Bab 3
“AKU nak balik ke rumah
atau tak itu aku punya pasal. Kau tak perlulah nak sibuk-sibuk hal aku Zurra.
Berapa kali aku nak cakap. Berapa ribu kali pulak kau nak ulang soal aku dengan
soalan yang sama!” jerkah Aqil kuat. Bergema suaranya di dalam rumah banglo dua
tingkat itu. Tubuh isterinya yang bersarung baju kurung dari kain cutton itu dipandang tajam.Tak ada apa
yang menarik lagi padanya.
“Kalau abang bukan
suami Zurra sikitpun Zurra tak kisah abang.
Masalah sekarang abang tu suami Zurra. Salah ke kalau Zurra sibuk bertanya ke
mana abang nak pergi?” balas Fazzura semula. Wajahnya tenang memandang Aqil
yang jelas menunjukkan riak bengis tatkala mendengarkan jawapan yang keluar
dari mulutnya itu.
“Makin lama makin kau
nak menyusahkan aku kan?” soal Aqil keras.
“Abang lupa yang abang
ada anak! Anak tu sakit. Terlantar kat hospital berhari-hari. Dia orang tunggu
abang datang. Tapi abang ke mana? Abang dengan siapa? Apa yang abang buat.
Abang dah macam jauh menyimpang. Abang berfoya-foya entah dengan perempuan
mana. Macam ni yang abang buat pada saya? Bapa jenis apa abang ni?Kalau abang
tak mampu nak ada di sisi Fazmizie sewaktu di hospital pun sekurang-kurangnya
abang duduklah di rumah. Ada di sisi dia.” balasnya panjang. Kesabarannya kian
tipis.
“Aku ada ke tak ada ke?
Dia orang tahu ke? Budak-budak kalau aku tak ada pun, apa yang dia orang tahu?
Kau jangan nak kurang ajar tuduh aku aku yang bukan-bukan Zurra!” bidas Aqil
sambil membetulkan kolar baju kemejanya.
“Budak-budak tu tak
kisah pun aku ada ke tak! Kau yang sibuk-sibuk lebih!”sambungnya lagi.
“Saya kurang ajar?
Abang jugak yang ajar saya jadi macam ni. Sebab saya ni dah tak cantik depan
mata abang. Saya ni buruk. Sebab tu abang dah ada perempuan lain kat luar sana.
Tak perlu abang nak menafi lagi. Semuanya dah cukup jelas kat telinga saya ni!”
“Apa kau ni hah!” Aqil
pandangnya tajam. “Oh! jadi kaulah yang call
tempoh hari tu. Dia ketawa seolah-olah tak takut langsung atas perbuatannya.
“Ya! memang aku ada perempuan lain. Perempuan lain yang jauh lebih bagus dan
cantik dari kau. Aku ingatkan kau tak kisah.”
Terkedu Fazzura
mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut Aqil. Taki kisah?
“Sampai hati abang kan
buat saya dan anak-anak macam ni. Abang dah jauh berubah…” Fazzura kesal.
Kata-katanya langsung tak meninggalkan bekas. Dahulu mereka seiring bersama.
Dalam setiap permasalahan yang timbul mereka pasti akan duduk berbincang
mencari jalan penyelesaian. Bukan begini caranya. Bukan dengan kata-kata keras
yang menyiksa jiwa dan raga. Isteri mana yang tak akan kisah kalau suami dengan
wanita lain. Dia ada perasaan walaupun selama ini dia cukup bersabar.
“Ah!aku dah kerja teruk
untuk senangkan kau orang semua. Untuk senangkan kau. Kau tak sedar lagi? Anak
sakit pun kau nak mengharapkan aku lagi. Kenapa? Kau dah tak boleh sangat nak
jaga anak!” tempelak Aqil sambil bercekak pinggang.
“Zurra tak mintak harta
kekayaan abang sampai lupa segala-galanya. Sampai abang abaikan tanggungjawab
abang pada keluarga. Abang lupa daratan macam ni. Zurra mampu jaga anak-anak.
