Saturday, April 20, 2013

Elusan Kasih - Bab 2

Bab 2


SEMINGGU Aqil tidak dapat dihubungi. Fazzura makin kalut. Kata Aqil sebelum keluar tempoh hari dia ada urusan di Kelantan. Tapi, sampai sekarang dia masih tidak dapat dihubungi. Fazmizie yang sedang didukung masih lagi merengek. Sudah hampir seminggu badan anakny ini panas. Makan tak mahu. Hanya bergantung kepada susu semata-mata. Itupun adakalanya Fazmizie akan muntah. Dia resah. Pada siapa dia harus mengharapkan bantuan sekarang. Hanya Aqil tempatnya bergantung seratus peratus. Jika lelaki itu tiada dia bagaikan lumpuh tak mampu berdiri dengan sempurna. Nombor telefon Aqil didail lagi untuk sekian kali. Ternyata Aqil tidak dapat di hubungi. Balik-balik masuk ke dalam peti simpanan suara. Dia mengeluh hampa sambil memujuk Fazmizie.
Tiba-tiba dia teringatkan Maria. Kakak keduanya. Entahlah Maria mahu menolongnya atau tidak. Hubungan mereka adik beradik tidak semesra macam orang lain. Sejak dia tinggal di Kuala Lumpur ini sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Maria.
“Hello, Maria kau ke tu. Aku ni...Zurra,” ujar Fazzura sebaik sahaja panggilan telefon itu bersambut. Membahasakan dirinya dengan Maria sebagai aku, kau lebih selesa baginya. Ini kerana perbezaan umurnya dengan Maria yang hanya selang dua tahun sahaja.
“Hah! kau nak apa call aku? Tak pernah-pernah kau nak call aku. Ingatkan dah lupa adik beradik. Maklumlah aku dengar kau dah kaya sekarangkan!” sinis Maria berbicara kepadanya. Tak ada beza Maria dengan Kak Shahira. Kedua-dua orang kakaknya itu bagaikan benci sangat dengan dia. Apa salahnya?
“Aku tak pernah buang adik beradik dalam hidup aku, Maria.” balasnya perlahan tapi cukup tegas. Siapa yang buang siapa sekarang.
“Baguslah! tapi kau ada ke kau tak ada ke, aku peduli apa?” herdik Maria Lagi.
“Tak apalah Maria. Aku silap nombor tadi.” ujar Fazzura terus. Tak sanggup dia untuk terus bertekak dengan darah daging sendiri. Talian diputuskan. Lima tahun berlalu tapi kenapa terus-terusan dia dihukum.
Sudahnya dia mengambil keputusan untuk memandu sendiri kereta dengan membawa anak-anaknya. Apa yang penting baginya saat ini adalah kesihatan Fazmizie. Dia sudah tidak sanggup melihat Fazmizie menangis siang malam begitu. Walaupun berdepan risiko besar dia memberanikan diri. Memang menjadi kesalahan jika memandu tanpa ada lesen. Tiba-tiba dia rasa menyesal. Menyesal kerana dia tidak punya apa-apa sebagai bekalan jika ditinggalkan suami. Sudahlah dia tidak bekerja. Lesen memandu juga tiada walaupun dia boleh memandu. Dia benar-benar tak punya apa-apa.
Ini semua dia lakukan demi anak-anak. Tak mengapalah jika dia perlu berdepan dengan polis sekalipun. Anak-anak adalah kekuatannya. Enjin proton wira dihidupkan. Fazmize diletakkan di dalam kereta bayi. Aqilah duduk dibelakang. Mujur Aqilah cukup memahami. Aqilah tak banyak cakap. Hanya menurut sahaja apa yang dia kata. Kereta terus bergerak perlahan menujuk ke klinik yang berdekatan dengan rumah sahaja. Di dalam hati tidak putus berdoa agar keselamatannya dan anak-anak terpelihara.
Lebih kurang setengah jam dia sampai di hadapan Klinik Jaya. Nak parking kereta pun sudah ambil masa hampir lima belas minit.  Pusing kanan tak masuk petak. Pusing kiri pun tak masuk petak. Benar-benar tak pandai tapi nak juga bawak. Kenapalah dia tidak mendapatkan khidmat teksi sahaja tadi. Kenapa dia selalu fikir cara bodoh yang boleh membahayakan anak-anaknya. Masya Allah. Dia geleng kepala menyedari kekalutan diri. Kerana kelalutan itu dia tidak boleh berfikir dengan waras lagi.
Hampir sepuluh minit mereka berada di dalam bilik rawatan. Keadaan makin parah bila Doktor yang membuat rawatan mengarahkan dia menghantar anaknya ke Hospital. Fazmizie disahkan mengalami demam panas. Pernafasannya semakin laju. Badannya kekurangan air dan dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera. Fazzura semakin resah gelisah.
