Saturday, December 31, 2011

Hangatnya Cinta - Bab 22

 “MAK PIAH, malam nanti saya nak buat majlis ulang tahun Irma. Saya nak Mak Piah masak lebih sikit. Saya dah suruh dia orang di pasar hantarkan barang-barang untuk di masak nanti. Saya nak Iskandar dan Izreen balik. Saya dah cakapkan pada Iskandar sebentar tadi. Izreen pula tak tahulah. Susah sangat nak di hubungi.  Sekejap kata ada di luar Negara, sekejap kata di dalam Negara. Nak balik ke rumah ni pun jauh sekali. Sejak dia berkahwin dengan si Ikram tu baru sekali dia orang pulang. Hairan sangat saya.!”tutur Datin Rozita panjang lebar pagi itu.

“Baik, Puan..tapi nak masak menu apa untuk malam nanti?” soal Mak Piah pula. Baju yang berada di tangannya itu terus di sidaikan di ampaian biru itu

“Saya ingat nak mintak mak Piah buatkan nasi beriani dan ayam masak merah. Yang lain-lain itu terpulanglah pada mak Piah.”

“Ramai ke tetamu untuk malam ini?”

“Tak adalah ramai sangat. Tapi, yang penting Iskandar dan Izreen mesti ada.!” ujar Datin Rozita lagi.

Mak Piah anggukkan kepalanya tanda faham apa yang Datin Rozita cakapkan. Datin Rozita terus berlalu masuk ke dalam rumah. Mak Piah terus menyambung tugasnya. Di dalam hati tertanya-tanya mahukah Izreen pulang setelah apa yang Datin Rozita buat pada dia. Sudah lama Izreen tidak pulang. Terlalu dalam rajuknya hingga sukar untuk di pujuk. Dia hanya tahu khabar berita Izreen pun melalui Iskandar sahaja. Iskandar walau dalam apahal pun mesti akan ceritakan pada dia. Sudah bagaikan tiada rahsia di antara mereka berdua. Dia sudah mengganggap anak-anak majikannya itu sebagai anak sendiri.

Tapi, Iskandar pun dah lama tidak pulang ke Teratak Qaseh ini. Bagaimanalah agaknya kehidupan dia dengan Nur Nilam. Doanya agar semuanya baik-baik belaka. Semoga perkahwinan yang di rancang itu akan membibitkan cinta di hati masing-masing.
***

“Kak Reen bukan tak mahu pulang Is, tapi..

“Tapi  apa lagi Kak Reen?Sampai bila kak Reen nak salahkan mama?Dah hampir tiga tahun Kak Reen. Kak Reen boleh minta fasakh. Tapi, kak Reen sendiri yang tak nak. Is tak fahamlah kenapa? Kak Reen sebenarnya cintakan abang Ikram tu kan?

Kata-kata terakhir dari Iskandar itu membuatkan rona di wajah Izreen bertukar warna. Mulutnya terkunci seribu bahasa. Bagaimana lagi mahu menyembunyikan bahasa jiwa jika Iskandar begitu pandai untuk menekanya.

“Kak Reen tak tahu, Is.. Tapi yang pasti Kak Reen masih berat hati untuk pulang. Lagipun hanya majlis ulang tahun Irma sahaja. Rasanya jika, Kak Reen tak pergi pun majlis itu tidak aka nada cacat celanya.”

“Siapa kata tak ada?Kita dah lama tak duduk semeja Kak Reen. Kak Reen tak kesiankan Irma?Tentu dia sedih bila Kak Reen tak ada. Cukuplah Kak Reen tak hadir semasa majlis Iskandar dan Nilam dulu,”pujuk Iskandar lagi. Dia tekad walau apapun Kak Reen mesti pulang malam ini.

