Sunday, April 21, 2013

Elusan Kasih - Bab 3

Bab 3

“AKU nak balik ke rumah atau tak itu aku punya pasal. Kau tak perlulah nak sibuk-sibuk hal aku Zurra. Berapa kali aku nak cakap. Berapa ribu kali pulak kau nak ulang soal aku dengan soalan yang sama!” jerkah Aqil kuat. Bergema suaranya di dalam rumah banglo dua tingkat itu. Tubuh isterinya yang bersarung baju kurung dari kain cutton itu dipandang tajam.Tak ada apa yang menarik lagi padanya.
“Kalau abang bukan suami Zurra  sikitpun Zurra tak kisah abang. Masalah sekarang abang tu suami Zurra. Salah ke kalau Zurra sibuk bertanya ke mana abang nak pergi?” balas Fazzura semula. Wajahnya tenang memandang Aqil yang jelas menunjukkan riak bengis tatkala mendengarkan jawapan yang keluar dari mulutnya itu.
“Makin lama makin kau nak menyusahkan aku kan?” soal Aqil keras.
“Abang lupa yang abang ada anak! Anak tu sakit. Terlantar kat hospital berhari-hari. Dia orang tunggu abang datang. Tapi abang ke mana? Abang dengan siapa? Apa yang abang buat. Abang dah macam jauh menyimpang. Abang berfoya-foya entah dengan perempuan mana. Macam ni yang abang buat pada saya? Bapa jenis apa abang ni?Kalau abang tak mampu nak ada di sisi Fazmizie sewaktu di hospital pun sekurang-kurangnya abang duduklah di rumah. Ada di sisi dia.” balasnya panjang. Kesabarannya kian tipis.
“Aku ada ke tak ada ke? Dia orang tahu ke? Budak-budak kalau aku tak ada pun, apa yang dia orang tahu? Kau jangan nak kurang ajar tuduh aku aku yang bukan-bukan Zurra!” bidas Aqil sambil membetulkan kolar baju kemejanya.
“Budak-budak tu tak kisah pun aku ada ke tak! Kau yang sibuk-sibuk lebih!”sambungnya lagi.
“Saya kurang ajar? Abang jugak yang ajar saya jadi macam ni. Sebab saya ni dah tak cantik depan mata abang. Saya ni buruk. Sebab tu abang dah ada perempuan lain kat luar sana. Tak perlu abang nak menafi lagi. Semuanya dah cukup jelas kat telinga saya ni!”
“Apa kau ni hah!” Aqil pandangnya tajam. “Oh! jadi kaulah yang call tempoh hari tu. Dia ketawa seolah-olah tak takut langsung atas perbuatannya. “Ya! memang aku ada perempuan lain. Perempuan lain yang jauh lebih bagus dan cantik dari kau. Aku ingatkan kau tak kisah.”
Terkedu Fazzura mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Aqil. Taki kisah?
“Sampai hati abang kan buat saya dan anak-anak macam ni. Abang dah jauh berubah…” Fazzura kesal. Kata-katanya langsung tak meninggalkan bekas. Dahulu mereka seiring bersama. Dalam setiap permasalahan yang timbul mereka pasti akan duduk berbincang mencari jalan penyelesaian. Bukan begini caranya. Bukan dengan kata-kata keras yang menyiksa jiwa dan raga. Isteri mana yang tak akan kisah kalau suami dengan wanita lain. Dia ada perasaan walaupun selama ini dia cukup bersabar.
“Ah!aku dah kerja teruk untuk senangkan kau orang semua. Untuk senangkan kau. Kau tak sedar lagi? Anak sakit pun kau nak mengharapkan aku lagi. Kenapa? Kau dah tak boleh sangat nak jaga anak!” tempelak Aqil sambil bercekak pinggang.
“Zurra tak mintak harta kekayaan abang sampai lupa segala-galanya. Sampai abang abaikan tanggungjawab abang pada keluarga. Abang lupa daratan macam ni. Zurra mampu jaga anak-anak. Abang tak perlu nak pertikaikan tanggungjawab saya. Tapi Zurra takut …Zurra takut kalau Tuhan tarik balik semua nikmat kesenangan yang abang dapat ni.” balas Fazzura semula. Selama ini dia berdiam. Hanya memerhatikan tingkah Aqil yang semakin hari semakin lupa daratan. Semakin hari semakin jauh hanyut dengan kesibukan duniawi. Berdoa dan berharap semuanya akan kembali pulih. Bukan dia tidak kisah tetapi dia mahu menjaga perkahwinan ini  semata-mata memikirkan dua anak yang sedang membesar. Yang memerlukan perhatian seorang bapa.Tetapi keadaan semakin hari semakin meruncing. Semakin hilang rasa bahagia itu.
“Nah!” Aqil melemparkan beberapa keping duit kertas lima puluh ringgit tepat ke wajahnya.“Kau jangan nak sibuk hal aku. Dan jangan nak susahkan aku. Teksi ada! Kereta pun ada. Kau boleh pandu sendiri ke mana pun kau nak pergi.” balas Aqil sebelum berlalu meninggalkan Fazzura. Langkahnya laju menuju ke muka pintu. Tak perlu diberitahu ke mana jejak langkah suaminya itu. Dari pakaian sudah cukup untuk memberikan Fazzura sebuah jawapan.
“Abang! Zurra tak akan sibuk kalau abang bukan suami Zurra.” jerit Fazzura. Berdesing telinga Aqil dibuatnya. Fazzura sengaja mahu mencabar kesabarannya. Laju langkah kakinya berpaling semula ke arah Fazzura.
Pangg!
Penampar itu hinggap lagi di pipi Fazzura untuk sekian kali. Perit dan pedih. Sakitnya lebih lagi di hati. Aqil dah mula naik tangan.
Pompuan tak reti nak bersyukur! Aku dah bagi duit pun kau nak cakap banyak lagi!”kepala Fazzura ditolaknya kuat. Jeritan Aqil bergema di dalam rumah. Air mata mula bertakung di kelopak mata Fazzura. Kejamnya Aqil memperlakukan dirinya.
“Lagi sekali aku nak pesan pada kau. Jaga sikit mulut kau tu. Jangan sampai aku buat kau tak boleh nak bercakap seumur hidup!” jerkah Aqil lagi sekali. Hatinya membara mendengarkan kata-kata Fazzura. Aqil terus berlalu keluar dengan perasaan marah yang membuak-buak. Semakin lama semakin bosan rasanya dia dengan leteran-leteran Fazzura.          
Fazzura berlalu laju menuju ke atas dengan perasaan remuk dan redam. Hanya kerana menegur tingkah laku Aqil. Ini yang dia dapat. Terlalu banyak pengorbanan tetapi ini balasan yang Aqil berikan. Aqil bukan lagi suami penyayang seperti dahulu. Aqil sudah jauh berubah meninggalkan dia dan anak-anaknya di dunia yang penuh siksa. Sampai hati Aqil.
Sekarang dia harus belajar untuk terima Aqil bukan lagi Aqil yang dia kenali suatu masa dahulu. Aqil bukan lagi lelaki penyayang yang sentiasa di sisi. Bukan lagi lelaki yang setia bersama dia di waktu susah dan senang. Bukan lagi seorang bapa yang begitu kasih terhadap anak-anaknya. Semuanya sudah hilang. Datangnya seperti pelangi. Berwarna-warni. Rupa-rupanya pelangi itu sekejap sahaja hadirnya. Ini jalan yang dia pilih. Jalan bahagia pada permulaannya tapi bukan penghujungnya.


KAHWIN?Apa yang you merepek ni? You dah gila ke apa?” kuat kata-kata itu menyapa di cuping telinganya. Riyadh  ketap bibir. Sakit hati di buatnya. Ajak kahwin pun di katanya gila. Habis kalau dah bercinta tak nak kahwin buat apa? Tak ada hala tuju hubungan. Hanya buang masa dan sia-sia sahaja. Sudah hampir tujuh tahun dia dan Annis bercinta. Ummi dan walid pun dah bising-bising. Boleh Annis cakap dia merepek.
