FAZZURA melangkah kaki
menuju ke jalan besar di simpang hadapan. Pada hari pertama dia akan memulakan
kerja. Kerja sebagai Operator Pengeluaran Wanita di kilang NTPM yang terletak
di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Berat hati meninggalkan Aqilah dan Fazmizie.
Walaupun semua keperluan anak-anaknya telah disiapkan. Tapi, dia tetap risau.
Mak macam tak nak tolong jagakan anak-anak dia. Harap abah sorang mana boleh.
Acuh tak acuh saja mak saat dia mintak tolong. Pagi-pagi lagi emak dah bising.
Merungut tidak mahu menjaga anaknya. Dia berat hati nak tinggalkan
anak-anaknya. Tapi dia perlukan kerja. Dia perlukan wang untuk menampung
perbelanjaan mereka. Dia janji lepas dia dapat gaji dia tak akan mintak tolong
mak lagi dah.
Jadi janda kena hina.
Jadi minah kilang pun kena hina. Serba tak kena jawabnya. Bukan hina pun kerja
kilang. Tapi pandangan orang yang cerdik pandai, yang berpendidikan tinggi
selalu berkata yang kerja kilang ni tak menjamin masa depan. Macam mana mak dan
abah yang melarang dia berkahwin dengan Aqil dulu. Sebab Aqil kerja kilang. Dia
masih tak lupa daratan. Masih ingat tujuan dia kerja kilang ni untuk apa.
Sampai di hadapan jalan
Fazzura menanti dengan penuh debar van kilang yang akan membawa dia ke
kilang.Ya Allah…seumur hidup dia tak pernah fikir atau angan-angan nak jadi
minah kilang. Nak mintak kerja ni pun payah jugak sebab result SPM dia elok. Dia pernah masuk University sampai sem satu
dah berhenti nak kahwin punya pasal.
Tidak lama kemudian van
bewarna biru berhenti betul-betul dihadapannya. Dia segera membuka pintu van.
Dua tiga orang pekerja lain menghadiahkan senyuman untuknya. Fazzura membalas
walaupun rasa hambar sahaja senyumannya. Dia duduk bersebelahan dengan seorang
wanita yang pada pandangannya lebih tua darinya.
“Baru start kerja hari
ni ke dik? nama apa?”
Fazzura angguk. “Saya
Fazzura. Panggil je Zurra kak.” Leceh
kalau naik van sebenarnya tapi dah terpaksa. Apa nak buat. Kalau dia ada
kenderaan sendiri lain. Ini apa pun dia tak ada. Memang patut pun dia kena
tinggal dengan Aqil. Memang patut sangat dia kena lalui semua ni. Bersyukurlah
Zurra! Dari tak ada.
“Nama akak Zaida.” Dia
hulurkan tangan bersalamam. Fazzura
sambut.
“Kak Zaida pun baru
lagi pindah sini. Baru sebulan kerja kilang.” terangnya tanpa di beritahu.
Patutlah dari lorat percakapannya tidak seperti orang-orang di sini.
“Kerja kilang ni kena
tahan mental dan fizikal. Kalau yang dah biasa kerja tak apa. Tapi kalau tak
biasa nanti mulalah nak terasa macam-macam.” ujar kak Zaida lagi.
Hesy! Apalah kak Zaida
ni. Apesal nak patahkan semangat aku ke dia ni. Ya Allah.Kalau ini rezeki aku.
Aku terima. Biarlah orang nak anggap macam mana pun.
“Tak pelah kak. Asalkan
ada kerja untuk saya tu kira okeylah.” Sebenarnya kalau boleh dia tak nak cakap
banyak. Tak nak cakap lebih-lebih. Dia kerja kilang pun mak dah pandang sinis
pada dia. Kak Shahira lagilah. Zaman
sekarang nak pilih sangat kerja pun nak kena tengok jugak pelajaran kita.