Abang tak perlu nak pertikaikan tanggungjawab saya. Tapi Zurra takut …Zurra
takut kalau Tuhan tarik balik semua nikmat kesenangan yang abang dapat ni.”
balas Fazzura semula. Selama ini dia berdiam. Hanya memerhatikan tingkah Aqil
yang semakin hari semakin lupa daratan. Semakin hari semakin jauh hanyut dengan
kesibukan duniawi. Berdoa dan berharap semuanya akan kembali pulih. Bukan dia
tidak kisah tetapi dia mahu menjaga perkahwinan ini semata-mata memikirkan dua anak yang sedang
membesar. Yang memerlukan perhatian seorang bapa.Tetapi keadaan semakin hari
semakin meruncing. Semakin hilang rasa bahagia itu.
“Nah!” Aqil melemparkan
beberapa keping duit kertas lima puluh ringgit tepat ke wajahnya.“Kau jangan
nak sibuk hal aku. Dan jangan nak susahkan aku. Teksi ada! Kereta pun ada. Kau
boleh pandu sendiri ke mana pun kau nak pergi.” balas Aqil sebelum berlalu
meninggalkan Fazzura. Langkahnya laju menuju ke muka pintu. Tak perlu diberitahu
ke mana jejak langkah suaminya itu. Dari pakaian sudah cukup untuk memberikan
Fazzura sebuah jawapan.
“Abang! Zurra tak akan
sibuk kalau abang bukan suami Zurra.” jerit Fazzura. Berdesing telinga Aqil
dibuatnya. Fazzura sengaja mahu mencabar kesabarannya. Laju langkah kakinya
berpaling semula ke arah Fazzura.
Pangg!
Penampar itu hinggap
lagi di pipi Fazzura untuk sekian kali. Perit dan pedih. Sakitnya lebih lagi di
hati. Aqil dah mula naik tangan.
“Pompuan tak reti nak bersyukur! Aku dah bagi duit pun kau nak cakap
banyak lagi!”kepala Fazzura ditolaknya kuat. Jeritan Aqil bergema di dalam rumah.
Air mata mula bertakung di kelopak mata Fazzura. Kejamnya Aqil memperlakukan
dirinya.
“Lagi sekali aku nak
pesan pada kau. Jaga sikit mulut kau tu. Jangan sampai aku buat kau tak boleh
nak bercakap seumur hidup!” jerkah Aqil lagi sekali. Hatinya membara
mendengarkan kata-kata Fazzura. Aqil terus berlalu keluar dengan perasaan marah
yang membuak-buak. Semakin lama semakin bosan rasanya dia dengan
leteran-leteran Fazzura.
Fazzura berlalu laju menuju
ke atas dengan perasaan remuk dan redam. Hanya kerana menegur tingkah laku
Aqil. Ini yang dia dapat. Terlalu banyak pengorbanan tetapi ini balasan yang
Aqil berikan. Aqil bukan lagi suami penyayang seperti dahulu. Aqil sudah jauh
berubah meninggalkan dia dan anak-anaknya di dunia yang penuh siksa. Sampai
hati Aqil.
Sekarang dia harus
belajar untuk terima Aqil bukan lagi Aqil yang dia kenali suatu masa dahulu.
Aqil bukan lagi lelaki penyayang yang sentiasa di sisi. Bukan lagi lelaki yang
setia bersama dia di waktu susah dan senang. Bukan lagi seorang bapa yang
begitu kasih terhadap anak-anaknya. Semuanya sudah hilang. Datangnya seperti
pelangi. Berwarna-warni. Rupa-rupanya pelangi itu sekejap sahaja hadirnya. Ini
jalan yang dia pilih. Jalan bahagia pada permulaannya tapi bukan penghujungnya.
KAHWIN?Apa yang you merepek
ni? You dah gila ke apa?” kuat kata-kata itu menyapa di cuping telinganya.
Riyadh ketap bibir. Sakit hati di
buatnya. Ajak kahwin pun di katanya gila. Habis kalau dah bercinta tak nak
kahwin buat apa? Tak ada hala tuju hubungan. Hanya buang masa dan sia-sia
sahaja. Sudah hampir tujuh tahun dia dan Annis bercinta. Ummi dan walid pun dah
bising-bising. Boleh Annis cakap dia merepek.