Berita itu benar-benar merobek jiwanya. Apalagi yang perlu dia depani selepas ini semuanya sendiri. Ada suami seperti tiada. Jika dahulu, Aqil yang menguruskan segala-galanya. Kalau apa-apa jadi pada anaknya Aqil orang pertama yang akan risau. Tapi sekarang? Musnah dan hilang dalam sekelip mata. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.
Dia terus mengambil teksi untuk pergi ke Hospital. Tidak lagi berani untuk memandu sejauh ini. Fazmizie dibuainya ke riba. Manakala Aqilah duduk di sebelahnya. Inilah anak-anak yang baik untuknya. Aqilah tidak banyak meragam. Seolah-olah faham derita yang sedang ditanggung ibunya. Ada waktunya dia kelihatan sedih bila melihat adiknya itu.

“Kau akan rasa nanti susah ke senang bila hidup tanpa restu orang tua. Kau nak sangat kahwin dengan jantan tu. Kau kahwin. Jangan suatu hari nanti kau datang merayu-rayu pada aku. Kau ingat tu Zurra!”

Masih terngiang-ngiang kata-kata emak. Marah benar emak saat itu. Yalah, dia dah belajar sampai dapat masuk University. Lepas tu sibuk nak berhenti belajar. Nak kahwin. Langkah bendul dua orang kakak yang belum kahwin. Umur baru setahun jagung. Baru nak kenal dunia. Tapi tergedik-gedik nak nikah. Ya Allah… sekarang sedikit sebanyak perasaan sesal itu mula mengambil tempat dalam diri.
Sampai sahaja di Hospital dia segera berjalan masuk ke dalam dengan mendukung Fazmizie dengan tangan kanan. Manakala Aqilah pula dipimpinnya dengan tangan kiri. Dia perlu kuat demi anak-anak. Dia perlu berdikari demi si permata hati.
Agak ramai orang yang berada di ruang legar Hospital Kuala Lumpur. Mata Fazzura melilau mencari kaunter  pendaftaran. Kali pertama datang, agak janggal rasanya. Pusing kiri, pusing kanan. Pusing depan. Pusing belakang. Sudahnya…
GEDEBUK!
“Aduh!” suara itu mengaduh kuat. Menarik perhatian mata-mata yang ada di kawasan berhampiran. Semua seakan-akan sedang memerhatikan dirinya saat ini. Malunya dia. Fazmizie sudah mula memangis di dalam dakapannya. Terkejut dengan pelanggaran yang tiba-tiba. Ya Allah, ibu tak sengaja sayang. Lelaki yang dilanggarnya itu menggelengkan kepala memandangnya.
“Maaf Encik. Saya tak sengaja.” luah Fazzura kesal sambil memujuk Fazmizie yang menangis di dalam pelukannya. “Diam sayang…ibu tak sengaja…syuttt…” wajahnya merah menahan rasa malu dan pilu.
Lelaki itu mengeluh berat. “Lain kali hati-hatilah sikit. Kesian kat anak awak tu. Hesy!awak kelam kabut sangat ni nak ke mana ni? Dunia ni belum lagi berpusing-pusing tapi saya tengok awak dah macam gasing. Pusing kiri pusing kanan.” Lelaki itu sempat membebel kepadanya. Dia perhatikan tindakan lelakiitu  melipat tangan baju kemeja putih yang dipakainya. Menanti jawapan dari pertanyaannya barangkali. Kemudian lelaki itu mengerling pula ke arah Aqilah. “Hey budak comel. What is you name?” dia senyum.
“Saya nak ke kaunter pendaftaran tu. Anak saya sakit. Perlu rawatan dengan segera. Saya minta maaf benar-benar tak sengaja. Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya tak biasa.” jawab Fazzura jujur. Jari jemarinya tidak berhenti dari mengusap belakang Fazmizie perlahan. Matanya sudah terpandang kaunter pendaftaran. Dia ingin berlalu dengan kadar segera.
“Habis kenapa awak masih tercegat di sini. Kenapa tak panggil sahaja nurse yang lalu lalang ni. Lain kali panggil je nurse kat sini. Mintaklah tolong diorang. Tak kan diaorang tak boleh nak tolong.” Lelaki itu geleng kepala melihatnya.
“Saya…err…” Fazzura kaget. Malu nak mintak tolong dalam keadaan yang dia tak biasa.
“Kalau macam tu mari sini saya bawakan anak awak tu. Awak pegang yang itu. Nanti hilang pula.Tak pasal-pasal jadi banyak kerja nanti. Hospital ni bukan kecil. Besar.” tutur lelaki itu lagi sambil menyuakan tangan untuk mengambil Fazmizie. Tanpa banyak cakap Fazzura terus menyerahkan Fazmizie di dalam dukungan lelaki itu. Fazmizie terus diam. Ajaib!
“Hah!diam pun dia kan…suka dengan uncle ya…” ujarnya sambil berjalan laju menuju ke kaunter pendaftaran. “Panas badan dia ni? demam panas ke?”
Fazzura angguk. Sudah tahu kenapa masih ingin bertanya. Bisik hatinya pula.
