Tuesday, June 18, 2013

Elusan Kasih - Bab 5


 KETIKA subuh sedang meninggalkan alam.  Riyadh  melangkah keluar dari pintu rumah. Niatnya cuma satu mahu menuju ke kondominum miliknya. Semalaman tidurnya diganggu dengan bayangan Aqilah dan Fazmizie. Dia benar-benar risaukan mereka. Apatah lagi, bila memikirkan sarapan apa yang ada untuk mereka jamah. Bukannya dia tidak yakin dengan Fazzura. Tetapi di dalam keadaan Fazzura yang masih bersedih dia benar-benar risau akan Fazmizie dan Aqilah. Terus lepas subuh tadi dia bersiap-siap keluar.
Warung di tepi jalan menjadi pilihannya. Beberapa bungkus nasik lemak dan sedikit kuih muih dibeli. Hampir tiga puluh minit perjalanan dia sampai di Kondominium Central yang terletak di Titiwangsa. Langkah kaki diatur menuju ke pintu rumah. Loceng ditekan berkali-kali. Sengaja ingin mengejutkan penghuninya yang mungkin masih diulit mimpi. Buat seketika dia tersenyum sendiri. Entah kenapa dia sanggup berkorban hari cutinya hanya kerana orang luar yang langsung tiada kaitan di dalam hidupnya.
“Assalammualaikum...” ujarnya  sebaik sahaja pintu dibuka.
“Err…Waalaikumussalam.” jawab Fazzura. Tidak menyangka dengan kedatangan Riyadh  pagi-pagi buta begini.
“Dah bangun?”soalnya terus masuk tanpa dipelawa. Mentang-mentanglah rumah sendiri. Suka hati dialah kan?
“Aqilah dan Fazmizie tidur lagi. Belum bangun.”.
“Tak per biar saya kejutkan. Ni ada nasik lemak dengan kuih saya letak atas meja dulu.” Dia terus berjalan menuju ke meja makan. Nasik lemak dan kuih muih yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja kayu bewarna coklat itu.
“Awak boleh bancuh air tak? Jag ada dalam almari tu. Saya nak tengok dia putra dan putri tu dulu.”
Fazzura angguk sahaja. Kenapa Riyadh perlu buat semua ini. Riaydh menyusahkan diri dia sendiri. Putra dan Putri? Sejak bila pula anak-anak aku jadi Putra dan Putri kau?Fazzura geleng kepala yang berdenyut. Inilah akibat terlalu banyak mengalirkan air mata. Semalam dia langsung tidak boleh memejamkan mata.
“Err…kalau awak tak boleh bancuh tak pe. Kejap lagi saya boleh buat. Lagipun saya tengok luka di dahi awak tu masih bengkak lagi.” Dia kembali menoleh ke arah Fazzura. Terlupa akan luka yang di alami wanita itu semalam.
“Oh!tak pe, dahi saya aje yang sakit. Tangan saya okey lagi.” jawab Fazzura semula. Sakit di dahi tak boleh nak di jadikan alasan. Sakit di dahi ini jugak tak sama macam sakit kat hati. Ya Allah…terdayakah aku mengharungi semua ini sendiri.
“Oh!okey.” jawab Riyadh dan terus berlalu.
Fazzura terus membuka pintu cabinet di dapur itu. Mencari jag yang di maksudkan oleh Riyadh. Jumpa sahaja terus diambil tea uncang yang terdapat di dalam deretan balang kaca di rak itu. Semuanya lengkap. Banyak jugak barang-barang yang ada dalam rumah ini. Kalau Riyadh tak datang bawa sarapan pun tak apa. Anak-anaknya dapat susu pun dah cukup.
Selesai sahaja menyiapkan air yang diminta oleh tuan rumah. Fazzura terus bergerak menuju ke bilik yang menempatkan anak-anaknya. Telinganya menangkap bunyi riuh rendah suara Aqilah dan Riyadh  yang bergurau senda. Ada ketikanya di selangi dengan rengekan manja Fazmizie. Hatinya kian terasa duka. Kenapa mesti Riyadh? Kenapa tidak Aqil.
