SUASANA pada pagi itu
redup sahaja walaupun jarum jam sudah menunjukkan ke angka 11.30 pagi. Kakinya
terasa berat sewaktu hendak melangkah keluar dari perkarangan Mahkamah Syariah.
Tatkala matanya terpandangkan Riyadh yang setia menunggu di perkarangan luar
mahkamah bersama Aqilah dan Fazmizie hatinya semakin sebak. Segala-galanya
telah selesai walaupun bukan mudah.
“Bagus! Kau boleh pergi
dengan jantan tu.” tutur Aqil sewaktu menghampirinya. Langkah kakinya terhenti.
Seboleh-bolehnya dia tidak ingin lagi menimbulkan apa-apa perbalahan dengan
Aqil. Tetapi Aqil seringkali mahu menguji kesabarannya.
“Memang patut pun aku
ceraikan kau. Aku harap anak-anak tak akan ikut jejak langkah kau. Kau patut
sedar diri yang kau tu perempuan bukan lelaki. Eh! Zurra, kau tak malu ke hah? Kau
tak malu ada jantan lain walaupun waktu tu kau tengah ada suami.” Aqil
melempiaskan amarahnya tanpa menghiraukan beberapa orang yang berada di kawasan
tersebut.
Tuduhlah Aqil semahu
yang engkau mahu. Hanya aku yang tahu sakit perit penderitaan yang kau
pahatkan. “Saya harap awak halalkan semuanya yang pernah awak berikan kepada
kami. Halalkan juga kasih sayang awak kepada kami.” Fazzura sebak saat
menuturkan kata-kata itu. Dia tidak mampu memandang wajah Aqil. Dia benar-benar
tidak sanggup. Apatah lagi Aqil hanya ketawa sinis. Aqil nampaknya begitu
gembira dengan penceraian yang telah berlaku di antara mereka.
“Aku serahkan hak
jagaan anak kepada kau. Kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siaplah kau!”
Aqil angkat jari telunjuknya tepat ke wajah Fazzura yang sudah mula basah dek
air mata. Tangan kirinya pula membuka kaca mata hitam yang dipakainya.
“Buat apa kau nak
menangis lagi? Bukan ke kau yang nak sangat macam ni? Kau pun dah ada jantan
lain. Kau boleh pergi dengan jantan tu!” tutur Aqil lagi. Semakin Fazzura diam
semakin sakit hatinya. Hatinya benar-benar sudah tiada rasa untuk Fazzura. Apatah
lagi apabila melihat lelaki yang turut serta ada bersama pada hari ini.
“Apa salah Zurra abang
sampai sanggup abang buat Zurra begini?Apa kurangnya Zurra? Apa silapnya Zurra
di mata abang? Kenapa abang terlalu tegar buat Zurra dan anak-anak begini. Selama
ini Zurra sikitpun tak pernah curang dengan abang. Zurra setia dengan abang.
Zurra tinggalkan kehidupan Zurra yang lebih sempurna demi abang. Tapi…”
“Sudah! Aku tak hingin
nak dengar apa-apa lagi. Kau bodoh ke apa Zurra? Apa kau tanya tadi? Salah kau?
Silap kau? Oh!habis jantan tu siapa? Bukan ke di belakang aku kau pun ada
jantan lain.” Aqil ketawa. Sedikitpun dia tidak endahkan tangisan Fazzura.
Kesalahannya ditutup
rapat. Bahkan kini Fazzura pula yang dituduhnya menjadi penyebab. Sedangkan Riyadh
cuma hadir sebagai orang luar yang menghulurkan bantuan.
“Kau berambuslah Zurra
dari sini. Semakin lama semakin sakit hati aku!”
Zurra tidak menjawab.
Mulutnya sudah terkunci seribu bahasa. Pandangan matanya yang basah dek air
mata terarah kepada tiga pasang kaki yang sedang melangkah mendekatinya. Segera
air mata dikesat. Dia tidak mahu anak-anaknya tahu kesedihannya. Dia juga tidak
mahu Riyadh serba salah.
“Papa!papa!papa!” jerit
Aqilah sambil berlari menuju ke arah Aqil.
“Kakak, hati-hati!”
sempat Riyadh menjerit kepada Aqilah yang berlari laju menuju ke Aqil. Terus didukungnya
Fazmizie.
“Adik, rindu kat papa tak?” bisiknya halus.
Hatinya resah dan bimbang. Tapi dikawal agar tidak terlihat oleh pandangan mata
mereka. Lagipun dia tak bersalah. Buat apa dia nak takut.
“Papa, papa, papa pergi
mana? Kenapa papa tak balik? Aqilah rindu papa.”
