Friday, July 12, 2013

Elusan Kasih - Bab 10


ANGIN laut memupuk lembut ke wajah.  Fazzura duduk di atas batu itu dengan pandangan mata terarah kepada laut yang terbentang luas. Sudah hampir dua bulan dia pulang ke kampungnya di negeri Perak Darul Ridzuan. Jauh meninggalkan kota metropolitan yang meninggalkan kenangan pahit di hatinya.
Dahulu, di sinilah tempatnya. Di persisiran Pantai Ban Pecah ini dia melepaskan kekusutan. Terlalu banyak perubahan yang berlaku di kawasan sekitar. Jika dahulu kawasan ini sunyi sahaja tetapi kini sudah banyak gerai-gerai makan yang dibuka. Hari ini dia benar-benar rasa bebas setelah sekian lama terkurung di rumah. 
Ingatannya melayang pada hari pertama dia tiba di kampung. Abah dan emak begitu terkejut dengan kepulangannya yang tiba-tiba. Apatah lagi pulangnya dia membawa beg besar.
“Besar beg?” tanya emak sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia hanya mampu tersenyum. Memandang wajah emak dan abah yang semakin dipapah usia. Namun dia akur sampai bila mahu di sembunyikan hal yang sebenar. Sudahnya dia terpaksa menceritakan hal yang sebenar. Hati ibu-bapa mana yang tidak terguris. Apatah lagi di saat hati mula terbuka untuk menerima Aqil di dalam kamus hidup. Leteran emak yang mengukit kisah lima tahun dahulu semakin menambah hampa di jiwa.Ah! itu belum lagi Kak Shahira dan Maria. Masak dia menahan rasa.
“Aku dah cakap dulu hang memang degil. Sekarang siapa yang susah? Hang jugak! Laki hang tu senang-senang ceraikan hang. Apa yang hang dapat? Tu hah! anak-anak hang tu. Hang yang kena tanggung.” bebel emak panjang.
“Mak, dah nasib Zurra macam ni.”
“Hang tu degil. Aku dah cakap dulu. Tapi hang tak nak dengar. Gatal sangat nak berlaki. Hah! Sekarang hang balik nak menyusahkan abah dengan mak  pulak.” Tempelek Shahira kepadanya.
“Apa ni Kak Shira, janganlah doakan Zurra macam tu. Perjalanan takdir saya dah tertulis macam tu. Saya kena terima Kak Shira. Sudah-sudahlah kak…saya tak nak gaduh dengan akak. Kita bukannya muda lagi. Dah besar.”
“Amboi! Sejak-sejak jadi janda ni pandai pula hang jawab cakap aku!” Kak Shira benar-benar tak puas hati mendengar kata-katanya. Dia hanya tersenyum sahaja. Bukan apa, Kak Shira tu anti lelaki. Itu pasal la dia marah sangat. Tak habis-habis.
“Pandai-pandailah hang cari kerja! Hang nak hidup.” ujar emak pula. Kalau emak tak cakap pun itu yang akan dia akan lakukan.
“Kalau dia tak kerja siapa yang nak bela dia mak.” sampuk Shahira lagi. Wajahnya persis emak. Perangai pun lebih kurang sama dengan emak. Cuma emak tak anti lelaki. Kalau anti lelaki sah-sah dia tak wujud saat ini.
Sebenarnya leteran emak menghiburkan. Adatlah emak mana yang tak sayang anak. Sekarang apa yang terjadi pun dia kena tanggung. Marah Kak Shira pula menyakitkan tapi ada juga kebenaran. Maria? Sampai sekarang dia belum jumpa Maria lagi. Duduk di Kuala Lumpur tu pun belum pernah mereka berjumpa. Argh! Makin di kenang makin sakit. Abaikanlah soal itu.
“Assalammualaikum Zurra?”
“Waalaikumusalam” jawab Fazzura seraya menoleh ke arah empunya suara.
“Err…Ammar Haikal?”
