Tuesday, October 14, 2014

Elusan Kasih - Bab 15


FAZZURA melangkah kaki menuju ke jalan besar di simpang hadapan. Pada hari pertama dia akan memulakan kerja. Kerja sebagai Operator Pengeluaran Wanita di kilang NTPM yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Berat hati meninggalkan Aqilah dan Fazmizie. Walaupun semua keperluan anak-anaknya telah disiapkan. Tapi, dia tetap risau. Mak macam tak nak tolong jagakan anak-anak dia. Harap abah sorang mana boleh. Acuh tak acuh saja mak saat dia mintak tolong. Pagi-pagi lagi emak dah bising. Merungut tidak mahu menjaga anaknya. Dia berat hati nak tinggalkan anak-anaknya. Tapi dia perlukan kerja. Dia perlukan wang untuk menampung perbelanjaan mereka. Dia janji lepas dia dapat gaji dia tak akan mintak tolong mak lagi dah.
Jadi janda kena hina. Jadi minah kilang pun kena hina. Serba tak kena jawabnya. Bukan hina pun kerja kilang. Tapi pandangan orang yang cerdik pandai, yang berpendidikan tinggi selalu berkata yang kerja kilang ni tak menjamin masa depan. Macam mana mak dan abah yang melarang dia berkahwin dengan Aqil dulu. Sebab Aqil kerja kilang. Dia masih tak lupa daratan. Masih ingat tujuan dia kerja kilang ni untuk apa.
Sampai di hadapan jalan Fazzura menanti dengan penuh debar van kilang yang akan membawa dia ke kilang.Ya Allah…seumur hidup dia tak pernah fikir atau angan-angan nak jadi minah kilang. Nak mintak kerja ni pun payah jugak sebab result SPM dia elok. Dia pernah masuk University sampai sem satu dah berhenti nak kahwin punya pasal.
Tidak lama kemudian van bewarna biru berhenti betul-betul dihadapannya. Dia segera membuka pintu van. Dua tiga orang pekerja lain menghadiahkan senyuman untuknya. Fazzura membalas walaupun rasa hambar sahaja senyumannya. Dia duduk bersebelahan dengan seorang wanita yang pada pandangannya lebih tua darinya.
“Baru start kerja hari ni ke dik? nama apa?”
Fazzura angguk. “Saya Fazzura. Panggil je Zurra kak.”  Leceh kalau naik van sebenarnya tapi dah terpaksa. Apa nak buat. Kalau dia ada kenderaan sendiri lain. Ini apa pun dia tak ada. Memang patut pun dia kena tinggal dengan Aqil. Memang patut sangat dia kena lalui semua ni. Bersyukurlah Zurra! Dari tak ada.
“Nama akak Zaida.” Dia hulurkan tangan bersalamam.  Fazzura sambut.
“Kak Zaida pun baru lagi pindah sini. Baru sebulan kerja kilang.” terangnya tanpa di beritahu. Patutlah dari lorat percakapannya tidak seperti orang-orang di sini.
“Kerja kilang ni kena tahan mental dan fizikal. Kalau yang dah biasa kerja tak apa. Tapi kalau tak biasa nanti mulalah nak terasa macam-macam.” ujar kak Zaida lagi.
Hesy! Apalah kak Zaida ni. Apesal nak patahkan semangat aku ke dia ni. Ya Allah.Kalau ini rezeki aku. Aku terima. Biarlah orang nak anggap macam mana pun.
“Tak pelah kak. Asalkan ada kerja untuk saya tu kira okeylah.” Sebenarnya kalau boleh dia tak nak cakap banyak. Tak nak cakap lebih-lebih. Dia kerja kilang pun mak dah pandang sinis pada dia. Kak Shahira lagilah.  Zaman sekarang nak pilih sangat kerja pun nak kena tengok jugak pelajaran kita. Walaupun orang selalu anggap macam-macam. Dengan status dia lagilah orang-orang sekeliling nak pandang serong. Tapi sekarang zaman orang lebih terbuka. Mungkin emak sahaja yang masih susah nak terima dengan hati terbuka.