Buat seketika terdengar
keluhan kasar Aqil. Riyadh yang sampai terus menurunkan Fazmizie yang berada di
dalam dukungannya.
“Err…saya tunggu di
kereta.” ujar Riyadh kemudiannya. Dia ingin berlalu dari situ.
“Uncle, jangan pergi…”Aqilah menarik tangannya. Meronta-ronta dia
agar Riyadh tidak berlalu dari situ. Riyadh akur dengan permintaan anak kecil
itu.
Kemudian Aqilah kembali
pula menarik tangan Aqil. “Uncle, Aqilah
dah jumpa papa.” tunjuk Aqilah pula kepadanya. Aqilah terlalu kecil untuk
mengerti apa-apa.
“Adik, sini adik.
Tengok papa ni adik,” kali ini giliran Fazmizie pula yang ditarik Aqilah.
Perasaan sayu mengundang siapa sahaja yang memandang.
“Maafkan papa, papa
kena pergi.” ucap Aqil sebaris kata. Dia memeluk kedua-duanya sebelum berlalu
pergi. Tidak tegar berlama di sini. Benci melihat wajah lelaki yang bersama
dengan Fazzura.
“Papa!” panggil Aqilah.
Fazzura melihat anaknya ingin mengejar Aqil namun Fazzura cepat-cepat
menghalang.
“Jangan ikut papa
Aqilah!” Tubuh Aqilah ditarik kuat. Kemudian si kecil Fazmizie pula ditariknya.
Riyadh tahan nafas. Tidak menyangka dengan tindakan Fazzura. Baginya agak
keterlaluan.
“Papa! Papa! jangan
pergi. Aqilah nak ikut papa.” Aqilah memanggil Aqil lagi untuk sekian kali. Dia
ingin mengejar Aqil. Namun Fazzura memegang kuat tangan anaknya itu.
“Jangan Aqilah! Biarkan
papa pergi. Kenapa degil sangat!” tengkingnya sekali lagi. Satu cubitan hinggap
di lengan Aqilah. Kali ini Aqilah terus menangis. Fazzura tidak mempedulikan
lagi tangisan Aqilah. “Degil!” uajrnya geram.
“Zurra,apa awak buat
ni?” soal Riyadh terus mendapatkan Aqilah yang menangis. Digosoknya perlahan
lengan Aqilah.
“Awak tak patut buat
begini Zurra. Bukan ke saya dah pesan.” Riyadh geleng kepala sambil menjeling
sekilas kepada Fazzura. Pantang betul dia kalau jadi begini. Anak-anak pula
yang jadi mangsa. Mereka bukannya tahu apa-apa pun.
Aqil yang berjalan di
hadapan kembali menoleh. Mencerlung matanya memandang Fazzura dan Riyadh silih
ganti. “Kau ingat Zurra, kalau jadi apa-apa pada anak-anak aku. Siap kau!”
tutur Aqil keras. Kata-katanya berbaur ugutan. Apa perlunya Aqil berbicara
begitu. Sebelum ini, pernah dia ambil kisah soal anak-anak. Soal makan minum
anak-anak. Aqil tak pernah sedar kesalahannya. Sakit hatinya. Aqil bercakap
seolah-olah dia langsung tak pernah pukul anak-anaknya.
“Saya tak suka awak
pukul, cubit or buat apa saja yang
boleh menyakitkan anak awak.”
“Siapa awak nak halang
saya! Saya tak nak awak manjakan anak-anak saya. Saya akan ajar anak saya ikut
cara saya!” balas Fazzura kasar. Ditarik tangan Fazmizie lantas bergerak
meninggalkan Riyadh dan Aqilah di situ.
Riyadh geleng
kepala. Memang betul siapalah aku ni nak
ajar kau pulak! Hatinya dijentik rasa geram dengan sikap angkuh Fazzura.
“SEMUA ini adalah
takdir Zurra. Awak menangis sampai berdarah biji mata sekalipun tak akan
mengubah apa-apa” ujar Riyadh sewaktu mereka sampai di kondominium miliknya.
Tadi di perkarangan mahkamah bukan main Fazzura nak tunjuk yang dia kuat. Tapi
sampai rumah dah meroyan pulak menangis. Ini yang dia lemah ni.
Tanpa menjawab soalannya
Fazzura terus melangkah masuk ke dalam bilik. Riyadh sedar yang wanita itu
sudah nekad hendak pulang ke kampung. Riyadh hanya memerhatikan langkah
Fazzura. Dia marah aku ke pasal tegur dia tadi? Hati sudah mula menyoal pasal
kes di mahkamah tadi. Pandangannya jatuh kepada Aqilah dan Fazmizie yang mula
bermain-main di ruang tamu tamu. Sudah terlupa agaknya dengan kejadian yang
berlaku di mahkamah tadi.