Giler awak! Panas ni.” lelaki itu membebel lagi.
“Saya…saya…”
“Saya apa? Bukannya awak tak tahu anak awak ni demam.” Lelaki itu sekali lagi memotong percakapannya. Memanglah dia tahu anaknya demam. Masalahnya dia tunggu Aqil. Dia tunggu suaminya. Lelaki ni tak faham senanglah cakap.
“Comel ya anak awak ni. Nama apa ni?” soal lelaki itu sekali lagi. Dah macam dia pulak bapak budak-budak ni. Orang tengah risau keadaan Fazmizie tu. Dia boleh tenang. Mentang-mentanglah bukan anak dia. Hmm…
“Fazmizie.” balas Fazzura lambat. Matanya tidak terlepas dari memandang Fazmizie yang berada di dalam dukungan lelaki itu. Anaknya itu kelihatan sangat selesa bersandar di bahu lelaki itu. Tapi Fazmizie nampak letih. Lelaki itu terus memberitahu sesuatu kepada jururawat yang bertugas. Jururawat itu nampak tergesa-gesa sebelum mengambil Fazmizie masuk ke dalam bilik doctor. Fazmizie menangis.
“Dah lemah sangat keadaan dia tadi. Dah berapa hari dia demam macam tu?”
“Dah hampir seminggu.” jawab Fazzura. Bibirnya diketap. Mengakui kesalahan sendiri. Kalau jadi apa-apa pada anaknya sumpah dia menyesal sampai mati.
“Kenapa biarkan lambat sangat. Seminggu?Hesy!awak…kenapa biarkan sampai macam tu.Ya Allah, budak-budak ni awak kena faham. Antibodi dia lemah. Tak macam kita. Kalau sehari dia dah demam tu cepat-cepat lah bawa ke klinik. Ni dah sampai seminggu. Awak biarkan dia macam tu aje.” marah lelaki itu. Macam dia doktor pulak. Tapi betul cakap lelaki ini. Kenapa di biarkan terlalu lama.
Dia hanya tertunduk. Apalagi yang dia nak cakap. Memang salahnya. Semua salahnya. Dia tak pandai jaga anak. Dia tak pandai jugak jaga suami. Dia tak pandai nak jaga diri sendiri. Dia tunggu Aqil untuk sama-sama bawa Fazmizie ke klinik. Itulah kesalahannya. Itulah kebodohannya. Terlalu bergantung harap kepada si suami. Sampai bila dia nak macam ni.
“Walaupun saya belum berkahwin dan tak ada anak, saya rasa saya patut cakap benda yang saya tahu. Demam panas tu bahaya kalau tak dibawa untuk rawatan awal.”
Fazzura tertampar sekali lagi dengan kata-akat lelaki ini. Lelaki ini? Siapa lelaki ini? Kenapa dia baik sangat. Lihat sahaja caranya mendukung Fazmizie. Lihat sahaja cara dia memujuk si kecil itu menangis. Kenapa saat ini orang lain yang perlu lakukan semua itu? Kenapa tidak Aqil, suaminya.
“Ibu, adik mana bu?” Soal Aqilah sambil memegang lututnya. Lelaki itu pandang Aqilah sebelum pandang dia pula.
“Ini kakak Farmizie ke? Comel dia. Meh dekat uncle. Duduk sini kejap lagi kita boleh masuk tengok adik.” Lelaki itu menepuk bangku berulang kali. Barangkali dia mengharapkan Aqilah akan pergi dan duduk dekatnya. Tapi anaknya itu pandang kosong. Tak kenal siapa.
Meh la sini…dekat uncle. Nama apa sayang? Comel macam adik jugak. Rambut tu kerinting ye. Ikut siapa?”
Aqilah buat muka berkerut. “Kenapa anak ibu? Uncle tu tanya jawablah…” bisik Fazzura tetapi anaknya itu hanya menggeleng sahaja.
Lelaki itu senyum. “Malulah tu. Tak pe? Nanti bila dah lama-lama hilanglah malu tu.” Dua tangan diletakkan dibawah dagu. Tiba-tiba pintu bilik doktor dibuka. Tersua raut wajah doktor lelaki muda. Kalau diramal umurnya pasti lingkungan 20-an lagi. Fazzura bingkas bangun. Lelaki itu menurut tingkahnya,
 “Macam mana dengan anak saya doktor? Macam mana keadaan dia?” suara Fazzura kedengaran cemas. Lelaki yang membantunya tadi mengerling sekilas ke arahnya. Dia tak peduli lagi.
“Suhu badan dia tadi mencecah ke 38 darjah  celcius. Kenapa lewat hantar dia ke sini. Kami terpaksa tahan dia di wad untuk tambah air dalam badan dia. Dia demam panas. Ada sedikit selsema. Hasil blood test tadi okey. Tak ada jangkitan dalam paru-paru. Tak ada virus infection ataupun demam dinggi. Alhamdulillah.” kata doktor itu lagi.
