ANGIN laut memupuk
lembut ke wajah. Fazzura duduk di atas
batu itu dengan pandangan mata terarah kepada laut yang terbentang luas. Sudah
hampir dua bulan dia pulang ke kampungnya di negeri Perak Darul Ridzuan. Jauh
meninggalkan kota metropolitan yang meninggalkan kenangan pahit di hatinya.
Dahulu, di sinilah
tempatnya. Di persisiran Pantai Ban Pecah ini dia melepaskan kekusutan. Terlalu
banyak perubahan yang berlaku di kawasan sekitar. Jika dahulu kawasan ini sunyi
sahaja tetapi kini sudah banyak gerai-gerai makan yang dibuka. Hari ini dia
benar-benar rasa bebas setelah sekian lama terkurung di rumah.
Ingatannya melayang
pada hari pertama dia tiba di kampung. Abah dan emak begitu terkejut dengan
kepulangannya yang tiba-tiba. Apatah lagi pulangnya dia membawa beg besar.
“Besar beg?” tanya emak
sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia hanya mampu tersenyum.
Memandang wajah emak dan abah yang semakin dipapah usia. Namun dia akur sampai
bila mahu di sembunyikan hal yang sebenar. Sudahnya dia terpaksa menceritakan
hal yang sebenar. Hati ibu-bapa mana yang tidak terguris. Apatah lagi di saat
hati mula terbuka untuk menerima Aqil di dalam kamus hidup. Leteran emak yang
mengukit kisah lima tahun dahulu semakin menambah hampa di jiwa.Ah! itu belum
lagi Kak Shahira dan Maria. Masak dia menahan rasa.
“Aku dah cakap dulu hang
memang degil. Sekarang siapa yang susah? Hang jugak! Laki hang tu senang-senang
ceraikan hang. Apa yang hang dapat? Tu hah! anak-anak hang tu. Hang yang kena
tanggung.” bebel emak panjang.
“Mak, dah nasib Zurra
macam ni.”
“Hang tu degil. Aku dah
cakap dulu. Tapi hang tak nak dengar. Gatal sangat nak berlaki. Hah! Sekarang hang
balik nak menyusahkan abah dengan mak pulak.” Tempelek Shahira kepadanya.
“Apa ni Kak Shira,
janganlah doakan Zurra macam tu. Perjalanan takdir saya dah tertulis macam tu.
Saya kena terima Kak Shira. Sudah-sudahlah kak…saya tak nak gaduh dengan akak.
Kita bukannya muda lagi. Dah besar.”
“Amboi! Sejak-sejak
jadi janda ni pandai pula hang jawab cakap aku!” Kak Shira benar-benar tak puas
hati mendengar kata-katanya. Dia hanya tersenyum sahaja. Bukan apa, Kak Shira
tu anti lelaki. Itu pasal la dia marah sangat. Tak habis-habis.
“Pandai-pandailah hang cari
kerja! Hang nak hidup.” ujar emak pula. Kalau emak tak cakap pun itu yang akan
dia akan lakukan.
“Kalau dia tak kerja
siapa yang nak bela dia mak.” sampuk Shahira lagi. Wajahnya persis emak.
Perangai pun lebih kurang sama dengan emak. Cuma emak tak anti lelaki. Kalau
anti lelaki sah-sah dia tak wujud saat ini.
Sebenarnya leteran emak
menghiburkan. Adatlah emak mana yang tak sayang anak. Sekarang apa yang terjadi
pun dia kena tanggung. Marah Kak Shira pula menyakitkan tapi ada juga
kebenaran. Maria? Sampai sekarang dia belum jumpa Maria lagi. Duduk di Kuala
Lumpur tu pun belum pernah mereka berjumpa. Argh! Makin di kenang makin sakit. Abaikanlah
soal itu.
“Assalammualaikum
Zurra?”
“Waalaikumusalam” jawab
Fazzura seraya menoleh ke arah empunya suara.
“Err…Ammar Haikal?”
“Huh! Ingatpun kau dekat
aku. Ingatkan dah lupa.” balas lelaki itu. Ammar Haikal bukanlah satu nama
asing di dalam sejarah hidupnya. Amar Haikal, merangkap sepupu yang pernah
suatu masa menyimpan perasaan terhadapanya. Ammar Haikal, lelaki pilihan emak
dan abah yang sebenar-benarnya. Sayangnya, Ammar Haikal tidak pernah jadi
pemilik hatinya. Ini kerana sikap Ammar Haikal itu sendiri yang selalu
menyakitkan. Dia tahu Ammar sudah berjaya jadi kontraktor yang berjaya.
