Friday, May 3, 2013

Elusan Kasih - Bab 4


RIYADH duduk di Taman Pullman Putrajaya sambil memerhatikan anak-anak kecil itu bermain bola yang dibelinya tadi dengan gembira. Raut wajah mereka jelas terpampang kegembiraan. Seminggu yang lalu sewaktu dia bertemu dengan mereka berdua wajah Fazmizie pucat. Demam panas yang dihidapinya membuatkan dia benar-benar tak berdaya. Tapi kuasa Allah S.W.T. Anak kecil ini begitu cepat sembuh dan hari ini sudah boleh bergerak bebas. Walaupun pergerakannya masih terbatas.
Kata Fazzura sewaktu dia mengambil mereka tadi, Fazmizie baru sahaja boleh berjalan. Lebih kurang sebulan macam tu. Ya Allah, comel sangat. Bilakah waktunya dia akan memiliki semua ini sendiri. Memandang anak-anak kecil ini hatinya bagaikan disiram gerimis. Sejuk terasa. Terlupa seketika dia pada Annis dan juga pada kerja yang bertimbun-timbun di pejabat.
Pada mulanya tadi Fazzura agak keberatan untuk melepaskan Fazmizie bersamanya. Budak kecil biasalah. Takut meragam pula nanti. Tapi, tak sanggup rasanya dia nak bawa salah seorang sahaja. Jadi dia putuskan agar Fazzura sediakan susu dan lampin untuk Fazmizie. Dia boleh melakukan. Anak Kak Ruzilah dan abang Ngah pun dia yang selalu sediakan semuanya. So, tak menjadi masalah langsung buatnya. Tapi sekarang anak saudaranya semua dah besar-besar. Itu yang sibuk nak jaga anak orang pula.
Uncle, uncle, sambut bola ni.” Suara anak kecil itu menjerit halus sambil membaling bola bewarna biru itu ke arahnya. Riyadh senyum sambil menyambut bola yang itu. Anak kecil itu terus bergerak menghampirinya. Pantas pipi putih gebu Aqilah dicubit perlahan.
“Comel betul. Geram uncle tau.” ujar  sebelum bangun untuk  mendapatkan Fazmizie yang mula berjalan jauh darinya. Baru boleh berjalan mulalah dia. Dah tak nak orang pegang.
 “Sini sayang, jangan main jauh-jauh, nanti kang ibu marah uncle.” terus didukungnya Fazmizie. Merengek Fazmizie sebab tak mahu didukung. Dia kemudiannya melabuhkan duduknya di bangku tadi sambil meriba Fazmizie. Aqilah pula setia duduk di sebelahnya.
Uncle lepas ni bawak Aqilah dan adik datang sini lagi ya.”
“Yalah sayang, kalau ibu dan papa korang berdua izinkan uncle bawak lagi datang sini.”
Uncle ada anak macam kita orang tak?” soal Aqilah lagi. Celotehnya seperti orang dewasa. Nak tergelak Riyadh dengan telatah Aqilah itu.
Uncle kahwin pun belum sayang, macam mana nak ada anak.” ujarnya semula. Tubuh Aqilah yang berada di sisinya dipeluk mesra. Fazmizie yang berada di atas ribaannya merengek manja nak bergerak ke sana sini.
“Kahwin tu apa uncle?” soal Aqilah lagi.
“Nanti bila sayang besar, sayang akan tahulah. Sekarang sayang kecil lagi.”jawab Riyadh Satu ciuman hinggap di dahi Aqilah dan Fazmizie. Setiap kali memandang wajah mereka ini hatinya rasa tenang yang sukar untuk di gambarkan dengan kata-kata. Pelikkan, macam manalah ada orang yang sanggup buang anak merata-rata.
Uncle jomlah kita main bola tu…”
“Aqilah suka main bola ya? Tapi bola ni sesuai untuk budak-budak lelaki je. Macam adik ni. Lelaki.” terang Riyadh.
“Tapi Aqilah suka.”
 Riyadh gelak. “Jomlah kita pergi makan ice- cream. Tengok adik, dia dah merengek-rengek. Aloo..,sayang, kenapa ni?nak jalan erk…uncle dukung la.” pujuk .
