Tuesday, July 10, 2012

Elusan Kasih Prolog & Bab 1

Prolog

*Update Terbaru* 

PERKAHWINAN yang dibina di atas dasar cinta ini semakin hari semakin menyesakkan dada. Semakin hari semakin sakit hati Fazzura di buatnya. Jam  yang tergantung di dinding dipandang. Sudah empat jam dia duduk disofa bewarna hitam itu.Masih setia menanti bayang tubuh seorang lelaki yang bergelar suami.
Siti Fazzura akur ini takdir untuknya. Tidak ada rumah tangga yang tidak bergolak. Sejak kebelakangan ini sikap suaminya Aqil, benar-benar mencabar kesabarannya. Sudah lewat-lewat malam masih belum pulang ke rumah. Inilah rutin Aqil sejak tujuh bulan kebelakangan ini. Semenjak mereka sekeluarga berpindah kerana Aqil dinaikkan pangkat, suaminya itu mula berubah. Aqil selalu sahaja pulang lewat. Alasan yang Aqil akan berikan semestinya melibatkan soal kerja. Tapi apa logiknya kerja sampai pukul dua tiga pagi. Deruman enjin kereta diluar rumah mula kedengaran. Fazzura bingkas bangun dari sofa yang didudukinya. Belum sempat pintu rumah dibuka olehnya Aqil terlebih dahulu menolak pintu kayu itu dari luar dengan kasar. Sekujur tubuh sedang berdiri terhoyong hayang. Sah, suaminya itu mabuk lagi.
“Apa lagi yang abang dah buat ni? Abang dah mula minum pulak!” jerit Fazzura kuat sambil menolak tubuh suaminya itu. Sudah tidak mampu untuk dia mengawal rasa marah yang terbuku dihati. Wajah Aqil yang kusut dipandangnya geram. Sampai hati Aqil buatnya begini. Sampai hati Aqil lupa daratan begini. Hatinya benar-benar terluka. Sudahlah bau arak terasa menyengat di hidungnya.
“Zurra! Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Kau pergi tidur. Jangan nak membebel sekarang. Aku tampar kau nanti.” Pertuturan Aqil meleret. Tubuhnya terhoyong hayang. Dia menguis pipi Fazzura. Pantas Fazzura menepis. Tak rela disentuh oleh suami dalam keadaan mabuk begini.
 “Kau naik atas,” arah Aqil lagi sambil menghalakan jari telunjukknya ke atas.
“Kenapa abang sanggup buat Zurra dan anak-anak begini? Kenapa bang! Kenapa?” Kali ini setiap butir bicara yang keluar dari bibirnya di sertai dengan linangan air mata. Kebahagiaan yang dibina terasa kian musnah dalam sekelip mata. Terlalu cepat rasanya kebahagiaan itu hilang. Kebahagiaan yang dibina tanpa restu dari orang tua. Apakah ini karma yang selalu dinyatakan. Apakah ini balasan yang selalu disebutkan.