“Aku pergi rumah Mak
Ngah tadi. Dia cakap kau dah balik. Balik untuk…”
“Selamanya.” jawab
Fazzura tenang. Ammar senyum. Mengejek dia barangkali.
“Mak Ngah dah cerita
dekat kau pasal aku?” soal Fazzura walaupun sebenarnya dia begitu yakin emak
dan abah sudah menceritakan segalanya. Telinga sudah naik bernanah dengar emak
asyik mengungkit kisah dulu kala.
“Jadi sekarang, giliran
akulah nak jadi suami kau.” jawab Ammar sambil ketawa kuat. Dia mengambil
tempat duduk di sebelah Fazzura. Dia pun dah lama tak pulang ke Kampung ni.
Bila dapat tau yang Fazzura dah jadi janda itu yang cepat-cepat dia balik
kampung. Mak Ngah tak cerita pun tak apa. Sebab awal-awal lagi emaknya dah
telefon beritahu.
“Tak habis-habis. Baik
kau simpan angan-angan kau tu Ammar. Kau ingat aku barang mainan ke apa.”
“Aku rela tak kahwin
pun tak apa Ammar dari kena kahwin dengan kau.” sambungnya sekali lagi. Kurang
senang dia mendengar kata-kata dari Ammar itu. Lebih baik dia fikirkan cara nak
besarkan anak-anaknya dari soal kahwin.
Ammar mendengus kasar.“Jangan belagak dengan
akulah Zurra. Kau ingat sikit. Kau tu janda. Janda okey!”
“Habis apa masalahnya
dengan janda? Kau ingat janda tak laku?” bidas Fazzura geram. Kalau tak
menyakitkan hati dia tak boleh agaknya si Ammar ni. Dari dulu perangai tak
pernah nak berubah. Cakap ikut sedap mulut dia. Tak fikir hati orang lain dah.
Ammar ketawa kuat mendengar kata-katanya.
Sejak dari dulu lagi tak habis-habis nak sakitkan hati dia. Ammar ni memang tak
pernah nak berputus asa. Kalau dia cakap dia nak, dia nak lah. Degil lebih
kurang sama dengan dia waktu muda-muda dulu. Tapi now, dia dah banyak buang yang buruk tu. Degil tu zaman remaja yang
dah berlalu. Tapi adalah jugak sikit-sikit.
“Janda buat cara
jandalah Zurra. Kalau ada yang nak tu terima lah. Apalagi yang kau tak puas
hati kat aku ni Zurra. Kau tu janda anak dua tau. Kau kena sedar tu!”luah Ammar
lagi. Fazzura ketap bibir. Sakit benar hatinya mendengar kata-kata dari Ammar itu.
“Aku ni calon yang
paling sesuai untuk kau. Aku ni sepupu kau, tak kanlah aku nak main-mainkan kau
pulak.” ujarnya lagi. Tubuhnya digerakkan menghampiri Fazzura.
Fazzura mendengus. Kehadiran
Amar mengundang reaksi kurang senang di hatinya. Sejak dari awal lagi dia tidak
menyenangi kehadiran Ammar. Apatah lagi di tempat yang terbuka seperti ini
Ammar seolah-olah sengaja menujukkan kemesraan. Meraih perhatian orang ramai
untuk menjaja kisah mereka.
“Kau ni dah kenapa Ammar.
Aku sedar diri yang aku ni janda. So,
apa masalah dengan kau. Untuk pengetahuan kau, itu bukan alasan untuk aku
terima sesiapa sahaja dengan mudah. Termasuklah kau. Kau jangan fikir bila aku
jadi janda hidup aku dah mati. Tak Ammar! Aku masih ada sisa semangat untuk
meneruskan kehidupan aku tanpa bergantung dengan sesiapa pun. Apatah lagi bila
lelaki yang macam kau, Mar. Lagilah…aku tahu cara hidup kau macam mana. Kita
tak sepadan Ammar.” kata Fazzura lagi.
“Baguslah kalau kau
sedar diri Zurra. Sebagai sepupu yang baik hati aku cuma nak ingatkan kau.