“Adik nak jalan macam kakak la tu…”
“Kakak dah besar. Tahun depan dah boleh pergi sekolah. Adik baru boleh berjalan. Nanti lambat. Uncle dukung cepat sikit. Nanti kita boleh makan ice-cream.”
“Yee!” Aqilah berlari ke depan.
“Jangan lari laju sangat tu. Nanti jatuh.” Riyadh sedikit terjerit.
Uncle belanja ice- cream ya sayang. Lepas tu kita boleh pulang. Nanti kalau lambat ibu dan papa korang marahkan uncle pula. Takut jugak uncle ni bawak anak orang macam anak sendiri.”
“Papa tak marah uncle. Papa selalu marah ibu aje.”
“Hesy!sayang, tak baik cakap macam tu. Mana sayang tahu papa marahkan ibu ni. Tak baik cakap amcm tu.”
 Mereka menuju ke arah penjual ice-cream yang berada di kawasan berhampiran. Sebelah tangan lagi mendukung Fazmizie. Budak-budak selalunya apa yang dia orang nampak yang itulah dia orang cerita. Barangkali betul apa yang Aqilah cakap tapi tak bolehlah dia nak mengiyakan apa yang budak sekecil Aqilah ni cakap.
“Aqilah selalu nampak papa pukul ibu.” Cerita Aqilah tanpa berselindung. Manalah budak ni tahu untuk menipu apa-apa. Dia hanya mampu senyum sebelum memikirkan cara yang terbaik untuk terangkan kepada Aqilah.
“Sayang, tak baik cakap begitu. Papa bergurau je tu.” ujarnya pula. Dari awal dia berjumpa dengan Fazzura dan anak-anak kecil ini pun dia sudah mula rasa ada sesuatu. Tak pernah sekalipun dia nampak bapa budak-budak ini. Waktu ambil di rumah tadi pun tak ada. Fazzura pun seringkali mengelak bila di tanya tentang suaminya. Tapi kalau sampai pukul memukul ini dah memang kes berat.
“Sedap tak ice-cream tu…ermm…comot habis bibir dia. Meh, sini uncle tolong lapkan.” Ice- cream Conneto dari perisa chocolate itu memenuhi bibir kecil itu.
Yummy...dap...” ujar Aqilah.
 “Kalau sedap nanti uncle belanja lagi.”
“Yeeeaa…uncle baik. Uncle baikkan adikkan.”
“Aa…adik tu nak berjalan lagi tu. Sini sayang habiskan ice- cream ni dulu.”panggilnya pula. Fazmizie mula nak berjalan. Pantang dia lepas. Ya Allah seronok sangat tengok kerenah budak-budak ni. Tak terasa waktu berlalu dengan cepat.
“Terima kasih je sayang. Kiss la uncle kat sini.” Riyadh tunjuk pipi.
Serentak dengan itu Aqilah mencium pipinya. Habis sisa-sisa ice-cream melekat di pipinya. Aqilah ketawa riang melihatnya. “Oo…dia comotkan uncle. Ermm…” Riyadh pura-pura cubit pipi si kecil itu. Mereka sama-sama ketawa sebelum  bangun dan mengambil Fazmizie yang mula sudah bergerak jauh. Dia kembali semula ke arah Aqilah. Sapu tangan yang berada di dalam poket seluarnya diambil lalu dilapkan ke bibir kecil itu.
“Lepas ni kalau sayang nak makan ice-cream bagitau uncle. Uncle boleh belikan banyak untuk Aqilah dengan adik. Adik nak tak? Suka tak?”
Nanak..cremm…”
Riyadh ketawa besar. “Adik nanak cremm…ermm….nanti uncle beli lagi.” ujarnya tertawa. Proses pembesaran anak-anak yang terlalu berharga untuk dilepaskan. Apatah lagi bila si kecil ini baru boleh bertutur dua tiga patah perkataan.
 Dia mengerling jam di tangan yang sudah menunjukkan ke angka enam petang. Sudah  tiba masanya untuk dia memulangkan kembali anak-anak kecil ini kepada ibu dan bapa mereka. Argh!terlalu cepat masa berlalu sehingga tak terasa waktu yang berlalu.
Aqilah diam tak menyoal apa-apa lagi. Habis comot sana sini. Sekali-kali dengan dia comot. Tak kisahlah, yang penting setiap masa yang di lalui harus di isi dengan sebaiknya.