Fazzura angguk lemah. Matanya mula berkaca-kaca.
“Harap Puan bersabar. Puan jangan risau kita akan bagi dia antibiotik untuk menghalang jangkitan paru-paru. Kita akan buat yang terbaik. Puan jangan risau.” ujar doktor itu lagi kepadanya. Menenangkannya yang sudah basah dek air mata.
“Terima kasih doktor.” ujar lelaki itu. Fazzura dah tak mampu nak berkata apa-apa. “Boleh kami masuk tengok dia?”
Doktor itu menggangguk. Fazzura terus meluru masuk dengan memimpin Aqilah.
“Ibu, kenapa dengan adik bu. Kenapa adik tidur kat sini. Adik sakit ke ibu?”soalan dari Aqilah makin menambahkan sebak di dadanya.
“Maafkan ibu sayang…” dia separuh berbisik di telinga Fazmizie. Sedih rasanya melihat suntikan dan wayar yang masih berada di jari jemari kecil itu.
“Adik demam sayang. Nanti dia sembuh baru boleh balik tidur kat rumah.” balasnya sambil mengesat air mata. Malu tatkala lelaki tadi ada di sisi katil memandang Fazmizie bersilih ganti memandangnya pula.
“Sabarlah, awak belajar sesuatu dengan apa yang terjadi hari ni. Lain kali kalau anak-anak awak demam. Cepat-cepatlah bawa diorang ke klinik. Zaman sekarang ni semua benda kena cepat. Kalau awak alpa seminit pun keadaan dah berubah.” ujar lelaki itu lagi.  Setiap kali butir bicara yang keluar dari mulutnya berbaur nasihat yang mendalam. Bukan hanya omongan kosong.
“Terima kasih sebab tolong saya.” balas Fazzura. Dia menarik tubuh Aqilah agar dekat dengannya. Memeluk tubuh itu sambil anak matanya masih terarah ke sekujur tubuh kecil yang terbaring di atas katil wad itu. Maafkan ibu sayang. Bisik hatinya lagi.
“Siapa nama ni? Uncle tanya tadi lagi tak dapat jawapan.” ujar lelaki itu pula menunjukkan jari telunjuknya ke arah Aqilah.
“Aqilah…”  beritahu Fazzura.
“Aqilah, sedapnya nama dia. Jom kita pergi makan nak tak?” lelaki itu menghampiri Aqilah dan duduk mencangkung.  Aqilah seperti takut-takut. Dia berselindung disebalik kaki Fazzura.
“Jomlah, uncle belanja makan ice-cream dekat cafe...” Aqilah terus memandang wajahnya sebaik sahaja perihal ice-cream disebut.
“Tak payahlah encik. Nanti saya boleh belikan untuk dia. Encik pulanglah. Terima kasih sebab tolong saya. Encik dah banyak bantu saya.”
“Awak ni macam takut aje saya culik anak awak. Alah, kecil punya hal. Bukannya tolong apa pun. Tolong membebel je banyak. Awak mesti bosan dengar saya bebel-bebel macam tu.”
“Bukan macam tu encik. Saya hargai nasihat tu…saya memang alpa.”
“Hmm…benda dah jadi. Pengalaman tu mematangkan. Biasalah, kadang-kadang perkara tak pernah jadi. Bila jadi sesuatu yang tak pernah jadi mesti panik.”
“Ibu nak ice-cream bu...” Aqilah tarik-tarik tangannya.
“Kejap lagilah Aqilah. Ibu tak nak tinggalkan adik ni.”
“Aqilah lapar...” muka rajuk anaknya itu tersua. Fazzura serba salah. Kalau lelaki ini tak sebut ice-cream tentu anaknya tak bersungut.
“Sabar sayang, kejap aje lagi. Kita teman adik kejap. Tengok adik. Sanggup ke Aqilah nak tinggal adik sorang-sorang kat sini. Ibu tak sanggup. Aqilah tak sayang adik?” pujuknya pula. Dia belum puas di sisi Fazmizie. Dia risau untuk meninggalkan anaknya di sini sendiri. Kalau boleh setiap minit dia mahu ada.
“Budak-budak awak…mana diorang faham.”
“Sebab tu saya cuba nak bagi dia faham.”
“Tapi itu tak adil bagi dia. Sebab dia lapar dan dia mintak hanya satu je. Ice-cream.”
“Tapi saya…”
“Saya faham awak tak nak tinggalkan Fazmizie sendiri. Okey, saya bawa Aqilah turun bawah. Boleh?” lelaki itu meminta izin darinya sekali lagi. Pulak tu suka potong percakapan dia. Hmm…dia angguk berat.
“Aqilah sayang, ikut uncle kita pergi makan. Kita makan ice-cream. Tak pe, ibu duduk sini jaga adik.”