Lagipun apa salahnya aku jadi bapa
kepada anak-anak kau tu. Alah...mak Ngah tu bukan dari dulu lagi
berkenan dengan aku ni. Kau tak nak ke bagi orang tua tu happy sikit Zurra? Soal layak tak layak tak perlu kau nak cakap.
Sebab aku nak kahwin dengan kau. Kau terima habis cerita.” Dia kuit lembut pipi Fazzura sambil
tersenyum. Pantas Fazzura menepis. Ternyata cara Ammar itu benar-benar
menyakitkan hatinya.
“Kalau mak ngah suka
kan kau itu tak bermakna anaknya pun suka. Sedarpun yang kau tu sepupu aku.
Jadi kau tolong jaga sikit tingkah laku kau tu. Kita bukan budak-budak lagi
Ammar!” Fazzura terus bangun. Tak kuasa dia melayan Ammar yang macam ulat bulu.
Gatal! Gumam hatinya pula. Kalau dengan Ammar memang dia tak boleh nak
berlembut. Dah macam anjing dengan kucing waktu budak-budak dulu. Tapi, yang
peliknya emak suka sangat dekat Ammar ni. Sikit-sikit Ammar. Depan orang tua
biasalah, pijak semut pun tak mati. Habis kuat pun semut tu pengsan kejap. Huh!
Ammar pantas menarik
tangan Fazzura. Tarikan kuat itu menyebabkan Fazzura hampir-hampir terjatuh di
atas Ammar Haikal. Lelaki itu senyum gembira. Dia benar-benar sukakan Fazzura.
Kecantikkan Fazzura seringkali membuatkan nafsunya bergelora. Bila mengetahui wanita
ini sudah memegang gelaran janda makin seronoklah dia.
Fazzura terus merentap
tangannya dengan kasar dari pegangan Ammar. Bergetar tubuhnya menahan perasaan
marah. Ammar memang sengaja mencari penyakit yang akan menambahkan bala untuk
dirinya. Bukannya Ammar tak tahu, kampungnya ini macam mana. Berita lebih laju
dari TV3. Kampung nelayan ini terlalu
banyak memaparkan kisahnya yang tersendiri. Dia yakin ada mata-mata yang
memandangnya dengan Ammar. Ah! Dia terus bergerak laju meninggalkan Ammar di
situ. Sakit hatinya!
Ammar terus bangun dan
mengejarnya. “Zurra, kau nak ke mana tu?” soal Ammar dingin.
“Kau nak sibuk-sibuk
hal aku kenapa Ammar. Dah lah Ammar aku nak balik!” tukas Fazzura tanpa menoleh
sedikitpun memandang Ammar.
“Zurra, tunggu!” lagi
sekali tangan Fazzura diraihnya. Dia masih belum puas untuk menatap seraut
wajah yang dipujanya itu sejak dulu. Semakin Fazzura marah semakin jelas
kejelitaannya terserlah. Dengan rambut Fazzura yang dibiarkan mengurai. Hatinya
sudah diulit rasa setelah sekian lama tidak berjumpa. Rindu dan nafsu yang
sudah sama beraja di hatinya seiring.
“Lepaslah! Kau tak malu
ke Ammar orang pandang nanti. Walaupun kau tu sepupu aku itu tak bermakna kau
boleh sentuh aku sesuka hati kau je!”
Ammar semakin melampau.
Jangan Ammar ingat dia dah jadi janda, Ammar boleh sentuh dia ikut suka saja.
“Aku sayangkan kau, Zurra?
Kenapa kau tak boleh nak beri peluang tu kepada aku?”
Fazzura gelak. “Kau dah
gila agaknya Ammar.” luahnya dan terus berlalu dari situ. Dia bukannya kembali
ke kampung ini untuk meraih simpati sesiapa sahaja termasuk Ammar sendiri. Dia
tidak ingin pisang berbuah dua kali. Nasib diri perlu diubah dan dia tidak akan
bergantung dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi lelaki seperti Ammar. Ya! Dia
langsung tidak percaya dengan sepupunya sendiri.
SEWAKTU dia sampai di
pintu rumah, Aqilah dan Fazmizie sudah terjaga dari tidur. Ruang tamu sedikit
bersepah dengan bantal dan botol susu mereka berdua.