Walaupun orang selalu anggap macam-macam. Dengan status dia lagilah orang-orang
sekeliling nak pandang serong. Tapi sekarang zaman orang lebih terbuka. Mungkin
emak sahaja yang masih susah nak terima dengan hati terbuka.
“Kenapa pilih nak naik
van. Kenapa tak mintak suami hantar?”
Argh! Stress betullah dia macam ni. Itu belum
lagi mereka tahu yang dia ni janda. Van yang membawa mereka akhirnya berhenti
di hadapan kilang NTPM Fazzura tarik nafas lega. Perbualan mereka jugak
nampaknya akan berakhir di situ. Jadi dia tak perlu jawab apa-apa soalan lagi.
Sedar tak sedar dah
waktu rehat. Terasa cepat masa berlalu. Duduk kat line buat kerja macam tu memang satu pengalaman yang baru.
Ermm…rindu dengan anak-anak di rumah.
Dah makan ke diaorang berdua.
Telefon bimbit yang
berada di dalam poket seluarnya berbunyi. Tertera nama Riyadh. Berdegup laju
jantungnya.
“Hello…Assalamualaikum
Zurra,”
“Waalaikumusalam.”
kenapa suara laki ni lain je. Bisik hatinya pula
“Awak kat mana? Sibuk
ke?”
“Tak. Sekarang tengah
rehat.”
“Rehat?”Fazzura angguk.
Macam Riyadh nampak.
“Zurra awak dah mula
kerja ke? Kat mana? Pergi dengan apa?” bertubi-tubi soalan yang Riyadh tanya.
Hesy! perlu ke dia bagitau yang dia kerja kilang je. Jauh betul perbezaan dia
dengan Riyadh. Nanti mesti Riyadh gelak je kat dia.
“Saya kerja…kerja
kilang je. Kalau awak nak gelak pun awak gelaklah. Saya tak layak nak kerja
hebat-hebat. Lagipun orang macam saya kerja nilah paling layak pun. Cukuplah
untuk makan dan pakai anak-anak saya.”
“Alhamdulillah,
baguslah macam tu. Tolonglah jangan fikir yang negatif sangat. Saya tak nampak
pun apa yang teruk kerja kilang?Awak tu yang selalu fikir bukan-bukan. Awak
tahu tak kerja kilang gaji lebih mahal dari awak kerja sebagai kerani. Belajar
bersyukur dengan rezeki yang kita terima hari ni. Kalau asyik nak fikir itu ini,
itu ini memanglah tak akan ke mana-mana.”
Suara Riyadh kedengaran serak dan tegas. Demam
ke lelaki ini. Argh! Dia peduli apa. Siap nak sound-sound dia lagi.
“Satu je saya nak
pesan. Jaga diri.”
Tut..tut..tut.. talian
diputuskan. Lorh! Riyadh ni pelik betul. Fazzura geleng kepala sambil pandang
skrin telefon. Merajuk?Tapi kenapa?Lantaklah…dia malas nak layan. Hati sendiri
belum cukup terjaga untuk jaga hati orang.
“Adik dah makan ke?”
soal Kak Zaida kepadanya. Ditangan Kak Zaida ada sebungkus roti dan sebotol air
mineral.
“Saya kenyang lagi kak.
Dah makan kat rumah awal pagi tadi.”
“Tahan betul perut
Zurra. Akak rehat kena makan jugak. Roti pun jadilah. Nak tunggu gaji lambat
lagi hah…”
Fazzura senyum. Kak
Zaida mengambil tempat duduk bersebelahan dengannya. Ramai pekerja yang lalu
lalang dihadapan mereka. Pekerja asing yang banyak.
“Zurra dah kahwin ke
belum?” Kak Zaida menyoal lagi sekali. Soalan yang dia sudah agak dari awal
lagi akan muncul.
“Dah akak…dah ada dua
orang anak pun.”
“Akak tanyalah nampak
Zurra muda lagi. Anak Zurra dah berapa tahun?”
Alahai. Kak Zaida
memang ikhlas ke nak tahu pasal dia. Dia tak selesalah. Tapi soalan itu
terpaksa dijawab. Manalah tahu kak Zaida tidak seperti apa yang dia fikir.
