Tuesday, October 14, 2014

Elusan Kasih - Bab 15


FAZZURA melangkah kaki menuju ke jalan besar di simpang hadapan. Pada hari pertama dia akan memulakan kerja. Kerja sebagai Operator Pengeluaran Wanita di kilang NTPM yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Berat hati meninggalkan Aqilah dan Fazmizie. Walaupun semua keperluan anak-anaknya telah disiapkan. Tapi, dia tetap risau. Mak macam tak nak tolong jagakan anak-anak dia. Harap abah sorang mana boleh. Acuh tak acuh saja mak saat dia mintak tolong. Pagi-pagi lagi emak dah bising. Merungut tidak mahu menjaga anaknya. Dia berat hati nak tinggalkan anak-anaknya. Tapi dia perlukan kerja. Dia perlukan wang untuk menampung perbelanjaan mereka. Dia janji lepas dia dapat gaji dia tak akan mintak tolong mak lagi dah.
Jadi janda kena hina. Jadi minah kilang pun kena hina. Serba tak kena jawabnya. Bukan hina pun kerja kilang. Tapi pandangan orang yang cerdik pandai, yang berpendidikan tinggi selalu berkata yang kerja kilang ni tak menjamin masa depan. Macam mana mak dan abah yang melarang dia berkahwin dengan Aqil dulu. Sebab Aqil kerja kilang. Dia masih tak lupa daratan. Masih ingat tujuan dia kerja kilang ni untuk apa.
Sampai di hadapan jalan Fazzura menanti dengan penuh debar van kilang yang akan membawa dia ke kilang.Ya Allah…seumur hidup dia tak pernah fikir atau angan-angan nak jadi minah kilang. Nak mintak kerja ni pun payah jugak sebab result SPM dia elok. Dia pernah masuk University sampai sem satu dah berhenti nak kahwin punya pasal.
Tidak lama kemudian van bewarna biru berhenti betul-betul dihadapannya. Dia segera membuka pintu van. Dua tiga orang pekerja lain menghadiahkan senyuman untuknya. Fazzura membalas walaupun rasa hambar sahaja senyumannya. Dia duduk bersebelahan dengan seorang wanita yang pada pandangannya lebih tua darinya.
“Baru start kerja hari ni ke dik? nama apa?”
Fazzura angguk. “Saya Fazzura. Panggil je Zurra kak.”  Leceh kalau naik van sebenarnya tapi dah terpaksa. Apa nak buat. Kalau dia ada kenderaan sendiri lain. Ini apa pun dia tak ada. Memang patut pun dia kena tinggal dengan Aqil. Memang patut sangat dia kena lalui semua ni. Bersyukurlah Zurra! Dari tak ada.
“Nama akak Zaida.” Dia hulurkan tangan bersalamam.  Fazzura sambut.
“Kak Zaida pun baru lagi pindah sini. Baru sebulan kerja kilang.” terangnya tanpa di beritahu. Patutlah dari lorat percakapannya tidak seperti orang-orang di sini.
“Kerja kilang ni kena tahan mental dan fizikal. Kalau yang dah biasa kerja tak apa. Tapi kalau tak biasa nanti mulalah nak terasa macam-macam.” ujar kak Zaida lagi.
Hesy! Apalah kak Zaida ni. Apesal nak patahkan semangat aku ke dia ni. Ya Allah.Kalau ini rezeki aku. Aku terima. Biarlah orang nak anggap macam mana pun.
“Tak pelah kak. Asalkan ada kerja untuk saya tu kira okeylah.” Sebenarnya kalau boleh dia tak nak cakap banyak. Tak nak cakap lebih-lebih. Dia kerja kilang pun mak dah pandang sinis pada dia. Kak Shahira lagilah.  Zaman sekarang nak pilih sangat kerja pun nak kena tengok jugak pelajaran kita. Walaupun orang selalu anggap macam-macam. Dengan status dia lagilah orang-orang sekeliling nak pandang serong. Tapi sekarang zaman orang lebih terbuka. Mungkin emak sahaja yang masih susah nak terima dengan hati terbuka.
“Kenapa pilih nak naik van. Kenapa tak mintak suami hantar?”
Argh! Stress betullah dia macam ni. Itu belum lagi mereka tahu yang dia ni janda. Van yang membawa mereka akhirnya berhenti di hadapan kilang NTPM Fazzura tarik nafas lega. Perbualan mereka jugak nampaknya akan berakhir di situ. Jadi dia tak perlu jawab apa-apa soalan lagi.
Sedar tak sedar dah waktu rehat. Terasa cepat masa berlalu. Duduk kat line buat kerja macam tu memang satu pengalaman yang baru. Ermm…rindu dengan anak-anak  di rumah. Dah makan ke diaorang berdua.
Telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya berbunyi. Tertera nama Riyadh. Berdegup laju jantungnya.
“Hello…Assalamualaikum Zurra,”
“Waalaikumusalam.” kenapa suara laki ni lain je. Bisik hatinya pula
“Awak kat mana? Sibuk ke?”
“Tak. Sekarang tengah rehat.”
“Rehat?”Fazzura angguk. Macam Riyadh nampak.
“Zurra awak dah mula kerja ke? Kat mana? Pergi dengan apa?” bertubi-tubi soalan yang Riyadh tanya. Hesy! perlu ke dia bagitau yang dia kerja kilang je. Jauh betul perbezaan dia dengan Riyadh. Nanti mesti Riyadh gelak je kat dia.
“Saya kerja…kerja kilang je. Kalau awak nak gelak pun awak gelaklah. Saya tak layak nak kerja hebat-hebat. Lagipun orang macam saya kerja nilah paling layak pun. Cukuplah untuk makan dan pakai anak-anak saya.”
“Alhamdulillah, baguslah macam tu. Tolonglah jangan fikir yang negatif sangat. Saya tak nampak pun apa yang teruk kerja kilang?Awak tu yang selalu fikir bukan-bukan. Awak tahu tak kerja kilang gaji lebih mahal dari awak kerja sebagai kerani. Belajar bersyukur dengan rezeki yang kita terima hari ni. Kalau asyik nak fikir itu ini, itu ini memanglah tak akan ke mana-mana.”
 Suara Riyadh kedengaran serak dan tegas. Demam ke lelaki ini. Argh! Dia peduli apa. Siap nak sound-sound dia lagi.
“Satu je saya nak pesan. Jaga diri.”
Tut..tut..tut.. talian diputuskan. Lorh! Riyadh ni pelik betul. Fazzura geleng kepala sambil pandang skrin telefon. Merajuk?Tapi kenapa?Lantaklah…dia malas nak layan. Hati sendiri belum cukup terjaga untuk jaga hati orang.
“Adik dah makan ke?” soal Kak Zaida kepadanya. Ditangan Kak Zaida ada sebungkus roti dan sebotol air mineral.
“Saya kenyang lagi kak. Dah makan kat rumah awal pagi tadi.”
“Tahan betul perut Zurra. Akak rehat kena makan jugak. Roti pun jadilah. Nak tunggu gaji lambat lagi hah…”
Fazzura senyum. Kak Zaida mengambil tempat duduk bersebelahan dengannya. Ramai pekerja yang lalu lalang dihadapan mereka. Pekerja asing yang banyak.
“Zurra dah kahwin ke belum?” Kak Zaida menyoal lagi sekali. Soalan yang dia sudah agak dari awal lagi akan muncul.
“Dah akak…dah ada dua orang anak pun.”
“Akak tanyalah nampak Zurra muda lagi. Anak Zurra dah berapa tahun?”
Alahai. Kak Zaida memang ikhlas ke nak tahu pasal dia. Dia tak selesalah. Tapi soalan itu terpaksa dijawab. Manalah tahu kak Zaida tidak seperti apa yang dia fikir.
“Yang sulung dah nak masuk empat tahun. Yang kedua tu baru setahun lebih.”
“Siapa jaga anak? Suami ke?”
Fazzura mengeluh perlahan. “Akak…saya ibu tunggal.”
“Oh!” Kak Zaida nampak tenang. Tak pulak terkejut bila dia cakap yang dia ibu tunggal.
“Akak pun ibu tunggal. Kita ni samalah Zurra. Anak-anak akak dah besar pun. Kahwin pun kalau tak bahagia lebih baik cari lelaki lain.”
Senangnya cara Kak Zaida fikir. “Akak kalau rasa dah tak bahagia akak sendiri akan mintak cerai.  Dah dua kali akak kahwin. Kedua-dua bekas suami malas kerja. Hanya tahu mintak duit sahaja. Apa ingat kita ni muka cop duit. Tangan print duit gamaknya. Lebih baik hidup sendiri. Hati pun tak sakit!”
Fazzura tak sangka kak Zaida ada sejarah silam sepertinya. Tapi berbeza. Dia bekas suami duit banyak tapi lupa daratan. Jadi kesimpulannya sekarang ada duit dengan tak ada duit sama sahaja. Duit tak bawa bahagia. Tak ada duit lagilah sengsara.