“Kenapa pilih nak naik van. Kenapa tak mintak suami hantar?”
Argh! Stress betullah dia macam ni. Itu belum lagi mereka tahu yang dia ni janda. Van yang membawa mereka akhirnya berhenti di hadapan kilang NTPM Fazzura tarik nafas lega. Perbualan mereka jugak nampaknya akan berakhir di situ. Jadi dia tak perlu jawab apa-apa soalan lagi.
Sedar tak sedar dah waktu rehat. Terasa cepat masa berlalu. Duduk kat line buat kerja macam tu memang satu pengalaman yang baru. Ermm…rindu dengan anak-anak  di rumah. Dah makan ke diaorang berdua.
Telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya berbunyi. Tertera nama Riyadh. Berdegup laju jantungnya.
“Hello…Assalamualaikum Zurra,”
“Waalaikumusalam.” kenapa suara laki ni lain je. Bisik hatinya pula
“Awak kat mana? Sibuk ke?”
“Tak. Sekarang tengah rehat.”
“Rehat?”Fazzura angguk. Macam Riyadh nampak.
“Zurra awak dah mula kerja ke? Kat mana? Pergi dengan apa?” bertubi-tubi soalan yang Riyadh tanya. Hesy! perlu ke dia bagitau yang dia kerja kilang je. Jauh betul perbezaan dia dengan Riyadh. Nanti mesti Riyadh gelak je kat dia.
“Saya kerja…kerja kilang je. Kalau awak nak gelak pun awak gelaklah. Saya tak layak nak kerja hebat-hebat. Lagipun orang macam saya kerja nilah paling layak pun. Cukuplah untuk makan dan pakai anak-anak saya.”
“Alhamdulillah, baguslah macam tu. Tolonglah jangan fikir yang negatif sangat. Saya tak nampak pun apa yang teruk kerja kilang?Awak tu yang selalu fikir bukan-bukan. Awak tahu tak kerja kilang gaji lebih mahal dari awak kerja sebagai kerani. Belajar bersyukur dengan rezeki yang kita terima hari ni. Kalau asyik nak fikir itu ini, itu ini memanglah tak akan ke mana-mana.”
 Suara Riyadh kedengaran serak dan tegas. Demam ke lelaki ini. Argh! Dia peduli apa. Siap nak sound-sound dia lagi.
“Satu je saya nak pesan. Jaga diri.”
Tut..tut..tut.. talian diputuskan. Lorh! Riyadh ni pelik betul. Fazzura geleng kepala sambil pandang skrin telefon. Merajuk?Tapi kenapa?Lantaklah…dia malas nak layan. Hati sendiri belum cukup terjaga untuk jaga hati orang.
“Adik dah makan ke?” soal Kak Zaida kepadanya. Ditangan Kak Zaida ada sebungkus roti dan sebotol air mineral.
“Saya kenyang lagi kak. Dah makan kat rumah awal pagi tadi.”
“Tahan betul perut Zurra. Akak rehat kena makan jugak. Roti pun jadilah. Nak tunggu gaji lambat lagi hah…”
Fazzura senyum. Kak Zaida mengambil tempat duduk bersebelahan dengannya. Ramai pekerja yang lalu lalang dihadapan mereka. Pekerja asing yang banyak.
“Zurra dah kahwin ke belum?” Kak Zaida menyoal lagi sekali. Soalan yang dia sudah agak dari awal lagi akan muncul.
“Dah akak…dah ada dua orang anak pun.”
“Akak tanyalah nampak Zurra muda lagi. Anak Zurra dah berapa tahun?”