“Ibu!”jerit Fazzura apabila terpandangkan tubuhnya yang berdiri di muka pintu.
“Papa mana bu?”tanya Aqilah.
Fazzura ketap bibir. Dia menatap wajah mulus Aqilah. Dia tahu si kecil itu merindui bapanya. Aqilah terlalu rapat dengan Aqil. Cuma sejak Aqil dinaikkan pangkat masa untuk mereka bersama sudah tiada. Bila Aqilah tidur, Aqil pula baru pulang. Begitulah sebaliknya.
Riyadh cepat-cepat bangun dari katil dan mengangkat Fazmizie yang sudah mula merengek-rengek bila terlihat ibunya. Si kecil yang masih tidak mengerti apa-apa yang terjadi.
“Jom, Aqilah...mandi jom. Uncle mandikan nak? Nanti kita sarapan sama-sama.” panggil  Riyadh cuba mengalihkan tumpuan Aqilah. Fazmizie didukungan segera diberikan kepada Fazzura.
“Air dah siap?”soalnya pula.
Fazzura mengangguk.
“Mata awak bengkak?Awak banyak menangis? Istighfar…cuba tenangkan hati yang kewalahan tu. Saya faham apa yang terjadi ni berat untuk awak.” Dalam situasi begini Riyadh  faham yang Fazzura tidak ada sesiapa untuk dia meluahkan apa yang terpendam. Fazzura sendiri pernah kata yang dia tak ada sesiapa pun di sini. Jadi, dia sekadar tolong apa yang dia mampu sahaja. Tapi bila dia ingat pesan ummi kepadanya dulu. Dia rasa takut jugak. Takut dia akan terjatuh cinta. Hesy! Memang bahaya. Tapi tak apalah. Dia kena fikir yang positif. Kadang-kadang Allah hadirkan insan-insan baik di dalam hidup kita hanya sekadar untuk menguji perasaan kita bukan untuk menjadi pasangan hidup kita. Tidak terlintas pun untuk dia berpaling dari Annis.
“Awak, saya nak balik kampung.” Wajah lelaki itu berubah mendengarkan permintaannya itu.
“Nak balik?”
Fazzura angguk.
“Nak balik ke mana? Ke rumah semalam? Awak nak buat apa lagi?Nak bagi dia pukul awak lagi? Atau awak nak dia pukul anak-anak awak pulak?”Tidak seharusnya Fazzura keluar rumah dalam keadaannya yang begitu. Benar dia tiada hak untuk melarang tapi sekurang-kurangnya dia nak Fazzura tahu. Kembali semula ke sana hanya menambah beban yang sedia ada. Biarlah keadaan reda dahulu. Fazzura nak mati ke bunuh dengan jantan tu ke apa? Bahaya sangat. Dia tak setuju. “Saya bukannya apa. Risaulah jugak kalau dia tampar awak macam kelmarin. Tampar tu tak sakit. Tapi kalau luka lagi di dahi tu? Awak nak kena jahit?”
Laju Fazzura geleng.
“Haa…thu pun awak tak nak. Itu yang saya risaukan.”Riyadh memang suka bagi nasihat. Suka cakap! Suka membebel. Riyadh nampak ramah dengan caranya sendiri.
“Bukan…bukan. Saya nak ambil barang-barang yang penting. Urusan penceraian ini harus didaftarkan. Itu aje. ” jawab Fazzura dalam nada getar.  Hatinya semakin hancur saat menuturkan perkataan cerai itu. Bukan itu yang dia harapkan. Bukan begini pengakhiran yang dia mahukan. Kasih dan cintanya masih masih menebal untuk Aqil walaupun lelaki itu terlalu tegar menceraikannya.
Riyadh mengeluh berat. Dia pandang wajah Aqilah dan Fazmizie. Kemudian dia beralih pula memandang wajah Fazzura. Wajah itu pucat. Mata itu sebam. Sejak pertemuan pertama sehingga sekarang dia tak nampak segaris senyuman yang benar-benar ikhlas dari bibir Fazzura. Senyuman yang Fazzura pamerkan hanya untuk menyembunyikan luka di dalam hatinya.