“Yang sulung dah nak
masuk empat tahun. Yang kedua tu baru setahun lebih.”
“Siapa jaga anak? Suami
ke?”
Fazzura mengeluh
perlahan. “Akak…saya ibu tunggal.”
“Oh!” Kak Zaida nampak
tenang. Tak pulak terkejut bila dia cakap yang dia ibu tunggal.
“Akak pun ibu tunggal.
Kita ni samalah Zurra. Anak-anak akak dah besar pun. Kahwin pun kalau tak
bahagia lebih baik cari lelaki lain.”
Senangnya cara Kak
Zaida fikir. “Akak kalau rasa dah tak bahagia akak sendiri akan mintak
cerai. Dah dua kali akak kahwin.
Kedua-dua bekas suami malas kerja. Hanya tahu mintak duit sahaja. Apa ingat
kita ni muka cop duit. Tangan print
duit gamaknya. Lebih baik hidup sendiri. Hati pun tak sakit!”
Fazzura tak sangka kak
Zaida ada sejarah silam sepertinya. Tapi berbeza. Dia bekas suami duit banyak
tapi lupa daratan. Jadi kesimpulannya sekarang ada duit dengan tak ada duit
sama sahaja. Duit tak bawa bahagia. Tak ada duit lagilah sengsara.
RIYADH mendengus
perlahan. Sakit pula hati dia dengan tiba-tiba. Nak rasa sentap segala bagai.
Eh!Kalau time demam macam ni mulalah
nak perhatian. Tunggu Annis jemputnya untuk ke klinik pun dah berjam-jam. Fazzura
dah kerja sekarang. Macam mana keadaan Fazmizie dengan Aqilah.Duduk dengan
siapa? Siapa yang jaga? Banyak yang dia nak tanya. Tapi Fazzura dah mematikan
apa yang dia nak tanya. Sekarang dia sendiri di selubungi dengan persoalan-persoalan
yang tak ada jawapan. Haiya…pelik betul.
“Yadh!Annis dah sampai
tu. Apa yang kau menungkan lagi.” tegur ummi yang datang dari arah dapur. Ummi
geleng kepala tengok dia.
“Dah macam teruk je
demam kau ni, Yadh?” Ummi pegang dahinya.
“Panas ni.”
“Dah tua-tua demam pun
nak manja dengan ummi lagi ke?Tulah orang suruh kahwin cepat-cepat.” sampuk
walid pula. Dah siap ketawa tengok dia. Hmm…umur dah 32 tahun. Bukan dua tahun.
Bukan tiga tahun. Sakit nak merap.
“Hmm…” Riyadh terus
bangun.
“Walid jeles la tu..” ujarnya sekali lagi dan
terus menuju ke muka pintu. Rasa macam nak pitam pun ada. Dari pintu rumah dia
tengok kereta Annis dah tersadai depan pintu pagar. Kalau tak panggil jangan
harap dia nak masuk dalam rumah. Nak jadi menantu tapi tak nak ambil hati bakal
mentua langsung.
“Kenapa tak masuk?”
soalnya sebaik tubuhnya masuk ke dalam kereta Kia Optima K5. Anak Datuk macam
Annis. Mana nak pakai kereta murah-murah. Lebih mahal lagi dari kereta dia kut.
Dia tak kisah dah Annis suka. Mana boleh halang. Dengan Annis semua dia tak
kisah.
“Malaslah. Nanti lambat
pulak. Melarat pulak sakit you tu.” jawab Annis sambil mengerling sekilas ke
arahnya. Dia bersandar di kusyen kulit kereta itu.
“Malas ke you segan?
Dah nak kahwin dengan I. Rasanya you boleh buang istilah malas dan segan tu.”
“Sakit-sakit pun you
nak bebel lagi ke sayang?”
