Showing posts with label Tarian Cinta. Show all posts
Showing posts with label Tarian Cinta. Show all posts

Wednesday, March 4, 2015

Tarian Cinta

Mini Novel Terpilih Resipi Cinta (MNTRC) ini memuatkan sepuluh buah mini novel yang dihasilkan oleh sepuluh orang penulis. Kebanyakan mereka pernah menghasilkan karya sebelum ini dan telah diterbitkan oleh pelbagai syarikat penerbitan. Mini novel yang dimuatkan di dalam MNTRC ini mampu mencuri hati sekaligus membuatkan si pembaca tersenyum sendiri saat menghayatinya. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam setiap karya, bukan hanya cerita rekaan semata-mata. Ketika kita membacanya, kita dapati kisah yang diceritakan oleh penggubahnya, sangat dekat dengan diri kita. Walaupun kadangkala kisah itu terasa seperti ‘klise' atau ‘keterlaluan', percayalah, pernah suatu ketika dahulu atau suatu hari nanti, kita akan berhadapan dengan kisah cinta yang sebegitu. Sesuai dengan tajuk MNTRC, karya-karya di dalamnya padat dan puas untuk dibaca, dihayati, dinikmati dan memberi pengajaran dalam hidup sehari-harian. Karya-karya yang mengajar kita erti cinta dan kasih sayang yang kadangkala kita tidak sedar ia wujud dan mula menguasai fikiran. Resipi Cinta ini mengingatkan kita bahawa, tanpa cinta, hidup hambar dan untuk mewujudkan rasa cinta, jangan pernah kenal erti putus asa untuk meraih cinta tersebut.

Semoga mini novel yang terpilih di dalam naskhah ini memberi kesan kepada pemikiran dan memberi resipi kepada semua insan untuk bercinta.

* Tarian Cinta ~ A'je Fazlina
* P.U.J.A ~ Nurmala Samin
* Secantik Magical Rhododendron ~ Syasya Bellyna
* Jaga Dia Untukku ~ Amer Mukhlis
* Harga Cinta Zalifah ~ Zuraidah Muhidden
* Blind Item ~ Qeuu
* Saat Kau Pergi ~ Maria Kajiwa
* Rasa Cinta Untuk Dia ~ Ailah Diela
* Miracles In December ~ MinZhee 
* Cinta Yang Kembali ~ Wazrul Shah


Cerita mamat skema tu dah lama keluar. Tapi penulisnya bz baru nak update!( tertinggal keretapi.Huhuhu) Cepat dapatkannya. <3 <3



Wednesday, June 6, 2012

Tarian Cinta - Bab 2



Cik Ainon hidung mancung
Rambut panjang bergulung-gulung
Cakap sedikit mudah tersenyum
Bikin pemuda jadi bingung..