“Zurra…”panggil Riyadh
perlahan di balik muka pintu. Fazzura menoleh. “Saya mintak maaf.” luahnya
kesal.
Fazzura geleng
kepala.“Awak ni tak ada buat salah dengan saya pun.” Pelik pula bila Riyadh nak
mintak maaf macam tu. Sepatutnya dia yang mintak maaf. Sebab dah banyak
menyusahkan lelaki ini. Riyadh tenang sahaja berhadapan dengan Aqil di mahkamah
tadi. Dia pula yang terlebih emosi sehingga sanggup jatuhkan hukuman ke atas
anak-anaknya. Pulak tu siap cakap macam-macam pada Riyadh.
“Pasal tadilah. Saya
mintak maaf.”
Fazzura diam. Hanya
tangannya yang mula berbicara. Menunjukkan sesuatu yang langsung tidak
menyenangkan hati Riyadh. Tengok Fazzura mencapai beg besarnya itu pun dia
sudah tidak sedap hati.
“Awak tetap nak pulang
ke kampung ke Zurra?”soalnya.
Fazzura angguk. “Saya
telah banyak menyusahkan awak Riyadh. Awak jangan risau tentang dia orang
berdua.” balasnya sambil mengesat sisa air mata yang masih bergenang di tubir
mata. Dia sudah terlalu banyak menyimpan
rasa.
“Awak, sebenarnya saya
nak mintak maaf kepada awak. Sebab dulu saya halau dan awak pergi. Sedangkan
ini rumah awak. Awak tumpangkan saya. Tapi…saya tak dapat kawal keadaan waktu
tu. Maafkan saya. Pasal tadi pun saya tak sengaja nak buat macam tu. Saya
kecewa dengan apa yang berlaku.”
“Saya tak kisah Zurra
pasal hal tu. Tapi, kenapa? Apa sebabnya awak buat macam tu?” Riyadh
benar-benar ingin tahu kenapa Fazzura menangis tempoh hari.
“Saya benar-benar tak
dapat kawal perasaan saat mata ni
melihat bekas suami saya bersama dengan wanita lain. Apatah lagi, wanita itu
adalah wanita yang sama datang ke rumah
saya dan mengakui dia ada hubungan sulit dengan bekas suami saya. Apa yang
paling saya kesalkan dia sanggup
melakukan maksiat. Padahal, sehari sebelumnya dia menceraikan saya. Langsung
dia tidak peduli perasaan saya. Malah dia sengaja menunjukkan kemesraannya di
hadapan saya. Saya kecewa. Hati saya sakit. Dia lelaki yang saya sanjung
keperibadiannya. Tetapi, dia tegar melukai hati ni tanpa sikitpun belas
simpati.” Cerita Fazzura panjang lebar. Dadanya berombak menahan rasa.
Riyadh terkejut.
Sungguh dia tidak menduga sampai begitu sekali Aqil. Jika dia ada bersama waktu
itu sudah pasti teruk Aqil di ajarnya. Patutlah Fazzura meraung bagai orang
gila di dalam bilik air. Kalau dia di tempat Fazzura pun sudah tentu hal yang
sama dilakukannya.
“Saya…saya mintak
maaf.” tutur Riyadh. Suaranya tersangkut-sangkut. Fazzura terus mengemas
barang-barangnya yang tidak seberapa. Dia tidak mahu tinggal di sini lagi. Dia
telah banyak menyusahkan lelaki ini.
“Awak baik...sikitpun
awak tak menyusahkan saya. Tak terbalas jasa saya pada awak, Riyadh.” Riyadh
langsung tak bersalah apa-apa.
“Kalau yer pun tunggulah
dulu. Duduklah sini sampai habis eddah.” pujuk Riyadh lembut.
Fazzura tidak faham
kenapa Riyadh sibuk sangat nak menghalangnya pergi. Bukankah Riyadh dah nak kahwin.
Dia boleh fokus dengan perkahwinannya.
“Keputusan saya
muktamad.” Fazzura bertegas.
Kata-kata Fazzura
membuatkan perasaannya menjadi sayu. Dia bersandar di balik pintu itu.
