Thursday, June 27, 2013

Elusan Kasih - Bab 9


SUASANA pada pagi itu redup sahaja walaupun jarum jam sudah menunjukkan ke angka 11.30 pagi. Kakinya terasa berat sewaktu hendak melangkah keluar dari perkarangan Mahkamah Syariah. Tatkala matanya terpandangkan Riyadh yang setia menunggu di perkarangan luar mahkamah bersama Aqilah dan Fazmizie hatinya semakin sebak. Segala-galanya telah selesai walaupun bukan mudah.
“Bagus! Kau boleh pergi dengan jantan tu.” tutur Aqil sewaktu menghampirinya. Langkah kakinya terhenti. Seboleh-bolehnya dia tidak ingin lagi menimbulkan apa-apa perbalahan dengan Aqil. Tetapi Aqil seringkali mahu menguji kesabarannya.
“Memang patut pun aku ceraikan kau. Aku harap anak-anak tak akan ikut jejak langkah kau. Kau patut sedar diri yang kau tu perempuan bukan lelaki. Eh! Zurra, kau tak malu ke hah? Kau tak malu ada jantan lain walaupun waktu tu kau tengah ada suami.” Aqil melempiaskan amarahnya tanpa menghiraukan beberapa orang yang berada di kawasan tersebut.
Tuduhlah Aqil semahu yang engkau mahu. Hanya aku yang tahu sakit perit penderitaan yang kau pahatkan. “Saya harap awak halalkan semuanya yang pernah awak berikan kepada kami. Halalkan juga kasih sayang awak kepada kami.” Fazzura sebak saat menuturkan kata-kata itu. Dia tidak mampu memandang wajah Aqil. Dia benar-benar tidak sanggup. Apatah lagi Aqil hanya ketawa sinis. Aqil nampaknya begitu gembira dengan penceraian yang telah berlaku di antara mereka.
“Aku serahkan hak jagaan anak kepada kau. Kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siaplah kau!” Aqil angkat jari telunjuknya tepat ke wajah Fazzura yang sudah mula basah dek air mata. Tangan kirinya pula membuka kaca mata hitam yang dipakainya.
“Buat apa kau nak menangis lagi? Bukan ke kau yang nak sangat macam ni? Kau pun dah ada jantan lain. Kau boleh pergi dengan jantan tu!” tutur Aqil lagi. Semakin Fazzura diam semakin sakit hatinya. Hatinya benar-benar sudah tiada rasa untuk Fazzura. Apatah lagi apabila melihat lelaki yang turut serta ada bersama pada hari ini.
“Apa salah Zurra abang sampai sanggup abang buat Zurra begini?Apa kurangnya Zurra? Apa silapnya Zurra di mata abang? Kenapa abang terlalu tegar buat Zurra dan anak-anak begini. Selama ini Zurra sikitpun tak pernah curang dengan abang. Zurra setia dengan abang. Zurra tinggalkan kehidupan Zurra yang lebih sempurna demi abang. Tapi…”
“Sudah! Aku tak hingin nak dengar apa-apa lagi. Kau bodoh ke apa Zurra? Apa kau tanya tadi? Salah kau? Silap kau? Oh!habis jantan tu siapa? Bukan ke di belakang aku kau pun ada jantan lain.” Aqil ketawa. Sedikitpun dia tidak endahkan tangisan Fazzura.
Kesalahannya ditutup rapat. Bahkan kini Fazzura pula yang dituduhnya menjadi penyebab. Sedangkan Riyadh cuma hadir sebagai orang luar yang menghulurkan bantuan.
“Kau berambuslah Zurra dari sini. Semakin lama semakin sakit hati aku!”
Zurra tidak menjawab. Mulutnya sudah terkunci seribu bahasa. Pandangan matanya yang basah dek air mata terarah kepada tiga pasang kaki yang sedang melangkah mendekatinya. Segera air mata dikesat. Dia tidak mahu anak-anaknya tahu kesedihannya. Dia juga tidak mahu Riyadh serba salah.
“Papa!papa!papa!” jerit Aqilah sambil berlari menuju ke arah Aqil.
“Kakak, hati-hati!” sempat Riyadh menjerit kepada Aqilah yang berlari laju menuju ke Aqil. Terus didukungnya Fazmizie.
 “Adik, rindu kat papa tak?” bisiknya halus. Hatinya resah dan bimbang. Tapi dikawal agar tidak terlihat oleh pandangan mata mereka. Lagipun dia tak bersalah. Buat apa dia nak takut.
“Papa, papa, papa pergi mana? Kenapa papa tak balik? Aqilah rindu papa.”
Buat seketika terdengar keluhan kasar Aqil. Riyadh yang sampai terus menurunkan Fazmizie yang berada di dalam dukungannya.
“Err…saya tunggu di kereta.” ujar Riyadh kemudiannya. Dia ingin berlalu dari situ.
Uncle, jangan pergi…”Aqilah menarik tangannya. Meronta-ronta dia agar Riyadh tidak berlalu dari situ. Riyadh akur dengan permintaan anak kecil itu.
Kemudian Aqilah kembali pula menarik tangan Aqil. “Uncle, Aqilah dah jumpa papa.” tunjuk Aqilah pula kepadanya. Aqilah terlalu kecil untuk mengerti apa-apa.
“Adik, sini adik. Tengok papa ni adik,” kali ini giliran Fazmizie pula yang ditarik Aqilah. Perasaan sayu mengundang siapa sahaja yang memandang.
“Maafkan papa, papa kena pergi.” ucap Aqil sebaris kata. Dia memeluk kedua-duanya sebelum berlalu pergi. Tidak tegar berlama di sini. Benci melihat wajah lelaki yang bersama dengan Fazzura.
“Papa!” panggil Aqilah. Fazzura melihat anaknya ingin mengejar Aqil namun Fazzura cepat-cepat menghalang.
“Jangan ikut papa Aqilah!” Tubuh Aqilah ditarik kuat. Kemudian si kecil Fazmizie pula ditariknya. Riyadh tahan nafas. Tidak menyangka dengan tindakan Fazzura. Baginya agak keterlaluan.
“Papa! Papa! jangan pergi. Aqilah nak ikut papa.” Aqilah memanggil Aqil lagi untuk sekian kali. Dia ingin mengejar Aqil. Namun Fazzura memegang kuat tangan anaknya itu.
“Jangan Aqilah! Biarkan papa pergi. Kenapa degil sangat!” tengkingnya sekali lagi. Satu cubitan hinggap di lengan Aqilah. Kali ini Aqilah terus menangis. Fazzura tidak mempedulikan lagi tangisan Aqilah. “Degil!” uajrnya geram.
“Zurra,apa awak buat ni?” soal Riyadh terus mendapatkan Aqilah yang menangis. Digosoknya perlahan lengan Aqilah.
“Awak tak patut buat begini Zurra. Bukan ke saya dah pesan.” Riyadh geleng kepala sambil menjeling sekilas kepada Fazzura. Pantang betul dia kalau jadi begini. Anak-anak pula yang jadi mangsa. Mereka bukannya tahu apa-apa pun.
Aqil yang berjalan di hadapan kembali menoleh. Mencerlung matanya memandang Fazzura dan Riyadh silih ganti. “Kau ingat Zurra, kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siap kau!” tutur Aqil keras. Kata-katanya berbaur ugutan. Apa perlunya Aqil berbicara begitu. Sebelum ini, pernah dia ambil kisah soal anak-anak. Soal makan minum anak-anak. Aqil tak pernah sedar kesalahannya. Sakit hatinya. Aqil bercakap seolah-olah dia langsung tak pernah pukul anak-anaknya.
“Saya tak suka awak pukul, cubit or buat apa saja yang boleh menyakitkan anak awak.”