Lebih kurang empat puluh minit perjalanan mereka bertiga sampai di rumah banglo dua tingkat itu dia segera keluar dan membuka pintu di sebelah penumpang. Aqilah segera diturunkan. Kemudian dia segera mendapatkan Fazmizie yang sedang tidur di tempat duduk belakang. Nyenyak benar dia tidur. Sisa ice-cream masih melekat di bibir comelnya.  Hendak dikejutkan tidak sampai hati pula. Jadi dia putuskan untuk mendukung sahaja Fazmizie. Tetapi hatinya tak sedap rasa tatkala telinganya menangkap suara riuh rendah di dalam banglo dua tingkat itu. Dia  melangkah masuk ke garaj utama. Sebuah kereta Toyota Camry juga terparkir di belakang proton wira milik Fazzura barangkali.
“Suara siapa tu?”soalnya  kepada Aqilah.
Uncle tu suara papa.” jawab si comel itu.
“Oh!papa marah uncle bawa Aqilah dengan adik Mizi tak?”
“Papa memang suka marah. Aqilah selalu kena marah dengan papa.”
“Papa gurau je tu. Dah, jom cepat. Nanti ibu bising pula.”
Sebaik sahaja kakinya sampai di hadapan muka pintu matanya jelas dihidangkan dengan sesuatu yang benar-benar membuatkan dirinya terkejut besar. Tidak langsung menduga bahawa situasi sebegini yang akan menjadi tontonannya di senja begini.
“Ibu!” jerit Aqilah kuat sebelum berlari mendapatkan Fazzura yang sedang terduduk di lantai sambil memegang kepalanya yang jelas kelihatan darah merah. Ya Allah Ya Tuhanku. ujian apakah ini yang sedang kau perlihatkan kepadaku? Riyadh terpana. Lelaki itu memandangnya tajam. Mata mereka bertentang untuk seketika.
“Oh! sekarang dah ada jantan. Siap boleh bawa anak keluar lagi. Patutlah makin lama kau makin tak hairan dengan aku. Hey! jantan. Kalau ya pun kau kemaruk sangat hendakkan pompuan ni. Tunggulah aku lepaskan dia dulu. Sial!” jerkah Aqil kuat. Aqilah sudah menangis di sisi Fazzura. Fazmizie yang tadinya hanyut di buai lena turut sama terjaga mendengarkan pekikan kuat itu. Serentak itu rengekkan halusnya mula kedengaran.
“Bertenang Encik. Jangan nak tuduh melulu.” balas Riyadh tenang sambil memujuk lembut Fazmizie. Ternyata pujukannya gagal bila si kecil masih terkejut dan ingin menangis.
Fazzura pantas bangun untuk mendapatkan Fazmizie didukungan Riyadh. Tapi tindakannya pantas dihalang oleh Aqil. Rambutnya ditarik dengan kasar. Situasi yang  langsung tak pernah Riyadh fikirkan akan terjadi di dalam hidupnya.
“Kau nak sangatkan pergi kepada jantan ni? Nak sangatkan?” soal Aqil bengis.
“Abang…lepaskan saya...lepaskan…” Fazzura meronta minta dilepaskan.
“Lepaskan isteri kau. Bukan macam tu cara nak layan isteri. Aku pun tak nak main kasar dengan kau bro! Kau sedar tak yang kau buat tu siapa? Isteri kau? Kau dah gila ke apa?” tukas Riyadh geram. Dah aku cakap baik-baik nak main kasar. Bentak hatinya pula.
“Sabar sayang, uncle akan selamatkan ibu…” bisiknya perlahan.
Dengan kekuatan yang tidak seberapa Fazzura meronta. “Lepaskan saya, Aqil! Lepaskan saya!” pintanya bersungguh-sungguh.
“Okey! Baik, aku akan lepaskan kau pompuan. Pompuan tak kenang budi. Kau nak aku ceraikan kau? Berapa kau nak? satu?dua? tiga?”
Pang!
