Prolog
*Update Terbaru*
PERKAHWINAN yang dibina
di atas dasar cinta ini semakin hari semakin menyesakkan dada. Semakin hari
semakin sakit hati Fazzura di buatnya. Jam
yang tergantung di dinding dipandang. Sudah empat jam dia duduk disofa
bewarna hitam itu.Masih setia menanti bayang tubuh seorang lelaki yang bergelar
suami.
Siti Fazzura akur ini
takdir untuknya. Tidak ada rumah tangga yang tidak bergolak. Sejak kebelakangan
ini sikap suaminya Aqil, benar-benar mencabar kesabarannya. Sudah lewat-lewat
malam masih belum pulang ke rumah. Inilah rutin Aqil sejak tujuh bulan
kebelakangan ini. Semenjak mereka sekeluarga berpindah kerana Aqil dinaikkan
pangkat, suaminya itu mula berubah. Aqil selalu sahaja pulang lewat. Alasan
yang Aqil akan berikan semestinya melibatkan soal kerja. Tapi apa logiknya
kerja sampai pukul dua tiga pagi. Deruman enjin kereta diluar rumah mula
kedengaran. Fazzura bingkas bangun dari sofa yang didudukinya. Belum sempat
pintu rumah dibuka olehnya Aqil terlebih dahulu menolak pintu kayu itu dari
luar dengan kasar. Sekujur tubuh sedang berdiri terhoyong hayang. Sah, suaminya
itu mabuk lagi.
“Apa lagi yang abang
dah buat ni? Abang dah mula minum pulak!” jerit Fazzura kuat sambil menolak
tubuh suaminya itu. Sudah tidak mampu untuk dia mengawal rasa marah yang
terbuku dihati. Wajah Aqil yang kusut dipandangnya geram. Sampai hati Aqil
buatnya begini. Sampai hati Aqil lupa daratan begini. Hatinya benar-benar
terluka. Sudahlah bau arak terasa menyengat di hidungnya.
“Zurra! Kau jangan nak
kurang ajar dengan aku. Kau pergi tidur. Jangan nak membebel sekarang. Aku
tampar kau nanti.” Pertuturan Aqil meleret. Tubuhnya terhoyong hayang. Dia
menguis pipi Fazzura. Pantas Fazzura menepis. Tak rela disentuh oleh suami
dalam keadaan mabuk begini.
“Kau naik atas,” arah Aqil lagi sambil
menghalakan jari telunjukknya ke atas.
“Kenapa abang sanggup
buat Zurra dan anak-anak begini? Kenapa bang! Kenapa?” Kali ini setiap butir
bicara yang keluar dari bibirnya di sertai dengan linangan air mata. Kebahagiaan
yang dibina terasa kian musnah dalam sekelip mata. Terlalu cepat rasanya
kebahagiaan itu hilang. Kebahagiaan yang dibina tanpa restu dari orang tua.
Apakah ini karma yang selalu dinyatakan. Apakah ini balasan yang selalu
disebutkan.
Wajah Aqil dipandang
dengan linangan air mata. Aqil sudah mula bergerak menuju ke arah sofa. Inikah
dia suami yang selama ini terlalu mulia keperibadiannya. Ternyata Aqil mudah tertewas.
Tertewas dengan cara hidup di kota besar ini. Tertewas dengan nafsu duniawi
yang hanya sementara ini.
“Kenapa abang? Kenapa
mesti ada perubahan yang menyakitkan macam ni. Abang sedar tak apa yang abang
buat. Abang sedar tak tindakan abang ni akan menghancurkan semuanya yang kita
bina. Kenapa abang? Kenapa cepat benar abang jadi manusia yang lupa daratan.
Bila abang dah senang, dah berada dipuncak kejayaan yang belum pasti lagi akan
kekal. Ini yang abang syukurkan. Kenapa bang? Kenapa?” jerit Fazzura dipenghujung
bicara bersama air mata yang setia berlinang. Bukan tangisan yang dia harapkan
mengiringi perjalanan hidupnya tatkala memilih lelaki ini menjadi suami. Bukan
harta kebendaan yang dia dambakan menjadi penghubung ikatan kasih sayang.