“I tak gila tapi you tu
yang gila. I ajak you kahwin. I nak kita hidup bersama. Ada family ada anak. I boleh jaga you. Kalau
you sakit macam hari tu. I kan boleh ada dua puluh empat jam dengan you.”
Annis ketawa kuat
mendengar kata-kata yang keluar dari mulutnya. Baginya memang sudah gila. Sejak bila pula yang Riyadh
ni teringin untuk hidup bekeluarga. Untuk ada anak. Padahal sebelum ni tak
pernah langsung dia bangkitkan hal kahwin ini.
“Kenapa dengan you ni?
I serius. I nak kahwin. Nak ada anak. I akan hantar rombongan meminang secepat
yang mungkin.” Riyadh nampak tenang tetapi berbaur paksa.
“I tak bersedia. Tolong
jangan nak paksa-paksa I. You pun tahu kerjaya I sedang meningkat sekarang. I
tak nak rosakkan karier I bila dah kahwin nanti.” balas Annis semula. Tak puas
hati dengan kata-kata lelaki di hadapannya ini. Riyadh lupa ke yang dia ni model. Model macam dia
kalau dah kahwin sah-sahlah badan jadi tak cantik. Ada anak lagilah. Geleber
sana sini. Ini pun puas dia diet sampai masuk hospital. Semata-mata nak kurus
punya pasal. Nak Cantik sanggup buat apa saja.
“You tu bukan muda
lagi. Sampai bila you nak kejar semua kerjaya you tu. Dah tiba masa kita untuk
hidup berkeluarga. You nak sakit-sakit macam tu semata-mata nak kurus. I dah
pesan pada you tempoh hari. Jangan you nak ulang-ulang lagi makan ubat kurus tu
sampai sakit. I sayang you. I terima you seadanya. I tak kisah pun you gemuk ke
apa. You tu je yang suka nak fikir lebih-lebih. Kita dah lama couple. Tak kanlah you tak kenal I
macam mana? I kisah ke semua tu?” Riyadh soal lagi. Dia nak Annis lebih jelas apa yang dia
katakan.
“I tahu you sayang I.
Sebab tu I nak buat yang terbaik untuk you sayang.” balas Annis manja.
“Kita kahwin. Itu je
yang terbaik untuk kita.” Balas Riaydh semula.
Susahnya memujuk si Annis ni kahwin. Entah kenapa, sejak bertemu dengan Fazzura
dan anak-anaknya di hospital tempoh hari dia jadi tak keruan rasa. Celoteh
Aqilah bermain di minda. Dulu dia berjanji untuk datang melawat mereka lagi.
Tapi, kekangan masa menghalangnya. Kemudian, dia ada kembali ke Hospital lagi
selepas empat hari mereka bertemu. Tapi malangnya, pesakit yang ingin di
lawatinya telah mendaftar keluar sehari sebelumnya. Hatinya dipagut rindu yang
menggila. Entah kenapa dia tidak tahu. Dia rasa nak call Fazzura. Tapi bimbang semuanya di salah erti. Jadi niat itu
disimpan jauh di lubuk hati. Dia ingat pesan ummi jangan cari perempuan lain
untuk ceritakan masalah. Lama-lama nanti jadi lain. Nak pulak Fazzura tu isteri
orang kut. Hai…memang tak lah. Dia cuma rindu budak-budak dua orang tu je.
“You ni memang dah
gila. Kenapa you dah kemaruk sangat nak kahwin?” Lamunannya terhenti apabila
mendengar soalan dari Annis. Matanya memandang tepat ke wajah Annis. Cantik
serba serbi. Sudah tujuh tahun mereka berkasih sayang. Kerjaya Annis sebagai
seorang model pakaian seringkali menjadi penghalang untuk mereka ke peringkat
seterusnya di dalam hubungan. Kalau di ikutkan dengan kemampuannya memang sudah
layak untuk dia berkahwin. Ada perniagaan sendiri. Rumah, kereta apa lagi yang
dia nak tunggu. Nampaknya Annis masih tak serius. Annis nak ke tak nak!
