Thursday, November 19, 2015

Patri - Bab 3 & 4




Bab 3


Tiga bulan berlalu

RAFAEL bersandar di sebalik tiang lampu yang terletak berhadapan dengan Slippery Senoritas. Cahaya lampu di perkampungan clubbing yang meriah. Zyra di sebelah memeluk tubuhnya erat. Memanaskan badan yang kesejukan tapi dalam kepanasan yang amat. Rasanya sudah hampir tiga bulan dia tidur di Friendship Motel dekat Padang Kota tu. Geram dengan Rania yang buat rancangan macam tu. Sanggup fikir cara bodoh semata-mata nak satukan dia dengan Nur Layla. Sampai hari ni dia dah tak nampak bayang wajah Nur Layla. Masih ingat lagi tangisan Nur Layla pada malam itu. Kalau dia duduk kat tempat Nur Layla pun mesti dia kecewa dengan perangai Rania. Kawan baik sendiri sanggup buat begitu. Adiknya tu memang tak waras lagi dah.
“You tak nak masuk dalam ke Raf?”
Rafael geleng. Masuk dalam lagi kusut kepalanya. Buat apa semua berdengung aje kat dalam tu.
“Kalau you nak masuk, you masuk ajelah. I duduk luar okey.” Kalau Zyra nak merajuk lagi dia dah tak peduli. Macam-macam dah dia korbankan untuk si Zyra ni. Minah ni jenis spesis yang tak tahu apa tu erti pengorbanan.
“Kalau you tak nak masuk, lebih baik you tak payah datang sini. I bosan nak temankan you hari-hari dekat luar macam ni. Dah tiga bulan you macam ni. Baik you balik tidur kat bilik hotel tu.” balas Zyra sedikit kasar sambil melepaskan pelukannya.
“Kenapa you nak ikut I balik tidur hotel sekali ke?” Rafael mengusik.
“Jangan cari pasal Rafael. Tak perlu pun you buat benda yang tak pernah you buat.”balas Zyra yang nampaknya langsung tak terkejut.
“Kepala I tengah serabut. You jangan nak tambah serabut I boleh tak?”
“You masuk dalam, kita enjoy…menari…minum…” pujuk Zyra kembali.
“Minum air ‘akuarium’ tu?” soal Rafael semula kepada Zyra.
“You pernah nampak I masuk kelab minum air akuarium macam you?”
Zyra geleng.
So, you nak ajar I minum pulak?”
“Apa salahnya?” soal Zyra pula.
“Salah tu memanglah tak salah. Tapi I ni bukan bodoh sangat macam you. Nak minum air kencing syaitan tu. Banyak lagi air lain yang I boleh minum.” balas Rafael geram. Zyra ni muda lagi. Susah betul dia nak kawal. Kenapalah hati ni boleh suka sangat kat Zyra ni. Dia yang bawak Zyra datang sini. Sudahnya, Zyra pulak terlebih pandai dari dia. Nak kawal memang susahlah. Diri sendiri pun tak terkawal. Merapu-merapu dia pun air kencing syaitan tu dia tak minumlah.
Zyra tarik muka. Sakit hati dia dengan kata-kata yang terbit dari bibir Rafael. Kalau tak fikir siapa yang akan payung dia tak mungkin dia akan kekal dengan lelaki ni. Mulut macam duri selumbar. Tajam manikam. Semua orang dekat sini dah masak sangat dengan mulut celopar Rafael. Rafael ni dah macam King dekat sini.
Rafael pandang wajah kelat Zyra. Itulah kalau cakap dengan dia tak nak fikir. Seteruk-teruk dia dua benda dia tak buat. Main perempuan dan minum arak. Dia pun bukan selamanya nak macam ni. Hidup macam tak ada arah tujuan aje. Kalau kerja dengan tak kerja pun papa tetap bagi elaun bulanan untuk dia. Lebih dari cukup apa yang papa bagi. Kalau tak cukup dia mintak dekat mama. Tak pun rembat dekat Rania. So, kerja tu syarat ajelah. Pergi kerja tidur. Cover malam punya pasal. Sebab berjaga sampai subuh. Tapi dia pun ada akal fikiran jugak sampai bila nak macam ni. Sampai bila dia nak sesat begini. Selepas kes tangkap khalwat tu dia rasa macam makin huru hara hidup dia. Di jiwa dia ni macam ada satu ombak yang sedang berhempas.
