RIYADH duduk di Taman
Pullman Putrajaya sambil memerhatikan anak-anak kecil itu bermain bola yang dibelinya
tadi dengan gembira. Raut wajah mereka jelas terpampang kegembiraan. Seminggu
yang lalu sewaktu dia bertemu dengan mereka berdua wajah Fazmizie pucat. Demam
panas yang dihidapinya membuatkan dia benar-benar tak berdaya. Tapi kuasa Allah
S.W.T. Anak kecil ini begitu cepat sembuh dan hari ini sudah boleh bergerak
bebas. Walaupun pergerakannya masih terbatas.
Kata Fazzura sewaktu dia
mengambil mereka tadi, Fazmizie baru sahaja boleh berjalan. Lebih kurang
sebulan macam tu. Ya Allah, comel sangat. Bilakah waktunya dia akan memiliki
semua ini sendiri. Memandang anak-anak kecil ini hatinya bagaikan disiram
gerimis. Sejuk terasa. Terlupa seketika dia pada Annis dan juga pada kerja yang
bertimbun-timbun di pejabat.
Pada mulanya tadi
Fazzura agak keberatan untuk melepaskan Fazmizie bersamanya. Budak kecil
biasalah. Takut meragam pula nanti. Tapi, tak sanggup rasanya dia nak bawa
salah seorang sahaja. Jadi dia putuskan agar Fazzura sediakan susu dan lampin
untuk Fazmizie. Dia boleh melakukan. Anak Kak Ruzilah dan abang Ngah pun dia
yang selalu sediakan semuanya. So,
tak menjadi masalah langsung buatnya. Tapi sekarang anak saudaranya semua dah
besar-besar. Itu yang sibuk nak jaga anak orang pula.
“Uncle, uncle, sambut bola ni.” Suara anak kecil itu menjerit halus
sambil membaling bola bewarna biru itu ke arahnya. Riyadh senyum sambil
menyambut bola yang itu. Anak kecil itu terus bergerak menghampirinya. Pantas
pipi putih gebu Aqilah dicubit perlahan.
“Comel betul. Geram uncle tau.” ujar sebelum bangun untuk mendapatkan Fazmizie yang mula berjalan jauh
darinya. Baru boleh berjalan mulalah dia. Dah tak nak orang pegang.
“Sini sayang, jangan main jauh-jauh, nanti
kang ibu marah uncle.” terus
didukungnya Fazmizie. Merengek Fazmizie sebab tak mahu didukung. Dia
kemudiannya melabuhkan duduknya di bangku tadi sambil meriba Fazmizie. Aqilah
pula setia duduk di sebelahnya.
“Uncle lepas ni bawak Aqilah dan adik datang sini lagi ya.”
“Yalah sayang, kalau
ibu dan papa korang berdua izinkan uncle bawak lagi datang sini.”
“Uncle ada anak macam kita orang tak?” soal Aqilah lagi. Celotehnya
seperti orang dewasa. Nak tergelak Riyadh dengan telatah Aqilah itu.
“Uncle kahwin pun belum sayang, macam mana nak ada anak.” ujarnya
semula. Tubuh Aqilah yang berada di sisinya dipeluk mesra. Fazmizie yang berada
di atas ribaannya merengek manja nak bergerak ke sana sini.
“Kahwin tu apa uncle?” soal Aqilah lagi.
“Nanti bila sayang
besar, sayang akan tahulah. Sekarang sayang kecil lagi.”jawab Riyadh Satu
ciuman hinggap di dahi Aqilah dan Fazmizie. Setiap kali memandang wajah mereka
ini hatinya rasa tenang yang sukar untuk di gambarkan dengan kata-kata.
Pelikkan, macam manalah ada orang yang sanggup buang anak merata-rata.
“Uncle jomlah kita main bola tu…”
“Aqilah suka main bola
ya? Tapi bola ni sesuai untuk budak-budak lelaki je. Macam adik ni. Lelaki.”
terang Riyadh.
“Tapi Aqilah suka.”
Riyadh gelak. “Jomlah kita pergi makan ice- cream. Tengok adik, dia dah
merengek-rengek. Aloo..,sayang,
kenapa ni?nak jalan erk…uncle dukung
la.” pujuk .
“Adik nak jalan macam
kakak la tu…”
“Kakak dah besar. Tahun
depan dah boleh pergi sekolah. Adik baru boleh berjalan. Nanti lambat. Uncle dukung cepat sikit. Nanti kita
boleh makan ice-cream.”