“Abang…tergamak
abang…tergamak...”
“Zurra, ini biasa.
Biasa! Kau apa tahu? Kau tahu duduk rumah dengan kain batik kau tu. Baju
t’shirt kau tu. Huh! Kerja dapur kau. Aku bosanlah Zurra. Nak pandang kau pun
aku dah tak ada selera. Tak ada apa yang menarik bagi aku. Sudah! Aku dah
penat. Telinga aku nak sakit dengar kau membebel. Apa yang aku nak buat itu aku
punya pasal lah!” luah Aqil lagi sambil menolak perlahan tubuh Fazzura yang
berada di hadapannya itu. Lelaki itu bangun. Berdiri menentang anak matanya
hanya untuk seketika sebelum ketawa seperti orang gila. Aqil terus bergerak ke
atas dalam keadaan terhoyong hayang meninggalkannya sendirian.
Biasa?Minum arak itu
biasa bagi Aqil? Ya Allah…Fazzura mengesat air matanya perlahan. Rasanya sudah
lama dia tidak menangis. Sudah lama dia tidak berendam air mata. Sikap Aqil
membuatkan jiwanya rasa kosong serta merta.
Ya, mungkin dia sudah tidak menarik lagi pada pandangan mata Aqil. Dia
suri rumah bukan model yang harus cantik dua puluh empat jam. Bukankah dulu
Aqil sendiri yang suka dia macam ni.
Sekarang, dah berubah. Semuanya tidak lagi
menarik. Benar, bila hati dah benci tiada lagi keindahan yang dipandang.
Semuanya hanya keburukan semata-mata. Betullah apa orang selalu kata, bila dah
suka semua nampak indah. Bila dah tak suka, yang indah pun tak nampak lagi dah.Tiada
lagi usik tawa dan manja. Yang menimpa dalam hidupnya sekarang adalah derita
dan sengsara.
Bab 1
“PAPA!papa!” Jari jemari anak kecil itu
menggoncang lembut tubuh yang sedang meniarap diatas katil itu. “Papa…papa...”
panggil anak kecil itu lagi berulang kali. Aqil terasa tidurnya diganggu.
Terpisat-pisat dia membuka mata. Cahaya matahari dari tingkap terasa menerjah
ke anak mata. Dia kembali menarik kain gebar menutupi seluruh wajahnya.
“Papa...”panggil si
anak kecil itu lagi.
“Kau nak apa ni? Pergi
main jauh-jauh jangan ganggu aku boleh tak? Aku nak tidur. Papa, papa,papa, pergilah kat ibu kau tu. Tak boleh tengok aku senang sikit!” herdiknya kuat.
Perasaan marahnya membuak kerana tidurnya diganggu oleh anaknya itu. Satu
cubitan hinggap di lengan anak kecil itu lantas suara halus mulai kedengaran di
pagi yang hening itu.
“Pergi jauh-jauh. Jangan
kacau aku nak tidur.Pergi!” marah Aqil kuat sebelum menarik kembali kain gebar
itu. Dia mendengus kuat.
Tangisan Siti Aqilah
yang berusia empat tahun itu mula memecah pagi yang yang sunyi. Fazzura yang
berada di bawah segera berlari anak mendapatkan Aqilah. Hatinya sudah mula tak
keruan rasa. Aqilah tak akan menangis kalau tiada apa-apa yang berlaku.
“Aqilah, kenapa ni?”
soalnya sebaik sahaja sampai di muka pintu bilik tidur itu. Dia segera
mendapatkan anaknya yang menangis di tepi katil itu.
“Kenapa ni sayang?
Kenapa menangis ni?” soalnya sekali lagi. Tubuh Aqil yang berada di atas katil
dipandang sekilas.