“Siapa awak nak halang saya! Saya tak nak awak manjakan anak-anak saya. Saya akan ajar anak saya ikut cara saya!” balas Fazzura kasar. Ditarik tangan Fazmizie lantas bergerak meninggalkan Riyadh dan Aqilah di situ.
Riyadh geleng kepala.  Memang betul siapalah aku ni nak ajar kau pulak! Hatinya dijentik rasa geram dengan sikap angkuh Fazzura.


“SEMUA ini adalah takdir Zurra. Awak menangis sampai berdarah biji mata sekalipun tak akan mengubah apa-apa” ujar Riyadh sewaktu mereka sampai di kondominium miliknya. Tadi di perkarangan mahkamah bukan main Fazzura nak tunjuk yang dia kuat. Tapi sampai rumah dah meroyan pulak menangis. Ini yang dia lemah ni.
Tanpa menjawab soalannya Fazzura terus melangkah masuk ke dalam bilik. Riyadh sedar yang wanita itu sudah nekad hendak pulang ke kampung. Riyadh hanya memerhatikan langkah Fazzura. Dia marah aku ke pasal tegur dia tadi? Hati sudah mula menyoal pasal kes di mahkamah tadi. Pandangannya jatuh kepada Aqilah dan Fazmizie yang mula bermain-main di ruang tamu tamu. Sudah terlupa agaknya dengan kejadian yang berlaku di mahkamah tadi.
“Zurra…”panggil Riyadh perlahan di balik muka pintu. Fazzura menoleh. “Saya mintak maaf.” luahnya kesal.
Fazzura geleng kepala.“Awak ni tak ada buat salah dengan saya pun.” Pelik pula bila Riyadh nak mintak maaf macam tu. Sepatutnya dia yang mintak maaf. Sebab dah banyak menyusahkan lelaki ini. Riyadh tenang sahaja berhadapan dengan Aqil di mahkamah tadi. Dia pula yang terlebih emosi sehingga sanggup jatuhkan hukuman ke atas anak-anaknya. Pulak tu siap cakap macam-macam pada Riyadh.
“Pasal tadilah. Saya mintak maaf.”
Fazzura diam. Hanya tangannya yang mula berbicara. Menunjukkan sesuatu yang langsung tidak menyenangkan hati Riyadh. Tengok Fazzura mencapai beg besarnya itu pun dia sudah tidak sedap hati.
“Awak tetap nak pulang ke kampung ke Zurra?”soalnya.
Fazzura angguk. “Saya telah banyak menyusahkan awak Riyadh. Awak jangan risau tentang dia orang berdua.” balasnya sambil mengesat sisa air mata yang masih bergenang di tubir mata.  Dia sudah terlalu banyak menyimpan rasa.
“Awak, sebenarnya saya nak mintak maaf kepada awak. Sebab dulu saya halau dan awak pergi. Sedangkan ini rumah awak. Awak tumpangkan saya. Tapi…saya tak dapat kawal keadaan waktu tu. Maafkan saya. Pasal tadi pun saya tak sengaja nak buat macam tu. Saya kecewa dengan apa yang berlaku.”
“Saya tak kisah Zurra pasal hal tu. Tapi, kenapa? Apa sebabnya awak buat macam tu?” Riyadh benar-benar ingin tahu kenapa Fazzura menangis tempoh hari.
“Saya benar-benar tak dapat kawal perasaan saat mata  ni melihat bekas suami saya bersama dengan wanita lain. Apatah lagi, wanita itu adalah wanita yang sama  datang ke rumah saya dan mengakui dia ada hubungan sulit dengan bekas suami saya. Apa yang paling saya kesalkan  dia sanggup melakukan maksiat. Padahal, sehari sebelumnya dia menceraikan saya. Langsung dia tidak peduli perasaan saya. Malah dia sengaja menunjukkan kemesraannya di hadapan saya. Saya kecewa. Hati saya sakit. Dia lelaki yang saya sanjung keperibadiannya. Tetapi, dia tegar melukai hati ni tanpa sikitpun belas simpati.” Cerita Fazzura panjang lebar. Dadanya berombak menahan rasa.
Riyadh terkejut. Sungguh dia tidak menduga sampai begitu sekali Aqil. Jika dia ada bersama waktu itu sudah pasti teruk Aqil di ajarnya. Patutlah Fazzura meraung bagai orang gila di dalam bilik air. Kalau dia di tempat Fazzura pun sudah tentu hal yang sama dilakukannya.
“Saya…saya mintak maaf.” tutur Riyadh. Suaranya tersangkut-sangkut. Fazzura terus mengemas barang-barangnya yang tidak seberapa. Dia tidak mahu tinggal di sini lagi. Dia telah banyak menyusahkan lelaki ini.
“Awak baik...sikitpun awak tak menyusahkan saya. Tak terbalas jasa saya pada awak, Riyadh.” Riyadh langsung tak bersalah apa-apa.
“Kalau yer pun tunggulah dulu. Duduklah sini sampai habis eddah.” pujuk Riyadh lembut.
Fazzura tidak faham kenapa Riyadh sibuk sangat nak menghalangnya pergi. Bukankah Riyadh dah nak kahwin. Dia boleh fokus dengan perkahwinannya.
“Keputusan saya muktamad.” Fazzura bertegas.
Kata-kata Fazzura membuatkan perasaannya menjadi sayu. Dia bersandar di balik pintu itu. Pandangan matanya jatuh ke wajah anak-anak kecil itu bersilih ganti. Apa yang pasti dia mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Aqilah dan Fazmizie. Di majlis bahagianya yang bakal berlangsung tiga bulan dari sekarang dia mahu Aqilah dan Fazmizie ada. Dia mahu mereka yang membuka pintu hatinya ke arah sebuah hidup yang lebih sempurna ada bersamanya ketika majlis itu berlangsung. Sungguh, terlalu tinggi angan-angannya. Dia lupa yang dia orang luar yang tak ada kaitan apa-apa di dalam hidup Fazzura dan anak-anak. Argh! Tiba-tiba dadanya rasa berkecamuk. Bagaikan tak sanggup untuk berpisah dengan wajah-wajah itu.
“Riyadh, awak terlalu baik. Terlalu baik untuk saya dan anak-anak. Susah nak jumpa lelaki seperti awak. Awak seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Selama beberapa minggu kami di rumah awak, sedikitpun kebajikan saya dan anak-anak tidak awak abaikan. Saya pula yang rasa malu dengan awak. Sejujurnya saya betul-betul rasa malu dengan tindakan saya. Saya mintak maaf.” ujar Fazzura setelah dia siap mengemas barang-barangnya yang tak seberapa.
Riyadh mengeluh kecil. “Kalau itu pilihan Fazzura saya tak boleh nak halang. Saya tak ada hak untuk halang.” Sebenarnya dia rasa hampa.
“Saya hantar awak dan anak-anak pulang?”
Fazzura menghadiahkannya satu senyuman. Sejak dari mahkamah tadi inilah baru kali pertama dia lihat Fazzura senyum begitu. Di sebalik senyuman manisnya itu jelas menunjukkan betapa diri wanita itu menanggung sengsara dek perbuatan seorang lelaki. Siapa sangka.
“Awak tak perlulah nak susah pasal kami lagi. Saya boleh balik dengan bas. Saya dah call pun teksi tadi. Saya tak nak menyusahkan awak lagi.” Fazzura cuba menolak perlawaan Riyadh.
Cukuplah Riyadh kau terlalu baik untuk diri ini dan anak-anak. Jika kau tiada sudah pasti entah di mana aku dan anak-anak merempat. Bisik hati kecilnya pula.