“Saya risaukan awak, Zurra. Saya teman awak pergi ambil barang-barang tu.”
Fazzura geleng. Bukan ke dia dah cakap tak menyusahkan lelaki ini. Kenapa Riyadh masih berdegil untuk menolongnya. Dia sudah cukup malu dengan Riyadh. “Saya tak perlukan bantuan awak. Saya nak pergi sendiri. Saya boleh buat. Jangan risau pasal saya.”
“Memanglah…awak cakap senang. Tak kan saya nak pandang aje awak pergi. Keadaan awak pun tak okey lagi. Saya risaukan kalau jadi apa-apa nanti. Kesian budak-budak ni.”
“Kalau macam tu awak tolonglah tunggu budak-budak ni kejap. Saya pergi seorang dah cukup.” Pintanya lagi.
“Kalau macam tu saya memang tak boleh nak halang awak. Awak nampak lembut tapi degil ya. Semalam dia dah halau awak sehelai sepinggang macam tu je. Itu yang saya risaukan.” pesan Riyadh. Riak wajahnya kembali tenang dan bersahaja. Dia bergerak mengambil tuala yang bersidai di rak tuala.
 “Cepat jom uncle mandikan.”
Fazzura hanya memerhati perilaku lelaki itu. Tidak mahu mencelah di dalam perbuatan mahupun perkataan. Macam-macam yang dia fikirkan. Apa orang sekeliling akan kata padanya nanti. Perempuan jalang? Perempuan tak ada maruah. Baru diceraikan sudah ada lelaki lain disisi. Hakikatnya mereka tak tahu. Dia tidak mengundang sedikit pun kehadiran Riyadh ke dalam hidupnya. Semua ini secara kebetulan. Lelaki ini hadir menjadi saksi dia diceraikan. Malu, sakit, marah entah apa-apa lagi perasaan di hatinya saat ini.


 “MANA you pergi? I call you tak jawab? I call  ummi  you, dia cakap awal-awal subuh lagi you dah keluar?You jangan nak buat hal sayang?” tutur Annis sebaik sahaja panggilan telefonnya bersambut. Sudah masuk dua hari berturut-turut dia menghubungi Riyadh. Selepas kejadian di restoran malam itu Riyadh langsung tak mahu jawab panggilannya.
“I pergi masjid sembahyang berjemaah. Kenapa you nak ikut ke? Kalau you nak ikut esok pagi I ambil you di rumah. You nak?” Riyadh senyum sinis. Seronok menyakat Annis. Yalah, Annis ni makin lama makin jual maha dengan dia. Oh! Mentang-mentang dah jadi model. Ajak kahwin tak nak.
“Sejak bila pulak you jadi alim sangat ni.”
“Sejak you tak nak kahwin dengan I. So, I pergilah masjid. Kut-kut dapat jodoh I kat sanan nanti. Manalah tahu tulang rusuk I dah lama tunggu I.”
“You jangan nak mengada pulak ye!”
“Eh!mengada apa pulak ni. I cakap benda betul. You tak percaya ke ajal maut jodoh semuanya di tangan Tuhan. You cakap macam you tak percaya pulak dengan ketentuan.”
Riyadh senyum lagi. Nasib Annislah.
“I nak jumpa you sekarang!”
“I sibuk...” balas Riyadh lambat.
“Sibuk?”
“Ya sibuk. Nak uruskan persiapan perkahwinan I.” balas Riyadh selamba. Sekali lagi senyuman nakal terbit di bibirnya.
 “You ni kenapa? dah gila!” soal Annis tak berpuas hati di hujung talian.
“You yang cabar I supaya kahwin dengan perempuan lain.”
Annis terasa bengang. “Jadi you nak buat macam yang I cakap?”
“I dah pesan pada you, jangan cabar I. You pun tau yang I ni pantang dicabar kan. Apatah lagi kalau you yang cabar I.”