SEBAIK sahaja aku mendengar dia menyanyikan lagu  ‘Cik Ainon Janda Muda’ terus pecah berderai tawa aku. Aku dah tak peduli bila dia pandang aku pelik. Kenapalah yang dia jadi pop yeh yeh sangat ni. Buat malu aku saja. Ini baru kali pertama jumpa aku sudah asyik ketawa macam orang gila. Tak boleh jadi macam ni.
“Tak sedap ke?”dia soal kuat.
“Memang tak sedap pun. Suara awak sangat sumbang!”balas aku kuat sambil merampas mikrofon di tangannya. Terus aku letakkan mikrofon di atas meja sebelum menarik beg keluar dari pusat Nyanyian itu. Hilang sudah mood aku nak menyanyi.
“Maaf Sofea, saya tak pandai nyanyi.!” Luahnya perlahan.
“Kalau tak pandai lain kali jangan datang ke sini!Awak ni buat malu betul la!”guman aku.
“Saya tak tahu nak bawa Sofea ke mana..”tuturnya lagi sambil berjalan menghampiri aku. Sakit hati betul aku bila dapat lelaki yang tak reti nak buat keputusan. Sampai nak keluar pergi mana pun tak tahu.
“Kalau macam tu lebih baik awak tak payah bawa saya keluar. Pelik betul saya dengan awak ni. Dah la kemarin awak datang merisik saya. Saya ni bukannya sempurna untuk jadi suri hati awak. Saya tak suka nak keluar-keluar dengan lelaki ni. Saya tak suka!”jawab aku pula sambil langkah kaki terus menuju ke tempat parking kereta.
“Sebab semua yang Sofea cakapkan tadilah yang membuatkan saya lagi bertambah sukakan Sofea..”balasnya pula sambil tersenyum.
“Awak, macam Cik Ainon..hidung mancung tapi..”
“Cepatlah!!buka kunci!!!”aku jerit kuat. Terus potong apa yang dia nak cakap. Tak habis-habis dengan Cik Ainon. Aku akan buat apa sahaja agar dia akan bencikan aku. Aku tak sukakan dia!Tak boleh nak terima cara dia. Sejak dari zaman sekolah lagi aku angan-angankan lelaki yang ada stail, dan macho. Bukan macam Baddrol ni. Aku pandang rambut pun aku dah nak tergelak. Nasib baik muka manis. Tapi, aku tetap tak suka!Arghhh..siksa jiwa an raga.
Tanpa berlengah lagi dia terus menekan alarm kereta miliknya itu. Aku masuk ke dalam sambil mendengus kuat. Benci..benci..benci..itulah yang hati aku rasa sekarang. Benci sangat dengan mamat skema ni. Hati aku sekarang susah sangat nak terima yang semua ni terjadi atas diri aku. Ini bukan kisah dongeng tapi kenyataan. Kenyataan yang aku tak mampu nak telan langsung.
“Tapi yang beza Cik Ainon dalam lagu tu janda awak dara lagikan?”
What????Aku rasa macam nampak Baddrol ni besar kuman aje. Aduhai sabarlah hati..sabar..sabar..sabar..
“Kita pergi makan ya?” tuturnya kembali sambil kereta mula bergerak.
“Sofea nak balik!”balas aku kasar.
“Makanlah dulu sebelum balik..”dia cuba pujuk aku lagi.
“Kenapa nak paksa-paksa!Tak suka tahu tak!”
“Okey, kalau Sofea tak nak makan, saya beli bungkus.”
“Suka hati awaklah!” aku jawab kasar lagi. Berharap dia bencikan aku.
***
            Bau Kfc satu kereta. Mak ai, punya banyak dia beli macam perli aku saja.
            “Awak nak bagi satu kampung makan ke?”aku soal pelik. Tapi, aku tengok dia senyum. Heeee!menyampah betul la. Senyum gatal aku kira.
            “Untuk mak dan abah Sofea sama..”
            Amboi, baik hati sangatlah. Aku tahu mesti nak mengayat mak dan abah ni. Benci betul aku orang yang kaki bodek macam ni. Hipokrit. Konon-konon nak tunjuk baik. Buatlah baik macam mana pun, hati aku tetap keras bak kerikil. Bahkan mungkin lebih lagi.
            “Awak tak perlulah nak tunjuk baik sangat.”
            “Baik tu tak perlu di tunjuk Sofea. Semulajadi. Kalau tunjuk nanti kang tak ikhlas pula namanya..”dia jawab sambil senyum lagi. Lepas tu buat mata kuyu dia tu. Rasa macam nak tarik aje rambut belah tengah dia tu. Berani dia jawab macam tu ye!
            “Kalau awak baik, awak cari sajalah perempuan yang baik-baik. Perempuan yang suka dan cinta mati dekat awak.!Saya ni tak suka awak. Tak suka!Tak suka! Tak suka!” aku buat gaya kanak-kanak terencat akal. Dah memang aku tak suka nak buat macam mana.