“I tak gila tapi you tu yang gila. I ajak you kahwin. I nak kita hidup bersama. Ada family ada anak. I boleh jaga you. Kalau you sakit macam hari tu. I kan boleh ada dua puluh empat jam dengan you.”
Annis ketawa kuat mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Baginya  memang sudah gila. Sejak bila pula yang Riyadh ni teringin untuk hidup bekeluarga. Untuk ada anak. Padahal sebelum ni tak pernah langsung dia bangkitkan hal kahwin ini.
“Kenapa dengan you ni? I serius. I nak kahwin. Nak ada anak. I akan hantar rombongan meminang secepat yang mungkin.” Riyadh nampak tenang tetapi berbaur paksa.
“I tak bersedia. Tolong jangan nak paksa-paksa I. You pun tahu kerjaya I sedang meningkat sekarang. I tak nak rosakkan karier I bila dah kahwin nanti.” balas Annis semula. Tak puas hati dengan kata-kata lelaki di hadapannya ini. Riyadh  lupa ke yang dia ni model. Model macam dia kalau dah kahwin sah-sahlah badan jadi tak cantik. Ada anak lagilah. Geleber sana sini. Ini pun puas dia diet sampai masuk hospital. Semata-mata nak kurus punya pasal. Nak Cantik sanggup buat apa saja.
“You tu bukan muda lagi. Sampai bila you nak kejar semua kerjaya you tu. Dah tiba masa kita untuk hidup berkeluarga. You nak sakit-sakit macam tu semata-mata nak kurus. I dah pesan pada you tempoh hari. Jangan you nak ulang-ulang lagi makan ubat kurus tu sampai sakit. I sayang you. I terima you seadanya. I tak kisah pun you gemuk ke apa. You tu je yang suka nak fikir lebih-lebih. Kita dah lama couple. Tak kanlah you tak kenal I macam mana? I kisah ke semua tu?” Riyadh soal  lagi. Dia nak Annis lebih jelas apa yang dia katakan.
“I tahu you sayang I. Sebab tu I nak buat yang terbaik untuk you sayang.” balas Annis manja.
“Kita kahwin. Itu je yang terbaik untuk kita.” Balas Riaydh  semula. Susahnya memujuk si Annis ni kahwin. Entah kenapa, sejak bertemu dengan Fazzura dan anak-anaknya di hospital tempoh hari dia jadi tak keruan rasa. Celoteh Aqilah bermain di minda. Dulu dia berjanji untuk datang melawat mereka lagi. Tapi, kekangan masa menghalangnya. Kemudian, dia ada kembali ke Hospital lagi selepas empat hari mereka bertemu. Tapi malangnya, pesakit yang ingin di lawatinya telah mendaftar keluar sehari sebelumnya. Hatinya dipagut rindu yang menggila. Entah kenapa dia tidak tahu. Dia rasa nak call Fazzura. Tapi bimbang semuanya di salah erti. Jadi niat itu disimpan jauh di lubuk hati. Dia ingat pesan ummi jangan cari perempuan lain untuk ceritakan masalah. Lama-lama nanti jadi lain. Nak pulak Fazzura tu isteri orang kut. Hai…memang tak lah. Dia cuma rindu budak-budak dua orang tu je.
“You ni memang dah gila. Kenapa you dah kemaruk sangat nak kahwin?” Lamunannya terhenti apabila mendengar soalan dari Annis. Matanya memandang tepat ke wajah Annis. Cantik serba serbi. Sudah tujuh tahun mereka berkasih sayang. Kerjaya Annis sebagai seorang model pakaian seringkali menjadi penghalang untuk mereka ke peringkat seterusnya di dalam hubungan. Kalau di ikutkan dengan kemampuannya memang sudah layak untuk dia berkahwin. Ada perniagaan sendiri. Rumah, kereta apa lagi yang dia nak tunggu. Nampaknya Annis masih tak serius. Annis nak ke tak nak!
“I nak kahwin. Nak hidup bekeluarga. I lebih dari mampu nak sara you. You ingat gaji you sebagai model tu besar sangat ke? Glamour je yang lebih. Terdedah sana sini. Terbuka sana sini. You tahu tak umur kita makin meningkat. Ummi dan walid dah bising. I tak seronok Annis kalau asyik berkepit tanpa hubungan yang halal. You kenal I macam mana kan? Kita bukan muda lagi Annis. Kalau I solat lima waktu sehari pun tapi dengan keadaan you yang seksi dan pegang-pegang I apa yang I dapat. I nak jaga solat I you tahu tak? I tak nak amalan yang I buat sia-sia.”
Berdesing teling Annis mendengar kata-kata yang keluar dari mulut. Semakin hari dah nak jadi macam ustaz pulak. Tegur sana tegur sini. Dulu tak ada pun nak ketara begini. Sejak dua menjak ni bukan main lagi.
“Bukan you yang tanggung dosa I pun.” balasnya semula sambil menyedut fresh orenge di hadapannya. Selera makannya terus hilang dek kata-kata  sebentar tadi. Entah kenapa topik ini yang ingin diperkatakan oleh Riyadh. Patutlah beria-ia mahu mengajaknya keluar ke restoran ini walaupun jam sudah menginjak ke angka sepuluh malam. Inilah hal yang dikatakan penting sangat tu.
Yes, bukan I yang tanggung dosa you. But your father. Kalau you sayangkan diaorang, you tak akan buat macam tu. Kalau you tanggung dosa you sendiri macam I tak pe. I tak paksa you…tapi I nak you berubah step by step.”
Entah kenapa perempuan ini juga yang dia nak buat isteri. Kalau di ikutkan dengan kedegilan Annis yang melampau lampau ni sudah lama dia tinggalkan saja. Ramai lagi di luar sana yang boleh dibuat calon isteri.
Dia akui, dia pun tak adalah sempurna mana. Sejak dua tiga menjak ni dia memang dah banyak berubah. Banyak memikirkan dosa pahala tentang hubungannya dengan Annis. Tapi dia tak pernah nak paksa Annis berubah. Kalau setiap kali mereka keluar, dia berhenti solat sekalipun dia tak pernah nak paksa Annis solat sama. Salah dia ke sebab manjakan sangat Annis.
Tapi bab pujuk memujuk, rayu merayu memanglah dia akan gagal dengan si Annis ni. Yang tu memang tak ada sesiapa pun boleh lawan. Lelaki hebat macam mana pun kalau dengan pujukan perempuan cair jugak.
“You ni kenapa sayang? Kalau I setuju kahwin dengan you pun, belum tentu I bersedia nak ada anak.” Annis meraih jari jemarinya. Ada pujukan lembut di situ. Ah! dia tak mahu gagal lagi dengan pujukan-pujukan Annis. Dia bukannya muda lagi. Umurnya dah 32 tahun. Dia menarik tangannya dari genggaman Annis.
“I tahu you bagus! You jaga pergaulan you dengan I. Tapi sekarang I nampak you macam banyak sangat paksa I. I tak pernah paksa you untuk ikut I. Pernah you nampak I paksa you masuk kelab? Tak kan? Sekarang you tolonglah jangan nak paksa-paksa I, jangan nak berleter macam ustaz-ustaz.”
“I tetap dengan keputusan I. I akan hantar rombongan dalam masa terdekat. Yes, I paksa you sayang. Paksa you!.” ujar  Riyadh tegas.
“Kalau you nak sangat kahwin. You go! Cari mana-mana perempuan yang boleh mengandungkan anak you. Yang betul-betul bersedia untuk jadi isteri you. Bukan I. I tetap dengan pendirian I.”
“You jangan cabar I, Annis!” balas Riyadh geram.