“Awak ni memang degilkan…suka hati awaklah.” tutur Riyadh sambil menjegilkan biji matanya bulat-bulat. Ada terselit nada rajuk di dalam tutur katanya. Aneh? Kenapa pula dia nak ‘sentap’ ni.
“Saya pasti akan rindukan dia orang.” Dia cuba menahan perasaan. Menatap Aqilah dan Fazmizie bagaikan tak terzahir rasa kasihnya yang kian menebal.
“Mereka juga pasti akan rindukan uncle dia orang.”
Riyadh buat muka sedih lagi.
“Rasa seperti nak berpisah dengan anak-anak sendirilah pulak!”
Terus Fazzura mengerutkan keningnya. “Awak cepat-cepatlah kahwin. Nanti ada anak awak tak perlu lagi dah nak fikirkan pasal budak-budak berdua ni.” Dia tahu Riyadh berat hati tetapi apa gunanya dia di sini. Lebih lama nanti timbul banyak pula masalah. Dia tak nak! Jadi lebih baik dia elak.
“Ermm…awak...jaga diri baik-baik. Saya dah start sayangkan dia orang berdua ni. Sangat-sangat sayang. Satu aje yang saya nak mintak sebelum awak pergi.”
Fazzura pandang Riyadh. Serius. “Jangan awak mintak bulan dan bintang sebab saya tak akan pernah mampu.”
Terhembur tawa Riyadh. “Buat apa bulan dan bintang yang tak mampu disentuh. Saya hanya nak awak jangan lupakan ingatan mereka berdua terhadap saya. Mereka istimewa dan saya rasa bahagia dengan telatah mereka.”
Fazzura angguk. Mengerti perasaan lelaki itu. Sesungguhnya, kau juga istimewa dalam hidup mereka Riyadh. Kau bagaikan mentari yang menyinari hidup kami selama kami di sini. Kau eluskan kasih yang amat mereka perlukan. Kau titiskan embun kasih walau seketika  cukup aku rasakan yang mereka merasa adanya kau walau di mana jua.
Kerana pelanggaran kecil sewaktu di hospital dahulu mengundang jalan cerita di antara Riyadh dan juga anak-anaknya. Beruntung siapa yang memiliki lelaki ini. Doanya hanya satu, berharap agar lelaki ini tidak akan berubah laku seperti apa yang telah Aqil lakukan kepadanya. Ah! Bilakah nama Aqil  akan terhapus dari kamus hidupnya.



Wednesday, June 26, 2013

Elusan Kasih - Bab 8



“BUAT apa you datang sini?” soal Riyadh kasar saat tubuh Annis muncul di hadapannya. Dia marah dengan tindakan Annis semalam. Baginya keterlaluan.
“Sebab budak-budak entah dari mana asal usul tu you nak marah I?”
“Kenapa?You dah rasa you bersih sangat. Budak-budak tu kalau kotor pun dia orang tak ada dosa macam you. Dia orang bersih lagi dari you.” Sakit hati meluap-luap terus dilepaskan. Sebab semalam dia tak nak gaduh depan budak-budak tu. Tak nak tunjukkan teladan yang tak elok. Nanti Aqilah cerita kat Fazzura pula. Tak pasal-pasal malu yang dia dapat.
“I pelik kenapa you beria-ia sangat pertahankan budak-budak dua orang tu.”
“Habis you nak suruh I pertahankan you?Tolonglah…I dah letih layan kerenah you yang macam-macam ni.” Riyadh menyandarkan badannya di kerusi hitam itu.
“Jadi you nak I buat apa?You nak I peluk cium budak ko…”
“Lagi sekali I dengar you cakap macam tu. I lempar you dalam sisa kumbahan tu.” balas Riyadh geram. Tak habis-habis nak cakap budak-budak tu kotor. Hesy!
Annis ketawa. Dia bangun menghampiri Riyadh. Lelaki ni kalau pujuk sikit cairlah. “You…I mintak maaf okey. You nak I buat apa sekarang?”
“I nak kahwin secepat mungkin. Kita bertunang tiga bulan. I rasa tiga bulan tu cukup untuk kita urus semuanya.” luah Riyadh dalam nada yang tegas. Sekali lagi Annis terlopong mendengar kata-katanya. Tiga bulan? Riyadh memang gila.
“Jangan buat muka terkejut macam tu. I serius minggu depan I hantar family merisik. Ummi dah sibuk-sibuk tanya pasal kita berdua. I tak nak biar hubungan ni lama-lama macam tu aje.” sambungnya lagi menjelaskan keadaan yang sebenar.
Mencuka wajah Annis mendengarnya. “Kenapa you…kenapa nak sangat tergesa-gesa macam ni. I baru je balik dari Singapore. Penat I pun tak hilang lagi. Ummi tu bukannya suka sangat dekat I.” luah Annis perlahan. Wajahnya yang ceria di awal menjejaki kaki ke pejabat Riyadh mula bertukar warna. Jelas raut wajah tidak puas hati dengan keputusan Riyadh. Dari semalam lagi tak henti-henti nak sakitkan hati dia.
“Apa yang tergesa-gesanya? I dah cakap pada you lama soal kita. You bagi alasan pada I sebab you tak bersedia. Please, boleh you bagitahu bila masa yang sesuai?” Riyadh menyoal dalam nada lembut.
“I nak buka perniagaan sendiri. Nak ada butik pengantin. I ada cita-cita I sendiri. Kerjaya I  dalam bidang modelling pun baru je mula.” Lagi sekali Annis memberikan alasannya yang tersendiri. Riyadh senyum menampakkan sebaris giginya yang tersusun cantik.
 “Tak habis-habis dengan alasan. Tadi you yang tanya I apa yang you nak buat? Sekarang? Alasan!” sinis kata-kata Riyadh.
“You.. please. I tak bersedia..” pujuk Annis pula. Kali ini nada suaranya dikendurkan. Tidak mahu seperti pertemuan-pertemuan yang lalu. Kesudahannya mereka bermasam muka sampai dua tiga hari. Bukannya dia tak sayangkan Riyadh.  Sudah tujuh tahun bersama. Riyadh tak seperti lelaki-lelaki lain. Yang hanya tahu mengambil kesempatan ke atas wanita. Riyadh lelaki yang ada segala-galanya. Rupa, gaya dan harta. Pendek kata lelaki ini mempunyai pakej lengkap yang wanita diluar sana idam-idamkan. Adakalanya dia cuba juga untuk menguji Riyadh. Tapi sampai dah tujuh tahun. Sedikitpun Riyadh tak teruji. Macam tak ada perasaan saja.
Riyadh bangun duduk di sisi meja sambil matanya memandang Annis tepat. Wanita itu kelihatan gelisah. Penghawa dingin yang terpasang dikurangkan.
“Sejuk ke?” soal Riyadh serius. Annis geleng kepala.
“Lain kali pakai baju tutup sikit. Ini tak? Terdedah sana sini. Banyak kali kan I pesan pada you. Kalau datang pejabat I pakai sopan-sopan sikit. Pekerja-perkerja I bukannya buta. Dia orang semua ada mata.” Sindir Riyadh.
Annis mengeluh. Dalam.
“I tak tahu kenapa you sibuk-sibuk sangat nak ajak I kahwin. Sekarang pun you sibuk-sibuk nak tegur pasal pakaian I pulak. Kenapa you dah nak jadi ustaz. Belum lagi jadi suami I. Dulu you terima je I sekarang dah nak tegur-tegur macam tu.” Muncung Annis sedepa.
 “Janganlah merajuk macam ni. Nanti I akan beritahu ummi dan walid. Maybe diaorang akan telefon papa dan mama you dalam masa terdekat. Yang pasti minggu depan dia orang akan pergi merisik.” Dia kembali mengambil tempat duduk di kerusinya. Berhadapan dengan Annis yang masih lagi diam tidak bersuara. Anehnya, selalu ada sahaja yang Annis hendak bangkangkan.