            “Tapi saya suka nak buat macam mana. Tak ada siapa yang boleh larang perasaan saya dari sukakan awak wahai Cik Sofea.!”
            “Arggh!!!!awak tak sepadan dengan saya!Awak tahu tak awak bukan taste saya.!” Aku jawab lagi. Geram sambil jeling tajam kepada dia. Tapi dia tenang je sambil pandu kereta. Bukan tenang memang skema sangat pun. Tak boleh blah!
            “Memilih ya?Jangan memilih nanti jadi anak dara tua..”
            “Lantaklah!Yang awak nak sibuk-sibuk kenapa.!”aku balas lagi kasar sekasar-kasarnya.
            Tapi, dia masih senyum. Arghh!sakit hati aku di buatnya. Rasa macam nak hempuk aje muka dia di stereng kereta tu. Baru ada akai!.
***
“Kenapa balik awal sangat?”soal abah kepada aku. Mak pula asyik senyum saja bila pandang wajah aku. Sukalah tu.
“Sofea tak ada mood la abah nak keluar dengan mamat skema ni.”jawab aku separuh berbisik kepada abah. Tapi aku rasa cukup jelas di pendengaran telinga mak. Sebab mak jegilkan biji mata bulat-bulat kepada aku. Senyumannya pun lenyap. Amboi, cepatnya mak berubah.
“Baddrol okey tak?Sofea ni ada susahkan kamu tak?” mak soal Baddrol pula. Macam dah boleh jangka apa yang akan aku buat. Risau semacam aje mak soal kepada Baddrol.
“Okey aje Mak cik. Tak susah sangat.”jawab Baddrol sambil hulurkan KFC itu kepada mak.
Apalah maksud dia ‘tak susah sangat tu’.
“Eh, banyaknya...” Mak bersuara lagi.
“Banyaklah mak, Baddrol nak buat kenduri satu kampung.”aku jawab selamba. Walaupun aku takut sebenarnya dengan jelingan dari mak. Macam petir yang menyambar.Bila-bila masa sahaja aku boleh ‘spark’.
“Mulut kamu tu jaga sikit Sofea..”
Ha, aku baru je cakap mak dah tegur aku. Baddrol apa lagi senyum meleret-leret. Benci betul aku!
“Tak apalah bukan selalu. Sekali sekala apa salahnya. Lagipun tadi saya ajak Sofea makan tapi dia jual mahal pula. Itu yang saya beli lebih tu. Manalah tahu, kalau di rumah banyak yang dia makan.” Tutur Baddrol selamba juga. Amboi, mulalah tu.
Abah dan mak ketawa denga Baddrol cakap begitu. Bukan main lagi. Tak sangka pula aku yang mamat skema ni betah bercakap. Ingatkan bisu. Maklumlah, aku buat dia bagi sakit hati dia selamba badak aje diam tak cakap apa.
“Kalau saya nak makan lebih pun saya boleh pergi beli sendiri. Tak minta jasa baik awak pun. Terima kasih sajalah!”terus aku masuk ke dalam. Tinggalkan mereka semua dengan hati yang sebal.
“Merajuklah tu..”aku dengar abah cakap begitu.
Aku bukan merajuk cuma tak puas hati. Sangat-sangat tak puas hati. Abah dan mak macam dah berkenan sangat dengan Baddrol. Sedangkan aku langsung tak rasa ada apa-apa perasaan kepada Baddrol. Semuanya terlalu cepat. Cepat sangat. Tiga tahun tempoh yang aku minta pun rasa cepat sangat. Entah-entah esok lusa aku akan di tunangkan. Arghh...lagi tekanan perasaan di buatnya.  Kenapa mesti aku yang melalui semua mimpi ngeri ini. Mak dan abah tak boleh nampakkah yang dunia aku dan Baddrol terlalu berbeza. Bagaimana rentak tarian cinta akan sempurna kalau aku selatan dia utara.
Ah! Aku tak mahu mengalah. Tiga tahun akan aku pastikan semuanya tak semanis yang di impikan mereka. Tiga tahun akan ku pastikan dia tersiksa dengan sikap aku. Tiga tahun akan aku pastikan hanya derita sengsara yang beraja di hatimu bukan bunga-bunga cinta. Sorrylah!bunga taik ayam aku bagi. Aku nekad nak buat apa sahaja asalkan dia sakit hati dan benci aku.
 Maaf, aku memang tak boleh nak terima segala-galanya tentang dia. Bagi aku dia langsung tak ada keistimewaannya. Setakat senyum manis tu biasa. Ramai lagi di luar sana yang manis-manis belaka.
Baddrol, kenapa dalam banyak-banyak  perempuan aku jugak yang kau pilih?Aku juga yang kau nak. Kenapa kau tak sedar ke kau tu bukan pilihan aku. Kau memang kejam sebab buat semua ini. Kau tahu tak kau tak sempurna langsung buat aku!. Hati aku menjerit marah lagi!Sukar untuk terima semua yang terjadi.