Kebetulan pula sewaktu dalam perjalanan dia datang untuk menghantar kereta waja milik Kak Reen, mamanya telefon dan beritahu tentang majlis malam nanti. Dapatlah juga dia pujuk kakaknya ini. Memang tak mudah nak lupakan kisah yang berlaku tiga tahun dahulu. Dia melihat kesedihan di wajah Kak Reen bila terpaksa berkahwin dengan abang Ikram. Tapi, Kak Reen juga seakan redha dengan nasibnya. Iskandar yakin yang Kak Reen sebenarnya mencintai abang Iparnya itu. Jika tidak kenapa Kak Reen tidak tuntut sahaja fasakh.

“Kau pun tahu Is, sebab apa Kak Reen tak mahu pulang. Kak Reen tak bersedia untuk berhadapan dengan mama. Kalau papa seorang saja Kak Reen masih mampu menghadapinya. Kau pun tahu mama macam mana?”

“Sebab itulah Is nak Kak Reen pulang. Kak Reen berterus terang sajalah dengan mama dan papa,”

“Tak semudah tu, Is..ini soal hati dan perasaan. Kak Reen tak nak rosakkan majlis ulang tahun Irma.  Cadangan kamu tu tak masuk akallah,”

“Terpulanglah pada Kak Reen. Kak Reen nak terus hidup macam ni sampai bila? Kurang ajar betulkan abang Ikram tu!Kalau Is jumpa dia tahulah apa Is nak buat.!”jari jemarinya di genggam. Rasa macam nak je dia tumbuk abang iparnya itu.

“Hah!sudah!Kamu jangan nak keruhkan lagi keadaan,”

“Tak salah untuk kita ajar orang yang salah!Tak gitu Kak Reen?”

“Cubalah kawal sikit emosi kamu tu, Is. Dah jadi suami orang pun tapi barannya masih tak ubah-ubah. Angin satu badan. Nasiblah Nilam tu tahan. Tapi, agak malang jugalah dia sebab dapat adik akak ni,”Izreen terus ketawa besar bila melihat raut wajah Iskandar yang terkejut dengan kata-katanya itu.

Tidak lama kemudian Iskandar kembali normal. Ada benarnya kata-kata Kak Reen itu. Tapi, kalau dah jodoh tu buatlah macam mana pun. Pasti akan bersatu juga. Sudah puas mengelak akhirnya tersangkut juga di dahan cinta.

“Kak Reen macam mana?”

Soal Iskandar pula setelah lama berdiam.

“Macam mana apa pula?”soal Izreen kembali. Tidak faham.

“Nak balik ke tidak malam ni?”

“Hurmm,baiklah..Kak Reen akan pulang nanti. Tapi, abang Ikram?”

“Banyak alasan yang boleh Kak Reen berikan pada mama dan papa bila dia orang tanya nanti. Tak usahlah fikirkan sangat. Apa yang penting Kak Reen pulang malam nanti,”

“Okey..Kak Reen pulang..”

“Janji?”

“Kau ingat Kak Reen macam kau ke?Janji..janji tapi selalu mungkir janji. Macam yang selalu kau buat pada Nilam tu?”

Iskandar tersenyum mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Izreen itu. Asyik dia yang terkena. Mungkir janji?Itu waktu mula-mula dululah. Sekarang mana ada. Dah seriklah!

“Itu waktu mula-mula dulu bukan lagi sekarang. Kalau Nilam tak ada saya boleh jadi gila,”balas Iskandar lagi dengan muka serius.

“Is, jangan terlalu meletakkan harapan setinggi gunung. Kak Reen takut kau kecewa lagi,”

“Jangan bimbang Kak Reen. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja,”ujar Iskandar semula. Kalau di awal tadi kisah Kak Reen yang menjadi tajuk utama kini kisah dia dengan Nilam pula. Awalnya tadi nak bawa  Nilam sekali tetapi kesian pula sebab Nilam pun masih lagi belum sembuh sepenuhnya.

***

Mereka sampai di teratak Qaseh tepat 8 malam. Waktu itu belum ramai lagi tetamu yang datang. Iskandar terlebih dahulu melangkah keluar sebelum membuka pintu kereta di sebelah penumpang.