“Orang datang sini bukan nak fikirkan masalah. Apa lagi yang you nak risau. Bukan papa dengan mama paksa sangat you kahwin. Bukan ke semua sudah selesai. Budak perempuan tu pun dah hilang kan. ”
Rafael pandang Zyra. Senang sangat cara gadis ni fikir. Memanglah, tapi penyakit geramnya tak habis lagi. Lagi satu mana Nur Layla menghilang. Ada satu rasa dalam hati yang mengganggu. Rasa ingin tahu tentang keadaan Nur Layla sekarang.
“Kan bagus kalau kena tangkap khalwat dengan you! Boleh kahwin freekan.”
“Tak kan semudah tu…”
“Ahli-ahli ilmu masyarakat menyarankan bahawa di antara suami dan isteri pastilah ada persamaaan dari segi cara fikir dan taraf pelajaran. Barulah kebahagiaan dalam rumah tangga dapat dicapai.” Terang Rafael tenang. Sebab dia fikir Zyra ni nakal lebih kurang macam dia. Dunia pun lebih kurang sama dengan dunia dia. Minat huru hara macam ni. So, tak akan timbullah kut masalah seorang nak macam tu. Seorang nak macam ni. Kalau dengan Layla tu memang dia tak kenal. Nur Layla tu kerja apa, minat apa, manalah dia tahu. Tup!tup!nak kena kahwin. Itu kebodohan baginya walaupun sekarang ni hati membuak-buak nak tahu mana Nur Layla hilang. Banglo tu mesti sunyi sepi. Dia pasti itu.
“I rasa lebih baik you balik aje, Raf. Dah jauh benar you melalut ni.”
“I normallah!”
Zyra senyum sinis. Memang Rafael tak ambil alcohol. Tapi kalau sekali sekala lelaki ni akan ambil juga pil-pil kuda yang ada. Macam dia tak tahu.
“You jangan nak tuduh I yang bukan-bukanlah.”
“Suka hati you lah, I nak masuk dalam. Kalau you tak nak ikut lebih baik you balik.” ujar Zyra dan terus bangun.
“Banyak duit you nak masuk? Siapa yang you jadikan mangsa untuk payung you masuk kali ni?”
“Raf, I ada duit. I boleh masuk sendiri guna duit gaji I.” Zyra terus tinggalkan dia.
“Hah, eloklah. Mak bapak you bagi keizinan dekat you datang kerja di sini. Dapat gaji hulurkan dekat orang tua di kampung tu.”
“Rafael kau tak perlu nak jadi ketam ajar anak boleh tak. Kalau pun sama aje menghabiskan harta mak bapak.” Terus Zyra bergerak tinggalkan dia.
Rafael mengeluh kasar. Helmet Arai Speed King bewarna kuning itu segera disarungkan ke atas kepala. Laju sahaja langkah kakinya menuju ke motorsikal Rxz miliknya. Enjin dihidupkan. Dia pulas minyak berulang kali. Tak peduli mata-mata yang memandangnya. Terus dia pecut laju meninggalkan kawasan itu. Nak tak nak malam ini dia terpaksa balik ke rumah mama dan papa selepas tiga bulan berkelana di hotel bajet tersebut. Duit yang ada tak cukup untuk terus sambung tidur di motel tu. Zyra makin berlagak dengan dia sekarang. Menyesal pulak dia ajar minah ni masuk kelab. Sekarang bila dia tengah serabut, awek sedang berseronok tinggal dia sorang-sorang. Itu memang petanda bakal dia tinggalkan. Boleh mati dengan ayat cinta mati.