Sekali lagi tangan itu hinggap dipipinya. Fazzura  terduduk lemah. Riyadh pantas berlari masuk ke dalam rumah. Fazmizie diletakkan di sebelah Fazzura. Tak sanggup rasanya bila melihat perempuan seperti Fazzura dikasari begitu. Apatah lagi perempuan itu adalah ibu kepada kanak-kanak ini. Kanak-kanak yang saban waktu kian beraja di hati kecilnya. Kenapa tegar benar lelaki ini. Lelaki jenis apa macam ni main kasar dengan perempuan yang dah melahirkan anak-anaknya.
“Abang…apa yang awak buat ni?” suara Fazzura bergetar bersama tangisannya. Anak-anaknya dipeluk erat. Bimbang tindakan Aqil yang di luar jangka.
“Kurang ajar punya jantan!” jerkah Aqil sekali lagi. Lagaknya tak ubah seperti serigala yang kelaparan. Ingin menelan mangsa bila-bila masa sahaja.
“Aku yang kurang ajar atau kau? Macam ini cara kau layan isteri dan anak-anak kau? Agaknya kau memang nak tengok anak dan isteri kau mati. Baru kau puas hati. Hey! kalau kau rasa jantan sangat. Lawan kau aku! bukan anak dan isteri kau yang lemah ni.” 
Kali ini dia betul-betul berdiri di hadapan Aqil. Dia dah tak peduli lagi nak menyibuk dalam hal rumah tangga orang kalau dah begini cara lelaki ini memperlakukan si isteri.  Apa punca dia sanggup buat anak dan isterinya begini.
 “Kalau ya pun kau marahkan isteri kau sebab benarkan aku ambil anak-anak kau. Kau pukul aku, bro!. Bukan dia!”
 “Huh! bagus. Patutlah sekarang berani sangat sebab ada jantan ni yang nak bela kau kan betina! Kau nak ajar aku pula?”
“Aku rasa kau dah salah faham. Aku rasa aku cuma ambil anak kau dan bawa diaorang jalan-jalan. Itupun sebab aku belum ada anak.” balas Riyadh cuba berlagak tenang. Kalau dia yang jadi punca sampai nak pukul-pukul begini rela dia mintak ampun. Kalau nak suruh dia melutut pun dia sanggup.
“Kalau aku punca kau nak mengamuk macam ni. Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak kacau anak-anak kau.”  Dia cuba untuk meredakan suasana yang semakin tegang itu.
“Kalau kau nak sangat dia aku boleh lepaskan dia. Lagipun aku dah bosan hidup dengan dia! Perempuan kampung!” ujar Aqil sombong. Begitu jelas keangkuhannya. Benar-benar lupa asal usulnya bermula dari mana.
“Abang! Apa awak cakapkan ni…” Fazzura separuh merayu.
“Apa aku cakap? Kau pekak. Kau dengar sini baik-baik Siti Fazzura Binti Faisal aku ceraikan kau dengan talak satu. Mulai hari ni kau dan aku dah tak ada apa-apa hubungan lagi. Kau boleh berambus keluar dari rumah aku!”
“Abang!”
“Astagafirullahalazim…” Riyadh  geleng kepala.
“Berambus! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Bawak sekali anak-anak kau pergi.”
“Aqil!!!!!!!”jeritan Fazzura memenuhi segenap ruang. Senja itu menjadi saksi berakhirnya sebuah ikatan yang suci. Ini bukan kisah dongeng tapi sebuah kenyataan yang benar-benar menggerikan di dalam hidup Fazzura. Tegar benar Aqil buatnya begini. Begini akhirnya kisah cinta mereka. Begini balasan yang Aqil berikan setelah dia korbankan segala-galanya. Bagaimana dia mampu teruskan hidup dengan keadaan diri yang tak punya apa-apa. Selama ini dia terlalu bergantung kepada Aqil seratus peratus. Fazzura terus meraung di situ tanpa menghiraukan anak-anaknya lagi.
Riyadh bungkam. Pandangan matanya jatuh ke wajah Aqilah dan Fazmizie yang menangis di sisi Fazzura. Hatinya terasa dicucuk cerucuk yang tajam. Tangisan anak-anak kecil itu membuatkan dia sakit. Sungguh!dia tidak sanggup melihat tangisan mereka. Dia tidak sanggup melihat bebola mata si kecil bertakung air jernih seolah-olah merayu kepada si bapa agar jangan melakukan mereka seperti pakaian yang boleh dibuang bila-bila masa sahaja. Bahkan merayu kepada si ibu agar hentikan tangisan yang menyiksa.