RIYADH mendengus perlahan. Sakit pula hati dia dengan tiba-tiba. Nak rasa sentap segala bagai. Eh!Kalau time demam macam ni mulalah nak perhatian. Tunggu Annis jemputnya untuk ke klinik pun dah berjam-jam. Fazzura dah kerja sekarang. Macam mana keadaan Fazmizie dengan Aqilah.Duduk dengan siapa? Siapa yang jaga? Banyak yang dia nak tanya. Tapi Fazzura dah mematikan apa yang dia nak tanya. Sekarang dia sendiri di selubungi dengan persoalan-persoalan yang tak ada jawapan. Haiya…pelik betul.
“Yadh!Annis dah sampai tu. Apa yang kau menungkan lagi.” tegur ummi yang datang dari arah dapur. Ummi geleng kepala tengok dia.
“Dah macam teruk je demam kau ni, Yadh?” Ummi pegang dahinya.
“Panas ni.”
“Dah tua-tua demam pun nak manja dengan ummi lagi ke?Tulah orang suruh kahwin cepat-cepat.” sampuk walid pula. Dah siap ketawa tengok dia. Hmm…umur dah 32 tahun. Bukan dua tahun. Bukan tiga tahun. Sakit nak merap.
“Hmm…” Riyadh terus bangun.
“Walid jeles la tu..” ujarnya sekali lagi dan terus menuju ke muka pintu. Rasa macam nak pitam pun ada. Dari pintu rumah dia tengok kereta Annis dah tersadai depan pintu pagar. Kalau tak panggil jangan harap dia nak masuk dalam rumah. Nak jadi menantu tapi tak nak ambil hati bakal mentua langsung.
“Kenapa tak masuk?” soalnya sebaik tubuhnya masuk ke dalam kereta Kia Optima K5. Anak Datuk macam Annis. Mana nak pakai kereta murah-murah. Lebih mahal lagi dari kereta dia kut. Dia tak kisah dah Annis suka. Mana boleh halang. Dengan Annis semua dia tak kisah.
“Malaslah. Nanti lambat pulak. Melarat pulak sakit you tu.” jawab Annis sambil mengerling sekilas ke arahnya. Dia bersandar di kusyen kulit kereta itu.
“Malas ke you segan? Dah nak kahwin dengan I. Rasanya you boleh buang istilah malas dan segan tu.”
“Sakit-sakit pun you nak bebel lagi ke sayang?”
“I tak nak nanti ummi dan walid terasa dengan sikap you tu.” ujar hatinya. Geram tiba-tiba. Dia pejamkan mata. Malas nak bertekak dalam keadaan dia yang macam ni. Tadi dengan Fazzura sekarang dengan Annis pulak. Kenapa dengan dia ni.
 “Uncle dah tak sayang Aqilah dengan Adik lagi ke? Uncle janji nak bawa Aqilah dengan adik jalan-jalan. Tapi uncle tak datang pun. Aqilah takut duduk dengan nenek. Tok garang. Uncle tolonglah datang bawa Aqilah dengan adik. Aqilah tak nak duduk rumah nenek.”
 Anak kecil itu teresak-esak menangis sambil memeluk adiknya. Riyadh bungkam. Apa yang dia nampak sungguh menyakitkan. Aqilah dan Fazmizie tidak terurus.
“Sayang sabar ya. Jangan menangis macam tu. Uncle dah datang ni. Uncle datang nak bawak Aqilah dengan adik jalan-jalan. Jangan cakap uncle tak sayang. Uncle sayang sangat. Jangan menangis ya sayang.” Dia memujuk sambil berjalan menghampiri kedua-duanya. Dalam beberapa langkah sahaja Aqilah dan Fazmizie yang berada di hadapannya direntap kasar.
“Aku sakit hati betul dengan budak berdua ni. Aku dah cakap jangan sepahkan rumah. Hampa dua ni nak jugak sepahkan. Botol sana sini. Hampa dua tak reti nak letak kat sinki. Nak aku pukul ka hah!” wajah tua itu bengis sambil menengking Aqilah dan Fazmizie. Hancur lebur hatinya saat melihat Aqilah dan Fazmizie dia layan dengan sebegitu buruk.
“Tangisan Aqilah dan Fazmizie kian kuat saat jari jemari tua itu mencubit lengan mereka. Dia yang tadinya terkaku di situ terus berlari untuk mendapatkan kedua-duanya. Sungguh dia tak sanggup.
“Jangan!Jangan buat diaorang tak salah! Jangan! Aqilah…adik. Mari sini ikut uncle. Jangan mak cik. Jangan pukul mereka. Jangan…Aqilah!Adik!”
Dia terasa tubuhnya digoncang kuat. Bagaikan dihalang untuk dia menarik tangan Aqilah dan Fazmizie.
“You!you!apa you merepek ni? You! Bangunlah. Hey!you…bangun you,” Dia tersentak. Terkebil-kebil dia membuka matanya. Wajah Annis kelat merenungnya. Dia rasa berpeluh-peluh. Dia tak sedap hati.
“Astagfirullahalazim…” Dia memegang kepala yang berdenyut. Terasa bagaikan satu tangan kasar menggenggam hatinya dengan ganas tadi.  Sakit dan pedih melihat keadaan Aqilah dan Fazmizie. Adakah mimpinya tadi realiti yang sedang berlaku.
“Apa yang you mimpikan tadi sayang. I risau betul tengok you tadi. You okey ke tak okey ni?”Annis sentuh lembut dahinya dengan tapak tangan.
“Kita dah sampai depan klinik pun ni. Jomlah turun. Badan you tu dah panas sangat dah.” Annis segera buka pintu dan keluar dari kereta.  Dia tak kisah kalau dia sakit. Tapi yang dia kisahkan sekarang kalau Aqilah dan Fazmizie yang sedang sakit. Macam dalam mimpinya sebentar tadi. Allahuakhbar. Tak sanggup!
Masuk sahaja di dalam klinik dia terus menyerahkan kad pengenalan di kaunter. Kemudian dia mengambil tempat duduk disebelah Annis. Dia memerhatikan dua pekerja wanita yang bertugas di kaunter itu berbisik sesame sendiri. Dia beralih kepada Annis.
“Wajah I ni ada apa-apa yang tak kena ke sayang?”
Alis perhatikan wajahnya. Kemudian geleng. “You perasan budak-budak perempuan tu nak goda you ke? You jangan nak perasan.” Kata-kata Annis berupa amaran. Dia bukan senang-senang nak tergoda. Sementara menunggu namanya dipanggil dia memejamkan mata. Kepala terasa berat. Berharap yang dia tidak akan bermimpikan lagi perkara yang bukan-bukan tentang Aqilah dan Fazmizie. Dia rasa mimpi tadi membuatkan satu penyakit lain yang turut dia dapat. Penyakit hati. Dia rasa resah dan sakit.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tangisan kuat seorang kanak-kanak. Dadanya kembali berombak. Dia buka kembali membuka mata.
“Tolong! Tolong panggilkan doktor. Anak saya kemalangan! Tolong!!!” jerita kuat wanita itu memenuhi ruang klinik. Tubuh budak lelaki yang lebih kurang sebaya dengan Aqilah dipenuhi darah. Allahuakhbar. Dia tergamam. Petugas kaunter kelihatan kelam kabut. Darah terasa menitik dilantai. Pintu bilik doktor dibuka dari dalam sebelum wanita itu berlari mengusung tubuh anaknya masuk ke dalam.
“I nak balik.” Hanya itu yang keluar dari mulutnya. Annis seakan mengerti. Terus bangun dari duduknya dan keluar dari klinik tersebut. Dia menurut lemah. Macam mana keadaan Aqilah dan Fazmizie sekarang. Dia resah.