“Yee!” Aqilah berlari
ke depan.
“Jangan lari laju
sangat tu. Nanti jatuh.” Riyadh sedikit terjerit.
“Uncle belanja ice- cream
ya sayang. Lepas tu kita boleh pulang. Nanti kalau lambat ibu dan papa korang
marahkan uncle pula. Takut jugak
uncle ni bawak anak orang macam anak sendiri.”
“Papa tak marah uncle. Papa selalu marah ibu aje.”
“Hesy!sayang, tak baik
cakap macam tu. Mana sayang tahu papa marahkan ibu ni. Tak baik cakap amcm tu.”
Mereka menuju ke arah penjual ice-cream yang berada di kawasan
berhampiran. Sebelah tangan lagi mendukung Fazmizie. Budak-budak selalunya apa
yang dia orang nampak yang itulah dia orang cerita. Barangkali betul apa yang
Aqilah cakap tapi tak bolehlah dia nak mengiyakan apa yang budak sekecil Aqilah
ni cakap.
“Aqilah selalu nampak
papa pukul ibu.” Cerita Aqilah tanpa berselindung. Manalah budak ni tahu untuk
menipu apa-apa. Dia hanya mampu senyum sebelum memikirkan cara yang terbaik
untuk terangkan kepada Aqilah.
“Sayang, tak baik cakap
begitu. Papa bergurau je tu.” ujarnya pula. Dari awal dia berjumpa dengan
Fazzura dan anak-anak kecil ini pun dia sudah mula rasa ada sesuatu. Tak pernah
sekalipun dia nampak bapa budak-budak ini. Waktu ambil di rumah tadi pun tak
ada. Fazzura pun seringkali mengelak bila di tanya tentang suaminya. Tapi kalau
sampai pukul memukul ini dah memang kes berat.
“Sedap tak ice-cream tu…ermm…comot habis bibir dia.
Meh, sini uncle tolong lapkan.” Ice- cream Conneto dari perisa chocolate itu memenuhi bibir kecil itu.
“Yummy...dap...” ujar Aqilah.
“Kalau sedap nanti uncle belanja lagi.”
“Yeeeaa…uncle baik. Uncle baikkan adikkan.”
“Aa…adik tu nak
berjalan lagi tu. Sini sayang habiskan ice-
cream ni dulu.”panggilnya pula. Fazmizie mula nak berjalan. Pantang dia
lepas. Ya Allah seronok sangat tengok kerenah budak-budak ni. Tak terasa waktu
berlalu dengan cepat.
“Terima kasih je
sayang. Kiss la uncle kat sini.” Riyadh tunjuk pipi.
Serentak dengan itu
Aqilah mencium pipinya. Habis sisa-sisa ice-cream
melekat di pipinya. Aqilah ketawa riang melihatnya. “Oo…dia comotkan uncle. Ermm…” Riyadh pura-pura cubit
pipi si kecil itu. Mereka sama-sama ketawa sebelum bangun dan mengambil Fazmizie yang mula sudah
bergerak jauh. Dia kembali semula ke arah Aqilah. Sapu tangan yang berada di
dalam poket seluarnya diambil lalu dilapkan ke bibir kecil itu.
“Lepas ni kalau sayang
nak makan ice-cream bagitau uncle. Uncle boleh belikan banyak untuk
Aqilah dengan adik. Adik nak tak? Suka tak?”
“Nanak..cremm…”
Riyadh ketawa besar.
“Adik nanak cremm…ermm….nanti uncle beli lagi.” ujarnya tertawa.
Proses pembesaran anak-anak yang terlalu berharga untuk dilepaskan. Apatah lagi
bila si kecil ini baru boleh bertutur dua tiga patah perkataan.
Dia mengerling jam di tangan yang sudah menunjukkan
ke angka enam petang. Sudah tiba masanya
untuk dia memulangkan kembali anak-anak kecil ini kepada ibu dan bapa mereka.
Argh!terlalu cepat masa berlalu sehingga tak terasa waktu yang berlalu.
Aqilah diam tak menyoal
apa-apa lagi. Habis comot sana sini. Sekali-kali dengan dia comot. Tak
kisahlah, yang penting setiap masa yang di lalui harus di isi dengan sebaiknya.