“Kau boleh berambus keluar dari rumah aku!” tengking Aqil kasar sebelum berlalu menuju ke tingkat atas. Tangisan Fazzura kian kuat. Bersilih ganti dengan tangisan Aqilah dan Fazmizie. Dia jatuh kasihan. Dia harus membantu Fazzura dengan sedaya upaya yang termampu olehnya. Dia tak boleh biarkan wanita ini terus begini. Ini bukan penghujung sebuah kehidupan. Fazzura patut tahu akan itu.


FAZZURA masih teresak-esak menangis di dalam kereta. Fazmizie tertidur di ribaan setelah puas Riyadh memujuk mereka tadi. Manakala Aqilah tertidur di hadapan. Riyadh serba salah. Tidak tahu untuk memulakan bicara dari mana.  Dia tidak pandai memujuk pun.
“Fazzura, saya minta maaf. Saya salah. Sebab saya suami awak ceraikan awak. Saya tak sepatutnya bawa anak awak keluar. Maafkan saya Zurra.” tutur  membuka bicara setelah lama berdiam. Dari cermin pandang belakang dia mengerling memandang wajah Fazzura yang basah dek air mata.
“Awak tak salah. Dia yang ada perempuan lain. Awak tahu setiap malam dia pulang dengan bau-bau arak. Saya sudah lama syak dia ada perempuan lain. Selepas awak mengambil Aqilah dan Mizi pagi tadi seorang perempuan datang dan memberitahu saya tentang hubungan sulit dia dengan suami saya. Bila saya bertanya  dia menenking saya. Dia pukul saya. Sampailah awak datang. Awak penyelamat saya. Awak tak salah apa-apa…” luah Fazzura dengan nada yang tersekat-sekat. Dia meraup muka bersama tangis sendu yang masih bersisa. Dahinya yang tercedera semakin terasa kebas.
 “Dah lama saya syak. Tapi dia tak pernah nak mengaku. Waktu Fazmizie sakit tempoh hari wanita yang sama jawab panggilan saya. Sa..saya malu dengan awak…dia curang dengan saya. Sebab saya ni dah tak menarik lagi pada pandangan matanya.” ujar Fazzura hiba. Riyadh kerling pada cermin pandang belakang.
“Tapi, kalau bukan sebab saya bawa anak awak keluar tentu keadaan tak akan jadi rumit begini. Awak tak perlu malu dengan saya, Zurra. Saya ikhlas tolong awak. Ikhlas demi budak-budak ni.”
“Kesetiaan saya selama ini dibalas dengan tuba. Sudah lama rumah tangga kami bergolak. Dia lupa daratan bila berada tinggi di atas sana. Dia lalai dengan kejayaan yang di milikinya. Dia kejam! Terlalu kejam!” Tangisannya kembali merembes dengan laju.
Riaydh hanya mendengar.
“Dia semakin berubah. Setiap hari saya bertekak dengannya.Ada waktunya saya berdiam kerana tidak mahu memanjangkan persengketaan. Saya mengalah dan mengikut sahaja tingkahnya. Tapi, semua itu langsung tidak menyedarkan dia. Dia semakin jauh. Semakin hanyut dengan dunia ciptaannya. Anak-anak di abaikan. Yang dia tahu hanya menaburkan wang kepada kami sedangkan apa yang kami dahagakan adalah sebuah kasih sayang. Kasih sayang yang telah hilang.” Tangis Fazzura lagi. Hatinya benar-benar remuk dengan sikap si suami. Pelindung yang di harap sehidup semati terlalu tegar melukai tanpa sedikitpun belas simpati.
“Zurra, saya faham penderitaan awak. Sapulah air mata tu. Awak mesti kuat. Kuat demi anak-anak awak. You must strunggle for it be strong!”
 “Tapi...saya dah menyusahkan awak. ”
“Jangan fikirkan begitu Fazzura. Lepas kita pergi klinik saya akan hantar awak di rumah saya. Awak boleh tinggal di situ dengan anak-anak awak. Lagipun saya dah lama tak balik ke rumah tu. Banyak tinggal dengan family. Awak anak beranak duduklah situ.”