Wajah Aqil dipandang dengan linangan air mata. Aqil sudah mula bergerak menuju ke arah sofa. Inikah dia suami yang selama ini terlalu mulia keperibadiannya. Ternyata Aqil mudah tertewas. Tertewas dengan cara hidup di kota besar ini. Tertewas dengan nafsu duniawi yang hanya sementara ini.
“Kenapa abang? Kenapa mesti ada perubahan yang menyakitkan macam ni. Abang sedar tak apa yang abang buat. Abang sedar tak tindakan abang ni akan menghancurkan semuanya yang kita bina. Kenapa abang? Kenapa cepat benar abang jadi manusia yang lupa daratan. Bila abang dah senang, dah berada dipuncak kejayaan yang belum pasti lagi akan kekal. Ini yang abang syukurkan. Kenapa bang? Kenapa?” jerit Fazzura dipenghujung bicara bersama air mata yang setia berlinang. Bukan tangisan yang dia harapkan mengiringi perjalanan hidupnya tatkala memilih lelaki ini menjadi suami. Bukan harta kebendaan yang dia dambakan menjadi penghubung ikatan kasih sayang.
“Abang…tergamak abang…tergamak...”
“Zurra, ini biasa. Biasa! Kau apa tahu? Kau tahu duduk rumah dengan kain batik kau tu. Baju t’shirt kau tu. Huh! Kerja dapur kau. Aku bosanlah Zurra. Nak pandang kau pun aku dah tak ada selera. Tak ada apa yang menarik bagi aku. Sudah! Aku dah penat. Telinga aku nak sakit dengar kau membebel. Apa yang aku nak buat itu aku punya pasal lah!” luah Aqil lagi sambil menolak perlahan tubuh Fazzura yang berada di hadapannya itu. Lelaki itu bangun. Berdiri menentang anak matanya hanya untuk seketika sebelum ketawa seperti orang gila. Aqil terus bergerak ke atas dalam keadaan terhoyong hayang meninggalkannya sendirian.
Biasa?Minum arak itu biasa bagi Aqil? Ya Allah…Fazzura mengesat air matanya perlahan. Rasanya sudah lama dia tidak menangis. Sudah lama dia tidak berendam air mata. Sikap Aqil membuatkan jiwanya rasa kosong serta merta.  Ya, mungkin dia sudah tidak menarik lagi pada pandangan mata Aqil. Dia suri rumah bukan model yang harus cantik dua puluh empat jam. Bukankah dulu Aqil  sendiri yang suka dia macam ni.
 Sekarang, dah berubah. Semuanya tidak lagi menarik. Benar, bila hati dah benci tiada lagi keindahan yang dipandang. Semuanya hanya keburukan semata-mata. Betullah apa orang selalu kata, bila dah suka semua nampak indah. Bila dah tak suka, yang indah pun tak nampak lagi dah.Tiada lagi usik tawa dan manja. Yang menimpa dalam hidupnya sekarang adalah derita dan sengsara.