“Anak-anak ibu ni
kenapa sepahkan bantal ni. Nanti nenek dengan dan tok wan marah nanti.” luah
Fazzura sambil tangannya mula mengemas kembali ruang tamu yang sedikit
berselerak itu.
“Hah! Kalau dah tahu
emak hang ni nak marah, lain kali jangan tinggalkan anak macam tu. Hang pandai
beranak tak tahu nak jaga? Keluar rumah tinggal anak macam tu. Hang pergi
mana?” bebel emak yang datang dari arah dapur.
“Saya keluar kejap mak.
Dah lama sangat tak tengok angin pantai di depan tu.” balas Fazzura lembut.
“Tengok angin pantai ke
hang pergi menggatal?” kata-kata emak kedengaran sinis. Sampai begitu sekali
emak fikir akan dirinya. “Hang kalau rasa nak duduk di sini lama-lama. Jangan
cuba nak buat hal Zurra. Hang ingat
sikit, hang tu janda!”
“Apa masalahnya mak
kalau Zurra janda? Dah takdir Zurra macam ni mak.”
Kadang-kadang dia
terfikir, apa perlunya dia membalas setiap bicara-bicara emak. Semuanya hanya
mengundang api kemarahan yang telah sedia ada di dalam diri emak. Ternyata
kerana peristiwa lima tahun lalu hubungannya dengan emak akan menjadi dingin.
Kerana cintanya kepada Aqil hubungan dengan emak berantakkan. Mujur abah sudah
semakin sejuk hatinya. Kalau tidak sudah pasti dia angkat kaki dari sini.
“Takdir yang engkau
sendiri nak. Dulu, aku dah larang keras hang dengan Aqil tu. Tapi, hang degil.
Hang nak sangat nikah dengan dia. Hang tu muda lagi tapi dah gatal nak menikah.
Aku suruh hang belajar. Macam Shahira dan Maria. Sekurang-kurangnya dapat balas
budi aku dengan abah hang yang dah susah payah membesarkan hang. Tapi sebab
kedegilan hang tu, hang susah pada hari ni. Hang bawa gelaran janda dalam usia
yang muda. Hang tak malu?”
Entah kenapa soal malu
yang selalu di persoalkan. Teruk sangatkah bawa gelaran janda? Jahat sangat ke
janda? Sedangkan itu hanya gelaran. Janda pun ada hati dan perasaan. Bukan
tunggul yang tidak punya perasaan.
“Saya mintak maaf mak.
Memang saya menyusahkan mak… menyusahkan abah… saya degil. Saya sedar semua tu. Tapi mak, jodoh, ajal maut itu
semua di tangan Tuhan. Dah jodoh saya dengan Aqil tidak panjang. Saya reda bawa
gelaran ni. Tak ada apa yang perlu saya malukan mak.” balas Fazzura
semula. Dia cuba berlagak tenang
walaupun di dalam hati sudah berkocak. Saat ini dia perlukan sokongan. Bukan
pematah semangat yang hanya tinggal sisa-sisa dalam dirinya. Jika bukan dari
darah daging sendiri siapa lagi yang dia ada. Dia perlukan kasih sayang dari
keluarga. Tapi sejak dulu lagi dia tak pernah rasa semua itu. Dia berkahwin
dengan Aqil kerana merasakan hanya kasih sayang lelaki itu yang mampu
membahagiakan dia. Tapi Aqil pun sama sahaja.
“Aku pun tak tau pasai apa laki hang ceraikan hang. Aku
tau hidup hang dengan Aqil tu dah senang lenang di Kuala Lumpur sana. Sekarang hang
balik bawa gelaran janda? Tak ada apa
yang beza. Hidup hang dulu dengan sekarang hang nilailah sendiri.”
Emak terus berlalu dari ruang tamu itu.
Mungkin tidak lagi mahu memanjangkan persengketaan dengannya. Emak boleh cakap
apa sahaja. Dia terima dengan lapang dada kerana walau macam mana pun dia cuba
jelaskan emak tak akan pernah cuba untuk memahami hatinya. Kata-kata emak
memang terselit kebenarannya. Dia tidak salahkan emak kalau nak marah-marahkan
dia. Emak mana yang nak lihat anaknya menderita.Tapi sejak kecil apa sahaja
yang dia buat ada saja tak kena di mata mak.