“Yadh!”
“Lagi cepat I kahwin, cepatlah ada anak. Kalau tunggu you? Ermm… sampai ke tua pun belum tentu. Agaknya you fikir umur you still ditakuk tu je kut. You terlupa ke atau you buat-buat tak tahu yang boyfriend you ni market dia lagi tinggi dari you. I kalau nak berlambak. Petik jari sikit je I boleh dapat. Tapi, you sendiri fikirlah kenapa I masih stay dengan you.” balas Riyadh lagi. Melepaskan rasa geram yang terbuku. Matanya mengerling ke arah Fazmizie dan Aqilah yang sedang tidur di sisinya. Kesian dia orang, pagi-pagi dah kena ganggu dengan dia tadi. Sebaik sahaja Fazzura keluar dia pun terus landing sama-sama dengan budak-budak ni depan televisyen ni. Layan kartun katanya. Last-last tertidur dengan botol susu masing-masing disisi.
“You ni tak habis-habis asyik cakap soal anak, anak, anak. Jadi you serius dengan apa yang I cabar tu. Sampai hati you kan.” Suara Annis mulai berubah.
“Seriuslah! Habis dah memang I nak anak. I ajak you kahwin you tak nak. Banyak alasan you bagi.”
“Sampai hati you…” suara Annis mulai serak. Hah! Baru dia gurau sikit je tu. Kalau dia buat betul-betul. Ermm…perempuan dengan air mata. Kadang-kadang sampai tak tahu yang air mata tu palsu ke atau memang dari hati. Tapi macam kes Fazzura kelmarin memang betul-betullah. Kesian!
“Dah la sayang!I gurau je. Yang you nak menangis macam tu kenapa? You jugak yang cabar I.”
“I tetap tak bersedia nak kahwin. You jangan cakap lagi dengan I pasal kahwin. You kena faham kerjaya I sebagai model.” balas Annis dengan suara yang serak. Dia belum bersedia untuk berkahwin untuk ada anak jauh sekali.
“Suka hati youlah!” Riyadh dah malas nak sebut lagi. Makin sakit hatinya sahaja.
“Okeylah I nak ke Singapura. Ada urusan di sana. Maybe dalam seminggu dua lagi baru I balik. Nampaknya I akan rindukan you sebab you dah tak nak jumpakan.”
“I kalau jumpa you hari-haripun perasaan rindu I terhadap you tetap ada.” Romantis kata-katanya untuk Annis. Sekali sekala keluar juga jiwang karatnya.
 Riak wajah Annis kembali bertukar ceria. Dia suka bila Riyadh cakap begitu. Sebab Riyadh payah sangat nak tunjuk romantisnya dia. Sekali sekala dia rasa bangga. Wajah kacak kalau tak romantis mana seronok. Jadi pokok perghiasanlah jawabnya.
“You pergi sana hati-hati. Jaga diri.” Pesan Riyadh semula.
“Yalah sayang. I janji I akan jaga diri.” Annis senyum meleret. Terbayang keseronakan yang bakal di alaminya ketika berada di Singapura nanti.
“Ermm...” Riyadh sekadar berdehem. Malas lagi nak ambil kisah. Selagi mana dia mampu untuk menunggu Annis. Dia akan tunggu. Cinta punya pasal. Kadang-kadang fikir bercinta ni mengarut. Bila umur makin meningkat baru rasa semua tu.
“You tak nak pesan apa-apa pada I, sayang?” soal Annis lagi tak berpuas hati dengan cara Riyadh. Sejak kejadian malam itu Riyadh seolah-olah dah berubah. Dia sayangkan Riyadh. Tapi untuk berkahwin itu sahaja yang dia belum bersedia.