“Terima kasih.”Ucap Nur Nilam sambil mengukir senyuman untuk Iskandar.

Welcom dear,”balas Iskandar pula sambil tersenyum manis pada Nur Nilam.

Hanya mereka berdua sahaja yang datang kerana Puan Syarifah tidak mahu turut serta. Sejak akhir-akhir ini dia selalu sahaja diserang deman. Kadang kala Nur Nilam sendiri risau nak tinggalkan ibunya seorang diri di rumah. Puas diajak tapi ibunya itu tetap tak mahu pergi.  Kesian ibu..bisik hatinya lagi.

            Mereka kemudian beriringan masuk ke dalam rumah dengan berpakaian sedondon. Iskandar nampak segak sangat dengan memakai kemeja bewarna kelabu serta di padankan dengan seluar jeans bewarna biru itu. Padanlah dengan kulit Iskandar yang hitam manis itu. Manakala Nur Nilam pula memakai baju  kurung moden dari warna yang sama. Rambutnya pula di biarkan terburai walaupun sebenarnya dia agak rimas. Tapi, dia tahu Iskandar sangat sukakan rambutnya ini. Awalnya tadi dia ingat nak sanggulkan sahaja rambutnya ini tetapi luka di kepalanya itu pula menjadi penghalang. Masih belum pulih sepenuhnya.

            Masuk sahaja ke dalam rumah semua mata yang ada tertumpu ke arah mereka berdua. Paling tak sanggup nak lihat riak wajah seseorang yang dia sendiri tak tahu bahawa orang itu menjadi jemputan mamanya. Senyuman di bibir Iskandar mati serta merta. Nur Nilam menggenggam erat jari jemarinya. Samada menyalurkan kekuatan atau memohon kekuatan dia sendiri tidak pasti.

“Dah datang pun anak mama..ingatkan dah lupa jalan pulang ke teratak ni,”ucap mamanya lagi. Iskandar tersengeh mendengar kata-kata itu. Nur Nilam pula hanya tersenyum kelat.

“Ibu Nilam tak datang sama? Kenapa tak bawa dia sekali?”soal Datuk Ismail sewaktu Nur Nilam menyalami tangan papa mertuanya itu.

“Tak, papa..Ibu tak berapa sihat tadi. Dia kirim salam,”tutur Nur Nilam pula.

“Dia tinggal seorang dirilah di rumah. Kesian dia..”ujar Datuk Ismail lagi. Nur Nilam hanya tersenyum. Kalau papa mertuanya sendiri seolah-olah risau apatah lagi dia yang anak. Lagi risau jugalah.

Dia kemudiannya bergerak kea rah Kamalia yang sedang memberi susu kepada anaknya itu. Tangan dihulurkan beserta sebuah senyuman. Namun, disambut hambar sahaja oleh Kamalia. Hendak tak hendak je. Dia kemudiannya mengalih pandang ke arah Iskandar yang sedang duduk berhadapan dengannya. Iskandar menjeling tajam padanya. Tahu yang Iskandar tak suka dia pergi bersalaman dengan wanita itu. Dia kemudiannya kembali mengorak langkah ke  arah Iskandar sebelum duduk di sebelah suaminya itu.

“Nilam mama nak minta kau pergi tolong Mak Piah. Mama nak mintak tolong  Kamalia tetapi susah pula. Anaknya itu masih belum sihat lagi. Kau sajalah yang tolong,”tutur Datin Rozita semula.

“Mama, Nilam pun tak..

“Eh..tak apa, biar Nilam tolong,!Abang, Nilam ke dapur dulu ya..” Nilam lebih laju memotong kata-kata Iskandar.

“Sayang..awak tu kan sakit,”balas Iskandar pula separuh berbisik.

“Tak apalah abang, Nilam dah okeykan. Lagipun kepala Nilam je yang cedera. Tangan Nilam masih okey lagilah. Nilam pergi ke dapur dulu ya..tak sabar nak jumpa Mak Piah,’ujar Nur Nilam lagi sambil tersenyum.

