Bab 2
SEMINGGU Aqil tidak
dapat dihubungi. Fazzura makin kalut. Kata Aqil sebelum keluar tempoh hari dia
ada urusan di Kelantan. Tapi, sampai sekarang dia masih tidak dapat dihubungi.
Fazmizie yang sedang didukung masih lagi merengek. Sudah hampir seminggu badan
anakny ini panas. Makan tak mahu. Hanya bergantung kepada susu semata-mata.
Itupun adakalanya Fazmizie akan muntah. Dia resah. Pada siapa dia harus
mengharapkan bantuan sekarang. Hanya Aqil tempatnya bergantung seratus peratus.
Jika lelaki itu tiada dia bagaikan lumpuh tak mampu berdiri dengan sempurna.
Nombor telefon Aqil didail lagi untuk sekian kali. Ternyata Aqil tidak dapat di
hubungi. Balik-balik masuk ke dalam peti simpanan suara. Dia mengeluh hampa
sambil memujuk Fazmizie.
Tiba-tiba dia
teringatkan Maria. Kakak keduanya. Entahlah Maria mahu menolongnya atau tidak.
Hubungan mereka adik beradik tidak semesra macam orang lain. Sejak dia tinggal
di Kuala Lumpur ini sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan Maria.
“Hello, Maria kau ke
tu. Aku ni...Zurra,” ujar Fazzura sebaik sahaja panggilan telefon itu
bersambut. Membahasakan dirinya dengan Maria sebagai aku, kau lebih selesa
baginya. Ini kerana perbezaan umurnya dengan Maria yang hanya selang dua tahun
sahaja.
“Hah! kau nak apa call aku? Tak pernah-pernah kau nak call aku. Ingatkan dah lupa adik
beradik. Maklumlah aku dengar kau dah kaya sekarangkan!” sinis Maria berbicara
kepadanya. Tak ada beza Maria dengan Kak Shahira. Kedua-dua orang kakaknya itu
bagaikan benci sangat dengan dia. Apa salahnya?
“Aku tak pernah buang
adik beradik dalam hidup aku, Maria.” balasnya perlahan tapi cukup tegas. Siapa
yang buang siapa sekarang.
“Baguslah! tapi kau ada
ke kau tak ada ke, aku peduli apa?” herdik Maria Lagi.
“Tak apalah Maria. Aku
silap nombor tadi.” ujar Fazzura terus. Tak sanggup dia untuk terus bertekak
dengan darah daging sendiri. Talian diputuskan. Lima tahun berlalu tapi kenapa
terus-terusan dia dihukum.
Sudahnya dia mengambil
keputusan untuk memandu sendiri kereta dengan membawa anak-anaknya. Apa yang
penting baginya saat ini adalah kesihatan Fazmizie. Dia sudah tidak sanggup
melihat Fazmizie menangis siang malam begitu. Walaupun berdepan risiko besar
dia memberanikan diri. Memang menjadi kesalahan jika memandu tanpa ada lesen.
Tiba-tiba dia rasa menyesal. Menyesal kerana dia tidak punya apa-apa sebagai
bekalan jika ditinggalkan suami. Sudahlah dia tidak bekerja. Lesen memandu juga
tiada walaupun dia boleh memandu. Dia benar-benar tak punya apa-apa.
Ini semua dia lakukan
demi anak-anak. Tak mengapalah jika dia perlu berdepan dengan polis sekalipun.
Anak-anak adalah kekuatannya. Enjin proton wira dihidupkan. Fazmize diletakkan
di dalam kereta bayi. Aqilah duduk dibelakang. Mujur Aqilah cukup memahami.
Aqilah tak banyak cakap. Hanya menurut sahaja apa yang dia kata. Kereta terus
bergerak perlahan menujuk ke klinik yang berdekatan dengan rumah sahaja. Di
dalam hati tidak putus berdoa agar keselamatannya dan anak-anak terpelihara.
Lebih kurang setengah
jam dia sampai di hadapan Klinik Jaya. Nak
parking kereta pun sudah ambil masa hampir lima belas minit. Pusing kanan tak masuk petak. Pusing kiri pun
tak masuk petak. Benar-benar tak pandai tapi nak juga bawak. Kenapalah dia
tidak mendapatkan khidmat teksi sahaja tadi. Kenapa dia selalu fikir cara bodoh
yang boleh membahayakan anak-anaknya. Masya Allah. Dia geleng kepala menyedari
kekalutan diri. Kerana kelalutan itu dia tidak boleh berfikir dengan waras
lagi.
Hampir sepuluh minit
mereka berada di dalam bilik rawatan. Keadaan makin parah bila Doktor yang
membuat rawatan mengarahkan dia menghantar anaknya ke Hospital. Fazmizie disahkan
mengalami demam panas. Pernafasannya semakin laju. Badannya kekurangan air dan
dia perlu mendapatkan rawatan dengan segera. Fazzura semakin resah gelisah.
Berita itu benar-benar
merobek jiwanya. Apalagi yang perlu dia depani selepas ini semuanya sendiri.