“Huh! Ingatpun kau dekat aku. Ingatkan dah lupa.” balas lelaki itu. Ammar Haikal bukanlah satu nama asing di dalam sejarah hidupnya. Amar Haikal, merangkap sepupu yang pernah suatu masa menyimpan perasaan terhadapanya. Ammar Haikal, lelaki pilihan emak dan abah yang sebenar-benarnya. Sayangnya, Ammar Haikal tidak pernah jadi pemilik hatinya. Ini kerana sikap Ammar Haikal itu sendiri yang selalu menyakitkan. Dia tahu Ammar sudah berjaya jadi kontraktor yang berjaya.
“Aku pergi rumah Mak Ngah tadi. Dia cakap kau dah balik. Balik untuk…”
“Selamanya.” jawab Fazzura tenang. Ammar senyum. Mengejek dia barangkali.
“Mak Ngah dah cerita dekat kau pasal aku?” soal Fazzura walaupun sebenarnya dia begitu yakin emak dan abah sudah menceritakan segalanya. Telinga sudah naik bernanah dengar emak asyik mengungkit kisah dulu kala.
“Jadi sekarang, giliran akulah nak jadi suami kau.” jawab Ammar sambil ketawa kuat. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Fazzura. Dia pun dah lama tak pulang ke Kampung ni. Bila dapat tau yang Fazzura dah jadi janda itu yang cepat-cepat dia balik kampung. Mak Ngah tak cerita pun tak apa. Sebab awal-awal lagi emaknya dah telefon beritahu.
“Tak habis-habis. Baik kau simpan angan-angan kau tu Ammar. Kau ingat aku barang mainan ke apa.”
“Aku rela tak kahwin pun tak apa Ammar dari kena kahwin dengan kau.” sambungnya sekali lagi. Kurang senang dia mendengar kata-kata dari Ammar itu. Lebih baik dia fikirkan cara nak besarkan anak-anaknya dari soal kahwin.
 Ammar mendengus kasar.“Jangan belagak dengan akulah Zurra. Kau ingat sikit. Kau tu janda. Janda okey!”
“Habis apa masalahnya dengan janda? Kau ingat janda tak laku?” bidas Fazzura geram. Kalau tak menyakitkan hati dia tak boleh agaknya si Ammar ni. Dari dulu perangai tak pernah nak berubah. Cakap ikut sedap mulut dia. Tak fikir hati orang lain dah.
 Ammar ketawa kuat mendengar kata-katanya. Sejak dari dulu lagi tak habis-habis nak sakitkan hati dia. Ammar ni memang tak pernah nak berputus asa. Kalau dia cakap dia nak, dia nak lah. Degil lebih kurang sama dengan dia waktu muda-muda dulu. Tapi now, dia dah banyak buang yang buruk tu. Degil tu zaman remaja yang dah berlalu. Tapi adalah jugak sikit-sikit.
“Janda buat cara jandalah Zurra. Kalau ada yang nak tu terima lah. Apalagi yang kau tak puas hati kat aku ni Zurra. Kau tu janda anak dua tau. Kau kena sedar tu!”luah Ammar lagi. Fazzura ketap bibir. Sakit benar hatinya mendengar kata-kata dari  Ammar itu.
“Aku ni calon yang paling sesuai untuk kau. Aku ni sepupu kau, tak kanlah aku nak main-mainkan kau pulak.” ujarnya lagi. Tubuhnya digerakkan menghampiri Fazzura.
Fazzura mendengus. Kehadiran Amar mengundang reaksi kurang senang di hatinya. Sejak dari awal lagi dia tidak menyenangi kehadiran Ammar. Apatah lagi di tempat yang terbuka seperti ini Ammar seolah-olah sengaja menujukkan kemesraan. Meraih perhatian orang ramai untuk menjaja kisah mereka.
“Kau ni dah kenapa Ammar. Aku sedar diri yang aku ni janda. So, apa masalah dengan kau. Untuk pengetahuan kau, itu bukan alasan untuk aku terima sesiapa sahaja dengan mudah. Termasuklah kau. Kau jangan fikir bila aku jadi janda hidup aku dah mati. Tak Ammar! Aku masih ada sisa semangat untuk meneruskan kehidupan aku tanpa bergantung dengan sesiapa pun. Apatah lagi bila lelaki yang macam kau, Mar. Lagilah…aku tahu cara hidup kau macam mana. Kita tak sepadan Ammar.” kata Fazzura lagi.