“Tapi saya tak ada kerja. Saya tak punya apa-apa. Saya berkahwin dengan Aqil walaupun keluarga menentang keras perkahwinan kami dalu. Saya menyesal. Menyesal. Banyak perkara yang saya korbankan. Ini balasan dia. Saya tak punya apa-apa. Saya tak ada sesiapa pun.” Fazzura sekali lagi tenggelam di dalam emosi yang tidak stabil. Merenung dan meratapi diri yang tak punya apa-apa.
“Zurra, pandanglah anak-anak awak. Awak mesti kuat. Awak ada anak Zurra. Janganlah awak risau soal wang. Hari ini hari awak. Esok lusa mungkin hari saya. Bukan pengakhiran hidup awak, Zurra. Manalah tahu semua ini permulaan kebahagiaan awak yang hakiki.”
“Ini mungkin hukuman Tuhan pada saya. Saya degil. Tak mahu dengar nasihat orang di sekeliling saya. Kerana cinta saya bekorban tapi ini balasan yang saya terima. Saya silap…saya derhaka. Saya degil!” tangisnya untuk sekian kali.
“Zurra, semua yang berlaku tentu ada hikmahnya. Tak perlulah awak nak rasa menyesal begitu. Benda dah terjadi. Tak ada yang salah dengan janjiNya. Tak ada yang meleset dengan ketetapanNya. Tiada juga yang keliru dengan segala iradatNya. Semuanya dah tertulis.  Awak mesti kuat.”
Dalam keadaan begini bukan punca masalah yang harus di persoalkan lagi. Tapi bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kes penceraian Fazzura perlu didaftarkan di mahkamah syariah. Kalau ikutkan hatinya tadi mahu sahaja dia memukul Aqil sepuas-puas hati. Tidak nampakkah Aqil anak-anaknya yang masih kecil. Terlalu mudah bibirnya melafaz talak. Tetapi dia tahu itu bukan caranya. Itu hanya menambah kesusahan kepada dirinya sendiri. Dia berusaha tenang dengan masalah yang dia sudah terkait sama.
Selesai sahaja mendapatkan rawatan di klinik, Riyadh terus membawa Fazzura dan anak-anakanya menujuk ke kondominium yang terletak di Titiwangsa miliknya. Dahi Fazzura dibalut dengan kain anduh. Sewaktu di klinik tadi nurse tu dah pandang dia lain macam. Macam kes dera isteri pulak! Bukan dialah orang lain!
“Zurra, anak awak guna susu apa ya? Lampin diaorang? Saya nak singgah beli barang dia orang kejap.”
“Awak tak perlu susah-susah. Apa yang ada di rumah awak sudah cukup untuk anak-anak saya.”
“Zurra, Mizi tu baru je baik dari sakit. Awak nak bagi dia makan apa? Biskut kering?” soal Riyadh tidak berpuas hati dengan jawapan yang Fazzura berikan. Apatah lagi bila melihat rengekkan dari Fazmizie. Fazzura ada perkara yang dia ambil mudah.
 “Jangan awak nak hukum diaorang pula. Anak-anak awak tak bersalah.” sambungnya lagi.
Katalah apa sahaja. Tapi yang pasti seboleh-bolehnya Fazzura tidak mahu terlalu menyusahkan lelaki itu. Tidak mahu menyusahkan sesiapa pun. Itu sahaja.
“Zurra, cepatlah bagitau saya. Susu dan pampers dari jenama apa yang Mizi dan Aqilah guna?” soal Riyadh  sambil menoleh ke belakang memandang Fazzura. Kepala  Fazmizie diusap perlahan.
“Kenapa ni sayang? Merengek je? Sakit ke?Jom ikut uncle pergi kedai…”  Riyadh menyuakan tangannya untuk mengambil Fazmizie. Pantas sahaja tubuh itu bertukar tangan. Elusan demi elusan membuatkan anak kecil itu berhenti merengek akhirnya. Seperti dapat merasakan tangan si gagah perkasa itu adalah bapanya. Bahkan dapat merasa elusan kasih yang tersisip buatnya. Bertubi-tubi ciuman jatuh ke seluruh muka Fazmizie.
“Jom, ikut uncle beli barang. Ibu dengan Aqilah tunggu sini ya…” ujar Riyadh sebelum membuka pintu kereta.