Ada suami seperti tiada. Jika dahulu, Aqil yang menguruskan segala-galanya. Kalau
apa-apa jadi pada anaknya Aqil orang pertama yang akan risau. Tapi sekarang? Musnah
dan hilang dalam sekelip mata. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.
Dia terus mengambil
teksi untuk pergi ke Hospital. Tidak lagi berani untuk memandu sejauh ini.
Fazmizie dibuainya ke riba. Manakala Aqilah duduk di sebelahnya. Inilah
anak-anak yang baik untuknya. Aqilah tidak banyak meragam. Seolah-olah faham
derita yang sedang ditanggung ibunya. Ada waktunya dia kelihatan sedih bila
melihat adiknya itu.
“Kau
akan rasa nanti susah ke senang bila hidup tanpa restu orang tua. Kau nak
sangat kahwin dengan jantan tu. Kau kahwin. Jangan suatu hari nanti kau datang
merayu-rayu pada aku. Kau ingat tu Zurra!”
Masih terngiang-ngiang
kata-kata emak. Marah benar emak saat itu. Yalah, dia dah belajar sampai dapat
masuk University. Lepas tu sibuk nak berhenti belajar. Nak kahwin. Langkah
bendul dua orang kakak yang belum kahwin. Umur baru setahun jagung. Baru nak
kenal dunia. Tapi tergedik-gedik nak nikah. Ya Allah… sekarang sedikit sebanyak
perasaan sesal itu mula mengambil tempat dalam diri.
Sampai sahaja di
Hospital dia segera berjalan masuk ke dalam dengan mendukung Fazmizie dengan
tangan kanan. Manakala Aqilah pula dipimpinnya dengan tangan kiri. Dia perlu
kuat demi anak-anak. Dia perlu berdikari demi si permata hati.
Agak ramai orang yang
berada di ruang legar Hospital Kuala Lumpur. Mata Fazzura melilau mencari
kaunter pendaftaran. Kali pertama
datang, agak janggal rasanya. Pusing kiri, pusing kanan. Pusing depan. Pusing
belakang. Sudahnya…
GEDEBUK!
“Aduh!” suara itu
mengaduh kuat. Menarik perhatian mata-mata yang ada di kawasan berhampiran.
Semua seakan-akan sedang memerhatikan dirinya saat ini. Malunya dia. Fazmizie
sudah mula memangis di dalam dakapannya. Terkejut dengan pelanggaran yang
tiba-tiba. Ya Allah, ibu tak sengaja sayang. Lelaki yang dilanggarnya itu
menggelengkan kepala memandangnya.
“Maaf Encik. Saya tak
sengaja.” luah Fazzura kesal sambil memujuk Fazmizie yang menangis di dalam
pelukannya. “Diam sayang…ibu tak sengaja…syuttt…” wajahnya merah menahan rasa
malu dan pilu.
Lelaki itu mengeluh
berat. “Lain kali hati-hatilah sikit. Kesian kat anak awak tu. Hesy!awak kelam
kabut sangat ni nak ke mana ni? Dunia ni belum lagi berpusing-pusing tapi saya
tengok awak dah macam gasing. Pusing kiri pusing kanan.” Lelaki itu sempat membebel
kepadanya. Dia perhatikan tindakan lelakiitu melipat tangan baju kemeja putih yang dipakainya.
Menanti jawapan dari pertanyaannya barangkali. Kemudian lelaki itu mengerling pula
ke arah Aqilah. “Hey budak comel. What is
you name?” dia senyum.
“Saya nak ke kaunter
pendaftaran tu. Anak saya sakit. Perlu rawatan dengan segera. Saya minta maaf
benar-benar tak sengaja. Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya tak biasa.”
jawab Fazzura jujur. Jari jemarinya tidak berhenti dari mengusap belakang Fazmizie
perlahan. Matanya sudah terpandang kaunter pendaftaran. Dia ingin berlalu
dengan kadar segera.
“Habis kenapa awak
masih tercegat di sini. Kenapa tak panggil sahaja nurse yang lalu lalang ni. Lain kali panggil je nurse kat sini. Mintaklah tolong diorang.
Tak kan diaorang tak boleh nak tolong.” Lelaki itu geleng kepala melihatnya.
“Saya…err…” Fazzura
kaget. Malu nak mintak tolong dalam keadaan yang dia tak biasa.
“Kalau macam tu mari
sini saya bawakan anak awak tu. Awak pegang yang itu. Nanti hilang pula.Tak
pasal-pasal jadi banyak kerja nanti. Hospital ni bukan kecil. Besar.” tutur
lelaki itu lagi sambil menyuakan tangan untuk mengambil Fazmizie. Tanpa banyak
cakap Fazzura terus menyerahkan Fazmizie di dalam dukungan lelaki itu. Fazmizie
terus diam. Ajaib!
“Hah!diam pun dia
kan…suka dengan uncle ya…” ujarnya
sambil berjalan laju menuju ke kaunter pendaftaran. “Panas badan dia ni? demam
panas ke?”
Fazzura angguk. Sudah
tahu kenapa masih ingin bertanya. Bisik hatinya pula.
“Giler awak! Panas ni.” lelaki itu membebel lagi.