TEPAT jam tujuh malam dia habis kerja. Ramai yang dah terkejar-kejar nak balik. Lari macam punch card tu nak hilang. Takut sangat nak beratur panjang. Dia berjalan perlahan sahaja masuk ke laluan dan beratur untuk punch card. Van kilang sudah tersedia tunggu di luar pagar. Dia mempercepatkan langkah. Rindu sangat dengan anak-anak di rumah. Entah makan entah ke tidak. Perjalanan untuk pulang ke rumah hanya mengambil masa selama tiga puluh minit. Di dalam van suasana snuyi sahaja. Kak Zaida pun tidak lagi berborak dan menyoalnya macam pagi tadi. Barangkali letih dengan kerja pada hari pertama. Dia turun di simpang hadapan jalan besar. Hari sudah hampir gelap.  Dia mempercepatkan langkahnya.
Namun baru sahaj beberapa langkah dia bergerak telinganya menangkap bunyi bunyi hon bertalu-talu di belakangnya. Dia kembali berpaling. Melihat sebuah Hilux Putih yang berhenti betul-betul di belakangnya. Dia mengucap panjang tatkala cermin Hilux itu diturunkan. Ammar Haikal terjenguk dengan sengihan panjang.
“Zurra,” panggil Ammar sambil tunjuk isyarat tangan agar dia masuk ke dalam kereta.
“Dekat je Ammar. Aku boleh balik sendiri.” Malaslah dia nak naik dengan Ammar. Nak menunjuk baru keluar keretalah tu. Ciwi aje!
“Wey minah kilang. Jangan sombong sangat boleh tak. Alang-alang aku nak pergi rumah kau ni. Kau naik jelah. ”
Bukan dia tak nak tumpang Ammar. Dia pun nak cepat sampai rumah. Tapi dia sakit hati dengan Ammar. Pasal Ammar nama dia dah mula busuk kat kampung ni. Ammar nak tambah lagi. Siap nak hantar dia pulang. Dia tak perlulah semua tu.
“Zurra!kalau kau tak nak tumpang aku terus-terusan bunyikan hon kereta ni baik kau masuk cepat!” Ammar menekan hon Hiluxnya berulang kali sambil dia ketawa.
Fazzura mengeluh kasar. Berjalan menghampiri Hilux putih itu dengan perasaan sebal. Pintu dibuka lalu dia terus masuk ke dalam. Kuat bunyi pintu Hilux itu ditutupnya. Tunjuk protes.
“Kau ni kan sehari tak kacau aku tak boleh ke Ammar? Kita bukan budak-budak lagi kau tahu tak? Kau jangan buat aku sakit hati sangat dengan perangai kau tu.”
“Aku ni sepupu kau. Salah ke kalau aku nak tumpangkan kau?”Ammar cuit pipinya perlahan.
“Hesy! Kau tolong jaga sikit tingkah laku kau Ammar!”herdik Fazzura semula. Perasaan menyesal mula menjalar dalam diri. Jangan sampai Ammar lupa diri. Mahu dia terjun dari Hilux ni nanti. 
“Kau takut ke Zurra?Alah kalau aku sentuh-sentuh kau tak luak pun.Hahaha.” Ammar ketawa lagi dapat kata begitu kepadanya. “Macam luak.” ejeknya lagi.
“Kau ni memang tak ada hati perut langsung Ammar. Harap darah daging sendiri rupanya lebih teruk lagi. Mungkin kau ni bukan dari keturunan tok wan dengan atuk kut! Sebab tu perangai kau teruk sangat.” Balas Fazzura dengan berani.
“Kau tahu Zurra sebab apa. Sebab apa aku jadi macam ni. Kau tu yang buat semua benda bagi payah. Aku suka kau, Zurra. Kau dengar tak aku suka kau dari dulu lagi. Kau bagi peluang untuk aku jadi suami kau. Habis cerita.”
Fazzura ketawa kuat. “ Dah banyak kali aku ulang cakap pada kau Ammar. Kau dengan aku ni sepupu. Aku tak nak kahwin dengan kau. Aku selesa hidup macam ni.”
“Kau selesa kerja kilang macam ni. Jadi minah kilang.”
Fazzura angguk. “Ya, aku selesa. Asalkan aku dapat gaji halal untuk jaga anak-anak aku. Aku boleh tanggung sendiri. Aku  tak perlukan lelaki untuk bantu aku. Nak pulak lelaki yang macam kau Ammar. Lagilah aku tak nak!” puas hati dia bila tengok muka Ammar kelat macam tu.  Jangan ingat dalam keadaan dia tanpa seorang suami di sisi dia lemah. Berdosa ke kerja kilang? Tak kan?
Ammar memberhentikan Hilux di hadapan rumah dengan wajah mencuka. Fazzura terus turun tanpa mengucapkan terima kasih pada Ammar. Nak undang Ammar masuk ke dalam rumah jauh sekali. Ammar kan dah biasa. Ulang alik masuk rumah ni dah macam rumah dia.
Di hadapan pintu rumah emak sedang berdiri merenung tajam ke arah dia. “Kalau dah macam tu masuk meminang terus Ammar.” ujar emak sedikit terjerit. Kenapa dengan mak? Nak sakitkan hati dia. Kenapa mak tak kesiankan dia langsung. Kenapa mak benci dia sangat. Dia terus masuk dalam. Meliar matanya mencari kelibat Aqilah dan Fazmizie.
Pintu bilik dibuka. Dia menghampiri kedua-dua anaknya yang nyenyak tidur dengan wajah yang kusut dan comot. Baju semalam yang mereka pakai masih tersarung di tubuh mereka. Sudah ada bau yang menusuk ke dalam hidung. Menitik air matanya. Nampaknya emak memang tak nak jaga anak-anaknya.
“Sayang…sayang ibu, ibu balik ni. Bangun sayang, Aqilah, Fazmizie. Bangun mari kita mandi. Bersihkan diri.” Dia mengelus lembut tubuh Aqilah dan Fazmizie. Baru sehari di tinggalkannya. Macam mana pulak esok. Ya Allah…dia perlu fikirkan jalan terbaik.
 “Ibu…kakak lapar.” ayat pertama yang terpacul di bibir kecil itu bila memandangnya.
“Kita mandi, bersihkan diri. Lepas tu kita makan ya.”
Fazmizie sudah merengek. Dia segera mendukung tubuh itu. Masih tidak mengerti apa yang terjadi. Dicium anaknya bertubi-tubi. Tuala yang bersangkut di rak tuala terus diambil.