“You jaga diri baik-baik. I tak nak you buat bukan-bukan belakang I. Itu saja pesan I dari dulu sampai sekarang. Take Care.” Talian diputuskan. Bukannya dia tak tahu macam mana life Annis. Kalau yang pandai jaga diri pandailah. Kalau yang jenis iman ‘caca marba’ mahu gigit jari ajelah dia. Entahlah, kenapa Annis juga yang dia pilih. Mungkin sebab selama ini Annis tak pernah lagi buat bukan-bukan di belakangnya.  Kalau bab seksi itu, memang tak boleh nak tegur. Bila di tegur aje Annis akan jawab ‘I buat semua tu sebab kerja.’ Penting sangatkah kerja dia tu sampai ajak kahwin pun tak nak. Huh!


FAZZURA sampai di hadapan rumahnya tepat jam 11.30 pagi. Teksi yang membawanya terus beredar sebaik sahaja wang tambang diberikan. Dia berdiri di hadapan pintu pagar yang sedikit terbuka. Pandangannya jatuh kepada kereta Toyota Camry milik Aqil yang berada di garaj. Maknanya Aqil ada di rumah. Apapun yang terjadi aku harus masuk. Bisik hatinya pula.
Dia menapak perlahan menuju ke pintu utama. Semalam sewaktu Aqil menghalaunya dia sempat mengambil kunci rumah yang terletak berhampiran telefon bimbitnya. Terus pintu dibuka. Kosong dan sunyi. Itulah yang dia rasakan saat ini. Hatinya terasa hiba. Apatah lagi debaran di dada seperti mengundang firasat yang tidak baik. Apalagi perkara buruk yang bakal dia lalui. Terpandang di dinding bingkai gambar mereka sekeluarga yang tergantung sewaktu dia meniti anak tangga. Hatinya semakin merintih hiba. Bagaimana harus aku lalui kehidupan ini tanpa kau di sisi? Bisik hati kecilnya lagi.
Pintu bilik utama terus ditolak.  Dia tidak pasti Aqil ada di dalam ataupun tidak. Niatnya kembali semula ke rumah ini hanya untuk mengambil barang-barang peribadi miliknya. Namun matanya terus dihidangkan dengan sesuatu yang dia tak pernah sangka dan jangka akan dilihat pada pandangan matanya ini.
“Aqil!” Fazzura menjerit kuat sekuat hati.
Aqil tersentak. Buntang matanya memandang Fazzura. Wanita yang berada di dalam pelukan Aqil juga turut memandangnya tanpa sedikitpun rasa bersalah.
“Aku tak sangka kau seteruk ni, Aqil!!!” jerit Fazzura seperti orang hilang akal. Tangisannya merembes laju. Terlalu tegar Aqil membuatnya begini. Sedangkan dia bersusah payah untuk mencari kehidupan baru tetapi Aqil sedang bergembira melakukan maksiat. Hatinya sakit. Terlalu sakit dengan perbuatan Aqil yang benar-benar tak bermoral. Apatah lagi wanita itu adalah wanita yang sama menyebabkan pergaduhan mereka meletus kelmarin. Allahuakhbar! Apa semua ni?
“Hey!pompuan. Kau jangan nak buat hal di sini! Kau ingat kau bagus? Sedar diri kau dulu. Jangan nak tunjuk baik di sini. Entah apa yang kau buat dengan jantan tu pun aku tak tahu! Aku dah halau kau semalam. Kau memang tak malukan!” balas Aqil kasar dari atas katil dengan jari telujuknya dihalakan kepada Fazzura.
“Aku pun tak ingin nak buat hal. Aku datang cuma nak ambil barang-barang aku. Berbahagialah kau jantan tak guna.”ujar Fazzura geram. Semangat kembali memuncak. Dia segera mengesat air matanya dengan tapak tangan.  Dia tidak mahu dilihat lemah di hadapan lelaki yang langsung tidak tahu menghargai. Dia terus bergerak menuju ke almari. Beg besar yang terdapat di dalam almari itu diambil. Barang-barangnya yang penting segera dimasukkan ke dalam beg besar itu. Aqil memang jantan tak guna. Dia benci Aqil. Dia benci lelaki itu. Dia benci!