Pandangan matanya jatuh ke wajah anak-anak kecil itu bersilih ganti. Apa yang
pasti dia mungkin tidak akan bertemu lagi dengan Aqilah dan Fazmizie. Di majlis
bahagianya yang bakal berlangsung tiga bulan dari sekarang dia mahu Aqilah dan
Fazmizie ada. Dia mahu mereka yang membuka pintu hatinya ke arah sebuah hidup
yang lebih sempurna ada bersamanya ketika majlis itu berlangsung. Sungguh,
terlalu tinggi angan-angannya. Dia lupa yang dia orang luar yang tak ada kaitan
apa-apa di dalam hidup Fazzura dan anak-anak. Argh! Tiba-tiba dadanya rasa
berkecamuk. Bagaikan tak sanggup untuk berpisah dengan wajah-wajah itu.
“Riyadh, awak terlalu
baik. Terlalu baik untuk saya dan anak-anak. Susah nak jumpa lelaki seperti
awak. Awak seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Selama beberapa minggu
kami di rumah awak, sedikitpun kebajikan saya dan anak-anak tidak awak abaikan.
Saya pula yang rasa malu dengan awak. Sejujurnya saya betul-betul rasa malu
dengan tindakan saya. Saya mintak maaf.” ujar Fazzura setelah dia siap mengemas
barang-barangnya yang tak seberapa.
Riyadh mengeluh kecil.
“Kalau itu pilihan Fazzura saya tak boleh nak halang. Saya tak ada hak untuk
halang.” Sebenarnya dia rasa hampa.
“Saya hantar awak dan
anak-anak pulang?”
Fazzura
menghadiahkannya satu senyuman. Sejak dari mahkamah tadi inilah baru kali
pertama dia lihat Fazzura senyum begitu. Di sebalik senyuman manisnya itu jelas
menunjukkan betapa diri wanita itu menanggung sengsara dek perbuatan seorang
lelaki. Siapa sangka.
“Awak tak perlulah nak
susah pasal kami lagi. Saya boleh balik dengan bas. Saya dah call pun teksi tadi. Saya tak nak
menyusahkan awak lagi.” Fazzura cuba menolak perlawaan Riyadh.
Cukuplah Riyadh kau
terlalu baik untuk diri ini dan anak-anak. Jika kau tiada sudah pasti entah di
mana aku dan anak-anak merempat. Bisik hati kecilnya pula.
“Awak ni memang
degilkan…suka hati awaklah.” tutur Riyadh sambil menjegilkan biji matanya
bulat-bulat. Ada terselit nada rajuk di dalam tutur katanya. Aneh? Kenapa pula
dia nak ‘sentap’ ni.
“Saya pasti akan
rindukan dia orang.” Dia cuba menahan perasaan. Menatap Aqilah dan Fazmizie
bagaikan tak terzahir rasa kasihnya yang kian menebal.
“Mereka juga pasti akan
rindukan uncle dia orang.”
Riyadh buat muka sedih
lagi.
“Rasa seperti nak
berpisah dengan anak-anak sendirilah pulak!”
Terus Fazzura
mengerutkan keningnya. “Awak cepat-cepatlah kahwin. Nanti ada anak awak tak
perlu lagi dah nak fikirkan pasal budak-budak berdua ni.” Dia tahu Riyadh berat
hati tetapi apa gunanya dia di sini. Lebih lama nanti timbul banyak pula
masalah. Dia tak nak! Jadi lebih baik dia elak.
“Ermm…awak...jaga diri
baik-baik. Saya dah start sayangkan
dia orang berdua ni. Sangat-sangat sayang. Satu aje yang saya nak mintak
sebelum awak pergi.”
Fazzura pandang Riyadh.
Serius. “Jangan awak mintak bulan dan bintang sebab saya tak akan pernah
mampu.”
Terhembur tawa Riyadh.
“Buat apa bulan dan bintang yang tak mampu disentuh. Saya hanya nak awak jangan
lupakan ingatan mereka berdua terhadap saya. Mereka istimewa dan saya rasa
bahagia dengan telatah mereka.”
Fazzura angguk.
Mengerti perasaan lelaki itu. Sesungguhnya, kau juga istimewa dalam hidup
mereka Riyadh. Kau bagaikan mentari yang menyinari hidup kami selama kami di
sini. Kau eluskan kasih yang amat mereka perlukan. Kau titiskan embun kasih
walau seketika cukup aku rasakan yang
mereka merasa adanya kau walau di mana jua.
Kerana pelanggaran
kecil sewaktu di hospital dahulu mengundang jalan cerita di antara Riyadh dan
juga anak-anaknya. Beruntung siapa yang memiliki lelaki ini. Doanya hanya satu,
berharap agar lelaki ini tidak akan berubah laku seperti apa yang telah Aqil
lakukan kepadanya. Ah! Bilakah nama Aqil
akan terhapus dari kamus hidupnya.
Best....
ReplyDeleteCant wait for the next entry...
BEST.
ReplyDelete