersisa di wajahnya menggunakan tuala kecil yang dilempar papa kepadanya. Nak cover malu punya pasal. Boleh pulak dia mimpikan Nur Layla kemalangan. Aduh! Yang best si Layla tu naik Honda EX5. Adoi, bila masa pulak minah cekang tu jadi minah rempit.
“Kuat benar kau panggil nama Layla?”
“Hmm…mana ada.”
“Kau fikirkan dia?”
“Taklah…” sudahlah papa jangan tanya lagi. Hatinya sudah tak tentu arah. Dia malulah.
“Jadi kau dah tukar fikiran pulak? Kau setuju dengan apa yang papa cadangkan?”
Rafael angguk. Memang dia tak ada pilihan. Bahagia papa deritanya. Asalkan papa tak tanya pasal mimpi dia tadi. Memang malu dia. Nak cakap dia fikirkan Nur Layla. Mana ada. Tapi orang kata kalau kita mimpikan seseorang tu maknanya orang tu sedang rindukan kita. Puihhh! Layla nak rindu dia. Okey, tunggu sampai langit ke tujuh pun belum tentu.
“Nah ambil ni. Pergi beli pakaian kau. Potong bagi kemas-kemas rambut kau tu.” Encik Zaid menyerahkan beberapa keping duit lima puluh kepada anaknya itu. Masih lagi dia bertimbang rasa. Siapa tak sayangkan anak.
“Papa buat kerja guna ni, bukan guna baju dan rambut pun.” Dia tunjuk kepala dengan jari telunjuknya.
“Kau jangan nak mengada-ada Raf. Kau tolong jaga imej syarikat kita. Kau ingat sikit!” suara garau papa keras mengetuk gegendang telinganya.
“Yalah, papa dan main ugut-ugut pulak sekarang. Raf tak habis lagi nak enjoy papa tahu tak. Zaman muda ni sekali je dalam hidup.”
“Sudah, kau tak payah nak bagi apa-apa alasan tak masuk akal kau tu. Kau cakap pandai, itulah,inilah…kau tahu tak umur kau tu dah 28 tahun. Bukan 18 tahun. Nak cakap kau ni beranak tak cukup bulan pun tak jugak. Tinggalkan kehidupan permotoran kau tu. Siapa lagi yang akan uruskan semua ni kalau bukan kau.”
“Alah papa… time-time ni nak buat ayat sedih papa. Tak laku la ayat sedih papa tu kat saya.”
Rafael terus bangun mengambil Arai Speed King yang diletakkan di atas meja. Encik Zaid geleng kepala melihat tingkah anaknya itu. Pergi kerja balik kerja. Satu kerja pun dia tak buat. Dia tidur lagi adalah. Macam dah hotel pulak pejabat ni bagi dia. Ingat balik balik Penang akan berubah tapi sama saja.
“Terus balik bila dah selesai urusan kau tu. Jangan nak merayap ke tempat lain.”
“Janganlah buat saya macam budak sekolah.”
“Kalau kau tak nak papa buat kau macam budak sekolah tolong ubah tingkah laku kau tu.” Garau suara Encik Zaid menyapa gegendang telinganya.
“Hmm…yalah.” Dia tarik tombol pintu pejabatnya dan terus bergerak pergi. Dia sudah dewasa. Dia tahu apa yang dia nak buat. Aturan hidup dia biarlah dia sendiri pilih. Bukan semua benda asyik nak paksa. Dari bab pindah ke sini. Bab nak kena paksa kahwin dengan Layla. Sehingga bab kerja.
Tapi mimpi dia tadi ngeri pulak rasa. Dalam banyak-banyak perempuan Layla yang boleh masuk dalam mimpi dia. Hesy! Meluat betoi aku dengan hang Layla oii…