Annis terus mencapai beg tangan dari jenama Louis Vuitton. Pantas Annis bangun meninggalkan  seorang diri di restoran itu. Beberapa pasang mata menoleh ke arah mereka. Menjadi saksi kisah cinta ini akan berakhir di sini atau tidak. Riyadh mendengus kasar. Bosan barangkali dengan apa yang terjadi. Kalau asyik terus-terusan begini sampai bila-bila pun dia tak akan kahwin dan ada keluarga sendiri.
Entah kenapa terbit satu perasaan aneh yang dia sendiri tidak tahu apa maknanya. Seolah-olah dia mahu berada di sisi Aqilah yang comel dan menemani Fazmizie yang sakit. Aneh, sesuatu yang tidak pernah dia fikirkan selama ini. Dia rasa seperti mahu berkahwin dan memiliki anak. Oleh sebab itu dia beria-ia ajak Annis. Tapi, macam ni jawapan yang dia dapat.
Telefon bimbitnya dicapai. Pantas nombor Fazzura didail.  Nama itu jugak yang terlintas dibenaknya. Nasihat ummi macam terpaksa dilanggar. Langsung tidak memikirkan yang jam sudah menunjukkan ke angka sebelas malam. Sudahlah yang di hubunginya itu isteri orang. Hatinya benar-benar rindu dengan Aqilah. Hatinya benar-benar resah memikirkan tentang Fazmizie. Hilang sudah sakit hati dek sikap Annis sebentar tadi. Lama dia menanti di talian sebelum panggilnya disambut suara serak wanita di hujung talian. ‘Kenapa dengan aku ni? Dah gila sangat!’
“Assalammualaikum.” Riyadh  memberi salam.
“Waalaikumusalam.” Suara Fazzura serak di hujung talian menjawab.
“Awak dah tidur? Maaflah kacau awak waktu-waktu begini.” ujar Riyadh memulakan bicara. Dalam hati bimbang juga. Buatnya suami Fazzura yang jawab tak ke jadi satu masalah pula. Hesy!serabut. Tak pe, yang penting niatnya bukan sebab Fazzura. Tapi sebab budak dua orang tu. Jiwa kacau punya pasal. Benda tak pernah buat pun dia buat. Tu lah manusia ni bila jiwa kacau bukan nak ingat Tuhan. Bukan nak duduk atas tikar sejadah tapi kacau anak orang malam-malam buta. Memang dah gila agaknya dia.
“Err...belum. Saya belum tidur lagi. Ada apa awak call saya malam-malam macam ni?”
Fazzura pun dah soal dia pelik.
“Ye ke belum? Saya dengar suara awak yang serak ni ingatkan dah tidur. Maaflah ganggu awak malam-malam ni. Bukannya apa, tiba-tiba terfikir pasal anak-anak awak tu. Apa khabar diorang berdua sekarang? Fazmizie macam mana?Dia dah sihat ke belum?”soalnya  Riyadh bertubi-tubi.
Fazzura mengeluh perlahan. Apa yang pasti soalan pertama dari  Riyadh itu dia tak mampu jawab.Suaranya serak bukan kerana tidur. Tapi kerana bersedih memikirkan rumahtangganya yang sedang bergoncang kuat. Walaupun dia cuba untuk tidak menangis lagi. Dia gagal.
“Alhamdulillah, Fazmizie dah beransur baik. Terima kasih atas jasa baik awak tempoh hari yer. Saya tak tahu nak balas budi baik awak macam mana.” Fazzura berterus terang.
“Senang je, awak bagi saya pinjam anak-anak awak kejap esok…”
“Hah! Pinjam?”Riyadh  dihujung talian ketawa serta merta. Suara Fazzura cemas bila dengar dia cakap begitu.
“Eh! Saya call awak ni suami awak tak ada ke? Sorrylah… memang nampak macam tak manis sangat ni. Dah lewat satu hal. Call isteri orang pulak satu hal. Saya mintak maaf ya”
“Hmm…suami saya tak ada.” Balasnya perlahan.
“Yalah, walaupun dia tak ada tapi bukan alasankan untuk saya call awak dan awak pulak jawab panggilan dari lelaki lain. Berdosa jugak tu. Tapi last ni saya nak pinjam anak-anak awak esok. Boleh tak? Awak bagi alamat yer.”
“ Apa maksud awak nak pinjam tu?”
 “Maksud saya awak bagi saya keluar dengan anak-anak awak yang comel tu. Saya rindu betul kat dia orang berdua tu. Tak tahu kenapa. Bagi saya keluar kejap jer dengan diorang berdua tu.” Dia terus berterus terang dengan niat asalnya. Memanglah ayatnya tu ada salah. Ingat barang mainan ke nak pinjam-pinjam anak orang. Hesy! ni semua Annis lah ni. Orang ajak kahwin tak nak. Kalau tidak tentu tak payah nak pinjam-pinjam anak orang lagi.
“Awak buat saya takut...” balas Fazzura lambat.  Riyadh di hujung talian sudah ketawa kuat.
“Itupun kalau awak dengan husband awak izinkan.”
“Dia tak kan pernah kisah pasal anak-anak lagi.” luah Fazzura perlahan tapi jelas di pendengaran. Riyadh terpampan dia talian. Apehal pulak Si Fazzura ni nak cakap macam tu.
“Awak ni macam ada masalah je? Boleh ke kalau saya nak tahu?”Penyibuknya kau Riyadh. Masalah kau pun tak selesai-selesai. Sibuk nak jaga hal tepi kain orang pulak! Bentak hatinya sendiri.
Sorrylah saya sibuk je kan tanya. Jadi, awak bagi ke tak saya nak keluar dengan anak-anak awak ni?” dia terus kembali kepada topik asal. “Awak janganlah risau. Saya ni dalam kalangan orang yang baik-baik.” Puji diri sendiri lagi. Blahlah kau Riyadh!
“Zaman sekarang ni manusia talam bermuka-muka. Kita tak tahu apa ada dalam hatinya.” Fazzura bimbang.
“Ayat tu tak payahlah awak nak putar belit alam sangat. Kalau awak keberatan nak izinkan saya keluar dengan anak-anak awak tak pelah.Saya ni bukan jenis talam yang bermuka-muka pun. Tapi, kalau saya nak kena tanya dengan husband awak pun tak pe. Awak bagi saya cakap dengan dia.”
 Fazzura kian serba salah. Masalahnya sekarang Aqil pun entah ke mana. Entahkan berseronok dengan perempuan di luar sana.  Berapa kali dia nak cakap yang suaminya tak faham.
“Zurra, kalau benda ni macam menyusahkan awak...tak payahlah.” tegurnya  semula setelah tiada apa-apa jawapan. Dia yang ada masalah dengan Annis. Nak heret Zurra sekali buat apa. Perempuan tu tak ada kaitan pun. Tapi, sumpah dia rindu kat Aqilah. Rasa tenang bila pandang wajah comel tu. Allahuakhbar. Payah anak orang.
“Bila awak nak ambil dia orang?”.
“Esok boleh?” Mak ai, gila betul kau Riyadh.
“Okey, baiklah. Nanti saya beritahu di mana. Assalammualaikum.” ucap Fazzura. Talian terus diputuskan.
Riyadh senyum lebar menampakkan sebaris giginya yang tersusun cantik. Kalau sebelum tadi wajahnya mencuka tapi sekarang sudah berkilo-kilo manisnya. Tidak sabar untuk menanti hari esok. Hilang resah dan gundahnya memikirkan pasal Annis yang tak nak kahwin tu. Asyik nak jaga sangat body dia tu. Lantaklah! Yang terbayang di mindanya sekarang celoteh Aqilah dan kemanjaan Fazmizie. Serius, anak-anak kecil itu buat jiwanya jadi kacau bilau. Alahai kenapa dengan dia. Kenapa ni? Seronok lain macam. Dia terus bangun dari kerusi dan mencapai kunci kereta. Langkah kakinya laju menuju ke kaunter untuk buat bayaran. Sampai sahaja terus dihulurkan wang kertas lima puluh ringgit. Dia bergerak dengan senyuman.