Friday, April 20, 2012

Tarian Cinta - Bab 1



“Mak tak peduli!Kau dah malukan mak dengan abah kau. Mak nak terima cincin merisik tu.!Sebab dia orang pun dah beria-ia!”ungkap mak selepas majlis merisik aku berakhir. Tiada lagi tempelan bedak sejuk di wajahku. Aku sudah kembali normal seperti biasa. Hanya hati aku sahaja yang tidak normal saat ini. Dari mak tak paksa sekarang dah jadi paksa. Salah aku. Ya, aku terpaksa mengaku itu kesalahan terbesar yang pernah aku buat.
“Mak, tolonglah..Sofea tak nak mak. Sofea tak nak kahwin pun dengan siapa-siapa yang Sofea tak kenal..”pujuk aku pula.
“Kami tiada pilihan Sofea. Sebab kamu dah banyak kali buat kami malu.”sambung abah pula. Aku toleh pandang abah. Macam tak percaya pula yang abah cakap begitu. Selalu, abah yang akan pertahankan aku. Sekarang ni?Nak mintak tolong kepada abang aku si Safwan tu. Jangan haraplah dia nak tolong aku. Tambahan pula anak kesayangan mak.
“Kenapa semua orang buat Sofea begini? Ini bukan zaman dulu yang orang tua-tua sibuk nak jodohkan anak-anak. Sofea berhak buat keputusan atas diri Sofea sendiri.”bentak aku kasar. Aku tak mampu nak kawal emosi. Entah siapa-siapa lelaki yang bakal jadi suami aku pun aku tak tahu.
“Mak dah bagi peluang kepada kau Sofea.Tapi kau degil. Kau buat juga apa yang mak larang. Sekarang, peluang untuk kau merayu dah tak ada.!Keputusan mak muktamad!”
“Apa ni mak..”aku protes lagi.
“Cukup!mak tak nak dengar apa-apa lagi!”jerkah mak lagi sekali sambil meletakkan sarung yang berisi cincin di hadapan aku.
Tergamam aku di buatnya. Aku rasa seperti nak berlari hingga ke hujung dunia saat ini. Hati aku macam dah jatuh gedebuk di atas lantai. Terus aku berlari masuk ke dalam bilik. Hati ini terlalu keras untuk mengalirkan air mata. Tapi, terlalu tegar merosakan apa sahaja benda yang ada di dalam bilik aku ini. Aku sepahkan semuanya sambil menjerit kuat. Sakit hati, geram, marah semua sudah bercampur menjadi satu. Ya, aku memang baran. Aku bukan budak kecil lagi. Aku sudah dewasa dan aku berhak untuk membuat keputusan ke atas diri aku sendiri.
Siapalah lelaki itu?Lelaki yang pada aku begitu bijak menilai siapa aku sebenarnya. Tapi dalam masa yang sama kenapa dia tidak faham yang aku sudah terang lagi bersuluh tidak mahukannya. Tidak mahu ada apa-apa ikatan walhal untuk berkahwin sekalipun aku belum bersedia.
***
Seharian aku berkurung di dalam bilik. Memikirkan apa kesudahan yang akan terjadi kepada aku. Menerima beerti aku akan hidup dalam dunia yang aku tak inginkan. Menolak pula beerti aku benar-benar membuat mak kecewa.Setelah puas berfikir aku akhirnya mengambil keputusan untuk menerima. Tetapi dengan syarat lelaki itu harus memberi masa tiga tahun kepada aku. Waktu itu aku yakin aku mampu buat keputusan yang tepat.
“Baiklah, Sofea akan terima apa yang mak nak sangat. Sofea akan ikut cakap mak dan abah. Tapi, satu saja yang Sofea minta.”
“Apa dia?”soal mak dan abah serentak.
“Bagi Sofea masa tiga tahun. Tiga tahun untuk kenal hati budi dia..”
“Kau dah gila Sofea?Kau ingat tiga tahun itu waktunya singkat?” sampuk abang Safwan ku dengan tiba-tiba.
“Betul kata abang kau tu Sofea!”
“Mak, Sofea dah bersetuju dengan semua ini pun dah kira baik. Sekarang Sofea Cuma minta itu je. Biarlah Sofea kenal dia betul-betul. Manalah tahu dia tu penagih dadah ke?pengedar dadah ke? Mak tak takut ke anak mak ni jadi janda muda?”
“Dia orang dari keluarga yang baik-baik Sofea!”