“Baguslah kalau kau sedar diri Zurra. Sebagai sepupu yang baik hati aku cuma nak ingatkan kau. Lagipun apa salahnya aku jadi bapa  kepada anak-anak kau tu. Alah...mak Ngah tu bukan dari dulu lagi berkenan dengan aku ni. Kau tak nak ke bagi orang tua tu happy sikit Zurra? Soal layak tak layak tak perlu kau nak cakap. Sebab aku nak kahwin dengan kau. Kau terima habis cerita.”  Dia kuit lembut pipi Fazzura sambil tersenyum. Pantas Fazzura menepis. Ternyata cara Ammar itu benar-benar menyakitkan hatinya.
“Kalau mak ngah suka kan kau itu tak bermakna anaknya pun suka. Sedarpun yang kau tu sepupu aku. Jadi kau tolong jaga sikit tingkah laku kau tu. Kita bukan budak-budak lagi Ammar!” Fazzura terus bangun. Tak kuasa dia melayan Ammar yang macam ulat bulu. Gatal! Gumam hatinya pula. Kalau dengan Ammar memang dia tak boleh nak berlembut. Dah macam anjing dengan kucing waktu budak-budak dulu. Tapi, yang peliknya emak suka sangat dekat Ammar ni. Sikit-sikit Ammar. Depan orang tua biasalah, pijak semut pun tak mati. Habis kuat pun semut tu pengsan kejap. Huh!
Ammar pantas menarik tangan Fazzura. Tarikan kuat itu menyebabkan Fazzura hampir-hampir terjatuh di atas Ammar Haikal. Lelaki itu senyum gembira. Dia benar-benar sukakan Fazzura. Kecantikkan Fazzura seringkali membuatkan nafsunya bergelora. Bila mengetahui wanita ini sudah memegang gelaran janda makin seronoklah dia.
Fazzura terus merentap tangannya dengan kasar dari pegangan Ammar. Bergetar tubuhnya menahan perasaan marah. Ammar memang sengaja mencari penyakit yang akan menambahkan bala untuk dirinya. Bukannya Ammar tak tahu, kampungnya ini macam mana. Berita lebih laju dari TV3. Kampung  nelayan ini terlalu banyak memaparkan kisahnya yang tersendiri. Dia yakin ada mata-mata yang memandangnya dengan Ammar. Ah! Dia terus bergerak laju meninggalkan Ammar di situ. Sakit hatinya!
Ammar terus bangun dan mengejarnya. “Zurra, kau nak ke mana tu?” soal Ammar dingin.
“Kau nak sibuk-sibuk hal aku kenapa Ammar. Dah lah Ammar aku nak balik!” tukas Fazzura tanpa menoleh sedikitpun memandang Ammar.
“Zurra, tunggu!” lagi sekali tangan Fazzura diraihnya. Dia masih belum puas untuk menatap seraut wajah yang dipujanya itu sejak dulu. Semakin Fazzura marah semakin jelas kejelitaannya terserlah. Dengan rambut Fazzura yang dibiarkan mengurai. Hatinya sudah diulit rasa setelah sekian lama tidak berjumpa. Rindu dan nafsu yang sudah sama beraja di hatinya seiring.
“Lepaslah! Kau tak malu ke Ammar orang pandang nanti. Walaupun kau tu sepupu aku itu tak bermakna kau boleh sentuh aku sesuka hati kau je!”
Ammar semakin melampau. Jangan Ammar ingat dia dah jadi janda, Ammar boleh sentuh dia ikut suka saja.
“Aku sayangkan kau, Zurra? Kenapa kau tak boleh nak beri peluang tu kepada aku?”
Fazzura gelak. “Kau dah gila agaknya Ammar.” luahnya dan terus berlalu dari situ. Dia bukannya kembali ke kampung ini untuk meraih simpati sesiapa sahaja termasuk Ammar sendiri. Dia tidak ingin pisang berbuah dua kali. Nasib diri perlu diubah dan dia tidak akan bergantung dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi lelaki seperti Ammar. Ya! Dia langsung tidak percaya dengan sepupunya sendiri.


SEWAKTU dia sampai di pintu rumah, Aqilah dan Fazmizie sudah terjaga dari tidur. Ruang tamu sedikit bersepah dengan bantal dan botol susu mereka berdua.