“Saya…saya…”
“Saya apa? Bukannya
awak tak tahu anak awak ni demam.” Lelaki itu sekali lagi memotong
percakapannya. Memanglah dia tahu anaknya demam. Masalahnya dia tunggu Aqil.
Dia tunggu suaminya. Lelaki ni tak faham senanglah cakap.
“Comel ya anak awak ni.
Nama apa ni?” soal lelaki itu sekali lagi. Dah macam dia pulak bapak
budak-budak ni. Orang tengah risau keadaan Fazmizie tu. Dia boleh tenang.
Mentang-mentanglah bukan anak dia. Hmm…
“Fazmizie.” balas
Fazzura lambat. Matanya tidak terlepas dari memandang Fazmizie yang berada di dalam
dukungan lelaki itu. Anaknya itu kelihatan sangat selesa bersandar di bahu
lelaki itu. Tapi Fazmizie nampak letih. Lelaki itu terus memberitahu sesuatu
kepada jururawat yang bertugas. Jururawat itu nampak tergesa-gesa sebelum
mengambil Fazmizie masuk ke dalam bilik doctor. Fazmizie menangis.
“Dah lemah sangat
keadaan dia tadi. Dah berapa hari dia demam macam tu?”
“Dah hampir seminggu.” jawab
Fazzura. Bibirnya diketap. Mengakui kesalahan sendiri. Kalau jadi apa-apa pada
anaknya sumpah dia menyesal sampai mati.
“Kenapa biarkan lambat
sangat. Seminggu?Hesy!awak…kenapa biarkan sampai macam tu.Ya Allah, budak-budak
ni awak kena faham. Antibodi dia lemah. Tak macam kita. Kalau sehari dia dah
demam tu cepat-cepat lah bawa ke klinik. Ni dah sampai seminggu. Awak biarkan
dia macam tu aje.” marah lelaki itu. Macam dia doktor pulak. Tapi betul cakap
lelaki ini. Kenapa di biarkan terlalu lama.
Dia hanya tertunduk.
Apalagi yang dia nak cakap. Memang salahnya. Semua salahnya. Dia tak pandai
jaga anak. Dia tak pandai jugak jaga suami. Dia tak pandai nak jaga diri
sendiri. Dia tunggu Aqil untuk sama-sama bawa Fazmizie ke klinik. Itulah
kesalahannya. Itulah kebodohannya. Terlalu bergantung harap kepada si suami.
Sampai bila dia nak macam ni.
“Walaupun saya belum
berkahwin dan tak ada anak, saya rasa saya patut cakap benda yang saya tahu.
Demam panas tu bahaya kalau tak dibawa untuk rawatan awal.”
Fazzura tertampar
sekali lagi dengan kata-akat lelaki ini. Lelaki ini? Siapa lelaki ini? Kenapa
dia baik sangat. Lihat sahaja caranya mendukung Fazmizie. Lihat sahaja cara dia
memujuk si kecil itu menangis. Kenapa saat ini orang lain yang perlu lakukan
semua itu? Kenapa tidak Aqil, suaminya.
“Ibu, adik mana bu?”
Soal Aqilah sambil memegang lututnya. Lelaki itu pandang Aqilah sebelum pandang
dia pula.
“Ini kakak Farmizie ke?
Comel dia. Meh dekat uncle. Duduk sini kejap lagi kita boleh
masuk tengok adik.” Lelaki itu menepuk bangku berulang kali. Barangkali dia
mengharapkan Aqilah akan pergi dan duduk dekatnya. Tapi anaknya itu pandang
kosong. Tak kenal siapa.
“Meh la sini…dekat uncle.
Nama apa sayang? Comel macam adik jugak. Rambut tu kerinting ye. Ikut siapa?”
Aqilah buat muka
berkerut. “Kenapa anak ibu? Uncle tu
tanya jawablah…” bisik Fazzura tetapi anaknya itu hanya menggeleng sahaja.
Lelaki itu senyum.
“Malulah tu. Tak pe? Nanti bila dah lama-lama hilanglah malu tu.” Dua tangan
diletakkan dibawah dagu. Tiba-tiba pintu bilik doktor dibuka. Tersua raut wajah
doktor lelaki muda. Kalau diramal umurnya pasti lingkungan 20-an lagi. Fazzura
bingkas bangun. Lelaki itu menurut tingkahnya,
“Macam mana dengan anak saya doktor? Macam
mana keadaan dia?” suara Fazzura kedengaran cemas. Lelaki yang membantunya tadi
mengerling sekilas ke arahnya. Dia tak peduli lagi.
“Suhu badan dia tadi
mencecah ke 38 darjah celcius. Kenapa
lewat hantar dia ke sini. Kami terpaksa tahan dia di wad untuk tambah air dalam
badan dia. Dia demam panas. Ada
sedikit selsema. Hasil blood test
tadi okey. Tak ada jangkitan dalam paru-paru. Tak ada virus infection ataupun demam dinggi. Alhamdulillah.” kata doktor
itu lagi.
Fazzura angguk lemah.
Matanya mula berkaca-kaca.