“Mari sayang ibu mandikan korang.” ujarnya dengan suara yang serak. Sungguh tidak terurus anak-anaknya saat ini. Sanggup emak biarkan anaknya macam ni. Apa dosa anak-anaknya ini. Tak puas hati lagikah emak untuk menyakitinya. Apa salah mereka anak beranak.
Sebaik sahaja keluar dari bilik, dia bertembung dengan abah yang ingin menuju ke ruang hadapan. Terdengar suara emak yang sedang berbual-bual dengan Ammar Haikal.
“Abah dari mana?”  
“Abah dari rumah Haji Bakar. Nanti mesin padi nak masuk ambil padi rumah dia. Abah tak sempat nak tengok anak hang Zurra. Sibuk dengan bendang. La ni orang dah mula nak ambil padi. Mesin jalan abah kalut sikitlah ke hulu ke hilir. Pergilah bawak anak-anak hang mandi.”ujar abah dan terus berlalu ke hadapan.
 Abah dah tua-tua pun masih nak bekerja keras. Masih nak jadi broker mesin padi. Atur bendang orang tu, orang ni. Padahal abah  ada penyakit lelah.  Kenapa budak-budak muda dah tak ada di kampung ni. Umur macam abah seeoloknya berehat je di rumah.  Kampung nelayan ni ada dua pekerjaan. Bendang dan jadi nelayan.
Dia segera mandikan anak-anaknya. Sehari suntuk anaknya tak mandi. Paling ketara Fazmizie masih dengan pampers yang dipakainya semalam. Benci sangat mak dengan dia. Kalau ya pun janganlah lepaskan pada anak-anaknya yang tak bersalah ni. Cukuplah sekadar menghukum dia bukan anak-anaknya.
“Nenek tak nak bagi Aqilah mandi.”
“Nenek tak sempat tu.”pujuknya lagi.
“Nenek garang. Nenek marah Aqilah dengan adik.” Si kecil itu mula bercerita. Membuat jiwanya kian sebak. Matanya terarah kepada lengan kedua-dua anaknya. Ada tanda kemerah-merahan seperti bekas cubitan. Ya Allah...kenapa sampai macam ni. Apa salah anak-anaknya.
Merengek-rengek Fazmizie kesejukan  tatkala air mula dijirus ke tubuhnya.
“Pandai anak ibu. Panggil ibu ya. Kesian…nanti ibu suapkan nasi.”
Maafkan ibu wahai anak-anakku. Ibu terpaksa membiarkan kamu berdua dalam keadaan begini. Sakit anak ibu…sakitlah jua diri ibu. Rintihnya di dalam hati. Kenapa sampai begini sekali layanan emak terhadap dia dan anak-anak. Tak berhakkah seorang cucu untuk mendapat kasih sayang seorang nenek.
Selesai sahaja memandikan kedua-duanya dia terus menuju ke bilik. Ammar masih ada di ruang tamu. Dia sudah tidak peduli lagi dengan lelaki itu.
“Ibu, Aqilah nak pakai baju ni. Adik pakai baju ni.” Dia ambil baju tidur gambar Sin Chan untuk Fazmizie. Manakala untuk dia baju tidur bunga-bunga warna pink.
“Anak ibu dah pandai pakai sendiri kan.”
“Aqilah pandai pakai. Adik tak pandai lagi.”
“Adik kecik lagi. Nanti adik dah besar pandailah macam kakak.”
“Esok Aqilah nak mandi sendiri.”
“Pandai ke anak ibu ni?”
“Pandai. Aqilah boleh mandi sendiri. Uncle cakap dah besar kena mandi sendiri.”
Uncle mana pulak ni?Uncle yang bagi ice- cream tu ke?
Aqilah angguk. “Aqilah nak jumpa uncle Yadh ibu. Nak pergi makan dengan uncle.”
Anaknya kalau berbicara pasal Riyadh laju saja. Itu dan ini. “Tak payahlah nak susahkan uncle. Nak makan ice-cream ibu kan boleh beli.”
Si kecil itu mengerutkan kening menunjukkan tanda protes.
“Aqilah tak nak. Aqilah nak uncle.”   Aqilah merengek manja.
“Papa?”
Si kecil itu geleng. Apalah yang Riyadh guna pakai sampai anaknya ni nak sangat dengan dia. Hmm…ibu tak nak susahkan uncle sayang.
“Nenek kan ada?” Aqilah geleng lagi.
“Nenek garang. Aqilah tak suka nenek. Nenek cubit sakit.” Ceritanya bersungguh-sungguh dengan reaksi wajahnya yang berkerut seperti awal tadi. Muncung mulut anaknya itu jelas menandakan yang dia benar-benar tak suka.
“Nenek bukan garang. Nenek memang macam tu. Tapi nenek baik.” pujuk Fazzura.
“Aqilah nak ikut ibu esok. Aqilah tak nak duduk rumah.”
“Tak boleh Aqilah. Ibu kerja. Mana boleh ikut.Tak naklah macam ni. Tak nak kawan nanti.”usulnya apabila Aqilah terus merengek.
“Jom ikut ibu pergi dapur. Kita makan dulu.” dia terus bangun. Mendukung Fazmizie. “Ermm...wangi dah anak ibu.”
Sampai di dapur dia lihat Shahira sedang menjamu selera. Tak pasti bila kakaknya itu pulang atau dia memang sudah ada dalam rumah ni.
“Senang hati balik kerja ada orang dah masakkan siap-siap. Boleh senang lenang lepas ni. Balik kerja pun ada orang hantar.” Apalah yang kak Shahira tak puas hati. Pantang jumpa dia mesti nak kata macam-macam.
“Mak long makan apa tu mak Long.?” soal Aqilah sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Shahira.
“Yang kau sibuk kenapa? Kau tak nampak aku makan nasik. Argh!” dia tolak pinggan.
“Kalau sekalipun pun marah atau tak puas hati dengan saya. Janganlah cakap macam tu depan budak-budak ni kak Shira.” Dia yang sejak awal tadi diam terus bersuara. Pinggan diambil dan nasi dicedok. Telur goreng yang ada diambil separuh. Kicap dituang ke atas nasik. Bukan susah nak bagi anak-anaknya makan.
Dia terus menyuapkan nasik ke dalam mulut anak-anaknya. Dah tak hirau lagi pada Shahira yang bangun menuju ke sinki. Siap tunjuk muka sakit hati dekat anak-anaknya. Apalah yang budak-budak ni faham.
“Hilang selera aku.” bentaknya lagi. Fazzura geleng kepala. Macam nak gelak pun ada dengan perangai kakak dia sorang ni. Fizikal dah macam lelaki tapi cepat sentap. Lelaki mana boleh cepat sentap. Tak macholah.