“I tak nak nanti ummi
dan walid terasa dengan sikap you tu.” ujar hatinya. Geram tiba-tiba. Dia
pejamkan mata. Malas nak bertekak dalam keadaan dia yang macam ni. Tadi dengan
Fazzura sekarang dengan Annis pulak. Kenapa dengan dia ni.
“Uncle
dah tak sayang Aqilah dengan Adik lagi ke? Uncle
janji nak bawa Aqilah dengan adik jalan-jalan. Tapi uncle tak datang pun. Aqilah takut duduk dengan nenek. Tok garang. Uncle tolonglah datang bawa Aqilah
dengan adik. Aqilah tak nak duduk rumah nenek.”
Anak kecil itu teresak-esak menangis sambil
memeluk adiknya. Riyadh bungkam. Apa yang dia nampak sungguh menyakitkan.
Aqilah dan Fazmizie tidak terurus.
“Sayang sabar ya.
Jangan menangis macam tu. Uncle dah
datang ni. Uncle datang nak bawak
Aqilah dengan adik jalan-jalan. Jangan cakap uncle tak sayang. Uncle
sayang sangat. Jangan menangis ya sayang.” Dia memujuk sambil berjalan
menghampiri kedua-duanya. Dalam beberapa langkah sahaja Aqilah dan Fazmizie
yang berada di hadapannya direntap kasar.
“Aku sakit hati betul
dengan budak berdua ni. Aku dah cakap jangan sepahkan rumah. Hampa dua ni nak jugak sepahkan. Botol
sana sini. Hampa dua tak reti nak
letak kat sinki. Nak aku pukul ka hah!” wajah tua itu bengis sambil menengking
Aqilah dan Fazmizie. Hancur lebur hatinya saat melihat Aqilah dan Fazmizie dia
layan dengan sebegitu buruk.
“Tangisan Aqilah dan Fazmizie
kian kuat saat jari jemari tua itu mencubit lengan mereka. Dia yang tadinya
terkaku di situ terus berlari untuk mendapatkan kedua-duanya. Sungguh dia tak
sanggup.
“Jangan!Jangan buat
diaorang tak salah! Jangan! Aqilah…adik. Mari sini ikut uncle. Jangan mak cik. Jangan pukul mereka. Jangan…Aqilah!Adik!”
Dia terasa tubuhnya
digoncang kuat. Bagaikan dihalang untuk dia menarik tangan Aqilah dan Fazmizie.
“You!you!apa you
merepek ni? You! Bangunlah. Hey!you…bangun you,” Dia tersentak. Terkebil-kebil
dia membuka matanya. Wajah Annis kelat merenungnya. Dia rasa berpeluh-peluh.
Dia tak sedap hati.
“Astagfirullahalazim…” Dia
memegang kepala yang berdenyut. Terasa bagaikan satu tangan kasar menggenggam
hatinya dengan ganas tadi. Sakit dan
pedih melihat keadaan Aqilah dan Fazmizie. Adakah mimpinya tadi realiti yang
sedang berlaku.
“Apa yang you mimpikan
tadi sayang. I risau betul tengok you tadi. You okey ke tak okey ni?”Annis
sentuh lembut dahinya dengan tapak tangan.
“Kita dah sampai depan
klinik pun ni. Jomlah turun. Badan you tu dah panas sangat dah.” Annis segera
buka pintu dan keluar dari kereta. Dia
tak kisah kalau dia sakit. Tapi yang dia kisahkan sekarang kalau Aqilah dan
Fazmizie yang sedang sakit. Macam dalam mimpinya sebentar tadi. Allahuakhbar.
Tak sanggup!
Masuk sahaja di dalam
klinik dia terus menyerahkan kad pengenalan di kaunter. Kemudian dia mengambil
tempat duduk disebelah Annis. Dia memerhatikan dua pekerja wanita yang bertugas
di kaunter itu berbisik sesame sendiri. Dia beralih kepada Annis.
“Wajah I ni ada apa-apa
yang tak kena ke sayang?”