“Harap Puan bersabar.
Puan jangan risau kita akan bagi dia antibiotik untuk menghalang jangkitan
paru-paru. Kita akan buat yang terbaik. Puan jangan risau.” ujar doktor itu
lagi kepadanya. Menenangkannya yang sudah basah dek air mata.
“Terima
kasih doktor.” ujar lelaki itu. Fazzura dah tak mampu nak berkata apa-apa.
“Boleh kami masuk tengok dia?”
Doktor itu menggangguk.
Fazzura terus meluru masuk dengan memimpin Aqilah.
“Ibu, kenapa dengan
adik bu. Kenapa adik tidur kat sini. Adik sakit ke ibu?”soalan dari Aqilah
makin menambahkan sebak di dadanya.
“Maafkan ibu sayang…”
dia separuh berbisik di telinga Fazmizie. Sedih rasanya melihat suntikan dan
wayar yang masih berada di jari jemari kecil itu.
“Adik demam sayang.
Nanti dia sembuh baru boleh balik tidur kat rumah.” balasnya sambil mengesat
air mata. Malu tatkala lelaki tadi ada di sisi katil memandang Fazmizie bersilih
ganti memandangnya pula.
“Sabarlah, awak belajar
sesuatu dengan apa yang terjadi hari ni. Lain kali kalau anak-anak awak demam.
Cepat-cepatlah bawa diorang ke klinik. Zaman sekarang ni semua benda kena
cepat. Kalau awak alpa seminit pun keadaan dah berubah.” ujar lelaki itu
lagi. Setiap kali butir bicara yang
keluar dari mulutnya berbaur nasihat yang mendalam. Bukan hanya omongan kosong.
“Terima kasih sebab
tolong saya.” balas Fazzura. Dia menarik tubuh Aqilah agar dekat dengannya.
Memeluk tubuh itu sambil anak matanya masih terarah ke sekujur tubuh kecil yang
terbaring di atas katil wad itu. Maafkan ibu sayang. Bisik hatinya lagi.
“Siapa nama ni? Uncle
tanya tadi lagi tak dapat jawapan.” ujar lelaki itu pula menunjukkan jari
telunjuknya ke arah Aqilah.
“Aqilah…” beritahu Fazzura.
“Aqilah, sedapnya nama
dia. Jom kita pergi makan nak tak?” lelaki itu menghampiri Aqilah dan duduk
mencangkung. Aqilah seperti takut-takut.
Dia berselindung disebalik kaki Fazzura.
“Jomlah, uncle belanja makan ice-cream dekat cafe...”
Aqilah terus memandang wajahnya sebaik sahaja perihal ice-cream disebut.
“Tak payahlah encik.
Nanti saya boleh belikan untuk dia. Encik pulanglah. Terima kasih sebab tolong
saya. Encik dah banyak bantu saya.”
“Awak ni macam takut aje
saya culik anak awak. Alah, kecil punya hal. Bukannya tolong apa pun. Tolong
membebel je banyak. Awak mesti bosan dengar saya bebel-bebel macam tu.”
“Bukan macam tu encik.
Saya hargai nasihat tu…saya memang alpa.”
“Hmm…benda dah jadi.
Pengalaman tu mematangkan. Biasalah, kadang-kadang perkara tak pernah jadi.
Bila jadi sesuatu yang tak pernah jadi mesti panik.”
“Ibu nak ice-cream bu...” Aqilah tarik-tarik
tangannya.
“Kejap lagilah Aqilah.
Ibu tak nak tinggalkan adik ni.”
“Aqilah lapar...” muka
rajuk anaknya itu tersua. Fazzura serba salah. Kalau lelaki ini tak sebut ice-cream tentu anaknya tak bersungut.
“Sabar sayang, kejap aje
lagi. Kita teman adik kejap. Tengok adik. Sanggup ke Aqilah nak tinggal adik
sorang-sorang kat sini. Ibu tak sanggup. Aqilah tak sayang adik?” pujuknya
pula. Dia belum puas di sisi Fazmizie. Dia risau untuk meninggalkan anaknya di
sini sendiri. Kalau boleh setiap minit dia mahu ada.
“Budak-budak awak…mana
diorang faham.”
“Sebab tu saya cuba nak
bagi dia faham.”
“Tapi itu tak adil bagi
dia. Sebab dia lapar dan dia mintak hanya satu je. Ice-cream.”
“Tapi saya…”
“Saya faham awak tak
nak tinggalkan Fazmizie sendiri. Okey, saya bawa Aqilah turun bawah. Boleh?”
lelaki itu meminta izin darinya sekali lagi. Pulak tu suka potong percakapan
dia. Hmm…dia angguk berat.
“Aqilah sayang, ikut uncle kita pergi makan. Kita makan ice-cream. Tak pe, ibu duduk sini jaga adik.”
“Aqilah nak ibu…”
“Dengan uncle pun boleh.” Lelaki itu memujuk
lagi anaknya. Dalam pada itu dia melihat lelaki itu keluarkan sesuatu dari dompetnya.