Alahai. Kak Zaida memang ikhlas ke nak tahu pasal dia. Dia tak selesalah. Tapi soalan itu terpaksa dijawab. Manalah tahu kak Zaida tidak seperti apa yang dia fikir.
“Yang sulung dah nak masuk empat tahun. Yang kedua tu baru setahun lebih.”
“Siapa jaga anak? Suami ke?”
Fazzura mengeluh perlahan. “Akak…saya ibu tunggal.”
“Oh!” Kak Zaida nampak tenang. Tak pulak terkejut bila dia cakap yang dia ibu tunggal.
“Akak pun ibu tunggal. Kita ni samalah Zurra. Anak-anak akak dah besar pun. Kahwin pun kalau tak bahagia lebih baik cari lelaki lain.”
Senangnya cara Kak Zaida fikir. “Akak kalau rasa dah tak bahagia akak sendiri akan mintak cerai.  Dah dua kali akak kahwin. Kedua-dua bekas suami malas kerja. Hanya tahu mintak duit sahaja. Apa ingat kita ni muka cop duit. Tangan print duit gamaknya. Lebih baik hidup sendiri. Hati pun tak sakit!”
Fazzura tak sangka kak Zaida ada sejarah silam sepertinya. Tapi berbeza. Dia bekas suami duit banyak tapi lupa daratan. Jadi kesimpulannya sekarang ada duit dengan tak ada duit sama sahaja. Duit tak bawa bahagia. Tak ada duit lagilah sengsara.


RIYADH mendengus perlahan. Sakit pula hati dia dengan tiba-tiba. Nak rasa sentap segala bagai. Eh!Kalau time demam macam ni mulalah nak perhatian. Tunggu Annis jemputnya untuk ke klinik pun dah berjam-jam. Fazzura dah kerja sekarang. Macam mana keadaan Fazmizie dengan Aqilah.Duduk dengan siapa? Siapa yang jaga? Banyak yang dia nak tanya. Tapi Fazzura dah mematikan apa yang dia nak tanya. Sekarang dia sendiri di selubungi dengan persoalan-persoalan yang tak ada jawapan. Haiya…pelik betul.
“Yadh!Annis dah sampai tu. Apa yang kau menungkan lagi.” tegur ummi yang datang dari arah dapur. Ummi geleng kepala tengok dia.
“Dah macam teruk je demam kau ni, Yadh?” Ummi pegang dahinya.
“Panas ni.”
“Dah tua-tua demam pun nak manja dengan ummi lagi ke?Tulah orang suruh kahwin cepat-cepat.” sampuk walid pula. Dah siap ketawa tengok dia. Hmm…umur dah 32 tahun. Bukan dua tahun. Bukan tiga tahun. Sakit nak merap.
“Hmm…” Riyadh terus bangun.
“Walid jeles la tu..” ujarnya sekali lagi dan terus menuju ke muka pintu. Rasa macam nak pitam pun ada. Dari pintu rumah dia tengok kereta Annis dah tersadai depan pintu pagar. Kalau tak panggil jangan harap dia nak masuk dalam rumah. Nak jadi menantu tapi tak nak ambil hati bakal mentua langsung.
“Kenapa tak masuk?” soalnya sebaik tubuhnya masuk ke dalam kereta Kia Optima K5. Anak Datuk macam Annis. Mana nak pakai kereta murah-murah. Lebih mahal lagi dari kereta dia kut. Dia tak kisah dah Annis suka. Mana boleh halang. Dengan Annis semua dia tak kisah.
“Malaslah. Nanti lambat pulak. Melarat pulak sakit you tu.” jawab Annis sambil mengerling sekilas ke arahnya. Dia bersandar di kusyen kulit kereta itu.
“Malas ke you segan? Dah nak kahwin dengan I. Rasanya you boleh buang istilah malas dan segan tu.”
“Sakit-sakit pun you nak bebel lagi ke sayang?”