“Abang! Tunggu ambil baki dulu.”
Eh! Tak pelah. Abang sedekah tu…kira halal.” Dia angkat tangan. Budak lelaki yang jaga kaunter tu pandang dia pelik. Mesti tak percaya. Alah…apalah sangat dengan baki tu. Yang penting hari esok. Dia senyum lebar. Sah! Dia memang dah gila.



Saturday, April 20, 2013

Elusan Kasih - Bab 2

Bab 2


SEMINGGU Aqil tidak dapat dihubungi. Fazzura makin kalut. Kata Aqil sebelum keluar tempoh hari dia ada urusan di Kelantan. Tapi, sampai sekarang dia masih tidak dapat dihubungi. Fazmizie yang sedang didukung masih lagi merengek. Sudah hampir seminggu badan anakny ini panas. Makan tak mahu. Hanya bergantung kepada susu semata-mata. Itupun adakalanya Fazmizie akan muntah. Dia resah. Pada siapa dia harus mengharapkan bantuan sekarang. Hanya Aqil tempatnya bergantung seratus peratus. Jika lelaki itu tiada dia bagaikan lumpuh tak mampu berdiri dengan sempurna. Nombor telefon Aqil didail lagi untuk sekian kali. Ternyata Aqil tidak dapat di hubungi. Balik-balik masuk ke dalam peti simpanan suara. Dia mengeluh hampa sambil memujuk Fazmizie.
Tiba-tiba dia teringatkan Maria. Kakak keduanya. Entahlah Maria mahu menolongnya atau tidak. Hubungan mereka adik beradik tidak semesra macam orang lain. Sejak dia tinggal di Kuala Lumpur ini sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Maria.
“Hello, Maria kau ke tu. Aku ni...Zurra,” ujar Fazzura sebaik sahaja panggilan telefon itu bersambut. Membahasakan dirinya dengan Maria sebagai aku, kau lebih selesa baginya. Ini kerana perbezaan umurnya dengan Maria yang hanya selang dua tahun sahaja.
“Hah! kau nak apa call aku? Tak pernah-pernah kau nak call aku. Ingatkan dah lupa adik beradik. Maklumlah aku dengar kau dah kaya sekarangkan!” sinis Maria berbicara kepadanya. Tak ada beza Maria dengan Kak Shahira. Kedua-dua orang kakaknya itu bagaikan benci sangat dengan dia. Apa salahnya?
“Aku tak pernah buang adik beradik dalam hidup aku, Maria.” balasnya perlahan tapi cukup tegas. Siapa yang buang siapa sekarang.
“Baguslah! tapi kau ada ke kau tak ada ke, aku peduli apa?” herdik Maria Lagi.
“Tak apalah Maria. Aku silap nombor tadi.” ujar Fazzura terus. Tak sanggup dia untuk terus bertekak dengan darah daging sendiri. Talian diputuskan. Lima tahun berlalu tapi kenapa terus-terusan dia dihukum.
Sudahnya dia mengambil keputusan untuk memandu sendiri kereta dengan membawa anak-anaknya. Apa yang penting baginya saat ini adalah kesihatan Fazmizie. Dia sudah tidak sanggup melihat Fazmizie menangis siang malam begitu. Walaupun berdepan risiko besar dia memberanikan diri. Memang menjadi kesalahan jika memandu tanpa ada lesen. Tiba-tiba dia rasa menyesal. Menyesal kerana dia tidak punya apa-apa sebagai bekalan jika ditinggalkan suami. Sudahlah dia tidak bekerja. Lesen memandu juga tiada walaupun dia boleh memandu. Dia benar-benar tak punya apa-apa.
Ini semua dia lakukan demi anak-anak. Tak mengapalah jika dia perlu berdepan dengan polis sekalipun. Anak-anak adalah kekuatannya. Enjin proton wira dihidupkan. Fazmize diletakkan di dalam kereta bayi. Aqilah duduk dibelakang. Mujur Aqilah cukup memahami. Aqilah tak banyak cakap. Hanya menurut sahaja apa yang dia kata. Kereta terus bergerak perlahan menujuk ke klinik yang berdekatan dengan rumah sahaja. Di dalam hati tidak putus berdoa agar keselamatannya dan anak-anak terpelihara.
Lebih kurang setengah jam dia sampai di hadapan Klinik Jaya. Nak parking kereta pun sudah ambil masa hampir lima belas minit.  Pusing kanan tak masuk petak. Pusing kiri pun tak masuk petak. Benar-benar tak pandai tapi nak juga bawak. Kenapalah dia tidak mendapatkan khidmat teksi sahaja tadi. Kenapa dia selalu fikir cara bodoh yang boleh membahayakan anak-anaknya. Masya Allah. Dia geleng kepala menyedari kekalutan diri. Kerana kelalutan itu dia tidak boleh berfikir dengan waras lagi.
Hampir sepuluh minit mereka berada di dalam bilik rawatan. Keadaan makin parah bila Doktor yang membuat rawatan mengarahkan dia menghantar anaknya ke Hospital. Fazmizie disahkan mengalami demam panas. Pernafasannya semakin laju. Badannya kekurangan air dan dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera. Fazzura semakin resah gelisah.
Berita itu benar-benar merobek jiwanya. Apalagi yang perlu dia depani selepas ini semuanya sendiri. Ada suami seperti tiada. Jika dahulu, Aqil yang menguruskan segala-galanya. Kalau apa-apa jadi pada anaknya Aqil orang pertama yang akan risau. Tapi sekarang? Musnah dan hilang dalam sekelip mata. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.
Dia terus mengambil teksi untuk pergi ke Hospital. Tidak lagi berani untuk memandu sejauh ini. Fazmizie dibuainya ke riba. Manakala Aqilah duduk di sebelahnya. Inilah anak-anak yang baik untuknya. Aqilah tidak banyak meragam. Seolah-olah faham derita yang sedang ditanggung ibunya. Ada waktunya dia kelihatan sedih bila melihat adiknya itu.

“Kau akan rasa nanti susah ke senang bila hidup tanpa restu orang tua. Kau nak sangat kahwin dengan jantan tu. Kau kahwin. Jangan suatu hari nanti kau datang merayu-rayu pada aku. Kau ingat tu Zurra!”

Masih terngiang-ngiang kata-kata emak. Marah benar emak saat itu. Yalah, dia dah belajar sampai dapat masuk University. Lepas tu sibuk nak berhenti belajar. Nak kahwin. Langkah bendul dua orang kakak yang belum kahwin. Umur baru setahun jagung. Baru nak kenal dunia. Tapi tergedik-gedik nak nikah. Ya Allah… sekarang sedikit sebanyak perasaan sesal itu mula mengambil tempat dalam diri.
Sampai sahaja di Hospital dia segera berjalan masuk ke dalam dengan mendukung Fazmizie dengan tangan kanan. Manakala Aqilah pula dipimpinnya dengan tangan kiri. Dia perlu kuat demi anak-anak. Dia perlu berdikari demi si permata hati.
Agak ramai orang yang berada di ruang legar Hospital Kuala Lumpur. Mata Fazzura melilau mencari kaunter  pendaftaran. Kali pertama datang, agak janggal rasanya. Pusing kiri, pusing kanan. Pusing depan. Pusing belakang. Sudahnya…
GEDEBUK!
“Aduh!” suara itu mengaduh kuat. Menarik perhatian mata-mata yang ada di kawasan berhampiran. Semua seakan-akan sedang memerhatikan dirinya saat ini. Malunya dia. Fazmizie sudah mula memangis di dalam dakapannya. Terkejut dengan pelanggaran yang tiba-tiba. Ya Allah, ibu tak sengaja sayang. Lelaki yang dilanggarnya itu menggelengkan kepala memandangnya.