“Aqilah nak ibu…”
“Dengan uncle pun boleh.” Lelaki itu memujuk lagi anaknya. Dalam pada itu dia melihat lelaki itu keluarkan sesuatu dari dompetnya. “Nah, ni My Kad saya. Nama saya Riyadh. Awak bagilah keizinan saya bawa dia turun ke cafe je.Manalah tahu awak ragu-ragu dengan saya. Kalau awak pandang wajah tu dengan wajah sekarang mesti berbezakan. My Kad belum tukar baru. Itu zaman muda-muda. Tapi tak apa, tetap handsome!”
Fazzura serba salah. Boleh lagi lelaki ini buat lawak dihadapanya.
“Boleh ke tak boleh ni?” soalnya sekali lagi. Nampaknya lelaki ini benar-benar mengharap.
“Encik…tolonglah. Saya tak nak menyusahkan encik…”
Apehal awak ni. Nak berencik bagai dengan saya. Panggil je saya Riyadh. Kalau nak singkat lagi panggil Yadh.” Dari tadi lagi baru nak kenalkan nama. Hai…memang gagal bab nak kenal mengenal ni.
“Kejap!” Fazzura mengeluarkan  dompetnya.
“Buat apa pulak tu? Nak ambil duit ke? Tak payahlah. Simpan. Kebetulan memang saya nak pergi ke cafe pun.” Lelaki itu memberi isyarat tangan menolak pemberiannya.
Fazzura panggung kepala. Lelaki ini sikit-sikit tak boleh.
“Bagi ke tak bagi ni?”
 Fazzura pandang wajah Aqilah. Kesian anaknya itu lapar. Kalau lelaki ni tak sebut pasal ice-cream tak mungkin anaknya itu akan ikut. Masalah juga. Dia rasa ragu tetapi cara lelaki ini tunjukkan tak nampak sikitpun lelaki ni orang jahat yang nak culik anak dia. Tapi tak boleh jugak zaman sekarang ni manusia bermuka-muka.
“Aduh… apa lagi ek saya nak berikan pada awak. Saya ni berniat jujur. Sumpah tak ada niat jahat. Awak percayalah cakap saya. Tak kan muka handsome macam ni nak jadi penjenayah culik budak. Oho ho…bukan saya ya.” Lagi sekali ayat perasan kacak lelaki itu keluar.
 “Ermm…okeylah. Aqilah jangan nakal-nakal ya sayang. Jangan susahkan uncle. Ingat apa yang ibu pesan ya.”
Aqilah senyum. Riyadh lagilah senyum lebar.
Fazzura harap lelaki itu berniat jujur.  Entahlah siapa lelaki itu? Harap-harap kebaikan yang lelaki itu hulurkan ikhlas. Dia memandang nama yang tertera di My Kad milik lelaki itu. Mohd Riyadh Rizqullah Bin Radhi. Berumur tiga puluh dua tahun. Nampaknya mereka berbeza umur sebanyak empat tahun. Lagaknya tadi seperti seorang lelaki yang berkerjaya. Ada paras rupa. Tinggi dan bergaya. Tak kan orang jahat pulak. Lama My Kad itu dalam pegangannya. Fikiran Fazzura teringat kepada Aqil semula. Apakah Aqil sudah lupa akan dia? Lupa akan anak-anak mereka? Sesungguhnya dia amat memerlukan suaminya itu disisi. Tapi, sayangnya semua itu hanya angan-angan yang tak pasti. Entah ke mana suaminya itu pergi.
 Dia mengusap lembut dahi Fazmizie. “Maafkan ibu sayang…” bisiknya di telinga anaknya itu. Kesal kerana dia terlewat bawa Fazmizie. Mujur tidak apa-apa yang serius.
Telefon bimbit diambil. Dia masih tak berputus asa untuk menelefon Aqil. Nokia X3 yang berada di dalam beg tangannya dicapai. Panggilan terus dibuat.
Hello…hello, abang…abang, kat mana ni?” soal Fazzura sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Abang?”
Fazzura kerut kening. Dia salah dail ke dia silap dengar suara perempuan di hujung talian tadi. Dia kembali pandang skrin telefon bimbitnya itu. Betul! ni nombor Aqil.
 “Erk...hello abang, abang kat mana ni?”
“Abang mana la pulak kau ni? Kau ni siapa?” lagi sekali perempuan di hujung talian tu menyoal. Kali ini dengan bahasa yang agak kurang ajar.
“Yang awak ni siapa pulak. Saya cari Aqil. Saya ulang sekali lagi. A.Q.I.L. Mana dia? Kenapa pulak awak yang jawab telefon ni.” Fazzura balas geram.
Perempuan tu gelak kuat. “You… bangunlah you. Ini hah perempuan mana yang call you ni. Berabang-abang. You! Bangunlah…” Kelunakkan suara. Kegedikan yang begitu jelas di halwa telinganya. Dadanya berkocak kuat. Apa semua ni!