“I tak nak nanti ummi dan walid terasa dengan sikap you tu.” ujar hatinya. Geram tiba-tiba. Dia pejamkan mata. Malas nak bertekak dalam keadaan dia yang macam ni. Tadi dengan Fazzura sekarang dengan Annis pulak. Kenapa dengan dia ni.
 “Uncle dah tak sayang Aqilah dengan Adik lagi ke? Uncle janji nak bawa Aqilah dengan adik jalan-jalan. Tapi uncle tak datang pun. Aqilah takut duduk dengan nenek. Tok garang. Uncle tolonglah datang bawa Aqilah dengan adik. Aqilah tak nak duduk rumah nenek.”
 Anak kecil itu teresak-esak menangis sambil memeluk adiknya. Riyadh bungkam. Apa yang dia nampak sungguh menyakitkan. Aqilah dan Fazmizie tidak terurus.
“Sayang sabar ya. Jangan menangis macam tu. Uncle dah datang ni. Uncle datang nak bawak Aqilah dengan adik jalan-jalan. Jangan cakap uncle tak sayang. Uncle sayang sangat. Jangan menangis ya sayang.” Dia memujuk sambil berjalan menghampiri kedua-duanya. Dalam beberapa langkah sahaja Aqilah dan Fazmizie yang berada di hadapannya direntap kasar.
“Aku sakit hati betul dengan budak berdua ni. Aku dah cakap jangan sepahkan rumah. Hampa dua ni nak jugak sepahkan. Botol sana sini. Hampa dua tak reti nak letak kat sinki. Nak aku pukul ka hah!” wajah tua itu bengis sambil menengking Aqilah dan Fazmizie. Hancur lebur hatinya saat melihat Aqilah dan Fazmizie dia layan dengan sebegitu buruk.
“Tangisan Aqilah dan Fazmizie kian kuat saat jari jemari tua itu mencubit lengan mereka. Dia yang tadinya terkaku di situ terus berlari untuk mendapatkan kedua-duanya. Sungguh dia tak sanggup.
“Jangan!Jangan buat diaorang tak salah! Jangan! Aqilah…adik. Mari sini ikut uncle. Jangan mak cik. Jangan pukul mereka. Jangan…Aqilah!Adik!”
Dia terasa tubuhnya digoncang kuat. Bagaikan dihalang untuk dia menarik tangan Aqilah dan Fazmizie.
“You!you!apa you merepek ni? You! Bangunlah. Hey!you…bangun you,” Dia tersentak. Terkebil-kebil dia membuka matanya. Wajah Annis kelat merenungnya. Dia rasa berpeluh-peluh. Dia tak sedap hati.
“Astagfirullahalazim…” Dia memegang kepala yang berdenyut. Terasa bagaikan satu tangan kasar menggenggam hatinya dengan ganas tadi.  Sakit dan pedih melihat keadaan Aqilah dan Fazmizie. Adakah mimpinya tadi realiti yang sedang berlaku.
“Apa yang you mimpikan tadi sayang. I risau betul tengok you tadi. You okey ke tak okey ni?”Annis sentuh lembut dahinya dengan tapak tangan.
“Kita dah sampai depan klinik pun ni. Jomlah turun. Badan you tu dah panas sangat dah.” Annis segera buka pintu dan keluar dari kereta.  Dia tak kisah kalau dia sakit. Tapi yang dia kisahkan sekarang kalau Aqilah dan Fazmizie yang sedang sakit. Macam dalam mimpinya sebentar tadi. Allahuakhbar. Tak sanggup!
Masuk sahaja di dalam klinik dia terus menyerahkan kad pengenalan di kaunter. Kemudian dia mengambil tempat duduk disebelah Annis. Dia memerhatikan dua pekerja wanita yang bertugas di kaunter itu berbisik sesame sendiri. Dia beralih kepada Annis.
“Wajah I ni ada apa-apa yang tak kena ke sayang?”