“Keluarga saja yang baik mak, anaknya belum tentu. Dalam satu ranting yang ada buah tak kanlah semuanya boleh di makan. Mesti juga ada yang buruk,”jawab aku pula masih ingin membantah sebenarnya.
“Batul tu. Abah setuju dengan apa yang kamu kata..”ujar abah pula mencelah.
“Hai, abah setuju ke?Sofea ingat abah nak jadi orang pertama yang akan bantah..”perli aku pula sambil tersenyum. Maklumlah, abah sekarang dah menyebelahi mak. Aku lihat abah senyum. Tahu aku masih lagi dalam mood merajuk. Merajuk sangat-sangat. Senyum tawa yang aku pamerkan hanya untuk tutup duka lara. Inilah realiti yang harus aku depani.
            Sebelum aku bangun untuk kembali semula ke dalam bilik, abah sempat hulurkan aku sekeping sampul surat bewarna putih. Emak dan abang asyik senyum saja.Pelik betul aku. Aku terus ambil sampul bewarna putih itu lantas kaki segera di hayunkan menuju ke dalam bilik.
Sampai saja di dalam bilik aku tak terus buka sampul putih itu tetapi terus mengemaskan kembali barang-barang yang telah aku sepahkan. Ada juga sesetengahnya yang rosak. Itulah, waktu sedang marah tak ingat dunia. Inilah kerja yang langsung tak ada faedahnya untuk diri sendiri. Sendiri buat sendiri tanggung.
Selesai saja mengemas aku ambil sampul putih yang  berada di ats meja. Aku buka dengan perasaan yang berdebar. Aku tarik perlahan isinya. Jelas mata aku di hidangkan dengan sesuatu yang membuatkan bibir aku tersenyum. Kemudian ketawa kuat. Aku baringkan tubuhku di atas katil sambil ketawa lagi. Biarlah apa pun yang keluarga aku nak cakap. Yang pasti aku sudah tidak mahu untuk menahan tawa aku ini dari berderai.
Gambar seorang lelaki dengan baju kemeja kotak dan berseluar jeans biru pudar itu benar-benar mencuit hati aku. Ini baru gambar, sudah sangat kelihatan skemanya. Itu belum lagi aku jumpa. Betul-betul skemalah. Rambut pun belah dua. Aduhai, mamat jiwang manalah yang bakal jadi suami aku ni. Langsung tak menepati citarasa aku. Tapi, muka lelaki ini manis. Senyumannya pun manis. Aku pandang lagi sekali..dua kali..tiga kali..Eh? Bukan ke lelaki ni yang senyum pada aku pagi tadi. Jadi?Dialah bakal suami aku? Oh....OMG...
            Aku alihkan pula gambar itu dan lihat ada profile lengkap. Aku senyum lebar. Nama Mohd Baddrol Bin Bakhtiar. Umur 27 tahun. Alahai, mamat ni macam zaman Noelitik. Sekarang orang dah pakai Facebook. Mana ada lagi yang buat cara tradisional dan skema begini. Aku senyum sebelum melelapkan mata. Tenang. Itulah yang sebenarnya aku rasa saat ini.
***
Tengahari esoknya aku di kejutkan dengan kedatangan mamat skema rambut belah dua. Aku tak terkejut langsung tapi sudah ketawa sekuat hati. Gayanya  betul-betul mencuit hati aku. Tapi, raut wajah dia manis. Manis-manis gula batu.
“Kau ni kenapa Sofea?Dah gila sangat agaknya. Cuba kau kawal sikit ketawa kau tu. Kau tak malu Baddrol ada di depan tu.”leter mak pula kepada aku sewaktu dia tiba dari ruang tamu.
“Biarlah. Memang nak bagi dia lihat pun. Cepat sikit dia reject Sofea..”jawab aku pula selamba.
“Kau jangan nak buat perangai lagi Sofea. Kalau kau buat lagi, esok juga mak kahwinkan kau.!”
Kata-kata Mak betul-betul  buat aku terdiam.Inilah yang paling aku tak suka. Bila kena ugut. Mak asyik nak ugut aku saja. Ini soal perasaan. Mana boleh dipaksa. Kenapalah mak tak boleh nak faham.
“Sekarang, kau pergi bersiap. Baddrol nak bawa kau keluar!”
“Tak naklah.” balas aku pula sambil buat muka tak ada perasaan.
“Sofeaaaaaa!!!”
“Ye lah...ye lah...”aku terus masuk di dalam bilik. Pintu bilik aku hempas kuat. Protes!Keluar dengan mamat skema. Ah!tak sukanyaaaa.