Lebih kurang empat
puluh minit perjalanan mereka bertiga sampai di rumah banglo dua tingkat itu
dia segera keluar dan membuka pintu di sebelah penumpang. Aqilah segera
diturunkan. Kemudian dia segera mendapatkan Fazmizie yang sedang tidur di
tempat duduk belakang. Nyenyak benar dia tidur. Sisa ice-cream masih melekat di bibir comelnya. Hendak dikejutkan tidak sampai hati pula. Jadi
dia putuskan untuk mendukung sahaja Fazmizie. Tetapi hatinya tak sedap rasa
tatkala telinganya menangkap suara riuh rendah di dalam banglo dua tingkat itu.
Dia melangkah masuk ke garaj utama.
Sebuah kereta Toyota Camry juga terparkir di belakang proton wira milik Fazzura
barangkali.
“Suara siapa tu?”soalnya
kepada Aqilah.
“Uncle tu suara papa.” jawab si comel itu.
“Oh!papa marah uncle bawa Aqilah dengan adik Mizi tak?”
“Papa memang suka
marah. Aqilah selalu kena marah dengan papa.”
“Papa gurau je tu. Dah,
jom cepat. Nanti ibu bising pula.”
Sebaik sahaja kakinya
sampai di hadapan muka pintu matanya jelas dihidangkan dengan sesuatu yang
benar-benar membuatkan dirinya terkejut besar. Tidak langsung menduga bahawa
situasi sebegini yang akan menjadi tontonannya di senja begini.
“Ibu!” jerit Aqilah
kuat sebelum berlari mendapatkan Fazzura yang sedang terduduk di lantai sambil
memegang kepalanya yang jelas kelihatan darah merah. Ya Allah Ya Tuhanku. ujian
apakah ini yang sedang kau perlihatkan kepadaku? Riyadh terpana. Lelaki itu
memandangnya tajam. Mata mereka bertentang untuk seketika.
“Oh! sekarang dah ada
jantan. Siap boleh bawa anak keluar lagi. Patutlah makin lama kau makin tak
hairan dengan aku. Hey! jantan. Kalau ya pun kau kemaruk sangat hendakkan pompuan ni. Tunggulah aku lepaskan dia
dulu. Sial!” jerkah Aqil kuat. Aqilah sudah menangis di sisi Fazzura. Fazmizie
yang tadinya hanyut di buai lena turut sama terjaga mendengarkan pekikan kuat
itu. Serentak itu rengekkan halusnya mula kedengaran.
“Bertenang Encik.
Jangan nak tuduh melulu.” balas Riyadh tenang sambil memujuk lembut Fazmizie.
Ternyata pujukannya gagal bila si kecil masih terkejut dan ingin menangis.
Fazzura pantas bangun
untuk mendapatkan Fazmizie didukungan Riyadh. Tapi tindakannya pantas dihalang
oleh Aqil. Rambutnya ditarik dengan kasar. Situasi yang langsung tak pernah Riyadh fikirkan akan
terjadi di dalam hidupnya.
“Kau nak sangatkan
pergi kepada jantan ni? Nak sangatkan?” soal Aqil bengis.
“Abang…lepaskan
saya...lepaskan…” Fazzura meronta minta dilepaskan.
“Lepaskan isteri kau.
Bukan macam tu cara nak layan isteri. Aku pun tak nak main kasar dengan kau bro! Kau sedar tak yang kau buat tu
siapa? Isteri kau? Kau dah gila ke apa?” tukas Riyadh geram. Dah aku cakap
baik-baik nak main kasar. Bentak hatinya pula.
“Sabar sayang, uncle akan selamatkan ibu…” bisiknya
perlahan.
Dengan kekuatan yang
tidak seberapa Fazzura meronta. “Lepaskan saya, Aqil! Lepaskan saya!” pintanya
bersungguh-sungguh.
“Okey! Baik, aku akan
lepaskan kau pompuan. Pompuan tak kenang
budi. Kau nak aku ceraikan kau? Berapa kau nak? satu?dua? tiga?”
Pang!
Sekali lagi tangan itu
hinggap dipipinya. Fazzura terduduk
lemah. Riyadh pantas berlari masuk ke dalam rumah. Fazmizie diletakkan di
sebelah Fazzura. Tak sanggup rasanya bila melihat perempuan seperti Fazzura dikasari
begitu. Apatah lagi perempuan itu adalah ibu kepada kanak-kanak ini.