Alis perhatikan wajahnya. Kemudian geleng. “You perasan budak-budak perempuan tu nak goda you ke? You jangan nak perasan.” Kata-kata Annis berupa amaran. Dia bukan senang-senang nak tergoda. Sementara menunggu namanya dipanggil dia memejamkan mata. Kepala terasa berat. Berharap yang dia tidak akan bermimpikan lagi perkara yang bukan-bukan tentang Aqilah dan Fazmizie. Dia rasa mimpi tadi membuatkan satu penyakit lain yang turut dia dapat. Penyakit hati. Dia rasa resah dan sakit.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tangisan kuat seorang kanak-kanak. Dadanya kembali berombak. Dia buka kembali membuka mata.
“Tolong! Tolong panggilkan doktor. Anak saya kemalangan! Tolong!!!” jerita kuat wanita itu memenuhi ruang klinik. Tubuh budak lelaki yang lebih kurang sebaya dengan Aqilah dipenuhi darah. Allahuakhbar. Dia tergamam. Petugas kaunter kelihatan kelam kabut. Darah terasa menitik dilantai. Pintu bilik doktor dibuka dari dalam sebelum wanita itu berlari mengusung tubuh anaknya masuk ke dalam.
“I nak balik.” Hanya itu yang keluar dari mulutnya. Annis seakan mengerti. Terus bangun dari duduknya dan keluar dari klinik tersebut. Dia menurut lemah. Macam mana keadaan Aqilah dan Fazmizie sekarang. Dia resah.


TEPAT jam tujuh malam dia habis kerja. Ramai yang dah terkejar-kejar nak balik. Lari macam punch card tu nak hilang. Takut sangat nak beratur panjang. Dia berjalan perlahan sahaja masuk ke laluan dan beratur untuk punch card. Van kilang sudah tersedia tunggu di luar pagar. Dia mempercepatkan langkah. Rindu sangat dengan anak-anak di rumah. Entah makan entah ke tidak. Perjalanan untuk pulang ke rumah hanya mengambil masa selama tiga puluh minit. Di dalam van suasana snuyi sahaja. Kak Zaida pun tidak lagi berborak dan menyoalnya macam pagi tadi. Barangkali letih dengan kerja pada hari pertama. Dia turun di simpang hadapan jalan besar. Hari sudah hampir gelap.  Dia mempercepatkan langkahnya.
Namun baru sahaj beberapa langkah dia bergerak telinganya menangkap bunyi bunyi hon bertalu-talu di belakangnya. Dia kembali berpaling. Melihat sebuah Hilux Putih yang berhenti betul-betul di belakangnya. Dia mengucap panjang tatkala cermin Hilux itu diturunkan. Ammar Haikal terjenguk dengan sengihan panjang.
“Zurra,” panggil Ammar sambil tunjuk isyarat tangan agar dia masuk ke dalam kereta.
“Dekat je Ammar. Aku boleh balik sendiri.” Malaslah dia nak naik dengan Ammar. Nak menunjuk baru keluar keretalah tu. Ciwi aje!
“Wey minah kilang. Jangan sombong sangat boleh tak. Alang-alang aku nak pergi rumah kau ni. Kau naik jelah. ”
Bukan dia tak nak tumpang Ammar. Dia pun nak cepat sampai rumah. Tapi dia sakit hati dengan Ammar. Pasal Ammar nama dia dah mula busuk kat kampung ni. Ammar nak tambah lagi. Siap nak hantar dia pulang. Dia tak perlulah semua tu.
“Zurra!kalau kau tak nak tumpang aku terus-terusan bunyikan hon kereta ni baik kau masuk cepat!” Ammar menekan hon Hiluxnya berulang kali sambil dia ketawa.
Fazzura mengeluh kasar. Berjalan menghampiri Hilux putih itu dengan perasaan sebal. Pintu dibuka lalu dia terus masuk ke dalam. Kuat bunyi pintu Hilux itu ditutupnya. Tunjuk protes.