“Hmm…kalau tak nak hilang selera jangan pandang kami anak beranak.” Balasnya perlahan. Shahira mendengus kasar. Terus bergerak meninggalkan ruang dapur itu. Kalau kena dekat dia tahu pulak nak sentap. Desis hatinya perlahan. Entah kenapa dia rasa keluarganya tak macam keluarga orang lain. Kurang kasih sayang. Yang paling kurang dapat kasih sayang dah tentu dia. Sebab itu jugaklah dia pilih nak kahwin muda. Sebab nak dapat kasih sayang dari Aqil. Sudahnya makin sakit yang dia dapat.


Okey....dah tengok cover kan? ^____^

Monday, October 13, 2014

Elusan Kasih - Bab 14


* Okey malam ni kita bagi versi yang sudah di edit. Ingat lagi tak cerita ni? Semoga terhibur. BAKAL TERBIT OKTOBER INI. :)

Bab 14


WAJAH emak pada pagi yang redup itu bertukar garang. Telinganya mula bersarapan ayat-ayat pedas dari emak. Fazzura yang sedang menyapu sampah di dapur diam tidak bersuara. Pagi-pagi mak Jah dah datang rumah bawa mulut pasal dia. Kononnya nampak dia berasmara dana dangan dengan Ammar di Ban Pecah tempoh hari. Hish! Geramnya dia dengan Mak Jah tu.
“Payah-payah sangat aku nikahkan saja hang dengan Ammar!” herdik emak lagi.
Nikah dengan Ammar?Tak akan sesekali.
“Mak, Ammar tu sepupu Zurra mak. Anak saudara emak juga. Zurra tak naklah dengan dia.” Fazzura akhirnya menjawab.Tidak bersetuju dengan cadangan emak.
“Habis tu yang hang duduk berdua-duaan dengan dia sampai orang kampung mula mengata tak pulak hang fikir!”
“Mak, Zurra tak buat apa-apa pun dengan Ammar tu mak. Ammar tu je yang tak boleh tengok Zurra senang.” Dia cuba pertahankan yang benar. Walaupun emak mungkin tak percaya apa yang dia cakap. Tak tahulah ubat apa yang si Ammar buaya darat tu guna.
Emak memandang dia tajam. “Hang tu dah janda. Hang suka orang bawa mulut pasal hang. Walaupun Ammar tu sepupu, hampa berdua tetap boleh kahwin. Malu aku bila orang kampung mula mengata. Tak habis-habis nak menyusahkan aku. Baik aku nikahkan sahaja hang dengan dia.”
Emak begitu memandang serong pada janda walaupun anaknya sendiri. Percaya sangat cakap Mak Jah. Padahal Mak Jah tu pun janda jugak. Sampai dah tua pun kahwin masih lagi bercerai.
Kalau kita tak buat apa salah apa nak di takut. Pesan Riyadh berlegar di minda. Dia tak perlu takut pada cakap-cakap orang kerana sememangnya dia tidak bersalah apa-apa. Dia memandang emak semula. Bertekak lidah tidak akan memberikan apa-apa hasil.
 “Mak, saya mintak maaf. Tapi antara saya dengar Ammar kami tak buat apa-apa pun mak. Ammar jumpa saya hanya sekadar bertanya khabar.”  Penyapu kembali diletakkan di tempatnya.
“Saya tak setuju mak nak nikahkan saya dengan Ammar tu.” sambungnya lagi dan terus berlalu. Degilkah dia? Dia cuma harapkan emak faham keadaannya saat ini. Dia perlukan sokongan untuk terus hidup bersama anak-anak bukan dengan hal-hal yang menyakitkan hatinya macam ni.
“Abah pun rasa lebih elok kalau hang nikah saja dengan Ammar tu. Bukannya orang lain. Hang dah kenal. Abah dengan emak pun dah kenal. Tapi dalam soal ni abah tak paksa. Bukan hang tak tau mak hang ni dah berkenan sangat dengan si Ammar dari dulu lagi.”
Fazzura berpaling ke belakang. Abah yang masuk dari pintu dapur pula memberikan cadangan sama seperti emak. Ya Allah…hatinya kian rabak. Dia tak sanggup nak lukakan hati abah dan emak.  Sejak dia pulang abah yang menyara hidupnya dengan anak-anak. Tapi dia juga tidak sanggup untuk memperjudikan masa depannya dengan memilih Ammar Haikal sebagai pengganti bapa kepada anak - anaknya. Apa bezanya Ammar dengan Aqil? Bukankah kedua duanya menyakitkan hatinya.
“Saya tak fikir Ammar tu boleh jadi pengganti bapa kepada anak-anak saya abah.”
“Soal boleh ganti atau tak hang tak payah nak fikir. Orang dah berkenan lama dengan hang. Hang terima sudah la.” Sampuk mak lagi. Senangnya cara mak fikir. Apa salah dia sampai mak sanggup paksa-paksa dia sampai macam ni. Kalau mak berkenan sangat dengan Ammar tu kenapa tak nikahkan aje Ammar dengan Shahira, kakaknya itu.
“Saya baru lagi mak jadi janda. Mak tak malu ke nanti orang cakap anak mak ni dah tergedik-gedik nak kahwin. Bagi saya masa mak. Soal nikah kahwin ni bagilah saya masa fikir.”
“Dulu kau kahwin pun bukannya kau fikir. Bercerai berai jugak. Pilihan kau sendiri tu.” Kali ni Fazzura terus bergerak tinggalkan ruang dapur itu. Buat seketika dia perlu jauhkan diri dari emak. Abah tidak terkata apa. Melihat sahaja tindakan emak begitu. Abah memang sayangkan emak. Tapi emak tak sayangkan dia. Asyik-asyik nak cari salahnya sahaja.