“Baguslah tu. Aku pun tak ingin barang-barang kau ada dalam rumah aku. Isteri curang macam kau memang tak layak pun aku nak simpan lama-lama!”
Aqil semakin biadap. Menuduhnya curang. Sedangkan siapa yang curang. Dia tak pernah buat apa-apa. Sehabis baik dia telah lakukan untuk melihat kebahagiaan rumahtangga mereka.
“Seronok dengan jantan lain. Patutlah…” Aqil masih terus terusan ingin menyakiti hatinya.
“Selamat berbahagia!” Pintu bilik dihempas kuat. Tidak sanggup menyaksikan insan yang pernah berjanji untuk sehidup semati bersama seorang wanita lain di sisi. Di dalam pelukan hanya dilindungi sehelai selimut milik mereka. Apa yang pasti keadaan mereka tanpa seurat benang langsung. Sungguh! Hatinya semakin rabak. Jiwanya parak!

SUARA tangisan yang masih kedengaran dari dalam bilik air membuatkan Riyadh mengeluh kasar. Sejak dari pulang tadi Fazzura mengurung diri di dalam bilik air. Puas dipujuk tapi dia pula dimarahinya. Sudahnya dia terpaksa biarkan Fazzura menangis sepuas-puasnya. Tapi sekarang dia terpaksa memujuk lagi.Sudah hampir satu jam Fazzura berkurung di dalam bilik air. Fazmizie pula dah mula merengek-rengek. Aqilah pula sibuk-sibuk tanya pasal ibunya. Habis tak ke serabut di buatnya dia.
“Zurra, sudahlah menangis tu.” ujar Riyadh sambil mengetuk perlahan pintu bilik air. Suaranya kedengaran tegas. Ya, kalau terpaksa dia harus bertegas.
Tiada perubahan. Riyadh mengeluh hampa.
“Zurra, awak ingat yang awak ada anak. Sampai bila awak nak menangis macam tu. Semalam saya tengok awak kuat. Hari ni, awak dah kembali lemah. Kesiankan anak-anak awak.” Pujuk Riyadh lagi.
“Awak boleh balik. Tinggalkan saya! Tinggalkan anak-anak saya!” jerit Fazzura lantang dari dari dalam bilik air.
“Ini yang saya pun nak marah pada awak. Saya dah pesan tadi. Jangan pergi tapi awak nak pergi. Awak tu belum kuat lagi. Sekarang awak menangis macam ni siapa yang jadi mangsa? Anak-anak awak. Awak tak kesian ke pada diorang Zurra. Bukak pintu ni.”
“Jangan ganggu aku! Jangan!” jeritan Fazzura buat Aqilah menghampirinya.
“Hmm…sayang. Sayang pergi depan tu duduk dengan adik.”
“Kenapa dengan bu…” wajah si comel itu berkerut.
“Ibu tak ada apa-apa Aqilah. Aqilah pergi depan main dengan adik ya.” Di dalam pun kena pujuk. Di luar pun kena pujuk. Aduh! Dia bukannya pandai pujuk.
“Apa yang bekas suami awak tu dah buat pada awak sampai awak jadi macam ni?” Riyadh masih tak berpuas hati. Bukan dia nak sibuk. Tapi dia cuma fikirkan Fazmizie dan Aqilah. Itu sahaja.
“Awak takkan faham apa-apa!” kedengaran jeritan Fazzura sekali lagi dalam bilik air. Begitu lantang sekali. Semalam tak adalah teruk begini keadaan dia. Hari ni dah jadi semakin parah pulak.
“Saya tak faham atau awak yang tak mahu beritahu?” tanya Riyadh sekali lagi.
 “Kalau awak tak nak pergi biar saya yang pergi. Saya akan bawa anak-anak dan tak akan menyusahkan awak lagi.” balas Fazzura kasar.