“I nak kahwin. Nak
hidup bekeluarga. I lebih dari mampu nak sara you. You ingat gaji you sebagai
model tu besar sangat ke? Glamour je
yang lebih. Terdedah sana sini. Terbuka sana sini. You tahu tak umur kita makin
meningkat. Ummi dan walid dah bising. I tak seronok Annis kalau asyik berkepit
tanpa hubungan yang halal. You kenal I macam mana kan? Kita bukan muda lagi
Annis. Kalau I solat lima waktu sehari pun tapi dengan keadaan you yang seksi
dan pegang-pegang I apa yang I dapat. I nak jaga solat I you tahu tak? I tak
nak amalan yang I buat sia-sia.”
Berdesing teling Annis
mendengar kata-kata yang keluar dari mulut. Semakin hari dah nak jadi macam
ustaz pulak. Tegur sana tegur sini. Dulu tak ada pun nak ketara begini. Sejak
dua menjak ni bukan main lagi.
“Bukan you yang
tanggung dosa I pun.” balasnya semula sambil menyedut fresh orenge di hadapannya. Selera makannya terus hilang dek
kata-kata sebentar tadi. Entah kenapa
topik ini yang ingin diperkatakan oleh Riyadh. Patutlah beria-ia mahu
mengajaknya keluar ke restoran ini walaupun jam sudah menginjak ke angka sepuluh
malam. Inilah hal yang dikatakan penting sangat tu.
“Yes, bukan I yang tanggung dosa you. But your father. Kalau you sayangkan diaorang, you tak akan buat macam
tu. Kalau you tanggung dosa you sendiri macam I tak pe. I tak paksa you…tapi I nak you berubah step by step.”
Entah kenapa perempuan
ini juga yang dia nak buat isteri. Kalau di ikutkan dengan kedegilan Annis yang
melampau lampau ni sudah lama dia tinggalkan saja. Ramai lagi di luar sana yang
boleh dibuat calon isteri.
Dia akui, dia pun tak
adalah sempurna mana. Sejak dua tiga menjak ni dia memang dah banyak berubah.
Banyak memikirkan dosa pahala tentang hubungannya dengan Annis. Tapi dia tak
pernah nak paksa Annis berubah. Kalau setiap kali mereka keluar, dia berhenti
solat sekalipun dia tak pernah nak paksa Annis solat sama. Salah dia ke sebab
manjakan sangat Annis.
Tapi bab pujuk memujuk,
rayu merayu memanglah dia akan gagal dengan si Annis ni. Yang tu memang tak ada
sesiapa pun boleh lawan. Lelaki hebat macam mana pun kalau dengan pujukan
perempuan cair jugak.
“You ni kenapa sayang?
Kalau I setuju kahwin dengan you pun, belum tentu I bersedia nak ada anak.”
Annis meraih jari jemarinya. Ada pujukan lembut di situ. Ah! dia tak mahu gagal
lagi dengan pujukan-pujukan Annis. Dia bukannya muda lagi. Umurnya dah 32
tahun. Dia menarik tangannya dari genggaman Annis.
“I tahu you bagus! You
jaga pergaulan you dengan I. Tapi sekarang I nampak you macam banyak sangat
paksa I. I tak pernah paksa you untuk ikut I. Pernah you nampak I paksa you
masuk kelab? Tak kan? Sekarang you tolonglah jangan nak paksa-paksa I, jangan
nak berleter macam ustaz-ustaz.”
“I tetap dengan
keputusan I. I akan hantar rombongan dalam masa terdekat. Yes, I paksa you sayang. Paksa you!.” ujar Riyadh tegas.
“Kalau you nak sangat
kahwin. You go! Cari mana-mana
perempuan yang boleh mengandungkan anak you. Yang betul-betul bersedia untuk
jadi isteri you. Bukan I. I tetap dengan pendirian I.”
“You jangan cabar I,
Annis!” balas Riyadh geram.
Annis terus mencapai beg
tangan dari jenama Louis Vuitton. Pantas Annis bangun meninggalkan seorang diri di restoran itu. Beberapa pasang
mata menoleh ke arah mereka. Menjadi saksi kisah cinta ini akan berakhir di
sini atau tidak. Riyadh mendengus kasar. Bosan barangkali dengan apa yang
terjadi. Kalau asyik terus-terusan begini sampai bila-bila pun dia tak akan
kahwin dan ada keluarga sendiri.