“Ibu…sakit…papa…buat..”
tutur si kecil itu lagi sambil menunjukkan sakit yang di alaminya. Lengannya
kemerah-merahan.
“Hmm…Papa cubit sayang
ya? Sayang diam…syuuut…diam ya. Sikit je ni.” pujuk Fazzura sambil menggosok
lembut lengan anaknya itu. Dihembusnya perlahan ke arah lengan yang
kemerah-merahan.
“Papa letih sayang. Jangan ganggu papa. Ikut
ibu turun bawah. Kita siram pokok bunga. Pagi-pagi
macam ni banyak rama-rama cantik yang hinggap dipokok bunga. Aqilah nak tengok
tak? Jom ikut ibu. Dah la…jangan nangis. Nanti adik jaga ibu tak boleh nak buat
kerja.” Fazzura terus mendukung anaknya itu lalu dibawa keluar dari bilik yang
semakin terasa panasnya. Penghawa dingin yang terpasang seperti tidak terasa
kesejukannya. Mengenang sikap Aqil yang semakin melampau. Hatinya rawan.
“Sabarlah sayang, papa
tu penat. Sayang jangan ganggu papa ya. Papa buat sayang ya, nanti mama buat papa balik. Sayang budak
baikkan. Sayang jangan menangis. Nanti adik jaga. Susah mama nak buat kerja
kalau adik jaga nanti.” pujuk Fazzura sekali lagi sambil menunjukkan buaian
adik Aqilah. Mohd Fazmizie yang masih lena di ruang tamu itu. Mereka berdua
hanya berbeza umur tiga tahun sahaja. Aqilah sudah hampir memasuki usia empat
tahun dan Fazmizie baru menginjak masuk ke angka setahun. Sudah pandai merengek
mintak itu dan ini.
Siti Aqilah masih lagi tersedu. Tangisannya
sudah tidak sekuat tadi. Sepanjang perkahwinan dan dikurniakan Aqilah belum
pernah Aqil melakukan perbuatan macam ni. Anak jadi mangsa. Memang semakin melampau.
Dahulu sebelum dia dinaikkan pangkat dan mereka masih di Perak. Aqil tak ada
pula bersikap begini. Di dalam diri seorang lelaki yang bernama Aqil Ahmad
penuh dengan kasih sayang. Aqil seorang yang penyayang dan penuh dengan kasih
sayang. Tapi, saat ini semuanya hilang dalam sekelip mata. Kerana pangkat dan
kekayaan yang dia miliki hari ini suaminya itu menjadi manusia yang lupa
daratan. Nak berubah ke arah kebaikan tu ambil masa tapi nak berubah ke arah
kejahatan sekejap aje. Sedar-sedar dah jadi manusia lain yang dia sendiri
semakin tak kenal.
“Syukur
sayang, ini rezeki kita sekeluarga. Kejayaan abang hari ini kejayaan kita
sekeluarga.”
Masih terngiang-ngiang
kata-kata Aqil sewaktu dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai pemasaran di dalam
syarikatnya yang terletak Kuala Lumpur. Sejak itulah Aqil berubah. Mula keluar
dan balik lewat malam. Hari minggu selalu saja hilang. Mula-mula dia boleh
terima tapi lama kelamaan dia rasa keadaan tu semakin ketara dan dia perlu
bersuara.
Itulah dusta Aqil yang
terlalu nyata sekarang. Lafasan kata yang meniti di bibir Aqil tidak seiring
dengan apa yang dia lakukan dulu. Dia sudah penat untuk berperang dengan Aqil.
Kadang-kadang hanya di sebabkan benda-benda yang kecil sahaja merek bertengkar.
Sudahnya dia beralah. Memendam rasa. Entah sampai bila.
“APA yang merasuk abang
sampai sanggup cubit anak macam tu. Aqilah tu kecil lagi.Kalau marahkan Zurra
jangan sesekali nak lepaskan kepada anak pula. Anak tu tak salah apa-apa dengan
abang.” tegur Fazzura sewaktu melihat kelibat Aqil turun dari atas.