Alis perhatikan
wajahnya. Kemudian geleng. “You perasan budak-budak perempuan tu nak goda you
ke? You jangan nak perasan.” Kata-kata Annis berupa amaran. Dia bukan
senang-senang nak tergoda. Sementara menunggu namanya dipanggil dia memejamkan
mata. Kepala terasa berat. Berharap yang dia tidak akan bermimpikan lagi
perkara yang bukan-bukan tentang Aqilah dan Fazmizie. Dia rasa mimpi tadi
membuatkan satu penyakit lain yang turut dia dapat. Penyakit hati. Dia rasa
resah dan sakit.
Tiba-tiba telinganya
menangkap bunyi tangisan kuat seorang kanak-kanak. Dadanya kembali berombak.
Dia buka kembali membuka mata.
“Tolong! Tolong
panggilkan doktor. Anak saya kemalangan! Tolong!!!” jerita kuat wanita itu
memenuhi ruang klinik. Tubuh budak lelaki yang lebih kurang sebaya dengan
Aqilah dipenuhi darah. Allahuakhbar. Dia tergamam. Petugas kaunter kelihatan
kelam kabut. Darah terasa menitik dilantai. Pintu bilik doktor dibuka dari
dalam sebelum wanita itu berlari mengusung tubuh anaknya masuk ke dalam.
“I nak balik.” Hanya
itu yang keluar dari mulutnya. Annis seakan mengerti. Terus bangun dari
duduknya dan keluar dari klinik tersebut. Dia menurut lemah. Macam mana keadaan
Aqilah dan Fazmizie sekarang. Dia resah.
TEPAT jam tujuh malam
dia habis kerja. Ramai yang dah terkejar-kejar nak balik. Lari macam punch card tu nak hilang. Takut sangat
nak beratur panjang. Dia berjalan perlahan sahaja masuk ke laluan dan beratur
untuk punch card. Van kilang sudah
tersedia tunggu di luar pagar. Dia mempercepatkan langkah. Rindu sangat dengan
anak-anak di rumah. Entah makan entah ke tidak. Perjalanan untuk pulang ke
rumah hanya mengambil masa selama tiga puluh minit. Di dalam van suasana snuyi
sahaja. Kak Zaida pun tidak lagi berborak dan menyoalnya macam pagi tadi.
Barangkali letih dengan kerja pada hari pertama. Dia turun di simpang hadapan
jalan besar. Hari sudah hampir gelap.
Dia mempercepatkan langkahnya.
Namun baru sahaj
beberapa langkah dia bergerak telinganya menangkap bunyi bunyi hon bertalu-talu
di belakangnya. Dia kembali berpaling. Melihat sebuah Hilux Putih yang berhenti
betul-betul di belakangnya. Dia mengucap panjang tatkala cermin Hilux itu diturunkan.
Ammar Haikal terjenguk dengan sengihan panjang.
“Zurra,” panggil Ammar
sambil tunjuk isyarat tangan agar dia masuk ke dalam kereta.
“Dekat je Ammar. Aku
boleh balik sendiri.” Malaslah dia nak naik dengan Ammar. Nak menunjuk baru
keluar keretalah tu. Ciwi aje!
“Wey minah kilang. Jangan
sombong sangat boleh tak. Alang-alang aku nak pergi rumah kau ni. Kau naik
jelah. ”
Bukan dia tak nak
tumpang Ammar. Dia pun nak cepat sampai rumah. Tapi dia sakit hati dengan
Ammar. Pasal Ammar nama dia dah mula busuk kat kampung ni. Ammar nak tambah
lagi. Siap nak hantar dia pulang. Dia tak perlulah semua tu.
“Zurra!kalau kau tak nak
tumpang aku terus-terusan bunyikan hon kereta ni baik kau masuk cepat!” Ammar
menekan hon Hiluxnya berulang kali sambil dia ketawa.
Fazzura mengeluh kasar.
Berjalan menghampiri Hilux putih itu dengan perasaan sebal. Pintu dibuka lalu
dia terus masuk ke dalam. Kuat bunyi pintu Hilux itu ditutupnya. Tunjuk protes.