“I nak you tolong I buka butik pengantin tu…please...” tutur Annis kemudiannya.
“Boleh.” Jawab Riyadh laju. “Apa yang I tak pernah tolong you sayang? tapi kali ni dengan satu syarat.” sambung Riyadh  lagi sambil keningnya yang sedikit tebal itu diangkat berulang kali.
“Syarat?” Annis memandang wajah kacak Riyadh. Dia sudah dapat mengagak apa yang bermain di fikiran lelaki itu.
Riyadh angguk. “Ya, syarat. You setuju kahwin, I akan tolong you. Kita usahakan sama-sama. I boleh tolong you buat semua sayang. Dari paper work, modal, lokasi, or whatever. Cuma I nak kita kahwin. Hidup dalam sebuah keluarga. Kita bercinta lama-lama pun buang masa. Dengan kerjaya you yang macam tu, I risau.”
“Risau?” soal Annis pelik.
“Ya, sayang…I risau dengan cara you. Sejak you masuk bidang modelling ni. Berapa banyak masa yang you ada dengan I?”
“You cemburu?” Annis tarik senyum lebar. Terasa diri benar-benar di sayangi oleh lelaki ini. Apa sahaja permintaannya pasti saja lelaki ini turutkan. Jika dia melepaskan lelaki ini pasti satu kerugian besar untuk dirinya. Apatah lagi dengan perniaagaan milik Riyadh yang kian berkembang maju.
“Cemburu tu satu hal lah. I risau kalau you tu terjebak dengan perkara bukan-bukan. Kalau setakat you nak pergi clubbing tu I tak kisah. Tapi…”
 “You tak percayakan I ke sayang?”
No! Bukan macam tu maksud I? I tak nak you terleka, terlalu jauh kejar semua kerjaya you tu. I tak nak you tersasar dari niat asal you. I izinkan you jadi model sebab I tak ada kuasa nak halang you. Itu minat you tapi satu je I nak pesan. Jaga diri jangan sampai I dapat tahu yang bukan-bukan. Sebab tu I risau. I ajak kahwin pun you bagi banyak sangat alasan.”
“You pun tahu I baru lagi dalam bidang modelling ni. Kalau I kahwin kerjaya I tak akan kemana..”
“Oh! Sebab tu lah diet sampai jatuh sakit? Nak kurus sangat semata-mata nak dapat job. I tak suka cara you macam tu.”
“Nanti kalau I gemuk banyak lagi omelan you.” balas Annis sambil melepaskan keluhan berat. Semakin hari semakin pening pula dia dengan kerenah Riyadh. Nasihat itu ini. Sampai kadang-kadang dia naik rimas dengan lelaki ini.
“I terima you seadanya!” luah Riyadh geram. Kenapa Annis tak pernah faham yang dia tak pandang semua tu. Dia bukan lelaki jenis tu.
“Manalah I tahu, sekarang you boleh cakap macam tu? Esok lusa lain pula.” tutur Annis menidakkan kata-kata Riyadh.
“Terpulanglah pada you. Yang pasti minggu depan family I tetap akan pergi merisik you.” Riyadh kembali kepada perbincangan asal mereka. Annis sudah mula tidak sedap rasa. Sekali lagi keluhan berat dilepaskannya. Ah! Riyadh benar-benar memaksanya.
Ketukan di muka pintu bilik Riyadh menghentikan bualan di antara mereka. Terpacul wajah setiausahanya di muka pintu. Gadis berbaju korporat bewarna biru itu memandang sekilas ke arah Annis dengan senyuman. Annis membalas senyuman.
“Encik Riyadh, ada tetamu nak jumpa.” Riyadh angguk. Shuhada segera memberi laluan kepada tetamu itu untuk masuk.
“Opss sorry ganggu” ujar lelaki itu tatkala masuk ke dalam pejabat milik Riyadh. Dia merasakan kedatangannya mengganggu pasangan yang barangkali sedang membicarakan sesuatu.
“Hey!come!”panggil Riyadh sambil menujukkan isyarat tangannya agar duduk di kerusi di hadapannya bersebelahan dengan Annis. Remy, kenalan lama yang masih lagi berhubung dengannya. Jika tidak silap sudah hampir tujuh tahun dia kenal dengan Remy sewaktu mereka sama-sama bekerja di tempat yang sama. Sekarang haluan mereka sudah berbeza. Dia dengan perniagaannya sendiri manakala Remy sekarang adalah jurulatih kuda di denai Alam.
“Rasanya korang dah kenal kan? Tak payah aku nak kenalkan lagi.”ujar Riyadh ramah.  Seingatnya sejak kali terakhir mereka bersua beberapa minggu yang lalu di Denai Alam.
“Hai…” sapa Remy kepada Annis.
“Hai...” jawab Annis sambil tersenyum memandang Remy. Siapa tak kenal Remy. Salah seorang jurulatih di Denai Alam Recreational And Riding Club. Dulu, dia adalah dua tiga kali pergi belajar kelas menunggang kuda di sana. Dengan kesibukkannya sekarang semuanya sudah tidak sempat lagi dilakukan semua itu.
 “Kau apehal ni tiba-tiba datang office aku? Nak bagi job ke apa?” soal Riyadh sambil tersengeh.
“Kebetulan aku lalu di hadapan pejabat kau ni. Tanya pekerja kau, dia orang cakap ada dalam bilik. Teruslah aku tuju ke sini.Eh! Sekarang dah ada setiausaha ke? Dulu aku masuk aci redah je pejabat kau ni.”
“Iyelah, job makin bertambah ni aku kena ambil jugalah pembantu. Tolong aku apa yang patut. Aku kadang-kadang sibuk. Mana sempat.” balas Riyadh pula. Annis diam tidak tahu mahu mencelah di mana. Matanya bersilih ganti memandang Riyadh dan Remy yang leka berborak.
“Baguslah macam tu, peluang makin banyak jangan lepaskan. Projek rumah baru siap sekarang ni banyak. Kalau kau boleh buat luar dari Kuala Lumpur ni lagi bagus.”
“Buat masa sekarang aku fikir untuk ambil dalam kawasan Kuala Lumpur dan Selangor aje. Lagipun kos untuk keluar kawasan tu pun besar jugak. Yang ada sekarang pun aku masih belum berkesempatan nak buat. Bersusun-susun. Alhamdulillah, Rezeki Allah SWT bagi.”
“Macam mana projek kau di Denai Alam tu?” soal Remy sekali lagi.
“Banyak jugalah yang aku terima untuk buat ubahsuai. Dia orang sekarang nak perabot-perabot yang nampak ringkas tapi bergaya. Sesuai dengan perumahan kelas atasan macam tu. Banyaklah sikit tugas aku ni.” jawab Riyadh ringkas. Hampir lima tahun dia menapak di dalam bidang ini. Perniagaan Seni Hias yang ditubuhkannya semakin berkembang maju. Bukan hanya menawarkan kepakaran yang lengkap dalam bidang pembinaan dan pengubahsuaian bahkan untuk rekaan perabot kediaman juga. Semakin banyak projek perumahan yang naik, semakin banyak jugalah rezeki yang dia ada.
“Jauh benar bidang kau dengan aku. Aku hal yang berkaitan kuda-kuda ni aku tahulah.”
“Yalah, tapi aku tak masuk banyak macam kau tu. Bulan-bulan tebal je poket kau.” Remy ketawa lagi mendegar kata-kata Riyadh.
 “Lepas tu tak payah pening-pening nak fikir pasal perabot tu, perabot ni.” Sampuk Annis.