“Dia ganggu aku
tidurlah!” marah Aqil terus.
“Abang, Aqilah tu anak
kita abang. Rapatnya dia dengan abang macam mana? Lebih dari Zurra kan.
Sekarang, macam orang asing pulak abang
buat dia. Kalau dia ganggu abang tu dia rindulah nak main dengan papa dia macam
dulu-dulu.”
“Zurra, kau tahukan aku
penat. Banyak kerja aku nak buat. Aku nak tidur pun tak senang.” Aqil mencapai
surat khabar yang terletak di atas meja kaca itu. “Kau duduk rumah, bukannya
buat apa pun. Kau pun boleh main dengan dia orang.” sambungnya semula. Sofa
bewarna hitam itu menjadi pilihannya untuk duduk.
“Masalahnya Aqilah tu
nak bergurau dengan papa dia. Bukan dengan ibu ni pun.”
“Argh! banyak kerja
lagilah aku nak buat. Nak bergurau bukannya dapat duit berjuta pun.” balas Aqil
kasar. Tangannya menyelak satu persatu helaian surat khabar itu.
Fazzura geleng. Kasih
sayang adakah perlu melibatkan wang ringgit.“Banyak kerja abang? tunggang arak
tu pun salah satu kerja abang jugak ke? Orang lain hujung minggu ada jugak
duduk di rumah. Tapi, abang kerja sampai tak ada masa untuk Zurra dengan
anak-anak ke bang?” soalnya kembali. Dia duduk berhadapan dengan Aqil. Tubuh
Aqil yang berpakaian baju kemeja lengan pendek berkotak itu dipandang. Mustahil
Aqil akan duduk di rumah dengan pakaian seperti itu.
Aqil tutup akhbar yang
dibaca. Mencerlung mata Aqil memandangnya. Surat khabar yang berada di tangan
terus dibaling ke tubuhnya. Fazzura membiarkan dan tidak mengelak. Secara
zahirnya Aqil boleh buat apa sahaja. Dia tak kisah.
“Kau jangan nak kurang
ajar sangat dengan aku Zurra!” jerkah Aqil kasar. Tiada lagi bahasa kasih
sayang yang keluar dari bibir lelaki itu. Semuanya sudah tidak seindah dulu
lagi.
“Kenapa? Kenapa abang
nak marah? Kenapa abang nak naik angin? Sebab
apa yang Zurra cakap tu benda betul.” balas Fazzura lagi dengan berani.
Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua yang menyakitkan ini. Lama disimpan
rasa marahnya. Sesekali datang perasaan ketidakpuasan hatinya. Dia bukan
tunggul kayu yang tak ada perasaan. Tak cukup pengorbanan yang dia buat selama
ni. Dia berharap Aqil akan sedar salahnya sendiri. Namun, Aqil rupanya kian
hanyut. Makin dibiar makin ketara perubahan lelaki itu.
“Sebab tu lah aku bosan
duduk dalam rumah ni. Bosan! Aku duduk rumah kau membebel. Sakit telinga aku
kau tahu tak! sakit!” jerkah Aqil lalu terus bangun menuju kea rah pintu. Dia
ingin keluar rumah. Lebih bagus dia keluar dan melepak dengan kawan-kawan yang
sama sepertinya.
“Penat tak kan sampai
nak lupa anak-anak? Abang, tunggu! Zurra tak habis cakap lagi. Sampai bila nak
jadi macam ni. Sampai bila abang nak buat kami begini. Abang, bukan anak-anak
saja yang rindukan abang. Zurra abang, Zurra nak abang yang dulu. Tolonglah
abang…Zurra merayu…jangan buat Zurra dengan anak-anak macam tunggul tak ada
hati dan perasaan.” Fazzura cuba menghalang suaminya dari keluar. Tubuh itu dipeluk dari belakang. Berharap
lelaki ini akan terpujuk. Rupanya tidak.