“Anak-anak ibu ni kenapa sepahkan bantal ni. Nanti nenek dengan dan tok wan marah nanti.” luah Fazzura sambil tangannya mula mengemas kembali ruang tamu yang sedikit berselerak itu.
“Hah! Kalau dah tahu emak hang ni nak marah, lain kali jangan tinggalkan anak macam tu. Hang pandai beranak tak tahu nak jaga? Keluar rumah tinggal anak macam tu. Hang pergi mana?” bebel emak yang datang dari arah dapur.
“Saya keluar kejap mak. Dah lama sangat tak tengok angin pantai di depan tu.” balas Fazzura lembut.
“Tengok angin pantai ke hang pergi menggatal?” kata-kata emak kedengaran sinis. Sampai begitu sekali emak fikir akan dirinya. “Hang kalau rasa nak duduk di sini lama-lama. Jangan cuba nak buat hal  Zurra. Hang ingat sikit, hang tu janda!”
“Apa masalahnya mak kalau Zurra janda? Dah takdir Zurra macam ni mak.”
Kadang-kadang dia terfikir, apa perlunya dia membalas setiap bicara-bicara emak. Semuanya hanya mengundang api kemarahan yang telah sedia ada di dalam diri emak. Ternyata kerana peristiwa lima tahun lalu hubungannya dengan emak akan menjadi dingin. Kerana cintanya kepada Aqil hubungan dengan emak berantakkan. Mujur abah sudah semakin sejuk hatinya. Kalau tidak sudah pasti dia angkat kaki dari sini.
“Takdir yang engkau sendiri nak. Dulu, aku dah larang keras hang dengan Aqil tu. Tapi, hang degil. Hang nak sangat nikah dengan dia. Hang tu muda lagi tapi dah gatal nak menikah. Aku suruh hang belajar. Macam Shahira dan Maria. Sekurang-kurangnya dapat balas budi aku dengan abah hang yang dah susah payah membesarkan hang. Tapi sebab kedegilan hang tu, hang susah pada hari ni. Hang bawa gelaran janda dalam usia yang muda. Hang tak malu?”
Entah kenapa soal malu yang selalu di persoalkan. Teruk sangatkah bawa gelaran janda? Jahat sangat ke janda? Sedangkan itu hanya gelaran. Janda pun ada hati dan perasaan. Bukan tunggul yang tidak punya perasaan.
“Saya mintak maaf mak. Memang saya menyusahkan mak… menyusahkan abah… saya degil. Saya sedar  semua tu. Tapi mak, jodoh, ajal maut itu semua di tangan Tuhan. Dah jodoh saya dengan Aqil tidak panjang. Saya reda bawa gelaran ni. Tak ada apa yang perlu saya malukan mak.” balas Fazzura semula.  Dia cuba berlagak tenang walaupun di dalam hati sudah berkocak. Saat ini dia perlukan sokongan. Bukan pematah semangat yang hanya tinggal sisa-sisa dalam dirinya. Jika bukan dari darah daging sendiri siapa lagi yang dia ada. Dia perlukan kasih sayang dari keluarga. Tapi sejak dulu lagi dia tak pernah rasa semua itu. Dia berkahwin dengan Aqil kerana merasakan hanya kasih sayang lelaki itu yang mampu membahagiakan dia. Tapi Aqil pun sama sahaja.
“Aku pun tak tau pasai apa laki hang ceraikan hang. Aku tau hidup hang dengan Aqil tu dah senang lenang di Kuala Lumpur sana. Sekarang hang  balik bawa gelaran janda? Tak ada apa yang beza. Hidup hang dulu dengan sekarang hang  nilailah sendiri.”
 Emak terus berlalu dari ruang tamu itu. Mungkin tidak lagi mahu memanjangkan persengketaan dengannya. Emak boleh cakap apa sahaja. Dia terima dengan lapang dada kerana walau macam mana pun dia cuba jelaskan emak tak akan pernah cuba untuk memahami hatinya. Kata-kata emak memang terselit kebenarannya. Dia tidak salahkan emak kalau nak marah-marahkan dia. Emak mana yang nak lihat anaknya menderita.Tapi sejak kecil apa sahaja yang dia buat ada saja tak kena di mata mak.