“Maaf Encik. Saya tak sengaja.” luah Fazzura kesal sambil memujuk Fazmizie yang menangis di dalam pelukannya. “Diam sayang…ibu tak sengaja…syuttt…” wajahnya merah menahan rasa malu dan pilu.
Lelaki itu mengeluh berat. “Lain kali hati-hatilah sikit. Kesian kat anak awak tu. Hesy!awak kelam kabut sangat ni nak ke mana ni? Dunia ni belum lagi berpusing-pusing tapi saya tengok awak dah macam gasing. Pusing kiri pusing kanan.” Lelaki itu sempat membebel kepadanya. Dia perhatikan tindakan lelakiitu  melipat tangan baju kemeja putih yang dipakainya. Menanti jawapan dari pertanyaannya barangkali. Kemudian lelaki itu mengerling pula ke arah Aqilah. “Hey budak comel. What is you name?” dia senyum.
“Saya nak ke kaunter pendaftaran tu. Anak saya sakit. Perlu rawatan dengan segera. Saya minta maaf benar-benar tak sengaja. Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya tak biasa.” jawab Fazzura jujur. Jari jemarinya tidak berhenti dari mengusap belakang Fazmizie perlahan. Matanya sudah terpandang kaunter pendaftaran. Dia ingin berlalu dengan kadar segera.
“Habis kenapa awak masih tercegat di sini. Kenapa tak panggil sahaja nurse yang lalu lalang ni. Lain kali panggil je nurse kat sini. Mintaklah tolong diorang. Tak kan diaorang tak boleh nak tolong.” Lelaki itu geleng kepala melihatnya.
“Saya…err…” Fazzura kaget. Malu nak mintak tolong dalam keadaan yang dia tak biasa.
“Kalau macam tu mari sini saya bawakan anak awak tu. Awak pegang yang itu. Nanti hilang pula.Tak pasal-pasal jadi banyak kerja nanti. Hospital ni bukan kecil. Besar.” tutur lelaki itu lagi sambil menyuakan tangan untuk mengambil Fazmizie. Tanpa banyak cakap Fazzura terus menyerahkan Fazmizie di dalam dukungan lelaki itu. Fazmizie terus diam. Ajaib!
“Hah!diam pun dia kan…suka dengan uncle ya…” ujarnya sambil berjalan laju menuju ke kaunter pendaftaran. “Panas badan dia ni? demam panas ke?”
Fazzura angguk. Sudah tahu kenapa masih ingin bertanya. Bisik hatinya pula.
Giler awak! Panas ni.” lelaki itu membebel lagi.
“Saya…saya…”
“Saya apa? Bukannya awak tak tahu anak awak ni demam.” Lelaki itu sekali lagi memotong percakapannya. Memanglah dia tahu anaknya demam. Masalahnya dia tunggu Aqil. Dia tunggu suaminya. Lelaki ni tak faham senanglah cakap.
“Comel ya anak awak ni. Nama apa ni?” soal lelaki itu sekali lagi. Dah macam dia pulak bapak budak-budak ni. Orang tengah risau keadaan Fazmizie tu. Dia boleh tenang. Mentang-mentanglah bukan anak dia. Hmm…
“Fazmizie.” balas Fazzura lambat. Matanya tidak terlepas dari memandang Fazmizie yang berada di dalam dukungan lelaki itu. Anaknya itu kelihatan sangat selesa bersandar di bahu lelaki itu. Tapi Fazmizie nampak letih. Lelaki itu terus memberitahu sesuatu kepada jururawat yang bertugas. Jururawat itu nampak tergesa-gesa sebelum mengambil Fazmizie masuk ke dalam bilik doctor. Fazmizie menangis.
“Dah lemah sangat keadaan dia tadi. Dah berapa hari dia demam macam tu?”
“Dah hampir seminggu.” jawab Fazzura. Bibirnya diketap. Mengakui kesalahan sendiri. Kalau jadi apa-apa pada anaknya sumpah dia menyesal sampai mati.
“Kenapa biarkan lambat sangat. Seminggu?Hesy!awak…kenapa biarkan sampai macam tu.Ya Allah, budak-budak ni awak kena faham. Antibodi dia lemah. Tak macam kita. Kalau sehari dia dah demam tu cepat-cepat lah bawa ke klinik. Ni dah sampai seminggu. Awak biarkan dia macam tu aje.” marah lelaki itu. Macam dia doktor pulak. Tapi betul cakap lelaki ini. Kenapa di biarkan terlalu lama.
Dia hanya tertunduk. Apalagi yang dia nak cakap. Memang salahnya. Semua salahnya. Dia tak pandai jaga anak. Dia tak pandai jugak jaga suami. Dia tak pandai nak jaga diri sendiri. Dia tunggu Aqil untuk sama-sama bawa Fazmizie ke klinik. Itulah kesalahannya. Itulah kebodohannya. Terlalu bergantung harap kepada si suami. Sampai bila dia nak macam ni.
“Walaupun saya belum berkahwin dan tak ada anak, saya rasa saya patut cakap benda yang saya tahu. Demam panas tu bahaya kalau tak dibawa untuk rawatan awal.”
Fazzura tertampar sekali lagi dengan kata-akat lelaki ini. Lelaki ini? Siapa lelaki ini? Kenapa dia baik sangat. Lihat sahaja caranya mendukung Fazmizie. Lihat sahaja cara dia memujuk si kecil itu menangis. Kenapa saat ini orang lain yang perlu lakukan semua itu? Kenapa tidak Aqil, suaminya.
“Ibu, adik mana bu?” Soal Aqilah sambil memegang lututnya. Lelaki itu pandang Aqilah sebelum pandang dia pula.
“Ini kakak Farmizie ke? Comel dia. Meh dekat uncle. Duduk sini kejap lagi kita boleh masuk tengok adik.” Lelaki itu menepuk bangku berulang kali. Barangkali dia mengharapkan Aqilah akan pergi dan duduk dekatnya. Tapi anaknya itu pandang kosong. Tak kenal siapa.
Meh la sini…dekat uncle. Nama apa sayang? Comel macam adik jugak. Rambut tu kerinting ye. Ikut siapa?”
Aqilah buat muka berkerut. “Kenapa anak ibu? Uncle tu tanya jawablah…” bisik Fazzura tetapi anaknya itu hanya menggeleng sahaja.
Lelaki itu senyum. “Malulah tu. Tak pe? Nanti bila dah lama-lama hilanglah malu tu.” Dua tangan diletakkan dibawah dagu. Tiba-tiba pintu bilik doktor dibuka. Tersua raut wajah doktor lelaki muda. Kalau diramal umurnya pasti lingkungan 20-an lagi. Fazzura bingkas bangun. Lelaki itu menurut tingkahnya,
 “Macam mana dengan anak saya doktor? Macam mana keadaan dia?” suara Fazzura kedengaran cemas. Lelaki yang membantunya tadi mengerling sekilas ke arahnya. Dia tak peduli lagi.
“Suhu badan dia tadi mencecah ke 38 darjah  celcius. Kenapa lewat hantar dia ke sini. Kami terpaksa tahan dia di wad untuk tambah air dalam badan dia. Dia demam panas. Ada sedikit selsema. Hasil blood test tadi okey. Tak ada jangkitan dalam paru-paru. Tak ada virus infection ataupun demam dinggi. Alhamdulillah.” kata doktor itu lagi.
Fazzura angguk lemah. Matanya mula berkaca-kaca.
“Harap Puan bersabar. Puan jangan risau kita akan bagi dia antibiotik untuk menghalang jangkitan paru-paru. Kita akan buat yang terbaik. Puan jangan risau.” ujar doktor itu lagi kepadanya. Menenangkannya yang sudah basah dek air mata.
“Terima kasih doktor.” ujar lelaki itu. Fazzura dah tak mampu nak berkata apa-apa. “Boleh kami masuk tengok dia?”
Doktor itu menggangguk. Fazzura terus meluru masuk dengan memimpin Aqilah.