“Kau ni kan sehari tak kacau aku tak boleh ke Ammar? Kita bukan budak-budak lagi kau tahu tak? Kau jangan buat aku sakit hati sangat dengan perangai kau tu.”
“Aku ni sepupu kau. Salah ke kalau aku nak tumpangkan kau?”Ammar cuit pipinya perlahan.
“Hesy! Kau tolong jaga sikit tingkah laku kau Ammar!”herdik Fazzura semula. Perasaan menyesal mula menjalar dalam diri. Jangan sampai Ammar lupa diri. Mahu dia terjun dari Hilux ni nanti. 
“Kau takut ke Zurra?Alah kalau aku sentuh-sentuh kau tak luak pun.Hahaha.” Ammar ketawa lagi dapat kata begitu kepadanya. “Macam luak.” ejeknya lagi.
“Kau ni memang tak ada hati perut langsung Ammar. Harap darah daging sendiri rupanya lebih teruk lagi. Mungkin kau ni bukan dari keturunan tok wan dengan atuk kut! Sebab tu perangai kau teruk sangat.” Balas Fazzura dengan berani.
“Kau tahu Zurra sebab apa. Sebab apa aku jadi macam ni. Kau tu yang buat semua benda bagi payah. Aku suka kau, Zurra. Kau dengar tak aku suka kau dari dulu lagi. Kau bagi peluang untuk aku jadi suami kau. Habis cerita.”
Fazzura ketawa kuat. “ Dah banyak kali aku ulang cakap pada kau Ammar. Kau dengan aku ni sepupu. Aku tak nak kahwin dengan kau. Aku selesa hidup macam ni.”
“Kau selesa kerja kilang macam ni. Jadi minah kilang.”
Fazzura angguk. “Ya, aku selesa. Asalkan aku dapat gaji halal untuk jaga anak-anak aku. Aku boleh tanggung sendiri. Aku  tak perlukan lelaki untuk bantu aku. Nak pulak lelaki yang macam kau Ammar. Lagilah aku tak nak!” puas hati dia bila tengok muka Ammar kelat macam tu.  Jangan ingat dalam keadaan dia tanpa seorang suami di sisi dia lemah. Berdosa ke kerja kilang? Tak kan?
Ammar memberhentikan Hilux di hadapan rumah dengan wajah mencuka. Fazzura terus turun tanpa mengucapkan terima kasih pada Ammar. Nak undang Ammar masuk ke dalam rumah jauh sekali. Ammar kan dah biasa. Ulang alik masuk rumah ni dah macam rumah dia.
Di hadapan pintu rumah emak sedang berdiri merenung tajam ke arah dia. “Kalau dah macam tu masuk meminang terus Ammar.” ujar emak sedikit terjerit. Kenapa dengan mak? Nak sakitkan hati dia. Kenapa mak tak kesiankan dia langsung. Kenapa mak benci dia sangat. Dia terus masuk dalam. Meliar matanya mencari kelibat Aqilah dan Fazmizie.
Pintu bilik dibuka. Dia menghampiri kedua-dua anaknya yang nyenyak tidur dengan wajah yang kusut dan comot. Baju semalam yang mereka pakai masih tersarung di tubuh mereka. Sudah ada bau yang menusuk ke dalam hidung. Menitik air matanya. Nampaknya emak memang tak nak jaga anak-anaknya.
“Sayang…sayang ibu, ibu balik ni. Bangun sayang, Aqilah, Fazmizie. Bangun mari kita mandi. Bersihkan diri.” Dia mengelus lembut tubuh Aqilah dan Fazmizie. Baru sehari di tinggalkannya. Macam mana pulak esok. Ya Allah…dia perlu fikirkan jalan terbaik.
 “Ibu…kakak lapar.” ayat pertama yang terpacul di bibir kecil itu bila memandangnya.