Bab 1


 “PAPA!papa!” Jari jemari anak kecil itu menggoncang lembut tubuh yang sedang meniarap diatas katil itu. “Papa…papa...” panggil anak kecil itu lagi berulang kali. Aqil terasa tidurnya diganggu. Terpisat-pisat dia membuka mata. Cahaya matahari dari tingkap terasa menerjah ke anak mata. Dia kembali menarik kain gebar menutupi seluruh wajahnya.
“Papa...”panggil si anak kecil itu lagi.
“Kau nak apa ni? Pergi main jauh-jauh jangan ganggu aku boleh tak? Aku nak tidur. Papa, papa,papa, pergilah kat ibu kau tu. Tak boleh tengok aku senang sikit!” herdiknya kuat. Perasaan marahnya membuak kerana tidurnya diganggu oleh anaknya itu. Satu cubitan hinggap di lengan anak kecil itu lantas suara halus mulai kedengaran di pagi yang hening itu.
“Pergi jauh-jauh. Jangan kacau aku nak tidur.Pergi!” marah Aqil kuat sebelum menarik kembali kain gebar itu. Dia mendengus kuat.
Tangisan Siti Aqilah yang berusia empat tahun itu mula memecah pagi yang yang sunyi. Fazzura yang berada di bawah segera berlari anak mendapatkan Aqilah. Hatinya sudah mula tak keruan rasa. Aqilah tak akan menangis kalau tiada apa-apa yang berlaku.
“Aqilah, kenapa ni?” soalnya sebaik sahaja sampai di muka pintu bilik tidur itu. Dia segera mendapatkan anaknya yang menangis di tepi katil itu.
“Kenapa ni sayang? Kenapa menangis ni?” soalnya sekali lagi. Tubuh Aqil yang berada di atas katil dipandang sekilas.
“Ibu…sakit…papa…buat..” tutur si kecil itu lagi sambil menunjukkan sakit yang di alaminya. Lengannya kemerah-merahan.
“Hmm…Papa cubit sayang ya? Sayang diam…syuuut…diam ya. Sikit je ni.” pujuk Fazzura sambil menggosok lembut lengan anaknya itu. Dihembusnya perlahan ke arah lengan yang kemerah-merahan.
 “Papa letih sayang. Jangan ganggu papa. Ikut ibu turun bawah. Kita siram pokok bunga.  Pagi-pagi macam ni banyak rama-rama cantik yang hinggap dipokok bunga. Aqilah nak tengok tak? Jom ikut ibu. Dah la…jangan nangis. Nanti adik jaga ibu tak boleh nak buat kerja.” Fazzura terus mendukung anaknya itu lalu dibawa keluar dari bilik yang semakin terasa panasnya. Penghawa dingin yang terpasang seperti tidak terasa kesejukannya. Mengenang sikap Aqil yang semakin melampau. Hatinya rawan.
“Sabarlah sayang, papa tu penat. Sayang jangan ganggu papa ya. Papa buat sayang ya,  nanti mama buat papa balik. Sayang budak baikkan. Sayang jangan menangis. Nanti adik jaga. Susah mama nak buat kerja kalau adik jaga nanti.” pujuk Fazzura sekali lagi sambil menunjukkan buaian adik Aqilah. Mohd Fazmizie yang masih lena di ruang tamu itu. Mereka berdua hanya berbeza umur tiga tahun sahaja. Aqilah sudah hampir memasuki usia empat tahun dan Fazmizie baru menginjak masuk ke angka setahun. Sudah pandai merengek mintak itu dan ini.
 Siti Aqilah masih lagi tersedu. Tangisannya sudah tidak sekuat tadi. Sepanjang perkahwinan dan dikurniakan Aqilah belum pernah Aqil melakukan perbuatan macam ni. Anak jadi mangsa. Memang semakin melampau. Dahulu sebelum dia dinaikkan pangkat dan mereka masih di Perak. Aqil tak ada pula bersikap begini. Di dalam diri seorang lelaki yang bernama Aqil Ahmad penuh dengan kasih sayang. Aqil seorang yang penyayang dan penuh dengan kasih sayang. Tapi, saat ini semuanya hilang dalam sekelip mata. Kerana pangkat dan kekayaan yang dia miliki hari ini suaminya itu menjadi manusia yang lupa daratan. Nak berubah ke arah kebaikan tu ambil masa tapi nak berubah ke arah kejahatan sekejap aje. Sedar-sedar dah jadi manusia lain yang dia sendiri semakin tak kenal.

“Syukur sayang, ini rezeki kita sekeluarga. Kejayaan abang hari ini kejayaan kita sekeluarga.”

Masih terngiang-ngiang kata-kata Aqil sewaktu dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai pemasaran di dalam syarikatnya yang terletak Kuala Lumpur. Sejak itulah Aqil berubah. Mula keluar dan balik lewat malam. Hari minggu selalu saja hilang. Mula-mula dia boleh terima tapi lama kelamaan dia rasa keadaan tu semakin ketara dan dia perlu bersuara.
Itulah dusta Aqil yang terlalu nyata sekarang. Lafasan kata yang meniti di bibir Aqil tidak seiring dengan apa yang dia lakukan dulu. Dia sudah penat untuk berperang dengan Aqil. Kadang-kadang hanya di sebabkan benda-benda yang kecil sahaja merek bertengkar. Sudahnya dia beralah. Memendam rasa. Entah sampai bila.