“Ibu, kenapa dengan adik bu. Kenapa adik tidur kat sini. Adik sakit ke ibu?”soalan dari Aqilah makin menambahkan sebak di dadanya.
“Maafkan ibu sayang…” dia separuh berbisik di telinga Fazmizie. Sedih rasanya melihat suntikan dan wayar yang masih berada di jari jemari kecil itu.
“Adik demam sayang. Nanti dia sembuh baru boleh balik tidur kat rumah.” balasnya sambil mengesat air mata. Malu tatkala lelaki tadi ada di sisi katil memandang Fazmizie bersilih ganti memandangnya pula.
“Sabarlah, awak belajar sesuatu dengan apa yang terjadi hari ni. Lain kali kalau anak-anak awak demam. Cepat-cepatlah bawa diorang ke klinik. Zaman sekarang ni semua benda kena cepat. Kalau awak alpa seminit pun keadaan dah berubah.” ujar lelaki itu lagi.  Setiap kali butir bicara yang keluar dari mulutnya berbaur nasihat yang mendalam. Bukan hanya omongan kosong.
“Terima kasih sebab tolong saya.” balas Fazzura. Dia menarik tubuh Aqilah agar dekat dengannya. Memeluk tubuh itu sambil anak matanya masih terarah ke sekujur tubuh kecil yang terbaring di atas katil wad itu. Maafkan ibu sayang. Bisik hatinya lagi.
“Siapa nama ni? Uncle tanya tadi lagi tak dapat jawapan.” ujar lelaki itu pula menunjukkan jari telunjuknya ke arah Aqilah.
“Aqilah…”  beritahu Fazzura.
“Aqilah, sedapnya nama dia. Jom kita pergi makan nak tak?” lelaki itu menghampiri Aqilah dan duduk mencangkung.  Aqilah seperti takut-takut. Dia berselindung disebalik kaki Fazzura.
“Jomlah, uncle belanja makan ice-cream dekat cafe...” Aqilah terus memandang wajahnya sebaik sahaja perihal ice-cream disebut.
“Tak payahlah encik. Nanti saya boleh belikan untuk dia. Encik pulanglah. Terima kasih sebab tolong saya. Encik dah banyak bantu saya.”
“Awak ni macam takut aje saya culik anak awak. Alah, kecil punya hal. Bukannya tolong apa pun. Tolong membebel je banyak. Awak mesti bosan dengar saya bebel-bebel macam tu.”
“Bukan macam tu encik. Saya hargai nasihat tu…saya memang alpa.”
“Hmm…benda dah jadi. Pengalaman tu mematangkan. Biasalah, kadang-kadang perkara tak pernah jadi. Bila jadi sesuatu yang tak pernah jadi mesti panik.”
“Ibu nak ice-cream bu...” Aqilah tarik-tarik tangannya.
“Kejap lagilah Aqilah. Ibu tak nak tinggalkan adik ni.”
“Aqilah lapar...” muka rajuk anaknya itu tersua. Fazzura serba salah. Kalau lelaki ini tak sebut ice-cream tentu anaknya tak bersungut.
“Sabar sayang, kejap aje lagi. Kita teman adik kejap. Tengok adik. Sanggup ke Aqilah nak tinggal adik sorang-sorang kat sini. Ibu tak sanggup. Aqilah tak sayang adik?” pujuknya pula. Dia belum puas di sisi Fazmizie. Dia risau untuk meninggalkan anaknya di sini sendiri. Kalau boleh setiap minit dia mahu ada.
“Budak-budak awak…mana diorang faham.”
“Sebab tu saya cuba nak bagi dia faham.”
“Tapi itu tak adil bagi dia. Sebab dia lapar dan dia mintak hanya satu je. Ice-cream.”
“Tapi saya…”
“Saya faham awak tak nak tinggalkan Fazmizie sendiri. Okey, saya bawa Aqilah turun bawah. Boleh?” lelaki itu meminta izin darinya sekali lagi. Pulak tu suka potong percakapan dia. Hmm…dia angguk berat.
“Aqilah sayang, ikut uncle kita pergi makan. Kita makan ice-cream. Tak pe, ibu duduk sini jaga adik.”
“Aqilah nak ibu…”
“Dengan uncle pun boleh.” Lelaki itu memujuk lagi anaknya. Dalam pada itu dia melihat lelaki itu keluarkan sesuatu dari dompetnya. “Nah, ni My Kad saya. Nama saya Riyadh. Awak bagilah keizinan saya bawa dia turun ke cafe je.Manalah tahu awak ragu-ragu dengan saya. Kalau awak pandang wajah tu dengan wajah sekarang mesti berbezakan. My Kad belum tukar baru. Itu zaman muda-muda. Tapi tak apa, tetap handsome!”
Fazzura serba salah. Boleh lagi lelaki ini buat lawak dihadapanya.
“Boleh ke tak boleh ni?” soalnya sekali lagi. Nampaknya lelaki ini benar-benar mengharap.
“Encik…tolonglah. Saya tak nak menyusahkan encik…”
Apehal awak ni. Nak berencik bagai dengan saya. Panggil je saya Riyadh. Kalau nak singkat lagi panggil Yadh.” Dari tadi lagi baru nak kenalkan nama. Hai…memang gagal bab nak kenal mengenal ni.
“Kejap!” Fazzura mengeluarkan  dompetnya.
“Buat apa pulak tu? Nak ambil duit ke? Tak payahlah. Simpan. Kebetulan memang saya nak pergi ke cafe pun.” Lelaki itu memberi isyarat tangan menolak pemberiannya.
Fazzura panggung kepala. Lelaki ini sikit-sikit tak boleh.
“Bagi ke tak bagi ni?”
 Fazzura pandang wajah Aqilah. Kesian anaknya itu lapar. Kalau lelaki ni tak sebut pasal ice-cream tak mungkin anaknya itu akan ikut. Masalah juga. Dia rasa ragu tetapi cara lelaki ini tunjukkan tak nampak sikitpun lelaki ni orang jahat yang nak culik anak dia. Tapi tak boleh jugak zaman sekarang ni manusia bermuka-muka.
“Aduh… apa lagi ek saya nak berikan pada awak. Saya ni berniat jujur. Sumpah tak ada niat jahat. Awak percayalah cakap saya. Tak kan muka handsome macam ni nak jadi penjenayah culik budak. Oho ho…bukan saya ya.” Lagi sekali ayat perasan kacak lelaki itu keluar.
 “Ermm…okeylah. Aqilah jangan nakal-nakal ya sayang. Jangan susahkan uncle. Ingat apa yang ibu pesan ya.”
Aqilah senyum. Riyadh lagilah senyum lebar.
Fazzura harap lelaki itu berniat jujur.  Entahlah siapa lelaki itu? Harap-harap kebaikan yang lelaki itu hulurkan ikhlas. Dia memandang nama yang tertera di My Kad milik lelaki itu. Mohd Riyadh Rizqullah Bin Radhi. Berumur tiga puluh dua tahun. Nampaknya mereka berbeza umur sebanyak empat tahun. Lagaknya tadi seperti seorang lelaki yang berkerjaya. Ada paras rupa. Tinggi dan bergaya. Tak kan orang jahat pulak. Lama My Kad itu dalam pegangannya. Fikiran Fazzura teringat kepada Aqil semula. Apakah Aqil sudah lupa akan dia? Lupa akan anak-anak mereka? Sesungguhnya dia amat memerlukan suaminya itu disisi. Tapi, sayangnya semua itu hanya angan-angan yang tak pasti. Entah ke mana suaminya itu pergi.
 Dia mengusap lembut dahi Fazmizie. “Maafkan ibu sayang…” bisiknya di telinga anaknya itu. Kesal kerana dia terlewat bawa Fazmizie. Mujur tidak apa-apa yang serius.
Telefon bimbit diambil. Dia masih tak berputus asa untuk menelefon Aqil. Nokia X3 yang berada di dalam beg tangannya dicapai. Panggilan terus dibuat.