Selepas mengambil masa yang agak lama untuk bersiap aku kemudiannya keluar ke ruang depan. Aku bersiap biasa-biasa je. Aku lihat mamat skema tu pun dah ada di luar dengan abah dan mak. Mak dah berkenanlah tu. Aduh, segan pula aku. Bila mata aku dan dia bertentang lagi bertambah rasa segan aku. First time aku keluar dating. Pulak tu, dengan mamat skema yang aku langsung tak kenal. Kalau tahu dekat Ariana lagi teruk dia ketawakan aku.
Kereta Waja hitam itu terus menyusur dengan lajunya. Aku tak tahu ke mana destinasi yang akan kami pergi. Selalunya, orang Selangor akan ke Kuala Lumpur. Tapi, kalau boleh aku tak naklah. Aku sukakan kedamaian. Lebih baik jalan-jalan di kampung aku lagi seronok.
Sepanjang perjalanan itu aku dan dia masing-masing diam. Tapi, sebenarnya aku sedang menahan tawa. Ye lah, sejak dari mula perjalanan tadi mamat skema ni asyik mainkan lagu S. Jibeng. 'Inai di jari' dan 'Cik Ainon Janda Muda'.Hehehe. Aduhai......mamat skema ni. Betul-betul buat aku gila. Boleh pula di layannya lagu 60 an. Oh....kenapa jadi begini. Awal-awal lagi keserasian antara aku dan dia begitu berbeza. Sedangkan apa yang aku tahu, serasi itu akan membawa bahagia.
“Hai, awak ni dah tak ada lagu lain agaknya!” aku bersuara akhirnya kerana sudah hampir hilang kesabaranku untuk menahan tawa.
“Hai, ingatkan awak pekak tak tahu pula awak ada pendengaran yang baik.” Jawapan darinya yang ku kira sangat menyakitkan. Dia pandang kepada aku dan kemudian dia senyum.
“Awak ingat saya teringin sangat ke pada awak. Kalau bukan sebab mak yang paksa tak mungkin saya akan keluar dengan awak!”jawab aku kasar.
“Tak kisahlah..yang penting sekarang awak dah ada di sebelah saya dan tak lama lagi bakal jadi isteri saya..”jawabnya tenang sahaja.
“Awak ni buta ke?”
“Kenapa?”dia soal aku balik.
“Awak tak nampak ke apa yang saya buat semalam?Kenapa awak nak juga kahwin dengan saya. Saya ni tak bagus untuk awak.”
“Sebab saya nampaklah yang saya ambil keputusan nak kahwin juga dengan awak.”Aku tahu lelaki ini memang baik. Sebab itu dia begitu bijak menilai aku siapa sebenarnya.Tidak terus mengambil keputusan untuk menghukum.
“Tapi saya tak cintakan awak. Saya juga tak sukakan awak..!”
“Cinta?Cinta tu boleh di pupuk..boleh di semai.Yang penting langkahnya mesti betul.”
“Pandailah awak cakap. Macam awak tu dah betul sangat.”
“Tak apalah, kalau begitu sesuailah dengan awak yang tak betul semalam.”jawabnya pula sambil ketawa perlahan sahaja. Huh, nak control skemalah konon. Terus aku jeling tak puas hati.
“Boleh saya tahu, Sofea kerja apa sekarang?” soalnya pula sambil terus memandu keretanya dengan berhati-hati. Daripada ‘awak’ sudah bertukar menjadi ‘Sofea’. Tak kisahlah, aku pun senang dengan panggilan nama itu. Tidaklah terlalu skema sangat.
“Tanam anggur...”jawab aku malas. Aku pun tak tahu bila nak memulakan kerja setelah tamat pengajian hampir 6 bulan yang lalu.
“Nanti boleh kita petik anggur tu sama-sama kan..”
“Awak jangan terlalu mengharap!”balas aku lagi. Untuk sekian kali aku berkasar dengannya. Sungguh, aku masih sukar untuk menerimanya saat ini. Walaupun hati kecil aku kuat mengatakan dia seorang lelaki yang baik dan sempurna.Bahkan aku tahu dia punya kerjaya yang hebat. Aku sempat melihat pada kad kerja yang tergantung di keretanya itu. Tak sangka dia seorang Arkitek Landskap. Macam tak percaya pula aku.
 “Mak Sofea cakap yang Sofea mintak tempoh tiga tahun. Kenapa?”
“Sebab waktu itu Sofea yakin mampu buat pilihan yang tepat! Awak pun tahu ini bukan kehendak Sofea. Sofea belum bersedia untuk ada komitmen dengan sesiapa.”
“Maknanya, Sofea tak pernah bercintalah sebelum ni?”Aku angguk sambil pandang dia.
“Jadi, saya akan pastikan yang saya akan jadi cinta pertama untuk Sofea.” Terus berderai tawa aku bila dengar dia cakap begitu. Ada hati nak jadi cinta pertama untuk aku. Sedangkan semua yang berlangsung sekarang adalah paksaan semata-mata. Bukannya lahir ikhlas dari hati aku. Macam mana semuanya nak bertukar menjadi cinta. Dengan gayanya yang skema bahkan suka dengar lagu S. Jibeng. Aduh!Dunia aku dan kau terlalu berbeza.