“Kita mandi, bersihkan diri. Lepas tu kita makan ya.”
Fazmizie sudah merengek. Dia segera mendukung tubuh itu. Masih tidak mengerti apa yang terjadi. Dicium anaknya bertubi-tubi. Tuala yang bersangkut di rak tuala terus diambil.
“Mari sayang ibu mandikan korang.” ujarnya dengan suara yang serak. Sungguh tidak terurus anak-anaknya saat ini. Sanggup emak biarkan anaknya macam ni. Apa dosa anak-anaknya ini. Tak puas hati lagikah emak untuk menyakitinya. Apa salah mereka anak beranak.
Sebaik sahaja keluar dari bilik, dia bertembung dengan abah yang ingin menuju ke ruang hadapan. Terdengar suara emak yang sedang berbual-bual dengan Ammar Haikal.
“Abah dari mana?”  
“Abah dari rumah Haji Bakar. Nanti mesin padi nak masuk ambil padi rumah dia. Abah tak sempat nak tengok anak hang Zurra. Sibuk dengan bendang. La ni orang dah mula nak ambil padi. Mesin jalan abah kalut sikitlah ke hulu ke hilir. Pergilah bawak anak-anak hang mandi.”ujar abah dan terus berlalu ke hadapan.
 Abah dah tua-tua pun masih nak bekerja keras. Masih nak jadi broker mesin padi. Atur bendang orang tu, orang ni. Padahal abah  ada penyakit lelah.  Kenapa budak-budak muda dah tak ada di kampung ni. Umur macam abah seeoloknya berehat je di rumah.  Kampung nelayan ni ada dua pekerjaan. Bendang dan jadi nelayan.
Dia segera mandikan anak-anaknya. Sehari suntuk anaknya tak mandi. Paling ketara Fazmizie masih dengan pampers yang dipakainya semalam. Benci sangat mak dengan dia. Kalau ya pun janganlah lepaskan pada anak-anaknya yang tak bersalah ni. Cukuplah sekadar menghukum dia bukan anak-anaknya.
“Nenek tak nak bagi Aqilah mandi.”
“Nenek tak sempat tu.”pujuknya lagi.
“Nenek garang. Nenek marah Aqilah dengan adik.” Si kecil itu mula bercerita. Membuat jiwanya kian sebak. Matanya terarah kepada lengan kedua-dua anaknya. Ada tanda kemerah-merahan seperti bekas cubitan. Ya Allah...kenapa sampai macam ni. Apa salah anak-anaknya.
Merengek-rengek Fazmizie kesejukan  tatkala air mula dijirus ke tubuhnya.
“Pandai anak ibu. Panggil ibu ya. Kesian…nanti ibu suapkan nasi.”
Maafkan ibu wahai anak-anakku. Ibu terpaksa membiarkan kamu berdua dalam keadaan begini. Sakit anak ibu…sakitlah jua diri ibu. Rintihnya di dalam hati. Kenapa sampai begini sekali layanan emak terhadap dia dan anak-anak. Tak berhakkah seorang cucu untuk mendapat kasih sayang seorang nenek.
Selesai sahaja memandikan kedua-duanya dia terus menuju ke bilik. Ammar masih ada di ruang tamu. Dia sudah tidak peduli lagi dengan lelaki itu.
“Ibu, Aqilah nak pakai baju ni. Adik pakai baju ni.” Dia ambil baju tidur gambar Sin Chan untuk Fazmizie. Manakala untuk dia baju tidur bunga-bunga warna pink.
“Anak ibu dah pandai pakai sendiri kan.”
“Aqilah pandai pakai. Adik tak pandai lagi.”
“Adik kecik lagi. Nanti adik dah besar pandailah macam kakak.”
“Esok Aqilah nak mandi sendiri.”
“Pandai ke anak ibu ni?”
“Pandai. Aqilah boleh mandi sendiri. Uncle cakap dah besar kena mandi sendiri.”