“Kau ni kan sehari tak
kacau aku tak boleh ke Ammar? Kita bukan budak-budak lagi kau tahu tak? Kau
jangan buat aku sakit hati sangat dengan perangai kau tu.”
“Aku ni sepupu kau.
Salah ke kalau aku nak tumpangkan kau?”Ammar cuit pipinya perlahan.
“Hesy! Kau tolong jaga
sikit tingkah laku kau Ammar!”herdik Fazzura semula. Perasaan menyesal mula
menjalar dalam diri. Jangan sampai Ammar lupa diri. Mahu dia terjun dari Hilux
ni nanti.
“Kau takut ke Zurra?Alah
kalau aku sentuh-sentuh kau tak luak pun.Hahaha.” Ammar ketawa lagi dapat kata
begitu kepadanya. “Macam luak.” ejeknya lagi.
“Kau ni memang tak ada
hati perut langsung Ammar. Harap darah daging sendiri rupanya lebih teruk lagi.
Mungkin kau ni bukan dari keturunan tok wan dengan atuk kut! Sebab tu perangai
kau teruk sangat.” Balas Fazzura dengan berani.
“Kau tahu Zurra sebab
apa. Sebab apa aku jadi macam ni. Kau tu yang buat semua benda bagi payah. Aku
suka kau, Zurra. Kau dengar tak aku suka kau dari dulu lagi. Kau bagi peluang
untuk aku jadi suami kau. Habis cerita.”
Fazzura ketawa kuat. “
Dah banyak kali aku ulang cakap pada kau Ammar. Kau dengan aku ni sepupu. Aku
tak nak kahwin dengan kau. Aku selesa hidup macam ni.”
“Kau selesa kerja
kilang macam ni. Jadi minah kilang.”
Fazzura angguk. “Ya,
aku selesa. Asalkan aku dapat gaji halal untuk jaga anak-anak aku. Aku boleh
tanggung sendiri. Aku tak perlukan
lelaki untuk bantu aku. Nak pulak lelaki yang macam kau Ammar. Lagilah aku tak
nak!” puas hati dia bila tengok muka Ammar kelat macam tu. Jangan ingat dalam keadaan dia tanpa seorang
suami di sisi dia lemah. Berdosa ke kerja kilang? Tak kan?
Ammar memberhentikan
Hilux di hadapan rumah dengan wajah mencuka. Fazzura terus turun tanpa
mengucapkan terima kasih pada Ammar. Nak undang Ammar masuk ke dalam rumah jauh
sekali. Ammar kan dah biasa. Ulang alik masuk rumah ni dah macam rumah dia.
Di hadapan pintu rumah
emak sedang berdiri merenung tajam ke arah dia. “Kalau dah macam tu masuk
meminang terus Ammar.” ujar emak sedikit terjerit. Kenapa dengan mak? Nak
sakitkan hati dia. Kenapa mak tak kesiankan dia langsung. Kenapa mak benci dia
sangat. Dia terus masuk dalam. Meliar matanya mencari kelibat Aqilah dan
Fazmizie.
Pintu bilik dibuka. Dia
menghampiri kedua-dua anaknya yang nyenyak tidur dengan wajah yang kusut dan
comot. Baju semalam yang mereka pakai masih tersarung di tubuh mereka. Sudah
ada bau yang menusuk ke dalam hidung. Menitik air matanya. Nampaknya emak
memang tak nak jaga anak-anaknya.
“Sayang…sayang ibu, ibu
balik ni. Bangun sayang, Aqilah, Fazmizie. Bangun mari kita mandi. Bersihkan
diri.” Dia mengelus lembut tubuh Aqilah dan Fazmizie. Baru sehari di tinggalkannya.
Macam mana pulak esok. Ya Allah…dia perlu fikirkan jalan terbaik.
“Ibu…kakak lapar.” ayat pertama yang terpacul
di bibir kecil itu bila memandangnya.
“Kita mandi, bersihkan
diri. Lepas tu kita makan ya.”