“APA yang merasuk abang sampai sanggup cubit anak macam tu. Aqilah tu kecil lagi.Kalau marahkan Zurra jangan sesekali nak lepaskan kepada anak pula. Anak tu tak salah apa-apa dengan abang.” tegur Fazzura sewaktu melihat kelibat Aqil turun dari atas.
“Dia ganggu aku tidurlah!” marah Aqil terus.
“Abang, Aqilah tu anak kita abang. Rapatnya dia dengan abang macam mana? Lebih dari Zurra kan. Sekarang,  macam orang asing pulak abang buat dia. Kalau dia ganggu abang tu dia rindulah nak main dengan papa dia macam dulu-dulu.”
“Zurra, kau tahukan aku penat. Banyak kerja aku nak buat. Aku nak tidur pun tak senang.” Aqil mencapai surat khabar yang terletak di atas meja kaca itu. “Kau duduk rumah, bukannya buat apa pun. Kau pun boleh main dengan dia orang.” sambungnya semula. Sofa bewarna hitam itu menjadi pilihannya untuk duduk.
“Masalahnya Aqilah tu nak bergurau dengan papa dia. Bukan dengan ibu ni pun.”
“Argh! banyak kerja lagilah aku nak buat. Nak bergurau bukannya dapat duit berjuta pun.” balas Aqil kasar. Tangannya menyelak satu persatu helaian surat khabar itu.
Fazzura geleng. Kasih sayang adakah perlu melibatkan wang ringgit.“Banyak kerja abang? tunggang arak tu pun salah satu kerja abang jugak ke? Orang lain hujung minggu ada jugak duduk di rumah. Tapi, abang kerja sampai tak ada masa untuk Zurra dengan anak-anak ke bang?” soalnya kembali. Dia duduk berhadapan dengan Aqil. Tubuh Aqil yang berpakaian baju kemeja lengan pendek berkotak itu dipandang. Mustahil Aqil akan duduk di rumah dengan pakaian seperti itu.
Aqil tutup akhbar yang dibaca. Mencerlung mata Aqil memandangnya. Surat khabar yang berada di tangan terus dibaling ke tubuhnya. Fazzura membiarkan dan tidak mengelak. Secara zahirnya Aqil boleh buat apa sahaja. Dia tak kisah.
“Kau jangan nak kurang ajar sangat dengan aku Zurra!” jerkah Aqil kasar. Tiada lagi bahasa kasih sayang yang keluar dari bibir lelaki itu. Semuanya sudah tidak seindah dulu lagi.
“Kenapa? Kenapa abang nak marah? Kenapa abang nak naik angin? Sebab  apa yang Zurra cakap tu benda betul.” balas Fazzura lagi dengan berani. Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi semua yang menyakitkan ini. Lama disimpan rasa marahnya. Sesekali datang perasaan ketidakpuasan hatinya. Dia bukan tunggul kayu yang tak ada perasaan. Tak cukup pengorbanan yang dia buat selama ni. Dia berharap Aqil akan sedar salahnya sendiri. Namun, Aqil rupanya kian hanyut. Makin dibiar makin ketara perubahan lelaki itu.
“Sebab tu lah aku bosan duduk dalam rumah ni. Bosan! Aku duduk rumah kau membebel. Sakit telinga aku kau tahu tak! sakit!” jerkah Aqil lalu terus bangun menuju kea rah pintu. Dia ingin keluar rumah. Lebih bagus dia keluar dan melepak dengan kawan-kawan yang sama sepertinya.
“Penat tak kan sampai nak lupa anak-anak? Abang, tunggu! Zurra tak habis cakap lagi. Sampai bila nak jadi macam ni. Sampai bila abang nak buat kami begini. Abang, bukan anak-anak saja yang rindukan abang. Zurra abang, Zurra nak abang yang dulu. Tolonglah abang…Zurra merayu…jangan buat Zurra dengan anak-anak macam tunggul tak ada hati dan perasaan.” Fazzura cuba menghalang suaminya dari keluar.  Tubuh itu dipeluk dari belakang. Berharap lelaki ini akan terpujuk. Rupanya tidak.
“Kau ni kenapa hah Zurra? Kau nak aku tampar kau ke apa? kau jangan nak halang aku macam ni. Hesy! Aku rimas. Gelilah aku dengan kau ni.”
“Abang, apa salah Zurra abang? Tak cukupkah layanan Zurra terhadap abang selama ni. Di mana kurangnya Zurra, bang…”