TENGAHARI itu Ammar datang lagi. Siap bawa Mak Long. Fazzura yang sedang menyiapkan makanan tengahari pura-pura sibuk. Malas nak layan Mak Long dengan Ammar yang berada di ruang tamu. Butir  bicara yang sedang mereka bualkan pun dia tidak ambil kisah. Dia malas nak dengar. Kemudian dia terdengar Aqilah dan Fazmizie terjerit-jerit di belakangnya. Turut disusuli dengan Ammar yang mengusik mereka berdua.
“Rajinnya kau masak. Bau sampai di depan tu.”
“Rezeki kau dengan Mak Long lah…kebetulan pulak aku masak lebih hari ni.”
“Ibu…lapar bu…boleh makan tak lagi ibu.” Aqilah menyoalnya sambil menarik baju t’shirt ditubuhnya.
“Aqilah, pergi main dengan adik dulu jangan ganggu ibu nak siapkan makan ni. Sabar kejap.” pintanya pula.
“Hah!pergi main jauh-jauh. Uncle Ammar nak cakap dengan ibu korang kejap!” Sergah Ammar sambil ketawa.“Masak pandai, serba serbi pandai. Tapi tetap kena cerai. Tetap jadi janda. Kesian…” Ammar buat muka macam nak kena penampar. Fazzura tarik nafas geram.
“Mulut kau tu Ammar jaga sikit. Jangan sampai aku cabaikan nanti!”
“Eh!marah? Aku cakap yang betul pun marah. Kesian…”Ammar juih bibir.
“Malaslah aku nak layan kau Ammar.” Fazzura ambil mangkuk. Masak lemak ikan patin itu dicedoknya ke dalam mangkuk. Lalu diletakkan di atas meja. Matanya memerhatikan Fazmizie yang duduk ditepi meja makan itu. Surat khabar yang ada ditangannya direnyuk-renyuk. Luka di kaki anaknya itu kian pulih. Dia masih membalut luka itu dengan kain anduh. Bimbang dijangkiti kuman. Lagipun Fazmizie ni agak hyperaktif.
“Aku pun pelik dulu bukan main lagi bahagianya kau dengan Aqil tu. Aku ni kau tolak mentah-mentah. Tup-tup dapat berita macam ni aku terkejut jugak. Tapi orang kan selalu kata kalau dah jodoh tak ke mana. Jodoh kau dengan akulah tu.”
“Ammar…boleh tak kau berhenti cakap pasal aku.” potong Fazzura laju. “Kalau asyik bercakap pasal diri orang lain lama-lama nanti takut terkena kat batang hidung sendiri.”
Ammar ketawa sinis.
“Aku tak ada susahkan kau pun Ammar. Aku tak mintak simpati kau pun. Kenapa kau rasa susah ke? Tak habis-habis nak busy body! Pergi cari perempuan lain Ammar.” Ammar memang sengaja nak sakitkan hati dia. Ammar pula terus bangun dari kerusi yang di duduknya itu. Mukanya merah padam menahan perasaan marah barangkali mendengar kata-kata yang keluar dari bibirnya.
“Kau tak layak kut Ammar nak gantikan tempat Aqil.”
Ammar pandang dia macam nak telan. “Kau jangan nak belagak sangat Zurra.”
“Aku belagak?” Fazzura tertawa.
“Aku sedar siapa diri aku Ammar. Aku pelik apa yang mak Ngah nampak pada kau ni. Kau tahu tak, mungkin sebab kau ni manusia yang hipokrit. Depan mereka bukan main lagi kau kan. Belakang?macamlah aku tak tahu ligatnya kau tu.”
Sejak dari kecil mereka bersekolah di satu sekolah yang sama. Kenakalan Ammar sampaikan mak Long dengan arwah pak Long terpaksa berulang alik ke sekolah. Masuk bilik guru besar. Buat malu aje.
“Kau suka aku ke tak tu tak penting. Yang penting mak dan abah kau tu suka kat aku.” Ammar tarik senyum lebar. Dapat merasakan kemenangan akan berpihak kepadanya. Memiliki Fazzura adalah keinginan dari zaman persekolahan yang tidak pernah ada batasan.
“Suka hati kau lah Ammar. Aku malas nak layan kau. Tak sangka pulak janda macam aku ni pun kau berkenan.” Fazzura senyum sinis.
Taste engkau tak adalah tinggi sangatkan Ammar?” lagi sekali dia ingin menyakitkan hati sepupunya itu.
“Asalkan aku dapat memiliki kau. Aku puas!” balas Ammar dan terus bangun.
“Sukahati kaulah Ammar.” Kata dia janda. Tapi janda ni jugaklah yang Ammar terhegeh-hegeh. Hanya Riyadh seorang yang tak pernah nak pandang rendah akan dia. Riyadh? Satu nama asing yang tiba-tiba muncul di dalam kamus hidupnya. Sebaris nama yang tidak pernah buat dia rasa tarafnya rendah. Perselisihan faham kelmarin tidak lama bila Riyadh memohon maaf darinya. Beruntung bakal isteri Riyadh.
“Ibu, Aqilah rindu uncle Yadh.” tutur Aqilah tiba-tiba.
Uncle sibuk Aqilah. Uncle kan nak kahwin tak lama lagi.” jawabnya sambil meletakkan pinggan diatas meja itu. Lauk pauk sudah terhidang tunggu hendak dijamah sahaja lagi.
“Bila kita nak jumpa uncle ibu?” rungut Aqilah lagi.
“Syut... nantilah kita jumpa. Sekarang Aqilah jangan cakap pasal uncle lagi. Nanti nenek dan tok wan marah.” pujuknya pula. Kalau emak dan abah dengar nanti banyak pula curiga mereka. Walaupun dia dan Riyadh tak ada apa-apa yang istimewa tapi dengan anak-anaknya ada sesuatu hubungan yang mesra. Hubungan yang penuh dengan kasih sayang.
“Uncle janji nak bawa Aqilah dan adik jalan-jalan.” Bibir comel itu masih lagi ingin bersuara. Mengulangi janji yang pernah dibuat oleh Riyadh. Budak-budak besar ni kalau dah berjanji mesti dia akan ulang soal. Itu sebab dia tak suka bila Riyadh berjanji nak bawak diaorang jalan-jalan.
“Aqilah, kenapa degil ni. Lepas makan nanti ibu telefon uncle.”
Aqilah terus lompat girang. “Yeee! Adik! Nanti ibu nak call uncle adik.” dia beritahu pula kepada Fazmizie.
“Aqilah jangan bising-bising macam tu. Nanti nenek dan tok wan marah. Jangan sebut-sebut pasal uncle. Pergi panggil nenek, tok wan dan tok long makan.” pinta Fazzura kepada anaknya.
“Kalau uncle Yadh ada kan seronok.”
Fazzura mengeluh perlahan. Lagi-lagi nama Riyadh!