“Cik Annis perli kita ke?” Annis geleng kepala.
 “Hey, korang berdua ni bila nak makan nasik minyak ni? Dah lama korang bercinta kan, bro?” soal Remy. Anak matanya sesekali jatuh ke tubuh Annis yang putih gebu.
Annis melemparkan senyuman tatkala topik mengenai dia dengan Riyadh pula di bangkitkan. Hampir-hampir dia hendak bangun dari sini tadi kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengetahui urusan kerja Riyadh. Dia tengok rekaan-rekaan yang Riyadh buat pun dia dah pening. Itu belum masuk lagi jenis-jenis kayu dan bahan material lain yang Riyadh cakapkan padanya. Mana dengan sebutharganya lagi. Owh! Baginya hidup ini bukan untuk diperhambakan kepada kerja-kerja yang merumitkan begini. Cukuplah dia pening waktu belajar dulu.
“InshaAllah. Tak lama lagi.” Balas Riyadh sambil anak matanya mengekor pandangan Remy yang terarah kepada Annis. Ah! Remy, siapa tak kenal dia. Kahwin sampai tiga kali. Bercerai dua kali. Pernah ada skandal dengan isteri orang. Apa yang dia cari pun tak tahulah. Sekarang nak sapu tunang dia pulak ke? Memang cari nahas. Ya, dia rasa ragu dengan Remy.
“Eh? you pulak apa cerita?” semenjak dari tadi baru kini kedengaran suara Annis. 
“Belum jumpa yang berkenan. Kalau ye pun orang punya.” Remy ketawa kuat. Riyadh hanya geleng kepala. ‘Dalam maksud kau Remykan.’ Bisik hatinya sendiri.
“Lain macam je cakap kau ni Remy. Jangan kau nak buat hal lagi. Tahu kat bapak kau. Siaplah kau lagi lepas ni. Kecik hati isteri dengan anak-anak kau di rumah tu kalau diorang dengar.” Sebetulnya amaran itu lebih datang dari dirinya sendiri. Bukan boleh percaya sangat ni. Buat digodanya si Annis. Makan hati berulam jantung. Yang si Annis pun satu. Bukan main lagi ketawa manja dengar Remy cakap begitu. Mulalah nak gedik! Hesy! Itu depan mata. Belakang? Aduhai…
“Aku rasa jalan cerita aku sekarang ni sama aje macam dulu. Rumahtangga aku bermasalah.” Terang Remy jujur.
“Bro, kau tu…tak serik-serik ke hah?”
Remy ketawa.
“Bila you nak sambung belajar menunggang ni, Annis? Kau pun sama Riyadh. Aku ajak kau join dari dulu lagi. Sibuk sangat ke kau ni?” Dia mengalihkan topic lagi. Tidak suka perihal dirinya dibicarakan lagi.
“Alah, I memang tak sempat. Nanti kalau I free I pergilah.” jawab Annis.
“Rugi belajar separuh macam tu.” Remy cuba memujuk.
“Ermm... free sangatlah dia ni Remy. Dengan aku pun tak ada masa.” Perli Riyadh sambil mencebik bibirnya ke arah Annis. Nak tunjuk romantis depan Remy kononnya.
“Yalah, Encik Riyadh. You tu pun apa kurangnya.” Giliran Annis pula memaku dirinya. Remy ketawa memandang kedua-duanya. Rasa cemburu melihat kebahagiaan pasangan itu.
Bagi Annis tak mungkin lelaki seperti Remy mampu hidup tanpa wanita. Remy bukan calang-calang lelaki. Kalau Remy biasa sudah pasti tak ada perempuan yang tergoda.
“Aku blah dululah bro. Aku ada hal ni. Nanti jangan lupa sambung kelas menunggang tu cik Annis.” Remy bangun dari duduknya. Mengerling sekilas kepada Annis. Riyard sekadar memerhati.
“Tengoklah I tak janji bila free.” jawab Annis.
“Aku balik dulu Riyadh.” ujar Remy lagi sebelum menuju ke muka pintu. Kemudian langkah kaki lelaki itu terhenti dan berpaling semula ke arah Riyard.
Bro! Anak jiran kau tu bila lagi nak bawak jalan-jalan?” Remy ketawa.
Annis tajam pandang wajah Riyadh. Riyadh sengeh.Tak guna kau Remy. Bentak hatinya pula. Buat-buat tak peduli jelingan Annis. Kantoi!
“Maknanya dah banyak kalilah you bawak anak jiran you tu keluar.?” Soal Annis sebaik sahaja Remy berlalu.
“Ermm… jangan nak rapat sangat dengan Remy tu.” ujar Riyadh  kepada Annis. Berusaha menukar topik tentang ‘anak jiran’ tu.
“Dengan kawan sendiri pun you nak cemburu.?”
“Kawan tapi tak rapat. You kena ingat tu.” pesan Riyadh. Sejak Remy masuk dia tidak sedap rasa. Cara Remy pandang Annis tadi pun dia seperti dapat meneka apa yang ada dalam fikiran lelaki itu. Ayat manis Remy kalau perempuan tak cair. Tipulah. Lelaki seperti Remy bukan lelaki seperti dia. Perbezaan itu jelas ketara. Bezanya dia bercinta dengan niat nak buat isteri. Bukan sekadar nak main-mainkan sebuah hati.


BARU sahaja Fazzura selesai memasak dia kejutkan dengan suara seseorang memberi salam di luar. Sudah dapat di pastikan siapa empunya suara. Fazzura pantas bergerak menuju ke muka pintu. Salam disambut.
“Ganggu ke? Mana budak-budak?” soal Riyadh terus sebaik sahaja Fazzura membuka pintu.
 “Ada tu tengok TV.”  Fazzura hanya memerhatikan tingkah Riyadh yang laju menuju ke arah anak-anaknya. Apalagi riuh rendah suara Aqilah menjerit keriangan tatkala memandang Riyadh. Fazmizie ikut serta seperti Aqilah yang sedang melompat-lompat sambil memeluk tubuh Riyadh dari belakang.
“Bucuknya…dah mandi ke belum ni?” kedengaran suara Riyadh menyoal kedua-duanya.
“Nak uncle mandikan. Uncle mandikan kakak dengan adik.” jawab Aqilah. Fazzura geleng kepala.
“Aqilah, kenapa nak susahkan uncle pulak. Ibu kan dah ajar mandi sendiri. Jangan nak susahkan uncle.” Fazzura seboleh-bolehnya tidak mahu anak-anaknya itu terlalu manja dengan Riyadh. Riyadh orang  luar yang mereka tidak kenali. Anak-anaknya harus biasakan diri hidup tanpa seorang ayah walaupun  mereka masih kecil.
“Tak susahkan Zurra. Saya boleh buat.” 
“Tak apalah awak. Dia orang tu dah boleh mandi sendiri.” Fazzura cuba berkeras. Dia tak nak lelaki ni terus memanjakan anaknya.
“Tak selalu pun Zurra. Apa salahnya awak bagi saya job untuk mandikan diaorang berdua. Bukannya menyusahkan sangat pun.” Riyadh senyum.
“Saya tak mampu nak bayar awak gaji.”
“Tak mintak bayaran pun. Ini ikhlas okey.”
Fazzura melihat Riyadh memimpin tangan kedua-dua anaknya menuju ke bilik air. Fazzura geleng kepala. Cara Riyadh bukankah semakin mengundang masalah buat mereka. Dia berusaha untuk membiasakan anak-anaknya hidup tanpa ayah. Sekarang, Riyadh pula cuba mengambil pendekatan sebagai ayah.
“Memang awak tak mintak bayaran tapi cara awak layan diorang buat saya risau. Awak faham tak?”