“Nah, ni My Kad saya. Nama saya Riyadh. Awak bagilah keizinan saya bawa dia
turun ke cafe je.Manalah tahu awak
ragu-ragu dengan saya. Kalau awak pandang wajah tu dengan wajah sekarang mesti
berbezakan. My Kad belum tukar baru. Itu zaman muda-muda. Tapi tak apa, tetap handsome!”
Fazzura serba salah.
Boleh lagi lelaki ini buat lawak dihadapanya.
“Boleh ke tak boleh
ni?” soalnya sekali lagi. Nampaknya lelaki ini benar-benar mengharap.
“Encik…tolonglah. Saya
tak nak menyusahkan encik…”
“Apehal awak ni. Nak berencik bagai dengan saya. Panggil je saya Riyadh.
Kalau nak singkat lagi panggil Yadh.” Dari tadi lagi baru nak kenalkan nama.
Hai…memang gagal bab nak kenal mengenal ni.
“Kejap!” Fazzura
mengeluarkan dompetnya.
“Buat apa pulak tu? Nak
ambil duit ke? Tak payahlah. Simpan. Kebetulan memang saya nak pergi ke cafe pun.” Lelaki itu memberi isyarat
tangan menolak pemberiannya.
Fazzura panggung
kepala. Lelaki ini sikit-sikit tak boleh.
“Bagi ke tak bagi ni?”
Fazzura pandang wajah Aqilah. Kesian anaknya
itu lapar. Kalau lelaki ni tak sebut pasal ice-cream
tak mungkin anaknya itu akan ikut. Masalah juga. Dia rasa ragu tetapi cara
lelaki ini tunjukkan tak nampak sikitpun lelaki ni orang jahat yang nak culik
anak dia. Tapi tak boleh jugak zaman sekarang ni manusia bermuka-muka.
“Aduh… apa lagi ek saya
nak berikan pada awak. Saya ni berniat jujur. Sumpah tak ada niat jahat. Awak
percayalah cakap saya. Tak kan muka handsome
macam ni nak jadi penjenayah culik budak. Oho ho…bukan saya ya.” Lagi sekali
ayat perasan kacak lelaki itu keluar.
“Ermm…okeylah. Aqilah jangan nakal-nakal ya
sayang. Jangan susahkan uncle. Ingat
apa yang ibu pesan ya.”
Aqilah senyum. Riyadh
lagilah senyum lebar.
Fazzura harap lelaki
itu berniat jujur. Entahlah siapa lelaki
itu? Harap-harap kebaikan yang lelaki itu hulurkan ikhlas. Dia memandang nama
yang tertera di My Kad milik lelaki itu. Mohd Riyadh Rizqullah Bin Radhi.
Berumur tiga puluh dua tahun. Nampaknya mereka berbeza umur sebanyak empat
tahun. Lagaknya tadi seperti seorang lelaki yang berkerjaya. Ada paras rupa.
Tinggi dan bergaya. Tak kan orang jahat pulak. Lama My Kad itu dalam
pegangannya. Fikiran Fazzura teringat kepada Aqil semula. Apakah Aqil sudah
lupa akan dia? Lupa akan anak-anak mereka? Sesungguhnya dia amat memerlukan suaminya
itu disisi. Tapi, sayangnya semua itu hanya angan-angan yang tak pasti. Entah
ke mana suaminya itu pergi.
Dia mengusap lembut dahi Fazmizie. “Maafkan
ibu sayang…” bisiknya di telinga anaknya itu. Kesal kerana dia terlewat bawa
Fazmizie. Mujur tidak apa-apa yang serius.
Telefon bimbit diambil.
Dia masih tak berputus asa untuk menelefon Aqil. Nokia X3 yang berada di dalam
beg tangannya dicapai. Panggilan terus dibuat.
“Hello…hello, abang…abang, kat mana ni?” soal Fazzura sebaik sahaja
panggilannya dijawab.
“Abang?”
Fazzura kerut kening.
Dia salah dail ke dia silap dengar suara perempuan di hujung talian tadi. Dia
kembali pandang skrin telefon bimbitnya itu. Betul! ni nombor Aqil.
“Erk...hello
abang, abang kat mana ni?”
“Abang mana la pulak
kau ni? Kau ni siapa?” lagi sekali perempuan di hujung talian tu menyoal. Kali
ini dengan bahasa yang agak kurang ajar.
“Yang awak ni siapa
pulak. Saya cari Aqil. Saya ulang sekali lagi. A.Q.I.L. Mana dia? Kenapa pulak
awak yang jawab telefon ni.” Fazzura balas geram.
Perempuan tu gelak
kuat. “You… bangunlah you. Ini hah perempuan mana yang call you ni. Berabang-abang. You! Bangunlah…” Kelunakkan suara.
Kegedikan yang begitu jelas di halwa telinganya. Dadanya berkocak kuat. Apa
semua ni!
“You letak je lah.. I
malas nak cakap.” sayup-sayup kedengaran suara Aqil. Setelah seminggu suaminya
itu tak dapat di hubungi. Akhirnya begini. Ini jawapan yang dia dapat. Dengan
perempuan mana pulak Aqil buat maksiat.