RIYADH leka bermain dengan anak-anak buahnya berhampiran pergola pangkin itu. Cuaca di luar yang redup membuatkan anak-anak buahnya seramai tiga orang itu di dua petang. Budak-budak ni kalau balik rumah nenek dengan atuk mana reti duduk diam-diam. Ummi, walid, kak Long dan abang Ngah semua berkumpul di rumah. Riuh rendah rumah dengan celoteh anak cucu Tuan Radhi. 
“Riyadh!” panggil kak Long tiba-tiba. Dia menoleh. Kak Long yang duduk di pintu rumah itu tergamit-gamit memanggilnya.
“Kenapa?” soalnya sedikit terjerit di dalam keriuhan suara anak-anak saudaranya. Kak Long bagi isyarat tangan agar dia ke sana.
“Kenapa?”soalnya sebaik tubuhnya berada di hadapan kak Long.
“Sinilah…” Kak Long tarik tangannya menuju ke meja bulat yang berhampiran pintu itu.
“Kau dengan Annis ni sure ke nak kahwin?” Riyadh pandang kak Longnya pelik. Tiba-tiba sahaja tanya soalan macam ni.
“Kau janganlah buat muka pelik kau tuh. Kak Long tanya je. Kau serius ke ni dengan Annis tu?”
“Habis tu tak kan saya nak main-main pulak. Bukannya kak Long tak tahu yang saya dengan Annis tu dah lama kawan. Tak kan saya nak buang masa.” jawabnya yakin. Terlalu yakin yang hatinya hanya ada pada Annis. Terlalu yakin yang hanya Annis wanita yang akan di kahwininya. Yang mampu memberikan kebahagiaan kepadanya. Yang mampu melahirkan anak-anak yang comel seperti Aqilah dan Fazmizie. Ah! Rindu pulak dekat diorang berdua.
“Kenapa?apa yang tak kena?” soalnya pula. Kak Long menghadiahkan senyuman yang dia sendiri tak faham apa maksud senyuman kak Long nya tu. Boleh pulak tanya begitu.Tak kan benda-benda begitu nak dia nak buat gurauan.
“Manalah kak Long tahu kau serius ke tak. Selama tujuh tahun kau couple dengan Annis tu tak pernah pulak kau cakap yang kau nak kahwin.”
“Kalau dah sampai jodoh…kahwin la tak kan nak membujang sampai tua kut!”
“Tapi dengan Annis?”
“Hesy kak Long ni…mestilah dengan Annis. Habis yang ummi pergi merisik tu  orang lain ke? Bukan Annis? tu la kak Long! Sibuk sangat dengan kerja. Bila orang ajak pergi majlis merisik dulu tak nak. Kak Long ikut abang Long ke Luar negara. Tak boleh renggang sikit kak Long ni. Time tu la juga nak pergi.” Lancar mulutnya berbicara. Kak Long suri rumah tapi sibuk mengalahkan yang kerja. Maklumlah abang iparnya berjawatan besar. Kak Long pun ikut sibuklah agaknya.
Ruzilah sengeh. Mengakui kekhilafan diri. “Habis tu siapa pulak budak dua orang yang selalu kau usung ke hulu, ke hilir dulu tu?”
Dupp!
Pertanyaan dari kak Long membuatkan jantungnya berdegup kencang. Dia pandang wanita yang lapan tahun beza dengan darinya itu. Kak Long tetap berlagak biasa. Menanti jawapan yang terbit dari mulutnya. Kak Long ni dah macam perisik pulak. Perlu ke dia nak cerita benda yang tak perlu dia nak cerita. Lagipun siapa Aqilah dan Fazmizie biarlah jadi rahsia hidupnya. Kalau pun ahli keluarganya nak tahu biarlah di majlis perkahwinan dia dengan Annis nanti. Kerana waktu itu dia pasti akan kenalkan insan-insan yang telah membuka pintu hatinya untuk berkahwin.
“Budak mana pulak yang kak Long tengok saya bawak ni? Merepek ke kak Long? Demam ke nak boleh sorang lagi ni?” Riyadh mengusik selamba.
“Hesy!kau tak payah nak tukar topik Yadh.” Ruzilah menampar kuat bahu adiknya itu.
“Merepeklah kak Long ni. Mana ada.” Riyadh cuba berahsia pula. Bahunya yang ditampar digosok perlahan. Boleh tahan sakit.
“Tak ada ye? Kau nak menipu pun agak-agaklah. Kau ingat Taman Reakreasi Pullman tu tempat kau sorang? Kak Long nampak tau dengan bijik mata dua bijik ni. Tak rabun lagi.” bebel kak Long siap tunjuk dua biji matanya dengan jari. Riyadh bagi isyarat tangan agar Ruzilah memperlahankan sedikit suara. Nanti kalau ummi dan walid dengar banyak pulak soalan.
“Kak Long tunggu di majlis perkahwinan saya nanti. Saya akan jawab soalan kak Long tu.”
Ruzilah geleng kepala. “Yang kau nak berahsia dengan kak Long ni apesal?”
“Alah…kak long tolong jangan bagi tekanan. Hesy!mana ada. Mana kak Long nampak ni? Sejak bila pulak jadi wartawan tak bertauliah ni?”
“Kau nak cerita ke tak nak?” Ruzilah soal sekali lagi.
“Tak nak.” balas Riyadh tanpa memandang sedikitpun ke arah Ruzilah. “Kak Long saya ni dah besar tau. Bukan budak kecil yang kak Long boleh kepit bawah ketiak kak Long tu. Jangan risau sangat.”sambungnya lagi.
“Pasal kau tu adik kak Long yang diri ni risau.”
“Yalah…tapi janganlah buat saya macam budak kecik. Saya ni lelaki.”
“Terpulang kepada engkaulah. Kak Long cuma tak nak  kau tersalah pilih.”
“Masalahnya saya dah pilih Annis tu.” terangnya untuk sekian kali. Apesal dengan kak Long ni. Macam ada sesuatu yang cuba kakaknya itu sembunyikan darinya.
“Ada news yang saya tak tahu?”
Ruzilah mengeluh berat dengan pertanyaan Riyadh.
“Kau lebih kenal dia Yadh. Bukan kak Long. Tapi kau kena ingat selama mana pun kita kenal, kita kawan dan kita bercinta dengan orang tu, itu semua belum menjamin lagi yang kita betul-betul kenal akan dirinya.”
“Kak Long bercakap pasal Annis?Apa yang kak Long cuba nak sampaikan kepada Yadh ni?”
Tak kanlah aku nak cakp kepada adik aku ni. Ermm…Ruzilah geleng kepala. “Tak ada apalah Yadh. Kak Long nak masuk dalam dululah.”pintanya pula.
“Pulak? Tadi beria-ia macam nak cakap sesuatu.” Riyadh ketawa memandang Ruzilah.
Dia tidak kisah siapapun pilihan adiknya itu. Tapi, Kalau boleh biarlah bukan dengan Annis. Sejak dari dahulu lagi dia tidak berkenan dengan Annis. Dia tahu kehidupan Annis macam mana. Dia tahu kebebasan Annis di belakang Riyadh.  Mungkin tanggapannya silap tentang Annis. Mungkin juga Riyadh lebih mengenali Annis. Tapi di sudut hati kecilnya dia dapat rasakan ada sesuatu yang kurang pada Annis. Dia pernah ternampak Annis bersama lelaki lain. Berjalan sakan berpelukan. Bukan sekali dua.Tapi berkali-kali dengan orang yang berbeza.
Begitu juga dengan Riyadh? Dia tertanya-tanya siapakah sepasang budak kecil yang Riyadh bawa. Kemesraan yang Riyadh tonjolkan seoalah-olah Riyadh terlalu kasihkan kanak-kanak comel itu. Mereka kelihatan mesra. Adakah anak Riyadh dengan Annis? Ya Allah…dia tidak ingin berfikir bukan-bukan. Dia yakin Riyadh bukan begitu. Adiknya cukup terdidik dengan ilmu agama. Tapi, dengan cara hidup Annis itu yang menggusarkan hatinya sebagai seorang kakak.
Riyadh masuk ke dalam rumah dan berlalu menuju ke biliknya. Senyuman tersungging dibibirnya. ‘Kak Long ni dah macam edisi siasat.’ Dia ketawa kecil. Telefon bimbit dicapai. Sebut pasal budak-budak tu tiba-tiba ada rasa rindu yang bertamu.