“You letak je lah.. I malas nak cakap.” sayup-sayup kedengaran suara Aqil. Setelah seminggu suaminya itu tak dapat di hubungi. Akhirnya begini. Ini jawapan yang dia dapat. Dengan perempuan mana pulak Aqil buat  maksiat. Dia rasa nak menjerit kuat-kuat saat ini. Geram dan kecewa yang menggila. Tergamaknya Aqil. Tergamak sangat buat dia macam ni. Tergamak lukakan hati dia. Tergamak guriskan perasaannya.
Ya Allah…Kesetiaan yang selama ni dia berikan ini yang Aqil balas.  Air matanya mengalir  laju. Talian terus diputuskan. Bebola matanya jatuh ke wajah Fazmizie. Dia terduduk lemah dilantai. Mengenang nasib diri. Siksa! Dia tiada siapa-siapa saat ini.
 “Papa dah jauh berubah sayang. Papa dan berubah…” suaranya serak. Dia dah dapat agak punca Aqil berubah begini. Patutlah lain benar tingkah Aqil semenjak mereka berpindah duduk di kota besar ni. Argh!dia rasa sakit. Sakit sangat dengan apa yang Aqil buat. Apa yang dia takutkan sudah pun terjadi. Selama ini dia berdiam sebab fikir pasal anak-anak. Tapi adakah ini penghujung kehidupannya dengan Aqil. Ya Allah…dia tak berdaya.

“Dalam apa jua keadaan abang akan ada dengan Zurra.”
“Abang janji?”
“Abang janji Zurra.Selagi hayat dikandung badan. Abang rela lakukan apa sahaja untuk kebahagiaan Zurra dan anak-anak.”

Semua itu hanya janji-janji palsu dari seorang lelaki yang bergelar suami. Dia benar-benar derita kerana Aqil. Aqil seorang suami yang dia sayang dan kasihi sanggup melakukannya begini.
Pintu wad dikuak. Dia pantas menoleh dengan mata yang basah. Tergopoh-gapah dia bangun berdiri. Dahi lelaki itu berkerut memandangnya. Sejauh ini dia memikirkan soal Aqil. Sejauh ini dia jatuh dan terduduk lemah kerana seorang lelaki. Dia cepat-cepat menyapu air matanya. Tidak mahu menjawab soalan yang pastinya akan muncul dari bibir lelaki itu.
“Kenapa ni?” Sangkaannya betul. Lelaki itu mula menyoal.
“Ibu, kenapa ibu nangis ibu. Tengok ni uncle belikan kakak cokelat.” Anaknya itu menghampiri. Menunjukkan coklat kepadanya.
“Fazmizie ada masalah ke ni?” lagi sekali Riyadh menyoalnya. Dia belum mampu menjawab satu pun.
Akhirnya dia memilih untuk geleng kepala.“Ibu tak ada apa-apa sayang. Sedap tak makan ice-cream.” dia cuba tersenyum. Walaupun nampak jelas senyuman itu plastik. Dia berusaha menyembunyikan sebuah kelukaan.
“Awak, kalau nak makan pergilah turun dulu. Biar saya tolong tunggu.”
Fazzura menggeleng. Dia tak perlukan apa-apa. Dia tak lapar langsung.Sudah kenyang dengan masalah yang menimpa.
“Ibu…ibu…tengok ni uncle beli coklat untuk kakak.” Fazzura tersenyum dengan telatah anak sulungnya itu. Selagi tak tengok, selagi itulah dia akan tunjuk. Aqilah pantang dapat coklat. Suka sangat dia. Dia kembali menoleh ke arah lelaki tadi yang masih ada bersama.
“Terima kasih di atas bantuan awak. Saya hargai jasa baik awak. Saya Fazzura.” Kali ini giliran dia pula memperkenalkan dirinya.
Riyadh angguk.
Mana suami awak? Dari tadi saya tengok awak sorang je? Dia ke mana?” soal  Riyadh kepada Fazzura. Sejak dia membantu wanita itu tadi sehingga selesai segala-galanya dia belum bersua dengan suami wanita ini. Tak kanlah tak ada suami. Orang cantik macam ni tak mungkin sendiri.
Fazzura diam. Pandangan matanya kembali dialihkan kepada Fazmizie yang masih lelap itu. Kemudian beralih pula kepada Aqilah yang sedang leka membuka plastik coklat yang dibelikan  tadi. Rasanya terlalu berat untuk dijawab soalan  itu. Lagipun ini soal rumahtangga. Tak manis rasanya untuk  buka pekung di dada. Walaupun saat ini ingin sekali dia meluahkan rasa kecewa dan hampa yang dia rasa. Sungguh dia tidak ada sesiapa saat ini. Ahli keluarga semunya jauh di utara sana. Lagipun dia rasa malu hendak meluahkan masalahnya kepada adik beradiknya yang lain. Dari awal lagi mereka tidak bersetuju dia berkahwin dengan Aqil. Inilah harga yang perlu dia bayar di sebabkan kedegilannya dahulu. Dan rasanya dia tak patut ceritakan kepada orang luar.