RANIA turun ke dapur. Tekaknya terasa haus. Walhal jam sudah menunjukkan ke angka tiga pagi. Sejak kebelakangan ini kesihatannya terganggu. Semua salahnya. Kebodohan yang dia buat akhirnya memakan diri. Terpaksa ditelan amarah papa dan mama. Namun mama tak ketara sebab mama sendiri harap abang Raf kahwin dengan Nur Layla. Sudahnya, kedua-dua buat keputusan tak nak kahwin. Tiga bulan berlalu dia benar-benar rasa rindu. Jiwanya dihantui rasa kesal yang tak sudah. Tiada lagi gelak tawa Nur Layla yang akan menghiasi suasana ceria di dalam rumah ini. Dia benar-benar rindu.
Sehingga ke saat ini dia tak dapat hubungi Nur Layla. Marah benar sahabatnya itu. Ya, dia memang dah buat silap besar. Kalau dia berada di tempat Nur Layla pun entah mungkin lebih teruk lagi. Dah la Nur Layla sorang-sorang kat bumi Pulau Pinang ni. Dia pulak menambah penderitaan. Benar kata Faqih dia perlu tanggung apa yang dia buat.
Gelas kosong yang terletak dirak diambil. Semuanya terasa hambar. Air suam yang berada di atas meja segera dituang ke dalam gelas. Dia duduk di kerusi itu. Mengeluh perlahan. Orang pengantin baru macam dia happy, tapi dia pulak jadi begini. Tak pasal-pasal Faqih pun terkena tempias rancangan gilanya itu.
Bunyi motorsikal Rafael tiba-tiba menghentikan lamunannya. Selepas kes tempoh hari Rafael terus keluar rumah. Gaduh tak usah cakaplah macam anjing dengan kucing. Tunggu tak naik kaki dan tangan aje lagi.
Tanpa berlengah dia terus bangun. Menutup suis lampu dapur untuk naik ke tingkat atas semula.
“Ouh!” suaranya mengaduh kuat. Dia belum sempat berlalu Rafael dah langgar dia.
“Elektrik dalam rumah ni kena potong ke apa?” marah Rafael geram.
“Grrr!” serentak itu kepalanya ditunjal geram oleh Rafael.
“Sakitlah!” jeritnya kuat.
“Tahu pun kau sakit! Waktu kau buat kat aku, tak fikir pulak kau sakit!”
“Alah…orang tak sengaja pun nak buat macam tu.” balas Rania semula.
“Tak sengaja apa kebendanya. Itu sengaja namanya. Kau dah atur rancangan baik punya kau cakap tak sengaja. Teruk betul perangai kau kan. Sanggup kau buat kat abang dengan kawan baik kau sendiri macam ni. Aku tak kisahlah, sebab aku ni jenis memang tak reti nak malu. Tapi kawan kau tu? Kau ingat dia tak malu.”
“Abang Raf…” Rania tarik tangan Rafael. Dalam usaha untuk memujuk. Dah beribu kali Rafael mengulangi kata-kata yang sama padanya.
“Aku rasa esok kau mintak papa sembelih lembu seekor. Lepas tu, ambik otak lembu tu ganti dengan otak kau ni.”
“Apa kurangnya Nur Layla tu dia cantik apa. Lagi cantik dari Zyra.”
Rafael gelak kuat. “Cantik macam bidadari pun kalau aku tak tertarik tak guna jugak. Jangan kau cuba nak banding-bandingkan dengan si Zyra tu.”
“Sampai bila abang nak macam ni? Tak tentu arah macam ni?”
“Sekarang ni padan muka kau Nur Layla dah hilang. Mana kawan kau tu? Kau ni nama je kawan tapi sanggup buat macam tu.”
“Abang Raf…”
“Apa? Bahagia bila hilang kawan macam ni. Kau dah lukakan hati dia kau sedar tak?”
“Saya akan terus cari Layla.”
“Kau nak tambah sakitkan hati dia lagi. Remuk hati dia dengan kau. Kau tak nampak tangisan dia malam tu. Eh! Tahniahlah untuk kau sekian kali.”
“Rania menyesal. Tolonglah Rania cari dia.” Air mata bertakung. Benar-benar dihujani rasa bersalah. Rafael cakaplah apa sahaja sekarang Rania dah tak kisah.
“Abang tolong Rania... Rania takut kalau apa-apa jadi pada Layla.” Tangan Rafael ditarik.
“Kau yang buat masalah kau tanggung sendiri. Jangan sampai nanti yang kau jumpa jasad Layla yang dah tak bernyawa.” Rafael tarik tangannya kembali. Tubuh Rania ditolak sedikit untuk berlalu menuju ke atas. Kalau ikutkan baran dia ni mahu pecah muka si adik. Tapi risau muka dia pulak yang pecah dengan papa nanti.
Tak habis-habis memuji Nur Layla tu. Risaukan Nur Layla setengah mati. Dia tak balik berbulan-bulan tak nak pulak cari. Habis kuat mama call dan whatApps je. Siapa Nur Layla tu sebenarnya? Apa yang istimewanya gadis sombong yang tak pernah nak senyum kepada dia. Gadis yang akan hilang setiap kali nampak dia pulang. Misteri Nur Layla pada pandangan matanya adalah senyuman. Tidak pernah ingin senyum padanya. Rania dah tak tentu arah sehinggakan mintak bantuan dia. Sendiri cari penyakit tak ada siapa yang suruh.



