Riyadh jungkit bahu.
“Saya nak biasakan anak-anak saya hidup tanpa kasih sayang seorang ayah. Anak-anak saya perlu belajar kehilangan macam mana saya yang telah kehilangan segalanya. Awak faham?”
“Jangan nak samakan awak dengan anak-anak awak pulak. Diorang ni masih kecil. Tak faham apa-apa pun. Awak nak mintak diaorang mengerti makna kehilangan tu. Zurra…Zurra.  Sebelum cakap fikir Zurra. Saya nampak awak bukan je hukum diri awak tapi anak-anak awak.”
Riyadh terus melangkah masuk ke dalam bilik. Budak-budak dua orang tu dah tunggu nak dia mandikan. Fazzura terus mengeluh kasar. Dia mengetap bibirnya geram. Senanglah kalau jadi macam Riyadh. Sebab lelaki itu tak faham apa yang dia tanggung selama ni. Riyadh mungkin boleh jadi pendengar tapi bebanan tetap hanya dia yang tanggung. 
Hampir lima belas minit mereka bertiga di dalam bilik air. Sebaik sahaja keluar dari bilik air baju Riyadh dah basah lencun.“Awak sekali mandi dengan dia orang?” soal Fazzura sambil mengambil Fazmizie yang berada di dalam dukungan Riyadh. Riyadh hanya senyum tanpa membalas kata-katanya.
“Aqilah pergi pakai baju sendiri. Ibu dah letak atas katil tu. Pakai sendiri ye…ibu dah ajar. Jangan nak susahkan uncle. Kakak kan dah besar pun.”
“Pandai ke Aqilah pakai? Uncle tolongkan lah...” potong Riyadh pula. Aqilah angguk gembira.
“Kakak jangan nak mengada, ibu dah ajarkan. Nak jugak susahkan uncle kenapa?”  tutur Fazzura dengan nada tegas.
“Awak tak perlu susah-susah macam ni. Awak dah banyak tolong kami. Saya ingat lepas selesai semuanya, saya akan pulang ke kampung. Saya tak akan ubah apa yang telah saya fikirkan. Sama macam mana yang saya beritahu semalam.”
“Ermm… saya tak setuju.” Riyard terus berlalu menuju ke arah Fazmizie. Fazzura nak balik kampung. Dia dah mula susah hati. Kenapa dengan dia. Lantaklah kalau Fazzura nak balik kampung pun. Hesy! Riyard. Kenapa ni? Kenapa? Fazzura macam nak benci semua orang termasuk dia. Apa salah dia?Lama dia tenung baju Fazmizie. Terasa berat! Berat nak lepaskan mereka jauh dari pandangan matanya.
 “Setuju atau tak awak tak berhak nak halang saya pun. Baju awak basah tu... pergilah tukar. Saya pakaikan baju adik. Tak payahlah awak susah-susah.” Fazzura terus mengambil baju Fazmizie yang berada di angan Riyadh.
Riyadh tak sempat nak cakap apa-apa. Baju dah bertukar tangan. “Okeylah…saya pergi salin baju.” Ujar Riaydh ternyata hampa dengan tindakan Fazzura.
Bagi Fazzura ini rumah Riyadh. Apa yang lelaki itu nak buat adalah hak dia. Asalkan jangan apa-apakan dia dan anak-anak sudahlah. Mungkin caranya fikir tak sama macam Riyard fikir. Riyard mungkin menghormatinya sebagai tetamu di dalam rumah ni. Sebab tu apa sahaja mesti Riyard beritahu dan mintak izin darinya. Dah terbalik.
 “Bila kes nak dibicarakan?” Lelaki itu sudh lengkap dengan baju t’shirt dan seluar track.
 “Ermm... seminggu lagi. Cuma nak buat pengesahan lafaz cerai. Lagipun...” Fazzura mengumpul kekuatan untuk menghabiskan ayatnya. Berat dia nak cakap.
 “Awakkan saksi penceraian kami.” tuturnya tenang tapi di dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu. Dia malu nak cakap.
Riyadh angguk. Tenang mendengar kata-kata dari wanita itu. Saksi pun saksilah. “Saya tak ada masalah. Tapi Cuma nak buat penegsahan sahajakan. Saya boleh temankan awak. Tolong jaga budak-budak ni. Saya tak ada masalah.”  
Tolong lagi. Tak habis-habis lelaki ini mahu menolongnya.
“Lepas tu saya akan balik kampung. Tempat saya bukan kat sini.” Fazzura ulang lagi permintaannya di awal tadi. Permintaan? Sebenarnya itu lebih kepada jawapan yang sudah dia sudah buat.
“Kampung?” Riyadh terfikir sejenak sebelum menyambung butir bicaranya. “Bukan awak cakap...”
“Memang saya ada masalah dengan keluarga. Semuanya sebab cerita lima tahun lalu. Tapi, itu bukan bermakna keluarga buang saya. Saya yang bersalah sebab degil. Tergedik-gedik sangat nak nikah awal. Bila orang tua larang…nak jugak. Macam ni lah yang saya dapat. Padanlah dengan muka saya ni.” Fazzura bercerita tanpa berselindung. Kalau bukan dari dia sendiri yang akan pulihkan keadaan siapa lagi.
 “Abah mungkin dah sejuk hatinya. Dia banyak ambil hati  mereka tapi akhirnya macam ni pula yang dia buat. Terasa sia-sia pujukannya selama ini.” Bercakap tentang Aqil membuat hatinya kian rawan.
“Hidup ni satu perjalanan panjang. Mungkin apa yang terjadi tu akan mematangkan awak. Tak semua yang kita cinta itu menjaminkan kebahagiaan. Mungkin ada kekurangan dari kita sendiri.” balas Riaydh tenang. Baginya cinta itu bila diri kita dan dirinya bahagia. Jujur bahagia bukan pura-pura bahagia.
“Saya rasa malu sangat. Tak sangka hidup saya diuji sampai macam ni sekali. Apa salah saya. Teruk sangatkah saya ni. Sampai terpaks tanggung semua ni macam ni.”
“Malu? Kenapa nak malu?Tak semua manusia Tuhan uji macam ni Zurra. Awak muda lagi. Dah ada sepasang anak yang comel macam ni. Comel macam  ibu dia jugak. Awak cakap macam tu macam orang tak bersyukur. Tuhan sayangkan awak sebab tu diujinya awak. Diujinya jiwa awak. Kalau tak ada ujian bukan hidup namanya. Tak kanlah sepanjang masa nak bahagia aje. Cuba awak renung balik selama hidup awak tak kan hanya derita jer yang awak dapat. Mesti awak pernah rasa bahagia.”
Sekali lagi dia terpana dengan kata-kata lelaki itu.
“Kalau awak nak balik kampung pun, awak nak kerja apa. Cari sajalah kerja kat sini. Banyak kerja kat sini. Kalau nak kerja dengan saya pun boleh.”
Fazzura terdiam buat seketika. Tercari-cari ayat yang sesuai untuk menjawab kata-kata Riyadh. Kerja dengan Riyadh. Hesy! Cukup-cukuplah lelaki ini menolongnya.
“Awak duduklah di sini. Dia orang berdua ni nanti saya carikan pengasuh. Awak cari kerja. Di Kuala Lumpur ni banyak kerja. Lagipun, saya tak nampak faedah apa pun kalau awak pulang ke kampung. Menyusahkan ibu bapa awak lagi adalah.”
Riyadh cuba memujuk. Fazzura ni degil. Itu yang dia nampak. Fazzura pun mengaku yang dia memang degil. Tapi dia rasa kalau kena caranya pujuk hilang kedegilan si Fazzura ni.