 “Kau ingat hidup kau akan bahagia kalau hanya berdasarkan cinta semata-mata. Aku tak nak kau susah di kemudian hari. Aqil tu kerja kilang aje. Kau pula baru umur 21 tahun. Mentah lagi Zurra. Masa depan kau belum tentu terjamin. Dah elok-elok mak dan ayah hantar kau belajar, kau balik. Kau kemaruk sangat nak  kahwin dengan jantan tu. Kenapa dengan kau ni?”
Masih terngiang-ngiang kata-kata Shahira yang tajam menikam. Shahira merangkap kakak sulung di dalam keluarga mereka. Dia memang tegas orangnya. Dia seboleh-bolehnya nak adik-adiknya belajar seperti dia. Sudahnya sampai sekarang kakaknya itu tak kahwin-kahwin.
Nafsu muda zaman remaja. Bila dah bercinta tergedik-gedik nak kahwin. Sampai lupa bekalan masa depan.  Tapi salah ke dia kahwin muda. Rasanya itu lebih bagus dari dia buat maksiat. Kalau dia tahu Aqil nak berubah macam ni dah sah-sah dia tak akan kahwin. Tapi apa dia boleh buat. Sudah tiba jodohnya. Benda dah jadi sekarang dia hanya perlu fikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun terluka masih ada rasa sayang untuk suaminya.
 “Err...Zurra, maafkan saya. Awak fikir apa yang saya soal tadi ke?it’s okey kalau awak tak nak jawab pun.” luah Riyadh semula. Sebenarnya dia kesal kerana bertanya soalan macam tu. Masalah orang mana kita tahu. Marah hatinya pula. Yalah, macam berat je nak jawab soalan dia tadi. Yang dia pula sibuk-sibuk nak bertanya kenapa. Nampak sangat dia nak jadi penyibuk. Kenal pun tak dah sibuk nak tahu kisah orang. Kisah sendiri pun tunggang langgang.
Fazzura angguk lemah. Pandangan kembali dihalakan ke arah Fazmizie yang sejak dari tadi lagi melelapkan mata. Tidurlah sayang…semoga sakitmu akan segera sembuh. Doanya pula di dalam hati.
“Saya mintak diri dulu. Jaga dia baik-baik. Waktu makan ubat bagi dia makan ubat. Jangan harapkan nurse sangat tau. Lepas tu jangan lupa doa banyak-banyak. Insha Allah, semuanya akan beransur baik dengan izin dariNya.”
“Terima kasih. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa baik awak. Terima kasih sekali lagi.” Terharu rasanya hati dengan nasihat itu. Syukur kepadaMu Ya Allah kerana menghadirkan lelaki ini di saat aku benar-benar buntu dengan apa yang terjadi.
“Kecil punya hal. Kita tolong orang, esok-esok orang tolong kita balik. Tapi pertolongan Allah itu lebih pasti. Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.” Riyadh tenang berbeza dengan dia. Sebab hanya dia sahaja yang tahu jalaln cerita hidupnya yang derita.
“Aqilah, uncle balik dululah ya. Ermm…comel sungguh. Geram uncle tau. Nanti uncle datang bawa coklat lagi. Suka tak?” Dia mencium lembut dahi Aqilah. Rambut Aqilah yang kerinting itu dibelai mesra. Fazzura memandang perbuatan  yang langsung tidak kekok melayan anak-anaknya. Gayanya seperti sudah terlalu biasa bermain dengan kanak-kanak.
“Suka...terima kasih uncle. Nanti uncle datang lagi. Aqilah nak main-main dengan uncle. Adik sakit. Aqilah tak ada kawan. ” ujar Aqilah sambil menarik-tarik tangan. Perbuatan Aqilah benar-benar membuatkan Fazzura terharu. Sejak bersua dengan lelaki ini anaknya itu langsung tidak bertanya mengenai papa mereka.
Bukan mudah untuk anaknya  rapat dengan seseorang. Apatah lagi orang itu baru sahaja di kenali. Nampaknya lelaki ini begitu bijak melayan kanak-kanak. Lihat sahajalah Aqilah. Sudah begitu mesra dengannya.Fazmizie juga boleh terpujuk dengan pujukan lelaki ini tadi. Ermm…anehlah.
Sudah terlalu lama rasanya kasih sayang Aqil terhadap anak-anak hilang. Hilang dalam kesibukan. Hilang dalam kekayaan yang sedang di kejarnya. Hilang dalam keasyikkan yang melalaikan. Dan tadi? Kasih sayang itu semakin hilang dengan sebuah kecurangan.
“Yalah sayang. Esok uncle datang lagi. Jangan nakal-nakal tau.”
“Err...kenapa pula awak nak susah-susah nak datang?” Fazzura yang terdengar mencelah.
“Mana ada susah? Alang-alang esok saya nak datang sini lagi apa salahnya saya singgah kejap tengok dia orang.”  jawabnya serius.