Kanak-kanak yang saban waktu kian beraja di hati kecilnya. Kenapa tegar benar
lelaki ini. Lelaki jenis apa macam ni main kasar dengan perempuan yang dah
melahirkan anak-anaknya.
“Abang…apa yang awak
buat ni?” suara Fazzura bergetar bersama tangisannya. Anak-anaknya dipeluk
erat. Bimbang tindakan Aqil yang di luar jangka.
“Kurang ajar punya
jantan!” jerkah Aqil sekali lagi. Lagaknya tak ubah seperti serigala yang
kelaparan. Ingin menelan mangsa bila-bila masa sahaja.
“Aku yang kurang ajar
atau kau? Macam ini cara kau layan isteri dan anak-anak kau? Agaknya kau memang
nak tengok anak dan isteri kau mati. Baru kau puas hati. Hey! kalau kau rasa
jantan sangat. Lawan kau aku! bukan anak dan isteri kau yang lemah ni.”
Kali ini dia
betul-betul berdiri di hadapan Aqil. Dia dah tak peduli lagi nak menyibuk dalam
hal rumah tangga orang kalau dah begini cara lelaki ini memperlakukan si
isteri. Apa punca dia sanggup buat anak
dan isterinya begini.
“Kalau ya pun kau marahkan isteri kau sebab
benarkan aku ambil anak-anak kau. Kau pukul aku, bro!. Bukan dia!”
“Huh! bagus. Patutlah sekarang berani sangat
sebab ada jantan ni yang nak bela kau kan betina! Kau nak ajar aku pula?”
“Aku rasa kau dah salah
faham. Aku rasa aku cuma ambil anak kau dan bawa diaorang jalan-jalan. Itupun
sebab aku belum ada anak.” balas Riyadh cuba berlagak tenang. Kalau dia yang
jadi punca sampai nak pukul-pukul begini rela dia mintak ampun. Kalau nak suruh
dia melutut pun dia sanggup.
“Kalau aku punca kau
nak mengamuk macam ni. Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak kacau anak-anak
kau.” Dia cuba untuk meredakan suasana
yang semakin tegang itu.
“Kalau kau nak sangat
dia aku boleh lepaskan dia. Lagipun aku dah bosan hidup dengan dia! Perempuan
kampung!” ujar Aqil sombong. Begitu jelas keangkuhannya. Benar-benar lupa asal
usulnya bermula dari mana.
“Abang! Apa awak
cakapkan ni…” Fazzura separuh merayu.
“Apa aku cakap? Kau
pekak. Kau dengar sini baik-baik Siti Fazzura Binti Faisal aku ceraikan kau
dengan talak satu. Mulai hari ni kau dan aku dah tak ada apa-apa hubungan lagi.
Kau boleh berambus keluar dari rumah aku!”
“Abang!”
“Astagafirullahalazim…”
Riyadh geleng kepala.
“Berambus! Aku tak nak
tengok muka kau lagi. Bawak sekali anak-anak kau pergi.”
“Aqil!!!!!!!”jeritan
Fazzura memenuhi segenap ruang. Senja itu menjadi saksi berakhirnya sebuah
ikatan yang suci. Ini bukan kisah dongeng tapi sebuah kenyataan yang
benar-benar menggerikan di dalam hidup Fazzura. Tegar benar Aqil buatnya
begini. Begini akhirnya kisah cinta mereka. Begini balasan yang Aqil berikan
setelah dia korbankan segala-galanya. Bagaimana dia mampu teruskan hidup dengan
keadaan diri yang tak punya apa-apa. Selama ini dia terlalu bergantung kepada
Aqil seratus peratus. Fazzura terus meraung di situ tanpa menghiraukan
anak-anaknya lagi.
Riyadh bungkam.
Pandangan matanya jatuh ke wajah Aqilah dan Fazmizie yang menangis di sisi
Fazzura. Hatinya terasa dicucuk cerucuk yang tajam. Tangisan anak-anak kecil
itu membuatkan dia sakit. Sungguh!dia tidak sanggup melihat tangisan mereka.
Dia tidak sanggup melihat bebola mata si kecil bertakung air jernih seolah-olah
merayu kepada si bapa agar jangan melakukan mereka seperti pakaian yang boleh
dibuang bila-bila masa sahaja. Bahkan merayu kepada si ibu agar hentikan
tangisan yang menyiksa.