“Oh, patutlah pun isteri abang ni tak sabar nak jumpa Mak Piah rupanya. Kalau begitu abang ak ikut jugalah!”ucap Iskandar pula. Mereka bangun serentak meninggalkan ruang tamu itu sebelum beriringan menuju ke dapur.

Kamalia ketap bibir. Sengaja nak bagi aku sakit hati dia orang berdua ni!bentak hatinya tiba-tiba. Perasaan cemburu menyelinap di seluruh  urat-urat saraf yang ada. Wajah anaknya direnung. Kekuatannyakini hanyalah pada anaknya sahaja. Entahlah, apakah ini balasan untuknya yang melukai. Balasan untuk sumpah janji palsunya dahulu. Mungkin!

“Alhamdulillah,syukur..Mak Piah gembira sangat-sangat dengan apa yang Mak Piah lihat,”ucap Mak Piah apabila Iskandar dan Nur Nilam yang datang ke arahnya

“Aik, Is belum cerita lagi Mak Piah dah tahu?”soal Iskandar pelik.

“Ya lah? Macam mana Mak Piah tahu?”sambung Nur Nilam pula.

Mak Piah senyum melihat wajah kedua-duanya. Rasa hatinya tak pernah silap. Kemesraan yang Iskandar dan Nur Nilam tunjukkan sebentar tadi sudah cukup untuk mengukuhkan kata hatinya.

“Kamu tak berlakon lagikan?”soal Mak Piah pula.

“Tak!”jawab mereka berdua serentak. Kemudian ketiga-tiganya ketawa.

“Syukur, Allah telah bukakan pintu hati kamu berdua. Kamu berdua sudah di takdirkan untuk bersatu. Jadi sama-samalah jaga rumahtangga  dengan baik. Jadi suami dan isteri yang baik dan tahu pada tanggungjawab masing-masing,”ujar Mak Piah lagi sambil meletakkan buah oren yang telah di basuk ke dalam raga biru itu.

“Terima kasih, Mak Piah. Nilam akan sentiasa ingat pada nasihat-nasihat Mak Piah,”balasnya pula. Iskandar yang mendengar hanya tersenyum.

“Yang kamu tersengeh-sengeh ni kenapa Is?”

“Habis tak kan Is nak menangis pula?”

“Itulah dulu ego sangat. Tak nak! Tak nak! Sekarang?”

“Nak!” jawab Iskandar sebelum tertawa gembira kemudian mengejitkan matanya beberapa kali kepada Nur Nilam. Mahu mengusik isterinya itu. Dia tahu Nur Nilam malu dengan usikan nakalnya itu. Tambahan pula di depan Mak Piah. Lagi sakanlah usikannya.

“Mak Piah, biar Nilam potong buah ni,”

Nur Nilam segera mengambil pisau yang di pegang oleh Mak Piah itu.

“Tak menyusahkan kamu ke?”

“Taklah, potong buah je. Tak ada yang susah pun,”

“Abang nak buat apa?”Iskandar menyoal.

“Kamu pun nak tolong juga ke Is?”

“Nak tolong tengok je lah!”

“Ish budak ni!tak habis-habis nak menyakat orang. Kenapa tak pergi duduk je di depan tu,”

“Malaslah!tetamu mama tu pun ada di depan.”

“Tetamu yang mana satu?”

“Kamalia..” jawab Nur Nilam perlahan tapi cukup jelas di pendengaran telingan Mak Piah.

“Oh!patutlah berkepit dengan Nilam je dari tadi. Kamu jangan nak berubah hati Is..”

“Mak Piah jangan risau. Hati saya dekat Nilam sorang je. Lagipun saya takut Mak Piah ketuk kepala saya dengan senduk tu nanti kalau saya berubah hati!”iskandar ketawa lagi. Entahlah kenapa, yang pasti hatinya yang sebenar-benarnya tidak tenang. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu berhadapan dengan Kamalia lagi. Cukuplah yang terakhir sewaktu dia menolong Kamalia dan anaknya tempoh hari.