Dia rasa nak menjerit kuat-kuat saat ini. Geram dan kecewa yang menggila. Tergamaknya
Aqil. Tergamak sangat buat dia macam ni. Tergamak lukakan hati dia. Tergamak
guriskan perasaannya.
Ya Allah…Kesetiaan yang
selama ni dia berikan ini yang Aqil balas. Air matanya mengalir laju. Talian terus diputuskan. Bebola matanya
jatuh ke wajah Fazmizie. Dia terduduk lemah dilantai. Mengenang nasib diri.
Siksa! Dia tiada siapa-siapa saat ini.
“Papa dah jauh berubah sayang. Papa dan
berubah…” suaranya serak. Dia dah dapat agak punca Aqil berubah begini.
Patutlah lain benar tingkah Aqil semenjak mereka berpindah duduk di kota besar
ni. Argh!dia rasa sakit. Sakit sangat dengan apa yang Aqil buat. Apa yang dia
takutkan sudah pun terjadi. Selama ini dia berdiam sebab fikir pasal anak-anak.
Tapi adakah ini penghujung kehidupannya dengan Aqil. Ya Allah…dia tak berdaya.
“Dalam
apa jua keadaan abang akan ada dengan Zurra.”
“Abang
janji?”
“Abang
janji Zurra.Selagi hayat dikandung badan. Abang rela lakukan apa sahaja untuk
kebahagiaan Zurra dan anak-anak.”
Semua itu hanya
janji-janji palsu dari seorang lelaki yang bergelar suami. Dia benar-benar
derita kerana Aqil. Aqil seorang suami yang dia sayang dan kasihi sanggup
melakukannya begini.
Pintu wad dikuak. Dia
pantas menoleh dengan mata yang basah. Tergopoh-gapah dia bangun berdiri. Dahi
lelaki itu berkerut memandangnya. Sejauh ini dia memikirkan soal Aqil. Sejauh
ini dia jatuh dan terduduk lemah kerana seorang lelaki. Dia cepat-cepat menyapu
air matanya. Tidak mahu menjawab soalan yang pastinya akan muncul dari bibir
lelaki itu.
“Kenapa ni?” Sangkaannya
betul. Lelaki itu mula menyoal.
“Ibu, kenapa ibu nangis
ibu. Tengok ni uncle belikan kakak cokelat.” Anaknya itu menghampiri.
Menunjukkan coklat kepadanya.
“Fazmizie ada masalah
ke ni?” lagi sekali Riyadh menyoalnya. Dia belum mampu menjawab satu pun.
Akhirnya dia memilih
untuk geleng kepala.“Ibu tak ada apa-apa sayang. Sedap tak makan ice-cream.” dia cuba tersenyum. Walaupun
nampak jelas senyuman itu plastik. Dia berusaha menyembunyikan sebuah kelukaan.
“Awak, kalau nak makan
pergilah turun dulu. Biar saya tolong tunggu.”
Fazzura menggeleng. Dia
tak perlukan apa-apa. Dia tak lapar langsung.Sudah kenyang dengan masalah yang
menimpa.
“Ibu…ibu…tengok ni uncle beli coklat untuk kakak.” Fazzura
tersenyum dengan telatah anak sulungnya itu. Selagi tak tengok, selagi itulah
dia akan tunjuk. Aqilah pantang dapat coklat. Suka sangat dia. Dia kembali
menoleh ke arah lelaki tadi yang masih ada bersama.
“Terima kasih di atas
bantuan awak. Saya hargai jasa baik awak. Saya Fazzura.” Kali ini giliran dia
pula memperkenalkan dirinya.
Riyadh angguk.
Mana suami awak? Dari tadi
saya tengok awak sorang je? Dia ke mana?” soal Riyadh kepada Fazzura. Sejak dia membantu
wanita itu tadi sehingga selesai segala-galanya dia belum bersua dengan suami
wanita ini. Tak kanlah tak ada suami. Orang cantik macam ni tak mungkin
sendiri.
Fazzura diam. Pandangan
matanya kembali dialihkan kepada Fazmizie yang masih lelap itu. Kemudian
beralih pula kepada Aqilah yang sedang leka membuka plastik coklat yang dibelikan tadi. Rasanya terlalu berat untuk dijawab
soalan itu. Lagipun ini soal
rumahtangga. Tak manis rasanya untuk
buka pekung di dada. Walaupun saat ini ingin sekali dia meluahkan rasa
kecewa dan hampa yang dia rasa. Sungguh dia tidak ada sesiapa saat ini. Ahli
keluarga semunya jauh di utara sana. Lagipun dia rasa malu hendak meluahkan
masalahnya kepada adik beradiknya yang lain. Dari awal lagi mereka tidak
bersetuju dia berkahwin dengan Aqil. Inilah harga yang perlu dia bayar di
sebabkan kedegilannya dahulu. Dan rasanya dia tak patut ceritakan kepada orang
luar.