“Ibu…bu... nenek marah ibu?”Aqilah menggoncang
lembut lengannya. Dia tersenyum mendengar persoalan dari anaknya itu. Sebab
itulah Riyadh pernah pesan kalau nak gaduh jangan depan anak- anak. Hmm…
“Aqilah ni…apa yang ibu cakap dengan nenek
semua nak dengar. Aqilah budak-budak lagi. Nenek tu bukan marah kat ibu. Nenek
sayang ibu. Sayang Aqilah dengan adik. Tok wan pun sama.” ujarnya pula. Rambut
Aqilah yang kusut itu diusap perlahan.
“Fazmizie jangan main
kat situ. Nanti jatuh barang-barang tu...” suaranya dikeraskan sedikit ke arah
Fazmizie yang menarik-tarik kain yang menutupi almari itu. Jatuh barang-barang
di atas tu nanti tak pasal-pasal pula telinganya ni kena mendengar leteran emak
lagi.
Pranggggg!!
Bunyi kaca berderai.
Dia dah agak. Bingkai gambar yang terletak di atas almari itu terjatuh. Pecah
berderai bersama tangisan kuat si kecil. Ya Allah sayang!
Dia bingkas bangun
mendapatkan Fazmizie yang sudah terduduk.
“Ya Allah… ibu dah
cakap jangan main, sayang degil macam ni.” Fazzura melihat serpihan kaca yang
mengenai kaki Fazmizie. Anaknya itu sudah teresak-esak menangis. Kelam kabut di
buatnya dia. Hatinya semakin cemas tatkala darah merah mula mengalir laju.
“Anak ibu!”
“Ibu!kaki adik berdarah
bu!” jerit Aqilah kuat. Fazzura segera mencempung tubuh Fazmizie yang kecil itu
jauh dari kaca-kaca yang berderai.
“Syutt… sikit je
sayang. Ibu sapukan ubat. Syutt…diam sayang diam…”pujuk Fazzura lembut. Tangannya
sendiri sudah bergetar. Dia sudah rasa cuak bila melihat serpihan kaca yang
sedikit terkena kaki anaknya itu. Apatah lagi darah merah yang mengalir di
sebalik luka itu. Budak-budak sebesar itu sudah cukup sakit untuk merasainya. Dia
dapat merasakan kesakitan anaknya itu.
“Masya Allah apa dah
jadi ni Zurra?” tegur abah dari arah belakang.
“Adik luka tok wan…kaki
adik darah.” jawab Aqilah petah.
“Darah banyak tu Zurra!
Hang tunggu apa lagi. Bawa anak hang ke hospital la ni. Hang ingat anak hang tu
luka biasa ka tuh? Kaca tu Zurra. Hang ambil sapu tangan ni balut dulu kaki dia
tu.” Abah menghulurkan sehelai sapu tangan yang berada di dalam poket bajunya.
“Err...tak pe lah abah.
Zurra cari kain lain balut luka dia ni.” Dia seboleh-bolehnya tidak mahu
menyusahkan abah. Sapu tangan kesayangan abah tu.
“Dalam keadaan macam ni hang ambillah sapu
tangan aku ni. Bukannya mahal pun!” kata abah lagi.
“Nah hang ambil kunci
kereta ni. Hang bawa dia pergi hospital sekarang.” Kali ini abah menyuakan
kunci kereta yang berada di tangannya. Lambat-lambat Fazzura mengambil kunci
yang di hulurkan itu. Bukannya dia tak mahu, tetapi cara abah buatkan hatinya
tersentuh. Dengan kedegilannya dahulu, dengan kemarahan abah pada waktu-waktu
lepas abah tetap bertanggungjawab terhadap dia dan anak-anak. Padahal, seumur
hidup yang dia tahu abah belum pernah benarkan sesiapa sahaja menggunakan
kereta kesayangan abah itu.
“Terima kasih abah...”
tuturnya pelahan.
“Dah pergi sekarang. Aqilah
duduk dengan tok wan.”
Fazzura melihat Aqilah
anggukkan kepalanya. Tidak membantah apa-apa. Hanya pandangan sayu melihatnya
membawa Fazmizie ke dalam kereta. Fazzura semakin tersentuh dan serba salah.
Kalau abah tak ada, siapalah lagi yang akan membantunya. Harapkan emak, tentu
tak mungkin. Kak Shira lagilah…jangan di harap.