Jeritan di ruang tamu mematikan gelak tawanya. Dia bangun dari kerusi itu di ikuti dengan Nilam dan Mak Piah. Kemudian langkah kaki ketiga-tiganya terhenti di situ. Iskandar dan Nur Nilam saling memandang di antara satu sama lain. Kemudian mengukir senyuman gembira.

Irma sedang memeluk erat Kak Reen. Bagai melepas rindu dendam yang tiada kesudahan. Akhirnya, Kak Reen datang  juga setelah agak lama dia tidak pulang ke Teratak Qaseh ini. Nur Nilam pandang wajah Iskandar sekali lagi. Ternyata Iskandar terlalu gembira. Dia sendiri tidak berapa tahu pasal kisah hidup Kak Reen. Apa yang dia tahu Kak Reen dah kahwin tetapi bukan dengan calon pilihan hatinya. Ianya adalah di sebabkan kehendak mama. Hingga ke hari ini dia sendiri tidak pernah melihat suami Kak Reen. Apa yang dia nampak Kak Reen adalah seorang wanita yang tabah berdepan dengan dugaan hidup.

Dia kembali semula ke dapur meninggalkan Iskandar dan mak Piah untuk meneruskan kerja-kerjanya yang masih belum selesai. Dalam termenung memikirkan keseronokkan Iskandar tiba-tiba sahaja handphone yang berada di dalam beg tangannya berbunyi. Apa lagi kelam kabut jugalah dia.

“Siapa pula ni?”rungutnya sambil mengambil handphone itu.Hanya nombor yang tertera.

“Hello..siapa ni?soalnya pantas

“Hai..apa khabar Qaseh?”soal suara di talian. Nur Nilam mengerutkan kening. Jarang ada orang yang memanggilnya dengan panggilan Qaseh. 

“Siapa ni?”Nilam menyoal sekali lagi.

“Maaflah kalau saya mengganggu awak. Saya yang langgar kereta awak tempoh hari tu..”

Nur Nilam diam. Pelik sebenarnya macam mana lelaki yang melanggar keretanya tempoh hari mengenali dia sedangkan dia sendiri tak beritahu namanya pada lelaki tersebut.

“Qaseh..kenapa diam?Maaflah kalau saya ganggu awak,”ujar lelaki itu lagi.

“Oh..tak..tak..Cuma saya pelik macam mana encik boleh tahu nama saya,”

“Panggil saja saya..hurmm Abang Am. Itu tak penting Qaseh, cuma saya nak tahu bagaimana dengan kepala awak yang luka tu? Berapa bayaran untuk kereta awak yang rosak tu?” soal lelaki itu lagi. Dia bahasakan dirinya abang Am?Agaknya sebab lelaki itu lebih tua dari dia. Bimbang juga jika ada maksud lain. Manalah tahu, manusia ni berbagai-bagai.

“Okey..kepala saya dah okey. Cuma luka tu belum sembuh sepenuhnya. Tentang kereta tu tak apalah. Abang Am tak perlu bayar sebab suami saya dah uruskan segala-galanya. Kereta tu pun dah keluar bengkel hari ini.”

“Ye ke? Saya rasa bersalah pula. Sepatutnya saya yang perlu bayar kos kerosakan tu,”

“Tak apa..bukannya teruk pun..sikit sahaja,”

“Kalau tak teruk tentu Qaseh tak tercedera bukan. Apa-apa pun abang Am minta maaf. Sampaikan salam abang Am pada suami Qaseh ya..manalah tahu jika takdir menemukan kita lagi selepas ini,”ujar abang Am sebelum memutuskan talian.

Nur Nilam tersenyum. Aneh mendengar kata-kata lelaki tadi. Tak mengapalah kerana semuanya sudah pun selesai. Dia kembali meletakkan handphone ke dalam beg tangannya.  Buah-buahan yang sudah siap di potong tadi ingin disusun ke dalam pinggan.

Tapi, sekali lagi kerja itu terbantut apabila bayang wajah Kamalia tiba-tiba sahaja muncul di depan mata. Merenungnya seperti nak telan.