Hello…hello, abang…abang, kat mana ni?” soal Fazzura sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Abang?”
Fazzura kerut kening. Dia salah dail ke dia silap dengar suara perempuan di hujung talian tadi. Dia kembali pandang skrin telefon bimbitnya itu. Betul! ni nombor Aqil.
 “Erk...hello abang, abang kat mana ni?”
“Abang mana la pulak kau ni? Kau ni siapa?” lagi sekali perempuan di hujung talian tu menyoal. Kali ini dengan bahasa yang agak kurang ajar.
“Yang awak ni siapa pulak. Saya cari Aqil. Saya ulang sekali lagi. A.Q.I.L. Mana dia? Kenapa pulak awak yang jawab telefon ni.” Fazzura balas geram.
Perempuan tu gelak kuat. “You… bangunlah you. Ini hah perempuan mana yang call you ni. Berabang-abang. You! Bangunlah…” Kelunakkan suara. Kegedikan yang begitu jelas di halwa telinganya. Dadanya berkocak kuat. Apa semua ni!
“You letak je lah.. I malas nak cakap.” sayup-sayup kedengaran suara Aqil. Setelah seminggu suaminya itu tak dapat di hubungi. Akhirnya begini. Ini jawapan yang dia dapat. Dengan perempuan mana pulak Aqil buat  maksiat. Dia rasa nak menjerit kuat-kuat saat ini. Geram dan kecewa yang menggila. Tergamaknya Aqil. Tergamak sangat buat dia macam ni. Tergamak lukakan hati dia. Tergamak guriskan perasaannya.
Ya Allah…Kesetiaan yang selama ni dia berikan ini yang Aqil balas.  Air matanya mengalir  laju. Talian terus diputuskan. Bebola matanya jatuh ke wajah Fazmizie. Dia terduduk lemah dilantai. Mengenang nasib diri. Siksa! Dia tiada siapa-siapa saat ini.
 “Papa dah jauh berubah sayang. Papa dan berubah…” suaranya serak. Dia dah dapat agak punca Aqil berubah begini. Patutlah lain benar tingkah Aqil semenjak mereka berpindah duduk di kota besar ni. Argh!dia rasa sakit. Sakit sangat dengan apa yang Aqil buat. Apa yang dia takutkan sudah pun terjadi. Selama ini dia berdiam sebab fikir pasal anak-anak. Tapi adakah ini penghujung kehidupannya dengan Aqil. Ya Allah…dia tak berdaya.

“Dalam apa jua keadaan abang akan ada dengan Zurra.”
“Abang janji?”
“Abang janji Zurra.Selagi hayat dikandung badan. Abang rela lakukan apa sahaja untuk kebahagiaan Zurra dan anak-anak.”

Semua itu hanya janji-janji palsu dari seorang lelaki yang bergelar suami. Dia benar-benar derita kerana Aqil. Aqil seorang suami yang dia sayang dan kasihi sanggup melakukannya begini.
Pintu wad dikuak. Dia pantas menoleh dengan mata yang basah. Tergopoh-gapah dia bangun berdiri. Dahi lelaki itu berkerut memandangnya. Sejauh ini dia memikirkan soal Aqil. Sejauh ini dia jatuh dan terduduk lemah kerana seorang lelaki. Dia cepat-cepat menyapu air matanya. Tidak mahu menjawab soalan yang pastinya akan muncul dari bibir lelaki itu.
“Kenapa ni?” Sangkaannya betul. Lelaki itu mula menyoal.
“Ibu, kenapa ibu nangis ibu. Tengok ni uncle belikan kakak cokelat.” Anaknya itu menghampiri. Menunjukkan coklat kepadanya.
“Fazmizie ada masalah ke ni?” lagi sekali Riyadh menyoalnya. Dia belum mampu menjawab satu pun.
Akhirnya dia memilih untuk geleng kepala.“Ibu tak ada apa-apa sayang. Sedap tak makan ice-cream.” dia cuba tersenyum. Walaupun nampak jelas senyuman itu plastik. Dia berusaha menyembunyikan sebuah kelukaan.
“Awak, kalau nak makan pergilah turun dulu. Biar saya tolong tunggu.”
Fazzura menggeleng. Dia tak perlukan apa-apa. Dia tak lapar langsung.Sudah kenyang dengan masalah yang menimpa.
“Ibu…ibu…tengok ni uncle beli coklat untuk kakak.” Fazzura tersenyum dengan telatah anak sulungnya itu. Selagi tak tengok, selagi itulah dia akan tunjuk. Aqilah pantang dapat coklat. Suka sangat dia. Dia kembali menoleh ke arah lelaki tadi yang masih ada bersama.
“Terima kasih di atas bantuan awak. Saya hargai jasa baik awak. Saya Fazzura.” Kali ini giliran dia pula memperkenalkan dirinya.
Riyadh angguk.
Mana suami awak? Dari tadi saya tengok awak sorang je? Dia ke mana?” soal  Riyadh kepada Fazzura. Sejak dia membantu wanita itu tadi sehingga selesai segala-galanya dia belum bersua dengan suami wanita ini. Tak kanlah tak ada suami. Orang cantik macam ni tak mungkin sendiri.
Fazzura diam. Pandangan matanya kembali dialihkan kepada Fazmizie yang masih lelap itu. Kemudian beralih pula kepada Aqilah yang sedang leka membuka plastik coklat yang dibelikan  tadi. Rasanya terlalu berat untuk dijawab soalan  itu. Lagipun ini soal rumahtangga. Tak manis rasanya untuk  buka pekung di dada. Walaupun saat ini ingin sekali dia meluahkan rasa kecewa dan hampa yang dia rasa. Sungguh dia tidak ada sesiapa saat ini. Ahli keluarga semunya jauh di utara sana. Lagipun dia rasa malu hendak meluahkan masalahnya kepada adik beradiknya yang lain. Dari awal lagi mereka tidak bersetuju dia berkahwin dengan Aqil. Inilah harga yang perlu dia bayar di sebabkan kedegilannya dahulu. Dan rasanya dia tak patut ceritakan kepada orang luar.

 “Kau ingat hidup kau akan bahagia kalau hanya berdasarkan cinta semata-mata. Aku tak nak kau susah di kemudian hari. Aqil tu kerja kilang aje. Kau pula baru umur 21 tahun. Mentah lagi Zurra. Masa depan kau belum tentu terjamin. Dah elok-elok mak dan ayah hantar kau belajar, kau balik. Kau kemaruk sangat nak  kahwin dengan jantan tu. Kenapa dengan kau ni?”
Masih terngiang-ngiang kata-kata Shahira yang tajam menikam. Shahira merangkap kakak sulung di dalam keluarga mereka. Dia memang tegas orangnya. Dia seboleh-bolehnya nak adik-adiknya belajar seperti dia. Sudahnya sampai sekarang kakaknya itu tak kahwin-kahwin.
Nafsu muda zaman remaja. Bila dah bercinta tergedik-gedik nak kahwin. Sampai lupa bekalan masa depan.  Tapi salah ke dia kahwin muda. Rasanya itu lebih bagus dari dia buat maksiat. Kalau dia tahu Aqil nak berubah macam ni dah sah-sah dia tak akan kahwin. Tapi apa dia boleh buat. Sudah tiba jodohnya. Benda dah jadi sekarang dia hanya perlu fikirkan jalan penyelesaian yang terbaik. Walaupun terluka masih ada rasa sayang untuk suaminya.
 “Err...Zurra, maafkan saya. Awak fikir apa yang saya soal tadi ke?it’s okey kalau awak tak nak jawab pun.” luah Riyadh semula. Sebenarnya dia kesal kerana bertanya soalan macam tu. Masalah orang mana kita tahu. Marah hatinya pula. Yalah, macam berat je nak jawab soalan dia tadi. Yang dia pula sibuk-sibuk nak bertanya kenapa. Nampak sangat dia nak jadi penyibuk. Kenal pun tak dah sibuk nak tahu kisah orang. Kisah sendiri pun tunggang langgang.