DADANYA terasa berdebar
tiba-tiba. Di ruang matanya terbayang wajah Aqilah dan Fazmizie. Satu kerja pun
dia tak boleh buat kalau perasaan jadi tidak tenteram begini. Aduhai, dia
benar-benar rindukan mereka. Sejak mereka pergi dia rasa sunyi. Lantas telefon
bimbitnya di ambil. Jari jemari mula menekan nombor telefon Fazzura. Dalam
beberapa saat panggilan disambut.
“Assalammualaikum
Zurra?”
“Waalaikummusalam…”suara
Fazzura kedengaran serak dihujung talian. Kenapa pula dia ni? Setiap kali
telefon mesti dengar suara Fazzura macam tu. Menangis lagilah tu!
“Kenapa ni Zurra? Serak
je suara awak?Awak menangis?” Dia dapat rasakan wanita itu menangis.
“Zurra…tell me why?” soalnya sekali lagi
apabila dia langsung tidak mendengar sebarang jawapan di hujung talian. Hati
kian resah menanti sebuah jawapan.
“Zurra…” panggil Riyadh lembut.“Kenapa ni? Awak
ada masalah ke? Mana budak-budak?” lagi sekali Riyadh bertanya.
“Saya ada di hospital.
Fazmizie…”
“Kenapa dengan dia?
Zurra... awak bagitau saya kenapa dengan dia? Dia sakit lagi ke?” Dia terus
memotong percakapan Fazzura. Bertubi-tubi soalan yang keluar di bibirnya.
Penghawa dingin yang terpasang di dalam pejabatnya terasa bagaikan tidak
berfungsi. Apatah lagi bila suara serak Fazzura membuatkan dia terfikir akan
sesuatu.
“Riyadh, awak jangan
risau...dia tak ada apa-apa.” jawab Fazzura lemah. Dia tak mahu membebankan Riyadh.
Tetapi, setiap kali musibah hadir di dalam hidupnya lelaki itu sentiasa ada.
Walaupun tidak di sisi tetapi semangat lelaki itu bagaikan mengalir dalam
dirinya.
“Zurra, boleh tak awak
cakap jujur dengan saya. Kenapa dengan Fazmizie? Mana dia? Mana Aqilah? Kalau
dia okey beri saya dengar suara dia.” kali ini nada suaranya kedengaran tegas.
“Awak nak sembunyikan apa-apa dari saya? Saya
tau saya orang luar tapi salah ke saya nak ambil tahu pasal anak-anak awak. Pasal
awak!”
Fazzura tersentak
dengan kata-kata terakhir dari Riyadh itu. Apa maksud lelaki itu nak ambil tahu
pasal dia? Apa pentingnya dia.
“Err…Zurra, saya mintak
maaf…” ucap Riyadh setelah diam beberapa ketika. Dia tak sepatutnya cakap macam
tu. Mesti Fazzura dah fikir bukan-bukan. Tapi dia tidak mampu menidakkan hal
yang sebenarnya dia memang ingin ambil tahu tentang Fazzura dan anak-anaknya. Salah
ke? Tak ada salah pun rasanya. Ambil berat tak beerti dia curang dengan Annis.
“Dia okey jer…” Okeykah
anaknya? Dia sendiri tidak pasti kerana Fazmizie masih diberikan rawatan di
dalam bilik kecemasan. Terlalu banyak darah yang mengalir dari luka anaknya
tadi. Dia sangka sikit sahaja tapi ternyata luka itu terlalu dalam.
“Okey? Kalau okey
kenapa suara awak serak? Zurra, bagitahu yang sejujurnya boleh tak?”
“Kaki dia kena serpihan
kaca. Sekarang saya di Hospital Parit Buntar.”
“Ya Allah…kenapa sampai
macam tu Zurra?” Riyadh cuba kawal perasaannya. Kalau tak teruk tak mungkin
sampai di hospital. Fikirnya lagi.
“Zurra, awak sabar ya.
Awak jangan stress…jangan menangis.
Berdoa banyak-banyak. Saya nak gerak ke Perak sekarang. Jangan halang saya. Assalammualaikum.”
punat merah terus ditekan. Terus dia bangun dari kerusi yang di dudukinya itu.
Jam di tangan dikerling sekilas. Sudah hampir pukul 7.00 malam.
Ah! Tunggu uncle sayang!
best...
ReplyDeleteThankssss
Deletebest...sedeh gak...
ReplyDeleteterima kasih... :)
Delete