“Kau boleh berambus
keluar dari rumah aku!” tengking Aqil kasar sebelum berlalu menuju ke tingkat
atas. Tangisan Fazzura kian kuat. Bersilih ganti dengan tangisan Aqilah dan
Fazmizie. Dia jatuh kasihan. Dia harus membantu Fazzura dengan sedaya upaya
yang termampu olehnya. Dia tak boleh biarkan wanita ini terus begini. Ini bukan
penghujung sebuah kehidupan. Fazzura patut tahu akan itu.
FAZZURA masih teresak-esak
menangis di dalam kereta. Fazmizie tertidur di ribaan setelah puas Riyadh
memujuk mereka tadi. Manakala Aqilah tertidur di hadapan. Riyadh serba salah.
Tidak tahu untuk memulakan bicara dari mana. Dia tidak pandai memujuk pun.
“Fazzura, saya minta maaf.
Saya salah. Sebab saya suami awak ceraikan awak. Saya tak sepatutnya bawa anak
awak keluar. Maafkan saya Zurra.” tutur membuka bicara setelah lama berdiam. Dari
cermin pandang belakang dia mengerling memandang wajah Fazzura yang basah dek
air mata.
“Awak tak salah. Dia
yang ada perempuan lain. Awak tahu setiap malam dia pulang dengan bau-bau arak.
Saya sudah lama syak dia ada perempuan lain. Selepas awak mengambil Aqilah dan
Mizi pagi tadi seorang perempuan datang dan memberitahu saya tentang hubungan sulit
dia dengan suami saya. Bila saya bertanya
dia menenking saya. Dia pukul saya. Sampailah awak datang. Awak
penyelamat saya. Awak tak salah apa-apa…” luah Fazzura dengan nada yang
tersekat-sekat. Dia meraup muka bersama tangis sendu yang masih bersisa.
Dahinya yang tercedera semakin terasa kebas.
“Dah lama saya syak. Tapi dia tak pernah nak
mengaku. Waktu Fazmizie sakit tempoh hari wanita yang sama jawab panggilan
saya. Sa..saya malu dengan awak…dia curang dengan saya. Sebab saya ni dah tak
menarik lagi pada pandangan matanya.” ujar Fazzura hiba. Riyadh kerling pada
cermin pandang belakang.
“Tapi, kalau bukan
sebab saya bawa anak awak keluar tentu keadaan tak akan jadi rumit begini. Awak
tak perlu malu dengan saya, Zurra. Saya ikhlas tolong awak. Ikhlas demi
budak-budak ni.”
“Kesetiaan saya selama
ini dibalas dengan tuba. Sudah lama rumah tangga kami bergolak. Dia lupa
daratan bila berada tinggi di atas sana. Dia lalai dengan kejayaan yang di
milikinya. Dia kejam! Terlalu kejam!” Tangisannya kembali merembes dengan laju.
Riaydh hanya mendengar.
“Dia semakin berubah.
Setiap hari saya bertekak dengannya.Ada waktunya saya berdiam kerana tidak mahu
memanjangkan persengketaan. Saya mengalah dan mengikut sahaja tingkahnya. Tapi,
semua itu langsung tidak menyedarkan dia. Dia semakin jauh. Semakin hanyut
dengan dunia ciptaannya. Anak-anak di abaikan. Yang dia tahu hanya menaburkan
wang kepada kami sedangkan apa yang kami dahagakan adalah sebuah kasih sayang.
Kasih sayang yang telah hilang.” Tangis Fazzura lagi. Hatinya benar-benar remuk
dengan sikap si suami. Pelindung yang di harap sehidup semati terlalu tegar
melukai tanpa sedikitpun belas simpati.
“Zurra, saya faham
penderitaan awak. Sapulah air mata tu. Awak mesti kuat. Kuat demi anak-anak
awak. You must strunggle for it be strong!”
“Tapi...saya dah menyusahkan awak. ”
“Jangan fikirkan begitu
Fazzura. Lepas kita pergi klinik saya akan hantar awak di rumah saya. Awak
boleh tinggal di situ dengan anak-anak awak. Lagipun saya dah lama tak balik ke
rumah tu. Banyak tinggal dengan family.
Awak anak beranak duduklah situ.”