Fazmizie sudah
merengek. Dia segera mendukung tubuh itu. Masih tidak mengerti apa yang
terjadi. Dicium anaknya bertubi-tubi. Tuala yang bersangkut di rak tuala terus
diambil.
“Mari sayang ibu
mandikan korang.” ujarnya dengan suara yang serak. Sungguh tidak terurus
anak-anaknya saat ini. Sanggup emak biarkan anaknya macam ni. Apa dosa
anak-anaknya ini. Tak puas hati lagikah emak untuk menyakitinya. Apa salah
mereka anak beranak.
Sebaik sahaja keluar
dari bilik, dia bertembung dengan abah yang ingin menuju ke ruang hadapan.
Terdengar suara emak yang sedang berbual-bual dengan Ammar Haikal.
“Abah dari mana?”
“Abah dari rumah Haji
Bakar. Nanti mesin padi nak masuk ambil padi rumah dia. Abah tak sempat nak
tengok anak hang Zurra. Sibuk dengan bendang. La ni orang dah mula nak ambil
padi. Mesin jalan abah kalut sikitlah ke hulu ke hilir. Pergilah bawak
anak-anak hang mandi.”ujar abah dan terus berlalu ke hadapan.
Abah dah tua-tua pun masih nak bekerja keras.
Masih nak jadi broker mesin padi.
Atur bendang orang tu, orang ni. Padahal abah
ada penyakit lelah. Kenapa
budak-budak muda dah tak ada di kampung ni. Umur macam abah seeoloknya berehat
je di rumah. Kampung nelayan ni ada dua
pekerjaan. Bendang dan jadi nelayan.
Dia segera mandikan
anak-anaknya. Sehari suntuk anaknya tak mandi. Paling ketara Fazmizie masih
dengan pampers yang dipakainya
semalam. Benci sangat mak dengan dia. Kalau ya pun janganlah lepaskan pada
anak-anaknya yang tak bersalah ni. Cukuplah sekadar menghukum dia bukan
anak-anaknya.
“Nenek tak nak bagi
Aqilah mandi.”
“Nenek tak sempat
tu.”pujuknya lagi.
“Nenek garang. Nenek
marah Aqilah dengan adik.” Si kecil itu mula bercerita. Membuat jiwanya kian
sebak. Matanya terarah kepada lengan kedua-dua anaknya. Ada tanda
kemerah-merahan seperti bekas cubitan. Ya Allah...kenapa sampai macam ni. Apa
salah anak-anaknya.
Merengek-rengek
Fazmizie kesejukan tatkala air mula dijirus
ke tubuhnya.
“Pandai anak ibu.
Panggil ibu ya. Kesian…nanti ibu suapkan nasi.”
Maafkan ibu wahai
anak-anakku. Ibu terpaksa membiarkan kamu berdua dalam keadaan begini. Sakit
anak ibu…sakitlah jua diri ibu. Rintihnya di dalam hati. Kenapa sampai begini
sekali layanan emak terhadap dia dan anak-anak. Tak berhakkah seorang cucu
untuk mendapat kasih sayang seorang nenek.
Selesai sahaja memandikan
kedua-duanya dia terus menuju ke bilik. Ammar masih ada di ruang tamu. Dia
sudah tidak peduli lagi dengan lelaki itu.
“Ibu, Aqilah nak pakai
baju ni. Adik pakai baju ni.” Dia ambil baju tidur gambar Sin Chan untuk
Fazmizie. Manakala untuk dia baju tidur bunga-bunga warna pink.
“Anak ibu dah pandai
pakai sendiri kan.”
“Aqilah pandai pakai.
Adik tak pandai lagi.”
“Adik kecik lagi. Nanti
adik dah besar pandailah macam kakak.”
“Esok Aqilah nak mandi
sendiri.”
“Pandai ke anak ibu
ni?”
“Pandai. Aqilah boleh
mandi sendiri. Uncle cakap dah besar
kena mandi sendiri.”
“Uncle mana pulak ni?Uncle yang
bagi ice- cream tu ke?