Uncle mana pulak ni?Uncle yang bagi ice- cream tu ke?
Aqilah angguk. “Aqilah nak jumpa uncle Yadh ibu. Nak pergi makan dengan uncle.”
Anaknya kalau berbicara pasal Riyadh laju saja. Itu dan ini. “Tak payahlah nak susahkan uncle. Nak makan ice-cream ibu kan boleh beli.”
Si kecil itu mengerutkan kening menunjukkan tanda protes.
“Aqilah tak nak. Aqilah nak uncle.”   Aqilah merengek manja.
“Papa?”
Si kecil itu geleng. Apalah yang Riyadh guna pakai sampai anaknya ni nak sangat dengan dia. Hmm…ibu tak nak susahkan uncle sayang.
“Nenek kan ada?” Aqilah geleng lagi.
“Nenek garang. Aqilah tak suka nenek. Nenek cubit sakit.” Ceritanya bersungguh-sungguh dengan reaksi wajahnya yang berkerut seperti awal tadi. Muncung mulut anaknya itu jelas menandakan yang dia benar-benar tak suka.
“Nenek bukan garang. Nenek memang macam tu. Tapi nenek baik.” pujuk Fazzura.
“Aqilah nak ikut ibu esok. Aqilah tak nak duduk rumah.”
“Tak boleh Aqilah. Ibu kerja. Mana boleh ikut.Tak naklah macam ni. Tak nak kawan nanti.”usulnya apabila Aqilah terus merengek.
“Jom ikut ibu pergi dapur. Kita makan dulu.” dia terus bangun. Mendukung Fazmizie. “Ermm...wangi dah anak ibu.”
Sampai di dapur dia lihat Shahira sedang menjamu selera. Tak pasti bila kakaknya itu pulang atau dia memang sudah ada dalam rumah ni.
“Senang hati balik kerja ada orang dah masakkan siap-siap. Boleh senang lenang lepas ni. Balik kerja pun ada orang hantar.” Apalah yang kak Shahira tak puas hati. Pantang jumpa dia mesti nak kata macam-macam.
“Mak long makan apa tu mak Long.?” soal Aqilah sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Shahira.
“Yang kau sibuk kenapa? Kau tak nampak aku makan nasik. Argh!” dia tolak pinggan.
“Kalau sekalipun pun marah atau tak puas hati dengan saya. Janganlah cakap macam tu depan budak-budak ni kak Shira.” Dia yang sejak awal tadi diam terus bersuara. Pinggan diambil dan nasi dicedok. Telur goreng yang ada diambil separuh. Kicap dituang ke atas nasik. Bukan susah nak bagi anak-anaknya makan.
Dia terus menyuapkan nasik ke dalam mulut anak-anaknya. Dah tak hirau lagi pada Shahira yang bangun menuju ke sinki. Siap tunjuk muka sakit hati dekat anak-anaknya. Apalah yang budak-budak ni faham.
“Hilang selera aku.” bentaknya lagi. Fazzura geleng kepala. Macam nak gelak pun ada dengan perangai kakak dia sorang ni. Fizikal dah macam lelaki tapi cepat sentap. Lelaki mana boleh cepat sentap. Tak macholah.

“Hmm…kalau tak nak hilang selera jangan pandang kami anak beranak.” Balasnya perlahan. Shahira mendengus kasar. Terus bergerak meninggalkan ruang dapur itu. Kalau kena dekat dia tahu pulak nak sentap. Desis hatinya perlahan. Entah kenapa dia rasa keluarganya tak macam keluarga orang lain. Kurang kasih sayang. Yang paling kurang dapat kasih sayang dah tentu dia. Sebab itu jugaklah dia pilih nak kahwin muda. Sebab nak dapat kasih sayang dari Aqil. Sudahnya makin sakit yang dia dapat.


Okey....dah tengok cover kan? ^____^

2 comments :