 “Maksud saya tadi kesian pula pada ibu bapa awak tu. Dia orang pun tentu bukan muda lagi. Siapa nak tanggung awak di kampung nanti. Kalau awak kerja siapa pula nak tolong jaga budak-budak dua orang ni. Awak duduk je di sini.”
Ada kebenaran pada kata-kata Riyadh. Tapi sekurang-kurangnya Fazzura tak nak menyusahkan Riyadh dengan menumpang tinggal di sini. Jika di kampung dia boleh duduk di rumah ibu dan bapanya tanpa membayar sewa apa-apa. Dia boleh cari kerja.
“Permulaannya memang perit. Tapi, itu pengorbanan untuk hidup yang lebih sempurna. Jangan awak fikir awak menyusahkan saya. Awak tinggal di sini. Kalau ada duit awak bayarlah. Saya tak mintak apa-apa. Saya hanya tolong apa yang patut.”
Riyadh bagaikan dapat membaca apa yang terlintas di fikirannya. “Tapi, saya menyusahkan.”
“Menyusahkan apanya Zurra. Ada hikmah saya jumpa awak anak beranak.” Riyadh tersenyum memandangnya. “Saya nak kahwin tak lama lagi. Sejak pandang anak-anak awak, perasaan ingin bekeluarga terasa membuak-buak.” Riyadh tersenyum membayangkan mahligai indah yang bakal di dirikan bersama Annis.
Serta merta jugak ingatan Fazzura kembali kepada perempuan semalam. Cantik.Tetapi entah kenapa perempuan itu menepis tangan anaknya.
“Perempuan semalam tu kekasih awak?”
“Mana awak tahu ni? Awak nampak?”
Fazzura angguk.“Saya  nampak dari atas cara dia tepis tangan anak saya. Kenapa?Anak saya tu menyusahkan dia ke?”
 “Taklah…dia bergurau.” balas Riyadh. Kesal sebab Fazzura nampak tindakan Annis. Agaknya sebab Fazzura nampak tindakan Annis semalam tu yang dia beria-ia nak balik kampung. Tak nak menyusahkan dia kononnya.
“Zurra, saya tak akan halau awak. Kalau saya berkahwin pun saya masih sayangkan budak-budak ni. Teramat sangat saya sayangkan Aqilah dan Fazmizie. Sebab itu saya tak kisah habiskan waktu yang saya ada untuk mereka berdua.” Riyadh membuang pandang kepada Aqilah dan Fazmizie yang sedang menyusu botol itu.
“Saya dah anggap diaorang ni macam anak sendiri. Walaupun kita baru je kenal kan. Rasa bahagia layan telatah dia orang. Sikitpun tak menyusahkan.”
“Terima kasih sebab kasihkan anak-anak saya. Saya pun tak pasti apa nasib saya dan anak-anak lepas ni. Saya…” Fazzura terhenti dari menyambung bicara. Lidah seakan berbelit untuk meneruskan kata-kata. Riyadh mungkin boleh terima tapi bagaimana pula dengan bakal isteri Riyadh.  “Bakal isteri awak boleh terima ke kami?”
“Zurra, tak ada masalah yang tak boleh di selesaikan. Dia boleh terima ke tak tak perlu awak persoal. Yang penting ini rumah saya. Saya izinkan awak tinggal dan tak mintak apa-apa bayaran pun. Kalau saya boleh anggap awak kawan kenapa pulak bakal isteri saya tak boleh. Saya rasa dia boleh terima.” Dia cuba meyakinkan Fazzura. Annis nak terima memang jawpannya tak. Dia kenal Annis. Nantilah dia akan cari masa yang sesuai untuk cakap dengan Annis.
“Saya tak naklah timbul masalah nanti. Sebab kami anak beranak awak yang porak peranda nanti. Awak tu bakal suami orang. Saya ni pulak janda. Rasa macam tak elok pulak untuk saya terus tinggal di sini. Jadi kawan awak pulak tu.”
“Tolonglah Zurra, kalau awak tak nak anggap saya macam tu pun tak pe. Tapi awak tak boleh halang perasaan  sayang saya dekat anak-anak awak ni.”
Fazzura mengeluh. Semangatnya dah hilang. Dia rasa susah nak percayakan sesiapa saat ni. Susah nak yakinkan diri berfikir positif lagi.
“Manusia di kurniakan akal dan kelebihan untuk menyelesaikan masalah. Awak ada semangat. Anak-anak awak adalah semangat awak. Jangan di sebabkan penceraian ini awak berputus asa. Awak mengenang nasib diri sampai membiarkan anak-anak merindukan belaian seorang ibu. Maaf Zurra, saya tak berhak nak masuk campur soal awak. Cuma saya teringat saat-saat awak menangis tempoh hari. Saya sakit tengok anak-anak awak pun menangis sama. Kesian,  sebab budak-budak tu tak tahu apa.Tapi…”
Sudah lama Riyadh ingin melepaskan apa yang terpendam. Bukan niatnya untuk mengajar Fazzura. Dia hanya nak wanita itu tabah. Kuat menempuh dugaan hidup yang mencabar ini. Itu sahaja. Selama Fazzura hidup berapa banyak dugaan yang Allah berikan sampai bila jatuh begini wanita itu sudah tak mampu memandang dunia lagi.
 “Yalah, saya tak salahkan awak. Kalau saya duduk tempat awak pun mungkin saya lagi teruk. Entah-entah meraung sampai tujuh purnama.” Dia sengeh. Tapi Fazzura biasa aje. Macam kayu minah ni. Aku buat lawak pun dia macam tak ada perasaan. Bebel hatinya pula.
“Saya mintak maaf kalau buat awak tersinggung. Bukan niat saya. Saya cuma nak awak kuat. Kesiankan anak-anak awak. Itu aje...” sambungnya lagi. Biarlah Fazzura nak kata dia banyak cakap pun. Dia peduli apa. Lebih baik jujur cakap apa yang kita nak cakap.
Kata-kata Riyadh mengundang rasa sebak. Kelopak matanya terasa panas. Riyadh yang memandang mula rasa cemas.
“Eh! Eh! Zurra…Zurra…saya salah cakap ke? Alamak! Janganlah menangis. Please jangan.” Riyadh gelabah. Dia memang tak boleh tengok perempuan menangis. Rasa macam nak luruh jiwa dan raga. Kasar sangat ke kata-kata dia tadi. Tak kanlah sampai ‘makan dalam’ kut! Dia cuma bagi nasihat. Alah…
“Err...Zurra, Zurra dah masuk maghrib ni. Dah tidur ke dia orang berdua tu?” dia menukar topik sambil mengerling ke arah Aqilah dan Fazmizie. Yang dia pun satu. Tahu nak cakap aje. Tak fikir langsung perasaan Fazzura. Lepas tu baru nak gelabah. Lemah betul dia bila perempuan menangis macam ni.
“Saya mintak maaf…” nada Fazzura bergetar. Air mata tidak mampu ditahan lagi. Tangisan Fazzura akhirnya luruh juga di senja nan merah itu. Bukan kerana kata-kata Riyadh. Tapi kerana dia tidak mampu mengawal dirinya pada waktu itu. Dia benar-benar kalah pada keadaan. Hanya dia yang merasa sakit. Riyadh tak mungkin dapat memahami betapa peritnya tatkala lelaki yang paling di cintai  bersama wanita lain. Di atas satu katil dan di bawah satu selimut. Kerana itulah akalnya sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi waktu itu. Bukan niatnya untuk mengabaikan anak-anaknya. Malah untuk meminggir dan menghalau Riyadh pergi jugak langsung tidak pernah terlintas di hatinya. 