“Err...susu dumex dugro 1-3 tahun.”
“Aqilah punya susu?”
“Sama tapi untuk umur 3-6 tahun ke atas.”
“Lampin?”
“Drypers saiz S dan M.”
“Okey, awak tunggu sini. Jangan keluar ke mana-mana. Tunggu sampai saya datang. Kalau awak letih nak tidur dulu tidurlah. Nanti saya kejutkan. Aqilah tolong teman ibu ya.” pesan Riyadh bersungguh-sungguh sebelum keluar. Di bawanya Fazmizie bersamanya. Sungguh terharu Fazzura di buatnya. Terbayang-bayang di minda apa yang pernah Aqil lakukan dahulu. Semuanya indah. Langsung tiada cacat cela. Kasih sayang yang menjadi pengikat kebahagiaan mereka selama ini akhirnya musnah angkara nafsu dan harta duniawi semata-mata. Kini dia sendiri menanggung sengsara bersama dua orang cahaya mata. Siksa Ya Allah…siksa.
Sebatang kara Aqil menghalaunya keluar senja tadi. Sungguh dia terasa begitu hina. Begitu kejam Aqil tanpa memikirkan sedikitpun tentang anak-anaknya. Mujur ada Riyadh. Lelaki itu penyelamatnya. Penyelamat segala-galanya.
Aku tidak mengharapkan semua ini akan berakhir begini. Sungguh! Aku begitu merasa kesakitannya. Bentaknya hatinya pula tiba-tiba. Lagi sekali air mata merembes laju di pipinya. Tak mudah untuk di terima semua ini dengan rela hati.

JAM sudah menunjukkan ke angka sebelas malam sewaktu mereka sampai kondominium itu. Riyadh segera meminta izin daripada Fazzura untuk membersihkan Fazmizie dan Aqilah. Fazzura tidak membantah. Malah mengangguk pun tidak.  Riyadh faham keadaan Fazzura waktu ini yang masih lagi larut dalam emosinya. Sesiapa pun akan jadi sepertinya. Sudahlah tak punya apa-apa. Diceraikan dan dihalau sehelai sepinggang. Kalaulah dia yang berada di tempat Fazzura pun tentu dah naik gila agaknya.
Selesai memandikan mereka berdua dia segera mengambil barang-barang yang dibelinya tadi. Satu persatu barang-barang yang dibelinya tadi dikeluarkan. Dari botol susu Fazmizie dan Aqilah sehinggalah kepada lampin pakai buang dia orang di keluarkannya. Pandangannya jatuh pula ke tubuh Fazzura yang masih lagi duduk di sofa merah itu.
“Zurra, bersihlah diri awak. Dah lewat sangat ni.” ujarnya sambil tangan terkial-kial membuka tudung susu yang dibelinya tadi.
“Riyadh tak perlulah awak nak susah-susah. Saya boleh bancuhkan susu dia orang. Awak pulanglah…” balas Fazzura tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
“Okey, saya pakaikan dia orang pampers. Saya tunggu awak hantar susu kat dia orang. Sepuluh minit je masa saya bagi pada awak. Air saya dah panaskan.” balas Riyadh sambil mengusung lampin pakai buang dari jenama Drypers itu menuju kea rah bilik.
“Awak jangan lambat. Saya nak tidurkan dia orang.” Kali ini nada suaranya ditinggikan. Berharap agar Fazzura faham yang dia sendiri pun mahu segera cepat pulang ke rumah. Sudah sehari suntuk dia berada di luar. Panggilan dari Annis pun tak sempat nak dijawabnya. Ah! Lantaklah pasal Annis tu. Ajak kahwin tak nak! Guman hatinya pula. Masih marah dengan kejadian yang berlaku semalam.
.Dia segera memakaikan lampin kepada kedua-duanya. Baju yang dibelinya tadi turut disarungkan ke tubuh mereka. Aci rembat je tadi tu sebab nak cepat. Nasiblah muat. Tidak lama kemudian Fazzura sampai membawa dua botol susu.  Riyadh tarik senyum lebar.
“Awak lewat satu minit.”