“Tapi saya tak ada
kerja. Saya tak punya apa-apa. Saya berkahwin dengan Aqil walaupun keluarga
menentang keras perkahwinan kami dalu. Saya menyesal. Menyesal. Banyak perkara
yang saya korbankan. Ini balasan dia. Saya tak punya apa-apa. Saya tak ada
sesiapa pun.” Fazzura sekali lagi tenggelam di dalam emosi yang tidak stabil.
Merenung dan meratapi diri yang tak punya apa-apa.
“Zurra, pandanglah
anak-anak awak. Awak mesti kuat. Awak ada anak Zurra. Janganlah awak risau soal
wang. Hari ini hari awak. Esok lusa mungkin hari saya. Bukan pengakhiran hidup
awak, Zurra. Manalah tahu semua ini permulaan kebahagiaan awak yang hakiki.”
“Ini mungkin hukuman
Tuhan pada saya. Saya degil. Tak mahu dengar nasihat orang di sekeliling saya.
Kerana cinta saya bekorban tapi ini balasan yang saya terima. Saya silap…saya
derhaka. Saya degil!” tangisnya untuk sekian kali.
“Zurra, semua yang
berlaku tentu ada hikmahnya. Tak perlulah awak nak rasa menyesal begitu. Benda
dah terjadi. Tak ada yang salah dengan janjiNya. Tak ada yang meleset dengan
ketetapanNya. Tiada juga yang keliru dengan segala iradatNya. Semuanya dah
tertulis. Awak mesti kuat.”
Dalam keadaan begini
bukan punca masalah yang harus di persoalkan lagi. Tapi bagaimana cara untuk
menyelesaikan masalah ini. Kes penceraian Fazzura perlu didaftarkan di mahkamah
syariah. Kalau ikutkan hatinya tadi mahu sahaja dia memukul Aqil sepuas-puas
hati. Tidak nampakkah Aqil anak-anaknya yang masih kecil. Terlalu mudah bibirnya
melafaz talak. Tetapi dia tahu itu bukan caranya. Itu hanya menambah kesusahan
kepada dirinya sendiri. Dia berusaha tenang dengan masalah yang dia sudah
terkait sama.
Selesai sahaja mendapatkan
rawatan di klinik, Riyadh terus membawa Fazzura dan anak-anakanya menujuk ke kondominium
yang terletak di Titiwangsa miliknya. Dahi Fazzura dibalut dengan kain anduh.
Sewaktu di klinik tadi nurse tu dah
pandang dia lain macam. Macam kes dera isteri pulak! Bukan dialah orang lain!
“Zurra, anak awak guna
susu apa ya? Lampin diaorang? Saya nak singgah beli barang dia orang kejap.”
“Awak tak perlu
susah-susah. Apa yang ada di rumah awak sudah cukup untuk anak-anak saya.”
“Zurra, Mizi tu baru je
baik dari sakit. Awak nak bagi dia makan apa? Biskut kering?” soal Riyadh tidak
berpuas hati dengan jawapan yang Fazzura berikan. Apatah lagi bila melihat
rengekkan dari Fazmizie. Fazzura ada perkara yang dia ambil mudah.
“Jangan awak nak hukum diaorang pula.
Anak-anak awak tak bersalah.” sambungnya lagi.
Katalah apa sahaja. Tapi
yang pasti seboleh-bolehnya Fazzura tidak mahu terlalu menyusahkan lelaki itu.
Tidak mahu menyusahkan sesiapa pun. Itu sahaja.
“Zurra, cepatlah bagitau
saya. Susu dan pampers dari jenama apa yang Mizi dan Aqilah guna?” soal Riyadh sambil menoleh ke belakang memandang Fazzura.
Kepala Fazmizie diusap perlahan.
“Kenapa ni sayang?
Merengek je? Sakit ke?Jom ikut uncle pergi
kedai…” Riyadh menyuakan tangannya untuk
mengambil Fazmizie. Pantas sahaja tubuh itu bertukar tangan. Elusan demi elusan
membuatkan anak kecil itu berhenti merengek akhirnya. Seperti dapat merasakan
tangan si gagah perkasa itu adalah bapanya. Bahkan dapat merasa elusan kasih
yang tersisip buatnya. Bertubi-tubi ciuman jatuh ke seluruh muka Fazmizie.
“Jom, ikut uncle beli barang. Ibu dengan Aqilah tunggu
sini ya…” ujar Riyadh sebelum membuka pintu kereta.
“Err...susu dumex dugro
1-3 tahun.”