“Kau ni kenapa hah
Zurra? Kau nak aku tampar kau ke apa? kau jangan nak halang aku macam ni. Hesy!
Aku rimas. Gelilah aku dengan kau ni.”
“Abang, apa salah Zurra
abang? Tak cukupkah layanan Zurra terhadap abang selama ni. Di mana kurangnya
Zurra, bang…”
“Cuba kau cermin diri kau tu? Tak ada apa-apa
yang menarik dah pada aku. Dengan kain batik kau! Kusut masai kau. Sakit mata
aku tengok,” gumam Aqil geram. Di matanya dia sudah tidak nampak apa lagi yang
menarik tentang Fazzura. Semuanya nampak buruk.
Fazzura tak putus asa.
Tangan Aqil dicapai. “Abang, apa yang tak kenanya pada Zurra? Zurra dah korban
seluruh hidup Zurra untuk bersama abang. Zurra buat yang terbaik untuk abang.
Hanya sebab Zurra dah tak menarik pada pada pandangan abang. Teruk sangat ke
Zurra abang? Teruk sangat ke Zurra pada pandangan abang. Zurra sedar, Zurra tak
sempurna. Zurra hanya suri rumah sepenuh masa. Semuanya Zurra lakukan atas
kehendak dari diri abang sendiri. Tolonglah, Zurra merayu jangan buat Zurra dan
anak-anak begini.” Esakan mengiringi butir bicaranya. Mengharap belas simpati
sang suami. Apa kurangnya dia?
Aqil tersenyum sinis.
Kemudian mengeluh. “Entahlah, bagi aku kau dah tak ada apa yang menarik. Bila
aku duduk rumah kau bebel-bebel. Sakit telinga aku dengan bebelan kau. Sakit
jugak telinga aku ni sebab jeritan-jeritan anak kau. Aku nak tidur pun tak
senang. Dah! Lepaskan tangan aku. Kau dah tak menarik. Tak perlu goda aku. Aku
tak hadap apa-apa dari kau.” Aqil merentap tangannya kasar.Tangisan Fazzura
membuatkan api kemarahanya kian meluap-luap.
“Sampai hati abang buat
Zurra macam ni…sampai hati…” Fazzura terus merintih di muka pintu itu. Hanya
mampu melihat Aqil pergi meninggalkannya. Tangisannya sudah tak beerti pada
sang suami yang sudah jauh berubah peribadinya. Deruman enjin kereta mula
kedengaran. Tiada guna dia menangis untuk sesuatu yang sia-sia.
Dahulu kau berjanji
menerima aku seadanya. Kau kata, adatlah suri rumah pakai kain batik. Kau kata,
kau faham beza suri rumah dengan wanita berkerjaya. Kau kata cukuplah aku
menarik hanya pada pandangan kau. Tapi sekarang semuanya berbeda. Ya Allah,
jika aku yang bersalah membuat suamiku berubah ampunkanlah dosaku Ya Allah.
Fazzura merintih. Siksa
dan sesal mula mengambil tempat. Dia berdiri memandang cermin. Tubuhnya yang
tersarung baju t’shirt dari warna biru muda beserta kain batik di tubuhnya
dipandang. Rambutnya yang bersanggul dilepaskan mengurai. Matanya sebam dek
terlalu banyak mengalirkan air mata. Benar wajahnya sudah tiada seri dek
menyimpan rasa kecewa. Sudah agak lama dia tidak memakai pakaian yang
cantik-cantik. Sudah agak lama dia tidak menyolek wajahnya. Berhias pipi merah,
maskara dan celak. Kerana apa? Aqil sendiri yang tidak suka. Tetapi di mana
kurangnya layanan dia terhadap Aqil. Makan, minum dan pakai lelaki itu semuanya
dilakukan dengan sempurna. Anak-anak diuruskannya dengan sepenuh kasih sayang.
Pernahkah Aqil peduli? Atas alasan dirinya sudah tidak menarik itukah penyebab
Aqil mula berubah. Mudahnya.
* Bakal Terbit Oktober 2014