Assalammualaikum orang di sana?Sibuk tak?Kalau uncle nak call cakap kejap boleh tak?

Dia senyum lebar sambil berbaring di atas katil. Aduhai macam dah panasaran pulak dia. Terbayang rupa Fazzura bila dapat mesej tadi. Mesti serius macam selalu. Alah, dia tak kisah pun. Kehendak hati mana boleh nak halang. Dia teringatkan Aqilah dan Fazmizie jadi dia mesejlah. Apa yang jadi masalahnya. Dia teringin nak bawa diaorang jalan-jalan pun apa masalahnya. Masalahnya  kak Long tadi mesti dah fikir bukan-bukan. Ermm…tak akan ada yang percaya. Tapi dalam sejuta mungkin dia insan yang paling istimewa sebab Allah anugerahkan dia perasaan kasih sayang terhadap budak-budak tu. Sayang sangat-sangat.

Waalaikumussalam. Ini cerita P. Ramlee ke bujang lapok siap ada disana bagai. Sibuk la uncle. Kalau uncle nak cakap malam nantilah. Kalau mesej tu boleh lagi.
           
Alah sibuk ye? Apa yang di sibukkan tu?Buat2 sibuk tak sebab tak nak cakap?

Jangan merepek uncle. Tok Long Aqilah dengan adik datang rumah ni.

Iye?Buat apalah tu kan..

Tak buat apa uncle. Makan2 je.

Makan apa tu?Ibu masak apa?Sedap tak?

Masak ikan patin lemak cili api. Sedap kut!mai la rasa.

Ermm…ibu mana bagi uncle pergi. Dia cakap nanti nenek marah. Agaknya tok wan dengan nenek tu makan orang kut. Setakat dalam mesej jelah ibu berani ajak kan!

Rasa terliur tiba-tiba bila Fazzura sebut pasal masak lemak ikan patin tu. Fazzura ni macam tau je kesukaan dia. Hesy! Dalam SMS berani la ajak. Kalau betul-betul bukan main lagi dia mengelak. Beribu alasan Fazurra bagi sampai gaduh-gaduh tempoh hari.
Seminit dua telah berlalu. Dia pandang skrin telefon. Sudah tak ada balasan dari orang di sana. Sudahnya dia tarik bantal. Mata terasa berat pulak. Rasa lemak ikan patin terasa di hujung lidah. Seronoknya kahwin kalau dapat orang yang pandai masak. Annis? Ermm…silap-silap dia yang kena masak. Rebus air pandailah Annis tu. Tapi tak apa lah. Aku terima kekuranganmu seadanya Annis. Bukan salah pun mencintai kalau ada kekurangan. Riyadh pejam mata sebelum hanyut  terlena. Zzz…



* Maaf kalau ada kekurangan di dalam naskhah ni.