Bab 4


WAJAH Rafael berkerut seribu. Kata-kata papa adakah satu ugutan untuk dirinya. Papa nak dia uruskan pakej tu dengan sempurna. Manalah dia tahu pun. Selama ni dia arahkan aje pekerja papa yang uruskan pakej pelancongan tu. Siap tak nak bagi elaun lagi dah untuk dia. Habis tu nak enjoy guna apa?nak isi minyak motor guna apa? Daun kering? Kangkung? Heh!buat lawak pulak.
“Kalau kau tak nak segala elaun kau papa tak akan beri. Kau belajarlah berdikari. Selama ni papa bagi muka pada kau. Kau datang pejabat tidur goyang kaki. Dengan pakaian kau yang macam ni tak mencerminkan langsung sebagai seorang ketua kat sini. Sesuka hati kau aje. Kau ingat ni Litar Sepang untuk kau pergi race ke Raf? Now, papa mintak kau uruskan. Jangan sampai gagal. Kalau kau nak papa boleh beri dua kali ganda dari elaun yang kau dapat tiap-tiap bulan tu.” ujar Encik Zaid tegas.
“Kalau gagal jugak?” soal Rafael tanpa sedikitpun rasa takut.
“Kau kahwin!”
Rafael gelak kuat dengar jawapan Encik Zaid.
“Papa ingat zaman dulu-dulu ke papa? Nak kahwin-kahwin kan orang macam tu je. Papa, mama dan Rania samalah. Bersubahat nak kahwinkan Raf dengan pompuan tu. Tak baik papa.Orang yang ada ilmu tak akan aniya orang macam tu.” Selamba dia cakap begitu dengan papanya.  Bibir ukir senyum sinis. Cuba menahan tawa dari meletus. Bila lihat wajah papa dan berubah warna. Apa ingat dia tak pandai nak tazkirah ke?
“Kau jangan nak tuduh apa-apa Raf. Papa tak tahu menahu pun pasal kes tu.”  Sudah sampai masa dia berkeras dengan Rafael. Anak Lelaki harapan tapi macam tak boleh nak letak harapan. Mungkin salahnya sebab bagi muka sangat. Soal ditangkap khalwat antara Rafael dan Nur Layla dulu memang dia tidak terkait sama. Lagipun dia sudah warning kepada Rania agar jangan ulang perkara bodoh yang boleh memalukan keluarga.
“Kalau papa bagi saya rombongan budak sekolah ke, mat rempit ke, minah disko ke senanglah kerja saya papa. Ini apehal nak uruskan orang-orang tua kat rumah perlindungan tu. Pening kepala aje nanti. Apa aktiviti yang saya nak diorang semua buat? Menari tenggo tepi pantai? Macam tu ke papa?” Selamba sahaja dia berbahasa dengan papanya sendiri. Niat papa tu bagus sebab nak taja percutian. Tapi masalahnya dia pergi taja dekat warga emas di rumah Rumah Jagaan Cahaya Kaseh tu jugak. Tak ke susah dia nak buat kerja.
“Baru besar ni kau dah merungut. Papa tak kisah kalau kau nak tolak. Tapi kau fikirlah peluang tak akan datang bergolek untuk kedua kali. Papa bukan saja-saja beri kau tanggungjawab yang besar macam ni. Sampai bila kau nak macam ni? Papa tak nak tengok kau pakai macam ni lagi dalam pejabat.”
“Papa kalau nak buat kerja bukan guna pakaian pun. Nanti esok-esok kat sana kain putih jugak yang kita pakai.” Ewah!dia sendiri hampir tergelak dengan kata-katanya tadi. Mat rempit ceramahlah pulak.
“Tapi pakaian tu menunjukkan etika kau tahu tak?Perlu ada perbezaan Raf. Ini pejabat bukan kelab malam!”
“Hmm…etika tu macam ajar saya jadi manusia yang hipokrit aje. Buat sesuatu tak ikhlas tak guna papa.” Cakap pandailah dia. Sengaja nak memeningkan orang tua tu.
“Papa tak nak dengar alasan tak masuk akal kau tu. Kau setuju ke tak?”
“Apa ni papa? Raf tak naklah macam ni?”
“Okey baiklah. Kau belajarlah hidup berdikari. Papa tak nak cakap lagi.” Encik Zaid terus bangun dan keluar dari bilik.
Rafael mendengus perlahan. Kalau tak ada duit macam mana nak hidup. Papa ni betul-betul menduganya. Nak mintak kat mama, mahu meleleh larva-larva di telinganya. Bebelan mama tak habis-habis. Si Rania pulak, lagilah tak boleh mintak. Sebab dia dah basuh kaw-kaw adiknya itu dek kejadian tangkap khalwat dengan Nur Layla dulu tu. Alahai…harapkan Zyra? Memang tak boleh harap. Umpama harapkan pagar, pagar makan padi.
Dia terus bangun dari pejabat milik papanya itu. Keluar menonong aje sakit hatinya punya pasal. Masuk pejabatnya terus dikunci dari dalam. Nampak sofa kulit itu aje untuk dia landing. Malas nak fikir apa-apa lagi dah.
“Mimpi yang indah-indah ya Rafael. Pedulikan kejap cakap papa tu. Kut-kut nanti dalam mimpi dapat istikharah.” Rafael ketawa sendiri. Dah macam orang gila cakap sorang-sorang. Mahunya tak stress bertimpa-timpa ujian datang menguji sungguh keimanan dia yang memang sah-sah kurang ni.