Entah kenapa terbit
satu perasaan aneh yang dia sendiri tidak tahu apa maknanya. Seolah-olah dia
mahu berada di sisi Aqilah yang comel dan menemani Fazmizie yang sakit. Aneh,
sesuatu yang tidak pernah dia fikirkan selama ini. Dia rasa seperti mahu
berkahwin dan memiliki anak. Oleh sebab itu dia beria-ia ajak Annis. Tapi,
macam ni jawapan yang dia dapat.
Telefon bimbitnya dicapai.
Pantas nombor Fazzura didail. Nama itu
jugak yang terlintas dibenaknya. Nasihat ummi macam terpaksa dilanggar. Langsung
tidak memikirkan yang jam sudah menunjukkan ke angka sebelas malam. Sudahlah
yang di hubunginya itu isteri orang. Hatinya benar-benar rindu dengan Aqilah.
Hatinya benar-benar resah memikirkan tentang Fazmizie. Hilang sudah sakit hati
dek sikap Annis sebentar tadi. Lama dia menanti di talian sebelum panggilnya disambut
suara serak wanita di hujung talian. ‘Kenapa dengan aku ni? Dah gila sangat!’
“Assalammualaikum.”
Riyadh memberi salam.
“Waalaikumusalam.”
Suara Fazzura serak di hujung talian menjawab.
“Awak dah tidur? Maaflah
kacau awak waktu-waktu begini.” ujar Riyadh memulakan bicara. Dalam hati
bimbang juga. Buatnya suami Fazzura yang jawab tak ke jadi satu masalah pula.
Hesy!serabut. Tak pe, yang penting
niatnya bukan sebab Fazzura. Tapi sebab budak dua orang tu. Jiwa kacau punya
pasal. Benda tak pernah buat pun dia buat. Tu lah manusia ni bila jiwa kacau
bukan nak ingat Tuhan. Bukan nak duduk atas tikar sejadah tapi kacau anak orang
malam-malam buta. Memang dah gila agaknya dia.
“Err...belum. Saya
belum tidur lagi. Ada apa awak call saya
malam-malam macam ni?”
Fazzura pun dah soal dia pelik.
“Ye ke belum? Saya dengar
suara awak yang serak ni ingatkan dah tidur. Maaflah ganggu awak malam-malam
ni. Bukannya apa, tiba-tiba terfikir pasal anak-anak awak tu. Apa khabar
diorang berdua sekarang? Fazmizie macam mana?Dia dah sihat ke belum?”soalnya Riyadh bertubi-tubi.
Fazzura mengeluh
perlahan. Apa yang pasti soalan pertama dari
Riyadh itu dia tak mampu jawab.Suaranya serak bukan kerana tidur. Tapi
kerana bersedih memikirkan rumahtangganya yang sedang bergoncang kuat. Walaupun
dia cuba untuk tidak menangis lagi. Dia gagal.
“Alhamdulillah,
Fazmizie dah beransur baik. Terima kasih atas jasa baik awak tempoh hari yer.
Saya tak tahu nak balas budi baik awak macam mana.” Fazzura berterus terang.
“Senang je, awak bagi
saya pinjam anak-anak awak kejap
esok…”
“Hah! Pinjam?”Riyadh dihujung talian ketawa serta merta. Suara
Fazzura cemas bila dengar dia cakap begitu.
“Eh! Saya call awak ni suami awak tak ada ke? Sorrylah… memang nampak macam tak manis
sangat ni. Dah lewat satu hal. Call isteri
orang pulak satu hal. Saya mintak maaf ya”
“Hmm…suami saya tak
ada.” Balasnya perlahan.
“Yalah, walaupun dia
tak ada tapi bukan alasankan untuk saya call
awak dan awak pulak jawab panggilan dari lelaki lain. Berdosa jugak tu. Tapi last ni saya nak pinjam anak-anak awak
esok. Boleh tak? Awak bagi alamat yer.”
“ Apa maksud awak nak
pinjam tu?”