“Saya menyusahkan awak,”
“Taklah.” balasnya selamba sambil menyusukan Fazmizie dan Aqilah. Seronok melihat bebola mata si kecil itu kembali bersinar-sinar. Ditepuknya perlahan-lahan agar mereka berdua lebih selesa. Mereka berdua seoalah-olah faham penderitaan yang ditanggung si ibu. Walaupun adakalanya mereka meragam namun senang untuk dipujuk.
Fazzura hanya menjadi pemerhati. Terbayang-bayang di mindanya wajah Aqil yang yang sedang tersenyum ke arahnya sambil menyusukan anak-anak mereka. Tanpa sedar titisan air mata merembes lagi di pipi. Semua yang berlaku umpama mimpi dalam mimpi.
Dia tidak pasti apa yang harus dia lakukan sekarang. Pulang ke kampung? Atau terus di sini tanpa ada sesiapa. Apa yang dia ada sebagai bekalan untuk menempuh hari esok. Dia hanya ada dua orang zuriat yang perlu dipelihara sebaiknya. Yang perlu diberi makan dan pakai.
“Zurra, awak mesti tabah. Jadikan apa yang berlaku ni pengajaran kepada awak. Saya boleh bantu awak dan anak-anak awak. Sungguh, sedikitpun saya tak mengharapkan apa-apa balasan dari awak. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin dengan penceraian ini awak akan belajar sesuatu yang baru. Bukankah setiap takdir Tuhan adalah yang terindah. Awak reda. InsyaAllah ada jalan untuk awak bahagia.”
Dia sendiri pun kadang-kadang rasa tak layak nak bagi nasihat begitu. Tapi, dia jenis yang tak boleh nak tengok air mata perempuan ni menitis. Terus hati jadi lebur. Tengok budak-budak dua orang tadi menangis pun dia dah mula rasa resah gelisah. Ini belum lagi anak sendiri.
“Saya tak kuat untuk lalui semua ni sendiri.”
“Awak ada saya.”
Buat seketika mata mereka saling berpandangan diantara satu sama lain.
“Err..jangan salah faham. Maksud saya awak jangan risau. Saya ada. Saya boleh bantu awak setakat mana yang termampu. Sayakan penyelamat. Anggaplah saya ni kawan awak atau saudara mara awak.”
“Orang luar pula yang tolong saya. Saya malu dengan awak, Riyadh. Malu sangat-sangat.”
“Malu untuk apa?Kadang-kadang ada sebab kenapa Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita. Macam Allah temukan saya dengan awak dan anak-anak awak. Semuanya bersebab Zurra. Awak pergilah bersihkan diri awak tu. Berdoalah pada Tuhan. Dia maha mendengar segalanya.”
Riyadh turun dari katil perlahan-lahan. Bimbang kedua-duanya yang sudah terlena akan terjaga kembali.
“Mereka budak baik. Senang bela. Macam faham apa yang sedang jadi dekat ibu diorang sekarang. Biar hilang harta asalkan jangan hilang anak-anak ni. Anak-anak ni lebih bernilai dalam hidup awak, Zurra. Jaga diorang baik-baik. Saya nak gerak dulu.” Tidak mahu berlama-lama di sini. Sungguh! Dia rasa sangat tidak manis.
“Terima kasih.” ucap Fazzura sewaktu Riyadh melintas di hadapannya. Suaranya mendatar dan sedikit bergetar.
Riyadh  hanya menggangguk dan mengangkat isyarat tangan sebelum berlalu menuju ke muka pintu. Tombol pintu ditarik. Dia keluar dari rumah itu. “Ingat pesan saya. Jaga diorang baik-baik. Awak pun…pergilah rehat. Kalau awak perlukan apa-apa awak tahukan macam mana nak cari saya.” Fazzura angguk. Riyadh terus tutup pintu.
            Hilang sahaja wajah Riyadh Fazzura terus terduduk di sofa hitam itu. Tangisannya kembali merembes laju. Hanya air mata yang berbicara rahsia hatinya saat ini. Sakit dan perit! Berdua di awalnya sendiri di akhirnya. Ya Allah..ampunkan dosa hambaMu ini.






5 comments:

  1. cerita ni best...:) hope fazzura jadi wanita yg cekal and tabah... kuat kerana ank2... Riyard gentleman....:)

    ReplyDelete
  2. mcm citer teduhan kasih - marissa. harap tanggapan saya salah.

    ReplyDelete

NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...