 “Ibu…bu... nenek marah ibu?”Aqilah menggoncang lembut lengannya. Dia tersenyum mendengar persoalan dari anaknya itu. Sebab itulah Riyadh pernah pesan kalau nak gaduh jangan depan anak- anak. Hmm…
 “Aqilah ni…apa yang ibu cakap dengan nenek semua nak dengar. Aqilah budak-budak lagi. Nenek tu bukan marah kat ibu. Nenek sayang ibu. Sayang Aqilah dengan adik. Tok wan pun sama.” ujarnya pula. Rambut Aqilah yang kusut itu diusap perlahan. 
“Fazmizie jangan main kat situ. Nanti jatuh barang-barang tu...” suaranya dikeraskan sedikit ke arah Fazmizie yang menarik-tarik kain yang menutupi almari itu. Jatuh barang-barang di atas tu nanti tak pasal-pasal pula telinganya ni kena mendengar leteran emak lagi.
Pranggggg!!
Bunyi kaca berderai. Dia dah agak. Bingkai gambar yang terletak di atas almari itu terjatuh. Pecah berderai bersama tangisan kuat si kecil. Ya Allah sayang!
Dia bingkas bangun mendapatkan Fazmizie yang sudah terduduk.
“Ya Allah… ibu dah cakap jangan main, sayang degil macam ni.” Fazzura melihat serpihan kaca yang mengenai kaki Fazmizie. Anaknya itu sudah teresak-esak menangis. Kelam kabut di buatnya dia. Hatinya semakin cemas tatkala darah merah mula mengalir laju.
“Anak ibu!”
“Ibu!kaki adik berdarah bu!” jerit Aqilah kuat. Fazzura segera mencempung tubuh Fazmizie yang kecil itu jauh dari kaca-kaca yang berderai.
“Syutt… sikit je sayang. Ibu sapukan ubat. Syutt…diam sayang diam…”pujuk Fazzura lembut. Tangannya sendiri sudah bergetar. Dia sudah rasa cuak bila melihat serpihan kaca yang sedikit terkena kaki anaknya itu. Apatah lagi darah merah yang mengalir di sebalik luka itu. Budak-budak sebesar itu sudah cukup sakit untuk merasainya. Dia dapat merasakan kesakitan anaknya itu.
“Masya Allah apa dah jadi ni Zurra?” tegur abah dari arah belakang.
“Adik luka tok wan…kaki adik darah.” jawab Aqilah petah.
“Darah banyak tu Zurra! Hang tunggu apa lagi. Bawa anak hang ke hospital la ni. Hang ingat anak hang tu luka biasa ka tuh? Kaca tu Zurra. Hang ambil sapu tangan ni balut dulu kaki dia tu.” Abah menghulurkan sehelai sapu tangan yang berada di dalam poket bajunya.
“Err...tak pe lah abah. Zurra cari kain lain balut luka dia ni.” Dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan abah. Sapu tangan kesayangan abah tu.
 “Dalam keadaan macam ni hang ambillah sapu tangan aku ni. Bukannya mahal pun!” kata abah lagi.
“Nah hang ambil kunci kereta ni. Hang bawa dia pergi hospital sekarang.” Kali ini abah menyuakan kunci kereta yang berada di tangannya. Lambat-lambat Fazzura mengambil kunci yang di hulurkan itu. Bukannya dia tak mahu, tetapi cara abah buatkan hatinya tersentuh. Dengan kedegilannya dahulu, dengan kemarahan abah pada waktu-waktu lepas abah tetap bertanggungjawab terhadap dia dan anak-anak. Padahal, seumur hidup yang dia tahu abah belum pernah benarkan sesiapa sahaja menggunakan kereta kesayangan abah itu.
“Terima kasih abah...” tuturnya pelahan.
“Dah pergi sekarang. Aqilah duduk dengan tok wan.”
Fazzura melihat Aqilah anggukkan kepalanya. Tidak membantah apa-apa. Hanya pandangan sayu melihatnya membawa Fazmizie ke dalam kereta. Fazzura semakin tersentuh dan serba salah. Kalau abah tak ada, siapalah lagi yang akan membantunya. Harapkan emak, tentu tak mungkin. Kak Shira lagilah…jangan di harap.