“Aqilah punya susu?”
“Sama tapi untuk umur
3-6 tahun ke atas.”
“Lampin?”
“Drypers saiz S dan M.”
“Okey, awak tunggu
sini. Jangan keluar ke mana-mana. Tunggu sampai saya datang. Kalau awak letih
nak tidur dulu tidurlah. Nanti saya kejutkan. Aqilah tolong teman ibu ya.”
pesan Riyadh bersungguh-sungguh sebelum keluar. Di bawanya Fazmizie bersamanya.
Sungguh terharu Fazzura di buatnya. Terbayang-bayang di minda apa yang pernah
Aqil lakukan dahulu. Semuanya indah. Langsung tiada cacat cela. Kasih sayang
yang menjadi pengikat kebahagiaan mereka selama ini akhirnya musnah angkara
nafsu dan harta duniawi semata-mata. Kini dia sendiri menanggung sengsara
bersama dua orang cahaya mata. Siksa Ya Allah…siksa.
Sebatang kara Aqil
menghalaunya keluar senja tadi. Sungguh dia terasa begitu hina. Begitu kejam
Aqil tanpa memikirkan sedikitpun tentang anak-anaknya. Mujur ada Riyadh. Lelaki
itu penyelamatnya. Penyelamat segala-galanya.
Aku tidak mengharapkan
semua ini akan berakhir begini. Sungguh! Aku begitu merasa kesakitannya. Bentaknya
hatinya pula tiba-tiba. Lagi sekali air mata merembes laju di pipinya. Tak
mudah untuk di terima semua ini dengan rela hati.
JAM sudah menunjukkan
ke angka sebelas malam sewaktu mereka sampai kondominium itu. Riyadh segera
meminta izin daripada Fazzura untuk membersihkan Fazmizie dan Aqilah. Fazzura
tidak membantah. Malah mengangguk pun tidak. Riyadh faham keadaan Fazzura waktu ini yang masih
lagi larut dalam emosinya. Sesiapa pun akan jadi sepertinya. Sudahlah tak punya
apa-apa. Diceraikan dan dihalau sehelai sepinggang. Kalaulah dia yang berada di
tempat Fazzura pun tentu dah naik gila agaknya.
Selesai memandikan
mereka berdua dia segera mengambil barang-barang yang dibelinya tadi. Satu
persatu barang-barang yang dibelinya tadi dikeluarkan. Dari botol susu Fazmizie
dan Aqilah sehinggalah kepada lampin pakai buang dia orang di keluarkannya.
Pandangannya jatuh pula ke tubuh Fazzura yang masih lagi duduk di sofa merah
itu.
“Zurra, bersihlah diri
awak. Dah lewat sangat ni.” ujarnya sambil tangan terkial-kial membuka tudung
susu yang dibelinya tadi.
“Riyadh tak perlulah
awak nak susah-susah. Saya boleh bancuhkan susu dia orang. Awak pulanglah…”
balas Fazzura tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya.
“Okey, saya pakaikan
dia orang pampers. Saya tunggu awak
hantar susu kat dia orang. Sepuluh minit je masa saya bagi pada awak. Air saya
dah panaskan.” balas Riyadh sambil mengusung lampin pakai buang dari jenama
Drypers itu menuju kea rah bilik.
“Awak jangan lambat.
Saya nak tidurkan dia orang.” Kali ini nada suaranya ditinggikan. Berharap agar
Fazzura faham yang dia sendiri pun mahu segera cepat pulang ke rumah. Sudah
sehari suntuk dia berada di luar. Panggilan dari Annis pun tak sempat nak dijawabnya.
Ah! Lantaklah pasal Annis tu. Ajak kahwin tak nak! Guman hatinya pula. Masih
marah dengan kejadian yang berlaku semalam.
.Dia segera memakaikan
lampin kepada kedua-duanya. Baju yang dibelinya tadi turut disarungkan ke tubuh
mereka. Aci rembat je tadi tu sebab nak cepat. Nasiblah muat. Tidak lama
kemudian Fazzura sampai membawa dua botol susu. Riyadh tarik senyum lebar.
“Awak lewat satu
minit.”
“Saya menyusahkan awak,”
“Taklah.” balasnya
selamba sambil menyusukan Fazmizie dan Aqilah. Seronok melihat bebola mata si
kecil itu kembali bersinar-sinar. Ditepuknya perlahan-lahan agar mereka berdua
lebih selesa. Mereka berdua seoalah-olah faham penderitaan yang ditanggung si
ibu. Walaupun adakalanya mereka meragam namun senang untuk dipujuk.