“Aku dah agak yang kau tu bukannya baik mana pun. Di depan Iskandar bukan main lagi. Pijak semut pun tak mati. Tapi di belakang bukan main lagi kau menggatal yek?”

“Apa yang awak cakap ni Kam?”

“Kau jangan nak buat-buat tanya pada aku pula?Kau ingat aku tak dengar apa yang kau cakapkan tadi. Apa tu? Abang Am...wah..siap berabang-abang lagi,”

“Awak dah salah faham Kamalia,”

“Salah faham? Hey!Perempuan tak sedar diri!Aku bukannya pekak!Tak dengar apa yang kau cakapkan.! Macam manalah Iskandar boleh ambil kau jadi isteri dia. Kesian Is, kena tipu hidup-hidup dengan perempuan macam kau ni. Aku benci la tengok kau betina!”bentak Kamalia kasar.

“Kau ingat aku akan pastikan Iskandar jadi milik aku semula. Kau ingat tu betina!”

 “Kamalia!!”

Jeritan yang datang dari arah pintu membuatkan Kamalia tersentak. Kedua-duanya berpaling. Suara itu cukup membuatkan muka Kamalia berubah warna. Mata yang merenung itu juga cukup tajam bagai ada sembilu di dalamnya. Wajah itu merah menyala bagaikan sedang menahan amarah yang membara. Kamalia getar tetapi tidak bagi Nur Nilam yang sudah mula tersedu sedan!


P/S: Cer komen..cer komen..hehehe...

Thursday, December 29, 2011

Hangatnya Cinta - Bab 21

Selesai sahaja kerjanya, Iskandar terus kembali menuju ke biliknya. Tidak mahu menunggu lama kerana sejak dari siang tadi lagi dia masih lengkap berpakaian kemeja dan seluar slack hitam. Jadi, dia mahu segera membersihkan diri kerana dia tahu waktu maghrib juga sudah hampir tiba ke penghujungnya. Dia tidak mahu terlepas hanya di sebabkan kusyuk pada perkara-perkara duniawi sahaja.
            Sepuluh minit berlalu, dia terus keluar dari bilik air dan berjalan menuju ke almari pakaian. Sehelai t’shirt bewarna merah hati disarungkan segera ke tubuhnya. Sekali lagi kepalanya disuakan ke dalam almari itu untuk mencari kain pelikat miliknya. Jumpa sahaja terus dipakainya. Kemudian sejadah yang juga terletak di dalam almari itu di ambil lalu di hamparkan di tempatnya.

            Selesai sahaja menunaikan solat maghrib dia segera menyimpan kembali sejadah itu di tempat asalnya. Terasa tenang sahaja hati bila selesai solat. Tadi sewaktu belum mandi dia rasa seperti nak lelapkan mata dengan segera. Tapi tubuh yang telah disirami air terasa segar bugar. Jadi niatnya untuk terus tidur di biarkan sahaja berlalu. Lagipun jam masih awal lagi. Malam juga masih muda. Cuma malam ini agak dingin sedikit terasa. Tapi di luar sana bulan masih setia memancarkan cahayanya.
 Dia mencapai pula remote telivesyen lalu punat ON segera di tekan.Tidak ada satu pun rancangan yang bisa menarik perhatiannya. Nak keluar lepak dengan kawan-kawannya dia rasa malas pula. Lagipun keretanya masih dalam ‘bilik rawatan’. Hai..nampak gayanya dia perlu mencari satu lagi kenderaan. Kalau kecemasan macam ini tidaklah dia kelam kabut sangat nak pinjam kereta kakaknya. Bukannya sebelum ini dia tidak mampu nak beli cuma dia tidak nampak kepetingannya pun kalau dia pakai kereta banyak-banyak. Tapi sekarang dia bukannya bujang lagi. Dah jadi suami orang. Memang patutlah kalau dia nak beli pun. Tak kan nak harapkan Honda Civic Mugen kesayangannya itu saja.