p/s: dia tidak kacak...tapi dia manis..dia? Dia tidak menonjol tp dia sempurna.....
hehe..mamat skema suka dengar lagu s. jibeng..wuargghhh.....jemput komen:)



Wednesday, April 18, 2012

Tarian Cinta - Prolog



“Esok ada orang yang akan datang merisik kamu, Sofea . Kamu jangan cuba-cuba nak buat perangai lagi. Kalau kamu lari sekali lagi, mak akan kejar kamu sampai ke hujung dunia!”
Aduh!Pagi-pagi buta mak dah beritahu kepada aku perkara yang paling aku tak suka. Tersentap di buatnya. Sarapan nasi lemak itu aku tolak tanda protes.
“Mak bukannya paksa kamu suruh kamu menikah. Mak mintak kamu layan sajalah. Orang dah datang dengan cara baik. Nak terima atau tak itu terpulang kepada kamu.” Tambah mak lagi. Kata-kata yang sedikit membuatkan hati aku lega.
Tapi, pelik juga..kenapa mak cakap macam ni pula. Selalu tu dia suka paksa-paksa aku untuk terima. Kalau yang datang wajah seperti kapten bola sepak melaysia tu tak apalah juga. Ini, muka macam gangster. Pergh, tak sanggup aku. Tak ada kelembutan langsung.
“Tengoklah dulu mak..”jawab aku perlahan.
“Kamu jangan nak tengok-tengok!Siap kamu kalau kamu buat perangai lagi.!” Jerkah mak kuat. Aku cakap perlahan je tapi mak satu kampung dah boleh dengar. Itulah, abah selalu pesan kepada aku jangan di cucuh meriam buluh, nanti meletup satu kampung dengar. Ah! Susahnya.
“Kacak tak mak?”soal aku pula. Cuba bergurau walaupun dalam hati sangat tak sukanya aku.
“Kau tengok sendiri esok!”balas mak pula. Terus meninggalkan aku menuju ke ruang depan.Aku pun terus bangun dan menuju ke pintu dapur. Aku bersandar di balik pintu dengan pandangan yang ku halakan  ke arah luar rumah. Pandangan aku kosong. Seperti hati aku juga. Entahlah kenapa?Aku belum bersedia untuk bercinta bahkan berkahwin jauh sekali. Zaman sekarang umur 24 tahun seperti aku ni kira muda lagi.
Kepala aku ligat memikirkan apa yang harus aku buat esok. Kalau sebelum-sebelum ini aku selalu menghilang diri di saat-saat akhir. Tapi, esok tak kan aku nak buat benda yang sama. Aku perah otak. Fikir cara baru yang aku kira lebih selamat. Tapi, mak sekarang dah pandai main ugut-ugut dengan aku. Aduhai..tak kisahlah. Yang penting idea itu mesti muncul 24 jam dari sekarang.
***
Pagi itu aku dengar ketukan di muka pintu bilik aku tak henti-henti. Dah jadi macam orang mainkan gendang. Kecohnya. Aku toleh jam di dinding sudah hampir pukul 9 pagi. Lama jugalah aku sambung tidur lepas solat subuh tadi. Maklumlah, hati senang sebab rancangan baik sudah ada dalam fikiran.
Kemudian aku terus bangun dan buka pintu. Tubuh mak dan Ariana sahabat baikku tercegat di depan pintu.
“Kau tak siap lagi,Sofea?”soal mak keras.
“Baru bangun..”aku jawab perlahan. Sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Aku siapkan kau ya?”tutur Ariana pula.