“Maksud saya awak bagi saya keluar dengan
anak-anak awak yang comel tu. Saya rindu betul kat dia orang berdua tu. Tak
tahu kenapa. Bagi saya keluar kejap jer dengan diorang berdua tu.” Dia terus
berterus terang dengan niat asalnya. Memanglah ayatnya tu ada salah. Ingat
barang mainan ke nak pinjam-pinjam anak orang. Hesy! ni semua Annis lah ni.
Orang ajak kahwin tak nak. Kalau tidak tentu tak payah nak pinjam-pinjam anak
orang lagi.
“Awak buat saya
takut...” balas Fazzura lambat. Riyadh di
hujung talian sudah ketawa kuat.
“Itupun kalau awak
dengan husband awak izinkan.”
“Dia tak kan pernah
kisah pasal anak-anak lagi.” luah Fazzura perlahan tapi jelas di pendengaran. Riyadh
terpampan dia talian. Apehal pulak Si
Fazzura ni nak cakap macam tu.
“Awak ni macam ada
masalah je? Boleh ke kalau saya nak tahu?”Penyibuknya kau Riyadh. Masalah kau
pun tak selesai-selesai. Sibuk nak jaga hal tepi kain orang pulak! Bentak
hatinya sendiri.
“Sorrylah saya sibuk je kan tanya. Jadi, awak bagi ke tak saya nak
keluar dengan anak-anak awak ni?” dia terus kembali kepada topik asal. “Awak
janganlah risau. Saya ni dalam kalangan orang yang baik-baik.” Puji diri
sendiri lagi. Blahlah kau Riyadh!
“Zaman sekarang ni
manusia talam bermuka-muka. Kita tak tahu apa ada dalam hatinya.” Fazzura
bimbang.
“Ayat tu tak payahlah
awak nak putar belit alam sangat. Kalau awak keberatan nak izinkan saya keluar
dengan anak-anak awak tak pelah.Saya ni bukan jenis talam yang bermuka-muka
pun. Tapi, kalau saya nak kena tanya dengan husband
awak pun tak pe. Awak bagi saya cakap dengan dia.”
Fazzura kian serba salah. Masalahnya sekarang
Aqil pun entah ke mana. Entahkan berseronok dengan perempuan di luar sana. Berapa kali dia nak cakap yang suaminya tak
faham.
“Zurra, kalau benda ni
macam menyusahkan awak...tak payahlah.” tegurnya semula setelah tiada apa-apa jawapan. Dia yang
ada masalah dengan Annis. Nak heret Zurra sekali buat apa. Perempuan tu tak ada
kaitan pun. Tapi, sumpah dia rindu kat Aqilah. Rasa tenang bila pandang wajah
comel tu. Allahuakhbar. Payah anak orang.
“Bila awak nak ambil
dia orang?”.
“Esok boleh?” Mak ai,
gila betul kau Riyadh.
“Okey, baiklah. Nanti
saya beritahu di mana. Assalammualaikum.” ucap Fazzura. Talian terus diputuskan.
Riyadh senyum lebar menampakkan sebaris
giginya yang tersusun cantik. Kalau sebelum tadi wajahnya mencuka tapi sekarang
sudah berkilo-kilo manisnya. Tidak sabar untuk menanti hari esok. Hilang resah
dan gundahnya memikirkan pasal Annis yang tak nak kahwin tu. Asyik nak jaga
sangat body dia tu. Lantaklah! Yang
terbayang di mindanya sekarang celoteh Aqilah dan kemanjaan Fazmizie. Serius,
anak-anak kecil itu buat jiwanya jadi kacau bilau. Alahai kenapa dengan dia.
Kenapa ni? Seronok lain macam. Dia terus bangun dari kerusi dan mencapai kunci
kereta. Langkah kakinya laju menuju ke kaunter untuk buat bayaran. Sampai
sahaja terus dihulurkan wang kertas lima puluh ringgit. Dia bergerak dengan
senyuman.
“Abang! Tunggu ambil baki
dulu.”
“Eh! Tak pelah. Abang
sedekah tu…kira halal.” Dia angkat tangan. Budak lelaki yang jaga kaunter tu
pandang dia pelik. Mesti tak percaya. Alah…apalah sangat dengan baki tu. Yang
penting hari esok. Dia senyum lebar. Sah! Dia memang dah gila.