Fazzura angguk lemah. Pandangan kembali dihalakan ke arah Fazmizie yang sejak dari tadi lagi melelapkan mata. Tidurlah sayang…semoga sakitmu akan segera sembuh. Doanya pula di dalam hati.
“Saya mintak diri dulu. Jaga dia baik-baik. Waktu makan ubat bagi dia makan ubat. Jangan harapkan nurse sangat tau. Lepas tu jangan lupa doa banyak-banyak. Insha Allah, semuanya akan beransur baik dengan izin dariNya.”
“Terima kasih. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa baik awak. Terima kasih sekali lagi.” Terharu rasanya hati dengan nasihat itu. Syukur kepadaMu Ya Allah kerana menghadirkan lelaki ini di saat aku benar-benar buntu dengan apa yang terjadi.
“Kecil punya hal. Kita tolong orang, esok-esok orang tolong kita balik. Tapi pertolongan Allah itu lebih pasti. Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.” Riyadh tenang berbeza dengan dia. Sebab hanya dia sahaja yang tahu jalaln cerita hidupnya yang derita.
“Aqilah, uncle balik dululah ya. Ermm…comel sungguh. Geram uncle tau. Nanti uncle datang bawa coklat lagi. Suka tak?” Dia mencium lembut dahi Aqilah. Rambut Aqilah yang kerinting itu dibelai mesra. Fazzura memandang perbuatan  yang langsung tidak kekok melayan anak-anaknya. Gayanya seperti sudah terlalu biasa bermain dengan kanak-kanak.
“Suka...terima kasih uncle. Nanti uncle datang lagi. Aqilah nak main-main dengan uncle. Adik sakit. Aqilah tak ada kawan. ” ujar Aqilah sambil menarik-tarik tangan. Perbuatan Aqilah benar-benar membuatkan Fazzura terharu. Sejak bersua dengan lelaki ini anaknya itu langsung tidak bertanya mengenai papa mereka.
Bukan mudah untuk anaknya  rapat dengan seseorang. Apatah lagi orang itu baru sahaja di kenali. Nampaknya lelaki ini begitu bijak melayan kanak-kanak. Lihat sahajalah Aqilah. Sudah begitu mesra dengannya.Fazmizie juga boleh terpujuk dengan pujukan lelaki ini tadi. Ermm…anehlah.
Sudah terlalu lama rasanya kasih sayang Aqil terhadap anak-anak hilang. Hilang dalam kesibukan. Hilang dalam kekayaan yang sedang di kejarnya. Hilang dalam keasyikkan yang melalaikan. Dan tadi? Kasih sayang itu semakin hilang dengan sebuah kecurangan.
“Yalah sayang. Esok uncle datang lagi. Jangan nakal-nakal tau.”
“Err...kenapa pula awak nak susah-susah nak datang?” Fazzura yang terdengar mencelah.
“Mana ada susah? Alang-alang esok saya nak datang sini lagi apa salahnya saya singgah kejap tengok dia orang.”  jawabnya serius.
 “Dah dua hari saya berulang alik datang ke hospital ni. Bakal isteri saya sakit. Tu lah kan, perempuan ni kalau sibuk sangat nak kurus begitulah jadinya. Terlebih diet tak pasal-pasal kena tidur wad.” terang  sambil geleng kepala.
“Dia nak cantik takut awak tinggal.” balas Fazzura pula. Rupa-rupanya dia datang nak tengok bakal isteri dia. Beruntunglah wanita itu. Bisik hati Fazzura lagi. Sanggup sakit sebab nak jaga kecantikan semata-mata. Lain pulak dengan dia. Badan dah sedikit berisi lepas melahirkan anak. Tapi tak adalah ketara mana. Itupun Aqil dah berubah. Katanya dah tak menarik lagi. Kalaulah Aqil boleh duduk ditempatnya sekarang baru Aqil tahu besarnya tanggungjawab seorang perempuan. Aqil kini dah jadi lelaki yang memang tak pandai nak menghargai lagi.
“Ah! tak ada maknanya. Lelaki tak semua macam tu Puan Zurra. Gemuk ke kurus ke, kalau dah cinta sangat terima je lah macam mana pun.”  jawab Riyadh dengan penuh yakin. Kalau boleh di tunjukkan kepada dunia sudah pasti dia akan tunjuk bukti cintanya. Ewah! Tunjukkan pada bulan dan bintang. Silap-silap bulan dan bintang tu muntah hijau atas kepalanya.
“Semua tu bukan ukuran untuk mencerminkan kebahagiaan pada masa depan.” sambungnya lagi. Senyum!
Fazzura senyum hambar. Terasa kata-kata itu terkena dengan keadaan dirinya sekarang. Kekayaan juga tidak mencerminkan kebahagiaan pada masa hadapan.Apa gunanya cantik yang tersirat kalau yang buruk jugak dipandang. Tapi zaman sekarang yang cantik, dan kaya orang selalu pandang dulu. “Lelaki akan cakap macam tu waktu sedang suka. Nanti bila dah kahwin lain pulak jadinya. Mesti ada yang tak kena.”
“Kalau isteri pandai jaga rumahtangga, tak mungkin suami akan cari lain.”  Seolah-olah memerlinya. Lelaki ini bagaikan boleh baca apa yang berlaku.
“Ermm…sebab tulah teman wanita awak nak cantik. Dia tak nak nanti lepas kahwin awak merungut. Itu tak kena. Ini tak kena. Sebelum kahwin semuanya sanggup terima.”
Riyadh ketawa mendengar kata-katanya. “Entahlah…saya tak fikir macam tu. Bagi saya cantik apa yang saya pandang dari hati. Kalau hati ikhlas sampai ke tua pun bahagia. Gemuk, ke kurus ke…terima aje. Tak perlu nak sakit dan siksa badan semata-mata nak cantik. Kita ni hidup sekali aje. Bukan berkali-kali. Bukan tak boleh nak cantik, tapi biarlah dengan cara yang betul. Kalau sembahyang lima waktu sehari pun dah nampak cantik. Pengertian cantik tu luas.” ujar  Riyadh panjang lebar.
Fazzura senyum sinis. Betul kata lelaki itu. Cantik itu luas. Bukan hanya pada pakaian. Tapi Aqil?Aqil dah tak fikir macam tu lagi. Sebab dia dah berjaya dan dia lupa daratan.
 “Jaga diri awak. Jaga anak-anak awak. Panjang umur kita jumpa lagi.” ujar  sambil mencium lembut dahi Fazmizie. Langkahnya pantas diatur menuju ke arah pintu wad.
“Oh! boleh saya ambil nombor telefon awak?” soalnya kembali.
Fazzura angguk. Dia mengambil Nokia X3 lalu ditaip nombor telefon miliknya. Kemudian dia bergerak mendekati Riyadh sedikit sebelum menunjukkan kepada Riyadh  nombor telefon miliknya yang tertera di skrin. Riyadh pantas mengambil nombor tersebut sebelum disimpan di Samsung S3 canggih miliknya.
“Terima kasih. Uncle balik dulu. Jangan nakal-nakal sayang. Assalammualaikum.” Dia emlambai kea rah Aqilah.
“Waalaikumussalam” balas Fazzura perlahan. Dia menghambat langkah kaki lelaki itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Zaman sekarang masih ada lagi lelaki seperti Riyadh. Masih mementingkan dalaman semulajadi dari luaran. Tapi, sebetulnya kedua-dua amat penting. Mungkin dia tidak seiring…ada waktunya dia mengabaikan kecantikan diri di hadapan Aqil. Dia banyak ketinggalan dalam berfesyen. Sebab terlalu memberikan tumpuan kepada keluarga. Pengorbanan dia yang Aqil tak lagi pandang sekarang. Tegar benar Aqil. Jadi, memang betullah dia memang tak menarik lagi.