DADANYA terasa berdebar tiba-tiba. Di ruang matanya terbayang wajah Aqilah dan Fazmizie. Satu kerja pun dia tak boleh buat kalau perasaan jadi tidak tenteram begini. Aduhai, dia benar-benar rindukan mereka. Sejak mereka pergi dia rasa sunyi. Lantas telefon bimbitnya di ambil. Jari jemari mula menekan nombor telefon Fazzura. Dalam beberapa saat panggilan disambut.
“Assalammualaikum Zurra?”
“Waalaikummusalam…”suara Fazzura kedengaran serak dihujung talian. Kenapa pula dia ni? Setiap kali telefon mesti dengar suara Fazzura macam tu. Menangis lagilah tu!
“Kenapa ni Zurra? Serak je suara awak?Awak menangis?” Dia dapat rasakan wanita itu  menangis.
“Zurra…tell me why?” soalnya sekali lagi apabila dia langsung tidak mendengar sebarang jawapan di hujung talian. Hati kian resah menanti sebuah jawapan.
 “Zurra…” panggil Riyadh lembut.“Kenapa ni? Awak ada masalah ke? Mana budak-budak?” lagi sekali Riyadh bertanya.
“Saya ada di hospital. Fazmizie…”
“Kenapa dengan dia? Zurra... awak bagitau saya kenapa dengan dia? Dia sakit lagi ke?” Dia terus memotong percakapan Fazzura. Bertubi-tubi soalan yang keluar di bibirnya. Penghawa dingin yang terpasang di dalam pejabatnya terasa bagaikan tidak berfungsi. Apatah lagi bila suara serak Fazzura membuatkan dia terfikir akan sesuatu.
“Riyadh, awak jangan risau...dia tak ada apa-apa.” jawab Fazzura lemah. Dia tak mahu membebankan Riyadh. Tetapi, setiap kali musibah hadir di dalam hidupnya lelaki itu sentiasa ada. Walaupun tidak di sisi tetapi semangat lelaki itu bagaikan mengalir dalam dirinya.
“Zurra, boleh tak awak cakap jujur dengan saya. Kenapa dengan Fazmizie? Mana dia? Mana Aqilah? Kalau dia okey beri saya dengar suara dia.” kali ini nada suaranya kedengaran tegas.
 “Awak nak sembunyikan apa-apa dari saya? Saya tau saya orang luar tapi salah ke saya nak ambil tahu pasal anak-anak awak. Pasal awak!”
Fazzura tersentak dengan kata-kata terakhir dari Riyadh itu. Apa maksud lelaki itu nak ambil tahu pasal dia? Apa pentingnya dia.
“Err…Zurra, saya mintak maaf…” ucap Riyadh setelah diam beberapa ketika. Dia tak sepatutnya cakap macam tu. Mesti Fazzura dah fikir bukan-bukan. Tapi dia tidak mampu menidakkan hal yang sebenarnya dia memang ingin ambil tahu tentang Fazzura dan anak-anaknya. Salah ke? Tak ada salah pun rasanya. Ambil berat tak beerti dia curang dengan Annis.
“Dia okey jer…” Okeykah anaknya? Dia sendiri tidak pasti kerana Fazmizie masih diberikan rawatan di dalam bilik kecemasan. Terlalu banyak darah yang mengalir dari luka anaknya tadi. Dia sangka sikit sahaja tapi ternyata luka itu terlalu dalam.
“Okey? Kalau okey kenapa suara awak serak? Zurra, bagitahu yang sejujurnya boleh tak?”
“Kaki dia kena serpihan kaca. Sekarang saya di Hospital Parit Buntar.”
“Ya Allah…kenapa sampai macam tu Zurra?” Riyadh cuba kawal perasaannya. Kalau tak teruk tak mungkin sampai di hospital. Fikirnya lagi.
“Zurra, awak sabar ya. Awak jangan stress…jangan menangis. Berdoa banyak-banyak. Saya nak gerak ke Perak sekarang. Jangan halang saya. Assalammualaikum.” punat merah terus ditekan. Terus dia bangun dari kerusi yang di dudukinya itu. Jam di tangan dikerling sekilas. Sudah hampir pukul 7.00 malam.
Ah! Tunggu uncle sayang!




4 comments :