Nak pergi mana pula.“Zurra, saya akan pergi kalau awak keluar dari bilik air tu. Kalau awak tak nak saya ada di sini. Kalau awak rasa saya ni menyusahkan awak. Saya mintak maaf Zurra. Saya tak ada niat nak campur tangan atau nak sibuk-sbuk dalam masalah awak. Saya cuma tak nak awak abaikan anak-anak awak. Awak menangis macam tu apa yang awak dapat. Oh! Saya faham kalau sekadar awak nak luahkan kelukaan hati awak tu melalui tangisan. Saya boleh terima tapi tak kan sampai ambil masa berjam-jam macam ni. Awak keluar sekarang!” ujar Riyadh dalam nada yang sedikit keras. Siapa dia untuk sibuk-sibuk sama. Ya, dia bukan siapa-siapa. Kalau Fazzura nak gelarnya penyibuk sekalipun dia terima. Asalkan Fazzura keluar dari bilik air tu.
 “Saya akan pergi dari sini kalau awak keluar.” pujuk Riyadh lagi. Menanti dengan penuh sabar.
“Pergi! Saya mampu jaga anak-anak saya. Awak tak perlu nak sibuk sama!” jerit Fazzura seperti orang hilang akal dari dalam bilik air. Entah berapa banyak air mata yang mengalir. Hatinya terlalu sakit. Riyadh tak akan faham. Sesiapapun tak akan faham apa yang dia rasa saat ini. Kekecewaan yang bertambah-tambah semenjak kejadian pagi tadi.
“Zurra, saya akan pergi. Tapi awak tolonglah keluar. Kasihankan anak-anak awak.” Rayu Riyadh pula. “Please Zurra, awak menangis macam orang hilang akal sekalipun tak akan selesaikan apa-apa masalah. Keluarlah atau awak nak saya pecahkan pintu bilik air ni. Keluar Zurra.”
Tidak lama kemudian tombol bilik air dipulas. Terpacul wajah Fazzura dengan air mata yang masih merembes laju di pipi. Teresak-esak keluar tanpa sedikit pun memandangnya yang sedang berdiri di sisi pintu itu. Tubuh itu basah di sirami air. Ya Allah, sesungguhnya dia tidak sanggup melihat tangisan wanita ini. Sejak dari dulu dia tak boleh tengok perempuan menangis.
Fazzura terus bergerak menuju ke arah anak-anaknya. Sedikitpun dia tidak menghiraukan Riyadh yang berdiri di sisi pintu bilik air itu. Bukan niatnya untuk melepaskan kemarahan jauh sekali menghalau Riyadh pergi. Lelaki ini yang banyak menolongnya. Yang banyak membantunya. Menjadi penyelamat mereka anak-beranak. Tetapi dia tak mahu dengan kehadiran lelaki ini keadaan akan menjadi semakin rumit.
“Zurra, saya mintak maaf kerana menyusahkan awak. Mungkin betul yang saya sebenarnya tak patut ada di sini. Awak boleh duduk di rumah ini selama mana yang awak mahu. Saya pergi dulu.” ujar Riyadh sambil berjalan menuju ke ruang depan. Dia terus mengambil kunci kereta miliknya yang terletak di atas meja kaca itu. Melintasi Aqilah dengan Fazmizie dengan pandangan yang sayu.
“Awak, tolong jaga mereka baik-baik. Jaga diri awak juga.” pesannya lagi. Kakinya terus diatur laju menuju ke muka pintu. Kali ini dia tidak lagi memandang ke arah Fazzura anak beranak. Sedikitpun dia tidak menoleh kepada Fazmizie yang merengek dan Aqilah yang memanggilnya. Jika dia memandang mereka sudah pasti dia tidak sanggup untuk pergi. Sudah pasti dia tidak mampu membiarkan mereka dalam keadaan begini. Kasihnya terhadap Aqilah dan Fazmizie sudah mula bertunas. Tunas itu semakin lama semakin membesar di dalam jiwanya. Hatinya merintih hiba bila panggilan Aqilah yang tidak dihiraukannya.  Tapi, dia harus pergi. Dia tak sepatutnya terheret sama di dalam permasalahan Fazzura. Tak sepatutnya!
Ya Allah, kenapa semua ini yang aku rasa?







2 comments :