Aqilah angguk. “Aqilah
nak jumpa uncle Yadh ibu. Nak pergi
makan dengan uncle.”
Anaknya kalau berbicara
pasal Riyadh laju saja. Itu dan ini. “Tak payahlah nak susahkan uncle. Nak makan ice-cream ibu kan boleh beli.”
Si kecil itu mengerutkan
kening menunjukkan tanda protes.
“Aqilah tak nak. Aqilah
nak uncle.” Aqilah merengek manja.
“Papa?”
Si kecil itu geleng.
Apalah yang Riyadh guna pakai sampai anaknya ni nak sangat dengan dia. Hmm…ibu
tak nak susahkan uncle sayang.
“Nenek kan ada?” Aqilah
geleng lagi.
“Nenek garang. Aqilah
tak suka nenek. Nenek cubit sakit.” Ceritanya bersungguh-sungguh dengan reaksi
wajahnya yang berkerut seperti awal tadi. Muncung mulut anaknya itu jelas
menandakan yang dia benar-benar tak suka.
“Nenek bukan garang. Nenek
memang macam tu. Tapi nenek baik.” pujuk Fazzura.
“Aqilah nak ikut ibu
esok. Aqilah tak nak duduk rumah.”
“Tak boleh Aqilah. Ibu
kerja. Mana boleh ikut.Tak naklah macam ni. Tak nak kawan nanti.”usulnya
apabila Aqilah terus merengek.
“Jom
ikut ibu pergi dapur. Kita makan dulu.” dia terus bangun. Mendukung Fazmizie. “Ermm...wangi
dah anak ibu.”
Sampai di dapur dia
lihat Shahira sedang menjamu selera. Tak pasti bila kakaknya itu pulang atau
dia memang sudah ada dalam rumah ni.
“Senang hati balik
kerja ada orang dah masakkan siap-siap. Boleh senang lenang lepas ni. Balik
kerja pun ada orang hantar.” Apalah yang kak Shahira tak puas hati. Pantang
jumpa dia mesti nak kata macam-macam.
“Mak long makan apa tu
mak Long.?” soal Aqilah sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah Shahira.
“Yang kau sibuk kenapa?
Kau tak nampak aku makan nasik. Argh!” dia tolak pinggan.
“Kalau sekalipun pun
marah atau tak puas hati dengan saya. Janganlah cakap macam tu depan
budak-budak ni kak Shira.” Dia yang sejak awal tadi diam terus bersuara. Pinggan
diambil dan nasi dicedok. Telur goreng yang ada diambil separuh. Kicap dituang
ke atas nasik. Bukan susah nak bagi anak-anaknya makan.
Dia terus menyuapkan
nasik ke dalam mulut anak-anaknya. Dah tak hirau lagi pada Shahira yang bangun
menuju ke sinki. Siap tunjuk muka sakit hati dekat anak-anaknya. Apalah yang
budak-budak ni faham.
“Hilang selera aku.”
bentaknya lagi. Fazzura geleng kepala. Macam nak gelak pun ada dengan perangai
kakak dia sorang ni. Fizikal dah macam lelaki tapi cepat sentap. Lelaki mana
boleh cepat sentap. Tak macholah.
“Hmm…kalau tak nak
hilang selera jangan pandang kami anak beranak.” Balasnya perlahan. Shahira
mendengus kasar. Terus bergerak meninggalkan ruang dapur itu. Kalau kena dekat
dia tahu pulak nak sentap. Desis hatinya perlahan. Entah kenapa dia rasa
keluarganya tak macam keluarga orang lain. Kurang kasih sayang. Yang paling
kurang dapat kasih sayang dah tentu dia. Sebab itu jugaklah dia pilih nak
kahwin muda. Sebab nak dapat kasih sayang dari Aqil. Sudahnya makin sakit yang
dia dapat.
Okey....dah tengok cover kan? ^____^
Best...
ReplyDeleteCantik cover...#^_^
Terima kasih :) :)
Delete