“Kau
ingat hidup kau akan bahagia kalau hanya berdasarkan cinta semata-mata. Aku tak
nak kau susah di kemudian hari. Aqil tu kerja kilang aje. Kau pula baru umur 21
tahun. Mentah lagi Zurra. Masa depan kau belum tentu terjamin. Dah elok-elok
mak dan ayah hantar kau belajar, kau balik. Kau kemaruk sangat nak kahwin dengan jantan tu. Kenapa dengan kau
ni?”
Masih terngiang-ngiang
kata-kata Shahira yang tajam menikam. Shahira merangkap kakak sulung di dalam
keluarga mereka. Dia memang tegas orangnya. Dia seboleh-bolehnya nak
adik-adiknya belajar seperti dia. Sudahnya sampai sekarang kakaknya itu tak
kahwin-kahwin.
Nafsu muda zaman
remaja. Bila dah bercinta tergedik-gedik nak kahwin. Sampai lupa bekalan masa
depan. Tapi salah ke dia kahwin muda.
Rasanya itu lebih bagus dari dia buat maksiat. Kalau dia tahu Aqil nak berubah
macam ni dah sah-sah dia tak akan kahwin. Tapi apa dia boleh buat. Sudah tiba
jodohnya. Benda dah jadi sekarang dia hanya perlu fikirkan jalan penyelesaian
yang terbaik. Walaupun terluka masih ada rasa sayang untuk suaminya.
“Err...Zurra, maafkan saya. Awak fikir apa
yang saya soal tadi ke?it’s okey
kalau awak tak nak jawab pun.” luah Riyadh semula. Sebenarnya dia kesal kerana
bertanya soalan macam tu. Masalah orang mana kita tahu. Marah hatinya pula. Yalah,
macam berat je nak jawab soalan dia tadi. Yang dia pula sibuk-sibuk nak
bertanya kenapa. Nampak sangat dia nak jadi penyibuk. Kenal pun tak dah sibuk
nak tahu kisah orang. Kisah sendiri pun tunggang langgang.
Fazzura angguk lemah.
Pandangan kembali dihalakan ke arah Fazmizie yang sejak dari tadi lagi
melelapkan mata. Tidurlah sayang…semoga sakitmu akan segera sembuh. Doanya pula
di dalam hati.
“Saya mintak diri dulu.
Jaga dia baik-baik. Waktu makan ubat bagi dia makan ubat. Jangan harapkan nurse sangat tau. Lepas tu jangan lupa
doa banyak-banyak. Insha Allah, semuanya akan beransur baik dengan izin dariNya.”
“Terima kasih. Saya tak
tahu macam mana nak balas jasa baik awak. Terima kasih sekali lagi.” Terharu
rasanya hati dengan nasihat itu. Syukur kepadaMu Ya Allah kerana menghadirkan
lelaki ini di saat aku benar-benar buntu dengan apa yang terjadi.
“Kecil punya hal. Kita
tolong orang, esok-esok orang tolong kita balik. Tapi pertolongan Allah itu lebih
pasti. Setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.” Riyadh tenang berbeza
dengan dia. Sebab hanya dia sahaja yang tahu jalaln cerita hidupnya yang
derita.
“Aqilah, uncle balik dululah ya. Ermm…comel
sungguh. Geram uncle tau. Nanti uncle datang bawa coklat lagi. Suka
tak?” Dia mencium lembut dahi Aqilah. Rambut Aqilah yang kerinting itu dibelai
mesra. Fazzura memandang perbuatan yang
langsung tidak kekok melayan anak-anaknya. Gayanya seperti sudah terlalu biasa
bermain dengan kanak-kanak.
“Suka...terima kasih uncle. Nanti uncle datang lagi. Aqilah nak main-main dengan uncle. Adik sakit. Aqilah
tak ada kawan. ” ujar Aqilah sambil menarik-tarik tangan. Perbuatan Aqilah
benar-benar membuatkan Fazzura terharu. Sejak bersua dengan lelaki ini anaknya
itu langsung tidak bertanya mengenai papa mereka.
Bukan mudah untuk
anaknya rapat dengan seseorang. Apatah
lagi orang itu baru sahaja di kenali. Nampaknya lelaki ini begitu bijak melayan
kanak-kanak. Lihat sahajalah Aqilah. Sudah begitu mesra dengannya.Fazmizie juga
boleh terpujuk dengan pujukan lelaki ini tadi. Ermm…anehlah.
Sudah terlalu lama
rasanya kasih sayang Aqil terhadap anak-anak hilang. Hilang dalam kesibukan.
Hilang dalam kekayaan yang sedang di kejarnya. Hilang dalam keasyikkan yang
melalaikan. Dan tadi? Kasih sayang itu semakin hilang dengan sebuah kecurangan.
“Yalah sayang. Esok uncle datang lagi. Jangan nakal-nakal
tau.”
“Err...kenapa pula awak
nak susah-susah nak datang?” Fazzura yang terdengar mencelah.
“Mana ada susah? Alang-alang
esok saya nak datang sini lagi apa salahnya saya singgah kejap tengok dia
orang.” jawabnya serius.
“Dah dua hari saya berulang alik datang ke
hospital ni. Bakal isteri saya sakit. Tu lah kan, perempuan ni kalau sibuk
sangat nak kurus begitulah jadinya. Terlebih diet tak pasal-pasal kena tidur
wad.” terang sambil geleng kepala.