 “Dah dua hari saya berulang alik datang ke hospital ni. Bakal isteri saya sakit. Tu lah kan, perempuan ni kalau sibuk sangat nak kurus begitulah jadinya. Terlebih diet tak pasal-pasal kena tidur wad.” terang  sambil geleng kepala.
“Dia nak cantik takut awak tinggal.” balas Fazzura pula. Rupa-rupanya dia datang nak tengok bakal isteri dia. Beruntunglah wanita itu. Bisik hati Fazzura lagi. Sanggup sakit sebab nak jaga kecantikan semata-mata. Lain pulak dengan dia. Badan dah sedikit berisi lepas melahirkan anak. Tapi tak adalah ketara mana. Itupun Aqil dah berubah. Katanya dah tak menarik lagi. Kalaulah Aqil boleh duduk ditempatnya sekarang baru Aqil tahu besarnya tanggungjawab seorang perempuan. Aqil kini dah jadi lelaki yang memang tak pandai nak menghargai lagi.
“Ah! tak ada maknanya. Lelaki tak semua macam tu Puan Zurra. Gemuk ke kurus ke, kalau dah cinta sangat terima je lah macam mana pun.”  jawab Riyadh dengan penuh yakin. Kalau boleh di tunjukkan kepada dunia sudah pasti dia akan tunjuk bukti cintanya. Ewah! Tunjukkan pada bulan dan bintang. Silap-silap bulan dan bintang tu muntah hijau atas kepalanya.
“Semua tu bukan ukuran untuk mencerminkan kebahagiaan pada masa depan.” sambungnya lagi. Senyum!
Fazzura senyum hambar. Terasa kata-kata itu terkena dengan keadaan dirinya sekarang. Kekayaan juga tidak mencerminkan kebahagiaan pada masa hadapan.Apa gunanya cantik yang tersirat kalau yang buruk jugak dipandang. Tapi zaman sekarang yang cantik, dan kaya orang selalu pandang dulu. “Lelaki akan cakap macam tu waktu sedang suka. Nanti bila dah kahwin lain pulak jadinya. Mesti ada yang tak kena.”
“Kalau isteri pandai jaga rumahtangga, tak mungkin suami akan cari lain.”  Seolah-olah memerlinya. Lelaki ini bagaikan boleh baca apa yang berlaku.
“Ermm…sebab tulah teman wanita awak nak cantik. Dia tak nak nanti lepas kahwin awak merungut. Itu tak kena. Ini tak kena. Sebelum kahwin semuanya sanggup terima.”
Riyadh ketawa mendengar kata-katanya. “Entahlah…saya tak fikir macam tu. Bagi saya cantik apa yang saya pandang dari hati. Kalau hati ikhlas sampai ke tua pun bahagia. Gemuk, ke kurus ke…terima aje. Tak perlu nak sakit dan siksa badan semata-mata nak cantik. Kita ni hidup sekali aje. Bukan berkali-kali. Bukan tak boleh nak cantik, tapi biarlah dengan cara yang betul. Kalau sembahyang lima waktu sehari pun dah nampak cantik. Pengertian cantik tu luas.” ujar  Riyadh panjang lebar.
Fazzura senyum sinis. Betul kata lelaki itu. Cantik itu luas. Bukan hanya pada pakaian. Tapi Aqil?Aqil dah tak fikir macam tu lagi. Sebab dia dah berjaya dan dia lupa daratan.
 “Jaga diri awak. Jaga anak-anak awak. Panjang umur kita jumpa lagi.” ujar  sambil mencium lembut dahi Fazmizie. Langkahnya pantas diatur menuju ke arah pintu wad.
“Oh! boleh saya ambil nombor telefon awak?” soalnya kembali.
Fazzura angguk. Dia mengambil Nokia X3 lalu ditaip nombor telefon miliknya. Kemudian dia bergerak mendekati Riyadh sedikit sebelum menunjukkan kepada Riyadh  nombor telefon miliknya yang tertera di skrin. Riyadh pantas mengambil nombor tersebut sebelum disimpan di Samsung S3 canggih miliknya.
“Terima kasih. Uncle balik dulu. Jangan nakal-nakal sayang. Assalammualaikum.” Dia emlambai kea rah Aqilah.
“Waalaikumussalam” balas Fazzura perlahan. Dia menghambat langkah kaki lelaki itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Zaman sekarang masih ada lagi lelaki seperti Riyadh. Masih mementingkan dalaman semulajadi dari luaran. Tapi, sebetulnya kedua-dua amat penting. Mungkin dia tidak seiring…ada waktunya dia mengabaikan kecantikan diri di hadapan Aqil. Dia banyak ketinggalan dalam berfesyen. Sebab terlalu memberikan tumpuan kepada keluarga. Pengorbanan dia yang Aqil tak lagi pandang sekarang. Tegar benar Aqil. Jadi, memang betullah dia memang tak menarik lagi.

4 comments :

  1. Terima Kasih... nanti saya update lagi ya :) Tunggu..

    ReplyDelete
  2. Emmm ....menarik.....selalulah update ye....

    ReplyDelete