Nur Nilam yang sejak dari tadi lagi berada di dalam bilik itu hanya menjadi pemerhati kepada Iskandar yang langsung tidak memandangnya. Tegur apatah lagi. Boleh buat selamba sahaja seolah-olah dia langsung tidak wujud di dalam bilik ini. Padahal sejak dari Iskandar masuk tadi lagi dia terlebih dahulu berada di dalam bilik mereka ini. Tahulah dia yang Iskandar benar-benar marah kepadanya. Kerana kata-katanya siang tadi telah menyebabkan Iskandar berubah menjadi seorang manusia bisu. Senyap tanpa sepatah kata.
Manalah dia tahu kiranya kata-katanya itu membuatkan Iskandar merajuk sampai begini sekali. Dia hanya inginkan yang terbaik. Itu sahaja. Tapi dia terlupa apa yang terbaik untuk dia belum tentu yang terbaik untuk orang lain. Jadi, mahu atau tidak dia harus memujuk Iskandar kembali. Tak sanggup rasanya nak pandang wajah Iskandar yang serius tu lama-lama. Dia rindukan Iskandar yang selalu senyum manis padanya. Rindukan usikan-usikan nakal Iskandar padanya. Dia mahukan semua itu.
            Dia segera turun dari katil lalu mengorak langkah perlahan sahaja menghampiri Iskandar yang sedang duduk di atas sofa itu. Dia mengambil tempat di sebelah Iskandar. Matanya pula tidak lekang dari memandang wajah kacak itu walaupun dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang wajah itu. Langsung tidak berkata apa-apa. Padahal dia tahu yang Iskandar sebenarnya menyedari kehadiran dia. Bohong sangatlah kalau tak sedar. Bukannya Iskandar buta.
“Abang, Nilam minta maaf..”ucapnya perlahan sambil merapatkan tubuhnya di tubuh Iskandar. Dia mahu terus merasai kehangatan tubuh itu walaupun Iskandar hanya kaku dan dia juga diburu rasa malu.
“Abang..”kali ini dia memanggil manja. Tangannya terus sahaja melingkar di pinggang Iskandar sebelum kepalanya dilentokkan ke bahu Iskandar. Masih ada ngilu yang terasa dek luka yang masih belum sembuh itu.Seumur hidupnya tak pernah pun dia pujuk orang. Pujuk hati sendiri selalulah. Tambah-tambah nak pujuk suaminya ini. Alahai, sensitif juga rupanya Iskandar.
 Iskandar masih lagi kaku. Hanya hembusan nafasnya sahaja yang kedengaran. Sekali sekala apa salahnya kalau dirinya pula yang dipujuk. Asyik nak pujuk orang je. Dia pun nak juga merasainya.
“Abang, janganlah diam macam ni?Abang cakaplah..tak pun abang teringin nak jadi bisu,”
Iskandar diam lagi. Mukanya serius sahaja walaupun yang sebenarnya dia mahu ketawa mendengar kata-kata isterinya itu. Masih sempat nak mengusik sama seperti yang selalu dia buat bila Nur Nilam merajuk. Sebab itulah rajuk yang pendek boleh jadi panjang dek sikapnya yang suka mengusik itu.
“Abang...”kali ini giliran rambutnya pula menjadi perhatian jari jemari Nur Nilam. Dari rambut, kening, hidung dan yang terakhir jari jemari itu bermain-main dengan bibirnya pula. Arghh!Nilam memang pandai menggoda. Patutlah dia kalah. Nak je dia gigit-git jari jemari tu tapi hati lelakinya masih lagi ego. Masih belum mahu mengalah. Biar Nur Nilam tahu yang dia memang tak suka bila hati dan perasaan jadi bahan mainan.
“Abang..cakaplah. Jangan diam macam ni.”