“Dia nak cantik takut
awak tinggal.” balas Fazzura pula. Rupa-rupanya dia datang nak tengok bakal
isteri dia. Beruntunglah wanita itu. Bisik hati Fazzura lagi. Sanggup sakit
sebab nak jaga kecantikan semata-mata. Lain pulak dengan dia. Badan dah sedikit
berisi lepas melahirkan anak. Tapi tak adalah ketara mana. Itupun Aqil dah
berubah. Katanya dah tak menarik lagi. Kalaulah Aqil boleh duduk ditempatnya
sekarang baru Aqil tahu besarnya tanggungjawab seorang perempuan. Aqil kini dah
jadi lelaki yang memang tak pandai nak menghargai lagi.
“Ah! tak ada maknanya.
Lelaki tak semua macam tu Puan Zurra. Gemuk ke kurus ke, kalau dah cinta sangat
terima je lah macam mana pun.” jawab Riyadh
dengan penuh yakin. Kalau boleh di tunjukkan kepada dunia sudah pasti dia akan
tunjuk bukti cintanya. Ewah! Tunjukkan pada bulan dan bintang. Silap-silap
bulan dan bintang tu muntah hijau atas kepalanya.
“Semua tu bukan ukuran
untuk mencerminkan kebahagiaan pada masa depan.” sambungnya lagi. Senyum!
Fazzura senyum hambar.
Terasa kata-kata itu terkena dengan keadaan dirinya sekarang. Kekayaan juga
tidak mencerminkan kebahagiaan pada masa hadapan.Apa gunanya cantik yang
tersirat kalau yang buruk jugak dipandang. Tapi zaman sekarang yang cantik, dan
kaya orang selalu pandang dulu. “Lelaki akan cakap macam tu waktu sedang suka.
Nanti bila dah kahwin lain pulak jadinya. Mesti ada yang tak kena.”
“Kalau isteri pandai
jaga rumahtangga, tak mungkin suami akan cari lain.” Seolah-olah memerlinya. Lelaki ini bagaikan
boleh baca apa yang berlaku.
“Ermm…sebab tulah teman
wanita awak nak cantik. Dia tak nak nanti lepas kahwin awak merungut. Itu tak
kena. Ini tak kena. Sebelum kahwin semuanya sanggup terima.”
Riyadh ketawa mendengar
kata-katanya. “Entahlah…saya tak fikir macam tu. Bagi saya cantik apa yang saya
pandang dari hati. Kalau hati ikhlas sampai ke tua pun bahagia. Gemuk, ke kurus
ke…terima aje. Tak perlu nak sakit dan siksa badan semata-mata nak cantik. Kita
ni hidup sekali aje. Bukan berkali-kali. Bukan tak boleh nak cantik, tapi
biarlah dengan cara yang betul. Kalau sembahyang lima waktu sehari pun dah
nampak cantik. Pengertian cantik tu luas.” ujar Riyadh panjang lebar.
Fazzura senyum sinis.
Betul kata lelaki itu. Cantik itu luas. Bukan hanya pada pakaian. Tapi
Aqil?Aqil dah tak fikir macam tu lagi. Sebab dia dah berjaya dan dia lupa
daratan.
“Jaga diri awak. Jaga anak-anak awak. Panjang
umur kita jumpa lagi.” ujar sambil
mencium lembut dahi Fazmizie. Langkahnya pantas diatur menuju ke arah pintu
wad.
“Oh! boleh saya ambil
nombor telefon awak?” soalnya kembali.
Fazzura angguk. Dia
mengambil Nokia X3 lalu ditaip nombor telefon miliknya. Kemudian dia bergerak
mendekati Riyadh sedikit sebelum menunjukkan kepada Riyadh nombor telefon miliknya yang tertera di skrin.
Riyadh pantas mengambil nombor tersebut sebelum disimpan di Samsung S3 canggih
miliknya.
“Terima kasih. Uncle balik dulu. Jangan nakal-nakal
sayang. Assalammualaikum.” Dia emlambai kea rah Aqilah.
“Waalaikumussalam”
balas Fazzura perlahan. Dia menghambat langkah kaki lelaki itu pergi sehingga
hilang dari pandangan. Zaman sekarang masih ada lagi lelaki seperti Riyadh.
Masih mementingkan dalaman semulajadi dari luaran. Tapi, sebetulnya kedua-dua
amat penting. Mungkin dia tidak seiring…ada waktunya dia mengabaikan kecantikan
diri di hadapan Aqil. Dia banyak ketinggalan dalam berfesyen. Sebab terlalu
memberikan tumpuan kepada keluarga. Pengorbanan dia yang Aqil tak lagi pandang
sekarang. Tegar benar Aqil. Jadi, memang betullah dia memang tak menarik lagi.
BEST NAK LG BOLEH TQ.
ReplyDeleteTerima Kasih... nanti saya update lagi ya :) Tunggu..
ReplyDeleteEmmm ....menarik.....selalulah update ye....
ReplyDeleteTerima kasih :) tunggu ya..
Delete