ANGIN bertiup lembut ke wajah. Dia masih duduk di atas motorsikal sambil membuang pandang ke arah laut. Pantai Seagate yang tak pernah sunyi. Cuma hati dia sahaja yang sunyi. Keluar dari pejabat tadi terus datang melepak di sini sendiri. Zyra, minah kilang tu masih belum balik. Sorang diri pun tak ada masalah baginya.
Dum! Hatinya tersentak! Bunyi kuat dari arah belakang membuatkan dia cepat-cepat menoleh. Dia melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalan jalan. Sebuah kereta proton perdana dan motorsikal dari jenama Honda turut kelihatan bersama. Tanpa berlengah dia terus berlari menuju ke arah tersebut.
“Layla!” dia kaku. Kaku pada tubuh yang terbaring itu. Dia yakin itu Layla. Rupa gadis itu yang ditangkap khalwat dengannya itu masih jelas terakam dalam kotak memori. Apatah lagi wajah itu yang dulunya selalu hadir di rumahnya hari-hari. Dia segera memangku tubuh yang langsung tidak bergerak itu. Tangannya bergetar. Darah merah mengalir laju dari hidung dan bibir gadis itu. Allah!
“Bangun Layla! Bangun!” dia panggil kuat. Orang ramai mula memenuhi tempat kejadian.
“Layla! Bangun Layla. Bangun Layla!” dia terus memanggil nama gadis itu.  Entah kenapa perasaan bersalahnya menebal. Sewaktu di mahkamah tempoh hari  bermacam kata yang telah dilemparkan untuk Nur Layla. Semuanya kerana amarah yang tak tertahan. Allah…
“Layla!!!!!!!!!!!” dia menjerit kuat.
Saat itu juga terasa air sejuk menyimbah ke mukanya. Dia terkebil-kebil membuka mata. “Layla? Mana Layla?” dia toleh kiri dan kanan.
“Banyak Layla kau? Kenapa kau dah suka pulak Layla sampai termimpi-mimpi.”
Mimpi? Dia terus bangun. Melihat papa yang memegang segelas jug air yang berisi ketul ais. Allah! Apa yang dia mimpi tadi. Kenapa dia boleh mimpikan Nur Layla. Hesy!
“Apa papa ni…” tuturnya tak puas hati sambil menyapu air yang bersisa di wajahnya menggunakan tuala kecil yang dilempar papa kepadanya. Nak cover malu punya pasal. Boleh pulak dia mimpikan Nur Layla kemalangan. Aduh! Yang best si Layla tu naik Honda EX5. Adoi, bila masa pulak minah cekang tu jadi minah rempit.
“Kuat benar kau panggil nama Layla?”
“Hmm…mana ada.”
“Kau fikirkan dia?”
“Taklah…” sudahlah papa jangan tanya lagi. Hatinya sudah tak tentu arah. Dia malulah.
“Jadi kau dah tukar fikiran pulak? Kau setuju dengan apa yang papa cadangkan?”
Rafael angguk. Memang dia tak ada pilihan. Bahagia papa deritanya. Asalkan papa tak tanya pasal mimpi dia tadi. Memang malu dia. Nak cakap dia fikirkan Nur Layla. Mana ada. Tapi orang kata kalau kita mimpikan seseorang tu maknanya orang tu sedang rindukan kita. Puihhh! Layla nak rindu dia. Okey, tunggu sampai langit ke tujuh pun belum tentu.