“Zurra…” pujuk Riyadh perlahan. Jari jemarinya mula menggaru kepala yang tidak gatal. Apatah lagi tatkala melihat tangisan itu merembes laju di pipi Fazzura. Dia tidak yang harus dilakukan. Hatinya cemas tiba-tiba. Apakah dia sudah terlanjur bicara tanpa memahami emosi Fazzura yang masih belum stabil.
“Zurra, saya mintak maaf. Kalau saya salah cakap.”
Fazzura terus larut dalam emosi. Tubuhnya sedikit bergetar.
“Zurra…” lembut nadanya dalam usaha ingin memujuk. Hesy! Dia tak pandai memujuk pun. Dan dia gagal kalau tiba bab-bab memujuk ni. Pipi Fazzura dah basah dengan air mata. Nak sentuh!  Nak  tolong sapukan air mata tu. Tapi tak boleh! Tak boleh Riyadh!
 “Err..Aqilah, Fazmizie...tolong uncle!” akhirnya itu yang terkeluar dari mulut Riyadh.


 “SEBELUM makan kena baca doa makan dulu. Tahu tak baca doa makan macam mana?” soal Riyadh kepada kedua-duanya. Sesekali matanya menjeling ke arah Fazzura yang duduk di sofa hitam itu. Sudah terang lagi bersuluh. Dia memang gagal bab-bab memujuk tu. Fazzura tak termakan pun pujukan dia tadi. Sudahnya dia masuk ke dapur dan hidangkan makanan yang sudah siap dimasak Fazzura. Sebak juga dada dia bila tengok lauk pauk yang ada. Dia terlupa nak beli stok makanan. Yang ada telor dan sardin. Tapi Fazzura tetap masak. Dan sebenarnya dia tak kisah untuk makan lauk pauk ni. Yang dia kesal dirinya sendiri. Tak rasa cukup baik dia jaga budak-budak ni sampai stok bahan mentah pun terlupa nak beli.
Uncle, Aqilah nak suap sendiri.” Dia kembali memandang wajah comel yang meminta untuk menyuapkan makanan ke dalam mulutnya sendiri.
“Okey sayang, uncle suapkan adik tau. Meh sini, duduk atas riba uncle.” Riyadh angkat tubuh itu lala letak di ribaannya.
“Kita baca doa makan.” Dia angkat tapak tangan si kecil itu dan letak di atas tapak tangannya. Aqilah menurut perlakuannya.
“Bismillahirrahmanirrahim…Allahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar. Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau rizqikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa api neraka. Amin.” Tangan disapu ke wajah si kecil.
“Ibu tak nak makan ke uncle?”
Baru sahaja nasik disuap ke dalam mulut Fazmizie soalan itu pula yang keluar dari mulut Aqilah. Riyadh kerling Fazzura sebelum memandang Aqilah semula.
“Kakak makanlah dulu. Nanti uncle pujuk ibu makan. Ibu kenyang lagi tu.” Riyadh beri jawapan selamat. Biarlah Fazzura bertenang dulu. Dia terus menyuapkan makanan ke dalam mulut anak kecil itu. Sekarang ni macam dialah pulak yang jadi ibu kepada budak-budak ni. Okey, dia tak kisah pun. Dia ikhlas. Ikhlas!
Lepas makan dia terus  bawa Aqilah dan Fazmizie ke dalam bilik. Dia lihat Fazzura masih seperti tadi. Dia biarkan budak-budak ni bermain sementara dia terjenguk-jenguk memandang ke arah ruang tamu. Dari petang bawa ke Maghrib. Dah nak masuk Isyak pun. Mesti ummi pelik. Dia kalau nak keluar malam pun mesti pulang dulu ke rumah salin pakaian. Ini tak, habis kerja terus pecut kereta datang sini.
“Aqilah, adik…dah lewat ni. Jom tidur…” dia memanggil kedua-duanya.
“Sebelum tidur pun kena baca doa. Baca cepat uncle nak dengar?”
“Bismillah…” ujar Aqilah.
“Baca bagi habis sayang.”
“Bismillahirrahmanirrahim…” ujar Aqilah pandai.
“Doa panjang sayang?”
“Bismika Allaahumma ahyaa wa amuut.”
Allah! Comel sungguh. Bijak betul budak ni. Memang buat dia teruja.
“Adik tak ikut pun? Uncle nak dengar…” si kecil itu dah mula mengeliat ke kiri dan kanan. Memandang Fazmizie dia teringat akan pertemuan mereka dulu. Ah! Tenang dan bahagia dia rasa bila lakukan semua ini. Tak kekok sebab dia dah terbiasa dengan budak-budak.
Pampers dipakaikan kepada kedua-duanya. Aqilah pakai waktu malam aje. Tapi kalau Fazmizie siang dengan malam harus. Yalah, dia kan kecil lagi. Kemudian, perlahan-lahan tapak tangannya menepuk Fazmizie. Tak macam Aqilah yang sudah mula kuyu matanya. Sebaik sahaja kedua-duanya tidur dia bangun dan bergerak menuju ke arah Fazzura. Mujurlah mereka berdua tak banyak meragam. Tak banyak persoal walaupun ibu dia orang duduk bersedih macam tu. Kalau Aqilah soal pun dia patahkan dengan perkara lain. Hmm…
“Zurra, dah la tu. Saya mintak maaflah kalau disebabkan kata-kata saya tadi tu menyinggung hati awak. Tak ada niat pun nak buat awak sampai nangis-nangis macam ni. Dah la, saya nak balik. Awak pergi makan. Nanti perut tu masuk angin pulak.”
Fazzura pandang Riyadh. Lelaki ni tak perlu pun nak beri dia arahan macam budak kecil.
“Saya tak lapar.”
“Ermm… bila awak makan?”
Dia mendengus kasar dengan soalan itu. Sudahlah Riyadh. Kau tak tahu apa-apa pun. Bukan niat dia nak abaikan anak-anak. Jauh sekali nak halau lelaki ni tempoh hari. Macam mana dia nak terangkan semuanya agar lelaki ini faham.
“Pergilah makan…awak duduk macam ni pun atu benda awak tak buat.” Riyadh sebenarnya nak cakap pasal solat. Tak kanlah nak marahkan dia sampai tak solat. Adoi! Tegur nanti sentap pulak. Kalau tak tegur benda dia nampak. Tapi…Annis pun dia tegur. Buat ke tak asalkan dia dah tegur.
“Sya tak nak!”
“Degilnya… nanti lapar sakit perut tu. Kesiankan anak-anak tu.”
“Ermm…jangan kisahkan sayalah.”
“Awak ni merajuk kat saya ke? Nak saya pujuk? Saya tak pandai pujuk.”
“Err…” Fazzura kerut muka seribu dengar kata-kata lelaki itu. Apa kaitan pulak? Riyard ketawa dan terus bergerak menuju ke muka pintu. Akhirnya wajah Fazzura berubah juga. Walaupun tak senyum tapi nampak terkejut dengan kata-katanya.
“Saya balik dulu. Ingat jangan tinggal solat. Kalau tak solat syaitan tu senang-sennag masuk dalam diri awak. Dalam keadaan awak yang macam ni lagilah…awak dah besar dan boleh fikir. Assalammualaikum.” Riyadh terus tarik pintu dan keluar.
Sekali lagi Fazzura rasa terpukul dengan kata-kata Riyadh. Dia sampai lupa kewajipannya sebagai hamba. Dia rasa Aqil teruk dia pun apa kurangnya. Sepatutnya dia lebih dekat dengan Tuhan. Tapi kenapa dia selalu lalai.  Sebab dia fikir dia sembahyang tungging terbalik pun dia tetap dapat ujian macam ni. Ya Allah! Jahilnya dia. Dengan sekelumit ujian ini dia nak jadi hamba yang lupa pada pencipta. Allahuakhbar!


NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...