 “Cuba kau cermin diri kau tu? Tak ada apa-apa yang menarik dah pada aku. Dengan kain batik kau! Kusut masai kau. Sakit mata aku tengok,” gumam Aqil geram. Di matanya dia sudah tidak nampak apa lagi yang menarik tentang Fazzura. Semuanya nampak buruk.
Fazzura tak putus asa. Tangan Aqil dicapai. “Abang, apa yang tak kenanya pada Zurra? Zurra dah korban seluruh hidup Zurra untuk bersama abang. Zurra buat yang terbaik untuk abang. Hanya sebab Zurra dah tak menarik pada pada pandangan abang. Teruk sangat ke Zurra abang? Teruk sangat ke Zurra pada pandangan abang. Zurra sedar, Zurra tak sempurna. Zurra hanya suri rumah sepenuh masa. Semuanya Zurra lakukan atas kehendak dari diri abang sendiri. Tolonglah, Zurra merayu jangan buat Zurra dan anak-anak begini.” Esakan mengiringi butir bicaranya. Mengharap belas simpati sang suami. Apa kurangnya dia?
Aqil tersenyum sinis. Kemudian mengeluh. “Entahlah, bagi aku kau dah tak ada apa yang menarik. Bila aku duduk rumah kau bebel-bebel. Sakit telinga aku dengan bebelan kau. Sakit jugak telinga aku ni sebab jeritan-jeritan anak kau. Aku nak tidur pun tak senang. Dah! Lepaskan tangan aku. Kau dah tak menarik. Tak perlu goda aku. Aku tak hadap apa-apa dari kau.” Aqil merentap tangannya kasar.Tangisan Fazzura membuatkan api kemarahanya kian meluap-luap.
“Sampai hati abang buat Zurra macam ni…sampai hati…” Fazzura terus merintih di muka pintu itu. Hanya mampu melihat Aqil pergi meninggalkannya. Tangisannya sudah tak beerti pada sang suami yang sudah jauh berubah peribadinya. Deruman enjin kereta mula kedengaran. Tiada guna dia menangis untuk sesuatu yang sia-sia.
Dahulu kau berjanji menerima aku seadanya. Kau kata, adatlah suri rumah pakai kain batik. Kau kata, kau faham beza suri rumah dengan wanita berkerjaya. Kau kata cukuplah aku menarik hanya pada pandangan kau. Tapi sekarang semuanya berbeda. Ya Allah, jika aku yang bersalah membuat suamiku berubah ampunkanlah dosaku Ya Allah.
Fazzura merintih. Siksa dan sesal mula mengambil tempat. Dia berdiri memandang cermin. Tubuhnya yang tersarung baju t’shirt dari warna biru muda beserta kain batik di tubuhnya dipandang. Rambutnya yang bersanggul dilepaskan mengurai. Matanya sebam dek terlalu banyak mengalirkan air mata. Benar wajahnya sudah tiada seri dek menyimpan rasa kecewa. Sudah agak lama dia tidak memakai pakaian yang cantik-cantik. Sudah agak lama dia tidak menyolek wajahnya. Berhias pipi merah, maskara dan celak. Kerana apa? Aqil sendiri yang tidak suka. Tetapi di mana kurangnya layanan dia terhadap Aqil.  Makan, minum dan pakai lelaki itu semuanya dilakukan dengan sempurna. Anak-anak diuruskannya dengan sepenuh kasih sayang. Pernahkah Aqil peduli? Atas alasan dirinya sudah tidak menarik itukah penyebab Aqil mula berubah. Mudahnya.

* Bakal Terbit Oktober 2014



12 comments :

  1. Kadang2 tuhan naikkan pangkat atau berikan kekayaan untuk menguji hambanya samada pandai bersyukur di atas nikmat yg diberi...tapi aqil awal2 lagi sudah tewas.
    Mungkin ada hikmah disebalik apa yg berlaku.
    Pertemuan fazzura dgn riyadh mungkin akan merubah kehidupan fazzura dan anak2nya.
    Menarik citer ni akak suka.

    ~kak min~

    ReplyDelete
  2. Permulaan yg baik..tak sabar nk baca bab seterusnya...

    ReplyDelete
  3. adakah heronya riyadh n heroinnya fazzura? klu ya, i loikeeeee

    ReplyDelete
  4. intro yg menarik...... moga terus berkarya...

    ReplyDelete