“Nah ambil ni. Pergi beli pakaian kau. Potong bagi kemas-kemas rambut kau tu.” Encik Zaid menyerahkan beberapa keping duit lima puluh kepada anaknya itu. Masih lagi dia bertimbang rasa. Siapa tak sayangkan anak.
“Papa buat kerja guna ni, bukan guna baju dan rambut pun.” Dia tunjuk kepala dengan jari telunjuknya.
“Kau jangan nak mengada-ada Raf. Kau tolong jaga imej syarikat kita. Kau ingat sikit!” suara garau papa keras mengetuk gegendang telinganya.
“Yalah, papa dan main ugut-ugut pulak sekarang. Raf tak habis lagi nak enjoy papa tahu tak. Zaman muda ni sekali je dalam hidup.”
“Sudah, kau tak payah nak bagi apa-apa alasan tak masuk akal kau tu. Kau cakap pandai, itulah,inilah…kau tahu tak umur kau tu dah 28 tahun. Bukan 18 tahun. Nak cakap kau ni beranak tak cukup bulan pun tak jugak. Tinggalkan kehidupan permotoran kau tu. Siapa lagi yang akan uruskan semua ni kalau bukan kau.”
“Alah papa… time-time ni nak buat ayat sedih papa. Tak laku la ayat sedih papa tu kat saya.”
Rafael terus bangun mengambil Arai Speed King yang diletakkan di atas meja. Encik Zaid geleng kepala melihat tingkah anaknya itu. Pergi kerja balik kerja. Satu kerja pun dia tak buat. Dia tidur lagi adalah. Macam dah hotel pulak pejabat ni bagi dia. Ingat balik balik Penang akan berubah tapi sama saja.
“Terus balik bila dah selesai urusan kau tu. Jangan nak merayap ke tempat lain.”
“Janganlah buat saya macam budak sekolah.”
“Kalau kau tak nak papa buat kau macam budak sekolah tolong ubah tingkah laku kau tu.” Garau suara Encik Zaid menyapa gegendang telinganya.
“Hmm…yalah.” Dia tarik tombol pintu pejabatnya dan terus bergerak pergi. Dia sudah dewasa. Dia tahu apa yang dia nak buat. Aturan hidup dia biarlah dia sendiri pilih. Bukan semua benda asyik nak paksa. Dari bab pindah ke sini. Bab nak kena paksa kahwin dengan Layla. Sehingga bab kerja.
Tapi mimpi dia tadi ngeri pulak rasa. Dalam banyak-banyak perempuan Layla yang boleh masuk dalam mimpi dia. Hesy! Meluat betoi aku dengan hang Layla oii…


5 comments :

  1. bila lh ko nk sadar mamat ego!meluat plak ngan rafeal...tk sabar nk tunggu saat mamat ego...ni jatuh hati kat layla...masa tu baru mu tahu...nyesal dulu lagi baik dari mu nk nyesal kendian hari...biar sampai lebam lh nk dpt sentuh hati layla...jgn gigit jari dh lh rafeal...hihihi...teremo plak...makin best...cepat smbg yer cik writer..

    ReplyDelete
    Replies
    1. harap awak masih follow cerita ni. :)

      Delete
  2. Best....
    Tak nak bace part seterusnye....

    ReplyDelete