Fazzura hanya menjadi
pemerhati. Terbayang-bayang di mindanya wajah Aqil yang yang sedang tersenyum
ke arahnya sambil menyusukan anak-anak mereka. Tanpa sedar titisan air mata
merembes lagi di pipi. Semua yang berlaku umpama mimpi dalam mimpi.
Dia tidak pasti apa
yang harus dia lakukan sekarang. Pulang ke kampung? Atau terus di sini tanpa
ada sesiapa. Apa yang dia ada sebagai bekalan untuk menempuh hari esok. Dia
hanya ada dua orang zuriat yang perlu dipelihara sebaiknya. Yang perlu diberi
makan dan pakai.
“Zurra, awak mesti
tabah. Jadikan apa yang berlaku ni pengajaran kepada awak. Saya boleh bantu
awak dan anak-anak awak. Sungguh, sedikitpun saya tak mengharapkan apa-apa
balasan dari awak. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin dengan
penceraian ini awak akan belajar sesuatu yang baru. Bukankah setiap takdir
Tuhan adalah yang terindah. Awak reda. InsyaAllah ada jalan untuk awak bahagia.”
Dia sendiri pun
kadang-kadang rasa tak layak nak bagi nasihat begitu. Tapi, dia jenis yang tak
boleh nak tengok air mata perempuan ni menitis. Terus hati jadi lebur. Tengok
budak-budak dua orang tadi menangis pun dia dah mula rasa resah gelisah. Ini
belum lagi anak sendiri.
“Saya tak kuat untuk
lalui semua ni sendiri.”
“Awak ada saya.”
Buat seketika mata
mereka saling berpandangan diantara satu sama lain.
“Err..jangan salah
faham. Maksud saya awak jangan risau. Saya ada. Saya boleh bantu awak setakat
mana yang termampu. Sayakan penyelamat. Anggaplah saya ni kawan awak atau
saudara mara awak.”
“Orang luar pula yang
tolong saya. Saya malu dengan awak, Riyadh. Malu sangat-sangat.”
“Malu untuk
apa?Kadang-kadang ada sebab kenapa Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita.
Macam Allah temukan saya dengan awak dan anak-anak awak. Semuanya bersebab
Zurra. Awak pergilah bersihkan diri awak tu. Berdoalah pada Tuhan. Dia maha
mendengar segalanya.”
Riyadh turun dari katil
perlahan-lahan. Bimbang kedua-duanya yang sudah terlena akan terjaga kembali.
“Mereka budak baik.
Senang bela. Macam faham apa yang sedang jadi dekat ibu diorang sekarang. Biar
hilang harta asalkan jangan hilang anak-anak ni. Anak-anak ni lebih bernilai
dalam hidup awak, Zurra. Jaga diorang baik-baik. Saya nak gerak dulu.” Tidak
mahu berlama-lama di sini. Sungguh! Dia rasa sangat tidak manis.
“Terima kasih.” ucap
Fazzura sewaktu Riyadh melintas di hadapannya. Suaranya mendatar dan sedikit
bergetar.
Riyadh hanya menggangguk dan mengangkat isyarat
tangan sebelum berlalu menuju ke muka pintu. Tombol pintu ditarik. Dia keluar
dari rumah itu. “Ingat pesan saya. Jaga diorang baik-baik. Awak pun…pergilah
rehat. Kalau awak perlukan apa-apa awak tahukan macam mana nak cari saya.”
Fazzura angguk. Riyadh terus tutup pintu.
Hilang
sahaja wajah Riyadh Fazzura terus terduduk di sofa hitam itu. Tangisannya
kembali merembes laju. Hanya air mata yang berbicara rahsia hatinya saat ini.
Sakit dan perit! Berdua di awalnya sendiri di akhirnya. Ya Allah..ampunkan dosa
hambaMu ini.
cerita ni best...:) hope fazzura jadi wanita yg cekal and tabah... kuat kerana ank2... Riyard gentleman....:)
ReplyDeleteTerima kasih Nisa. :)
Deletesedih....
ReplyDeletekesiannya kat fazzura
ReplyDeletemcm citer teduhan kasih - marissa. harap tanggapan saya salah.
ReplyDelete