“Tak payah Ariana..kau ikut mak cik ke dapur. Mak cik tak percaya kat kau orang berdua!”balas mak pula. Ariana tersengeh. Aku?terus buat muka tak ada perasaan. Macam mana mak nak percaya kalau setiap kali orang datang merisik je aku lesap. Ariana punya idealah. Aku ikut je. Tapi hari ini aku tak perlukan bantuan Ariana. Aku boleh buat sendiri. Aku senyum.
Ariana dan mak pandang aku pelik.
“Kau jangan nak buat hal, Sofea!Siap kau kalau kau buat hal lagi.”gumam mak lagi sebelum keluar.
‘Maaflah mak, anakmu ini memang degil.’tutur aku sendiri selepas itu. Kemudian aku terus baring di atas tilam sambil ketawa. Tak sabar pula sebenarnya untuk melakukan rancangan jahat aku.
***
            Rombongan merisik sampai di rumah aku kira-kira jam  11 pagi. Aku dah seperti budak tak betul. Bila aku pandang cermin lihat wajah aku, lagilah seperti rasa nak gelak guling-guling. Tapi, aku bimbang mak masuk. Jadi, aku terpaksa kawal semuanya agardalam keadaan normal. Walaupun aku dah rasa yang aku sebenarnya tak normal.
            Tidak lama kemudian aku dengar suara Ariana memanggil aku perlahan dari luar. Aku buka pintu sedikit. Tapi, raut wajah Ariana seratus peratus dah bertukar. Baru aku nak tarik dia masuk ke dalam tapi mak dah panggil aku untuk bawakan air ke hadapan. Dia sudah tak mampu nak kata apa-apa. Menjadi tugu di tepi pintu itu.
            Ah! Aku tekad. Apa nak jadi pun jadilah. Aku keluar dengan selamba sahaja walaupun dalam hati bergetar sejuta rasa. Kerja gila yang tak pernah aku buat. Dengan kain batik paras pinggang dan baju t’shirt di dalam sudah cukup untuk membuatkan mata jiran-jiran aku yang kepoh terbeliak. Bahkan silap hari bulan boleh juling. Ah! Aku dah tak peduli.Bukan itu sahaja wajah aku yang suci dan bersih ini aku tempek dengan bedak sejuk. Rambut pula aku ikat tocang dua. Hahaha...macam minah senget. Serius cakap, yang aku tak mandi. Biar puas hati. Yang penting aku nak dia orang reject aku.
            Aku terus ambil dulang air. Aku dah tak berani nak pandang muka mak. Tanpa tunggu masa lama terus aku menuju ke ruang depan. Aku selai tirai dengan kasar dan yang paling aku tak sangka aku boleh sepak kucing yang lintas di depan aku. Terima kasih kucing kerana menjadi pelakon tambahan untuk membantu aku. Hah!Semua mata pandang aku macam tak percaya. Tapi, hanya ada seorang saja yang senyum ke arahku. Siapa dia? Ah! Itu tak penting sekarang. Aku terus buat muka selamba sebelum  aku terdengar jeritan kuat mak di dapur.
“Sofeaaaaaaaaaaa!!!!!!”
            “Mati aku!”hanya sebaris ayat itu sahaja yang mampu aku ungkapkan.


           
 p/s : dah lama nak buat story ni..akhirnya tercapai jugak..senyum :)




NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...