“Nilam buat apa ni? Abang tak sukalah!” akhirnya terkeluar juga suaranya. Jari jemari Nur Nilam di tolak hendak tak hendak je. Sebabnya dia sendiri suka di perlakukan begitu. Bukan selalu tau nak dapat layanan yang macam ni. Nur Nilam masih malu dengan dirinya. Masih dalam tempoh suai kenal. Tapi memang best betul bila bercinta lepas kahwin. Nak buat apa pun semua halal. Setiap hari ada sahaja benda yang dia handak tahu tentang isterinya. Hati sentiasa rasa nak duduk berkepit 24 jam. Berpisah sekejap pun rasa macam dah sasau. Ah!Nur Nilam benar-benar buat dia rasa tak tentu arah.
“Nilam tak buat apa.. Nilam cuma nak duduk dekat orang yang merajuk walaupun orang tu tak tahu yang Nur Nilam Qaseh ni bukanlah seorang yang pandai memujuk,” balas Nur Nilam lagi sambil ketap bibir.
“Rasanya dalam bilik ni ada banyak lagi ruang-ruang kosong yang boleh Nilam duduk,”ucap Iskandar lagi beserta senyuman sinis. Raut wajah masih lagi serius. Masih mahu menduga sekeping hati ini.
“Jadi, abang tak mahu duduk dekat Nilamlah?
“Kalau ya kenapa?”balasnya lagi.
“Kenapa abang selalu buat Nilam begini?”
“Sebab Nilam sendiri yang mintak abang jadi macam ni? Jadi jangan nak salahkan abang bila jadi keadaan yang macam ni.!”balasnya serius sahaja. Langsung tak pandang wajah Nur Nilam yang seratus peratus sudah bertukar warna.
“Abang, Nilam cuma nak yang terbaik untuk abang sebab Nilam tahu Nilam hanya menumpang kasih abang...”
“ Nilam pasti apa yang Nilam buat tu terbaik untuk abang. Bagaimana dengan perasaan abang pada Nilam? Nilam tak mengerti hati abang ini bagaimana?Tak faham apa yang abang selalu cakap? Apa yang selalu abang harap?Kenapa mesti nak cakap benda yang abang tak suka? Kenapa masih lagi hendak mengulit kenangan yang abang sendiri sudah buangnya jauh-jauh?Kenapa?”
“Sebab..”
“Sebab Nilam tak sayang abang? Sebab Nilam tak mencintai abang! Sebab Nilam lebih rela tengok abang jatuh ke tangan orang lain daripada cuba untuk mempertahankannya,”
“Abang..bukan macam tu maksud Nilam..” jari jemari lelaki Iskandar di raihnya. Namun, di tepis perlahan oleh Iskandar. Sememangnya dia masih belum mahu mengalah.
“Abang tahu abang bukan yang terbaik untuk Nilam. Mungkin di luar sana masih ada lagi lelaki yang terbaik untuk Nilam. Sebab itulah Nilam sukar sangat nak mempertahankan segala-galanya. Harapan abang tak kesampaian. Hanya abang seorang sahaja yang tergila-gilakan Nilam. Yang mencintai Nilam. Tapi, Nilam tak!” ungkap Iskandar lagi. Menyentuh hati dan perasaan sangat-sangat. Mahu terus menduga sekeping hati milik Nur Nilam.
“Abang!apa abang cakap ni? Abang tak percaya pada hati dan perasaan Nilam pada abang? Macam tu ke?”soal Nilam pula.
“Entahlah..macam mana abang nak percaya sebab Nilam sendiri tak pernah nak yakinkan abang,”
Perlahan-lahan Nur Nilam meleraikan pelukannya. Ada cecair hangat yang mula mengambil tempat di kelopak matanya. Ternyata air jernih itu mahu terus mengalir. Sampai hati Iskandar buat begini padanya. Bukankah segala-galanya milik dia sudah jadi milik Iskandar. Jika dia tidak ada cinta semua itu juga tidak akan berlaku. Keyakinan yang macam mana lagi Iskandar mahukan darinya. Hanya di sebabkan kata-katanya siang tadi Iskandar mahu terus menghukumnya begini. Mahu melayannya begini. Wajarkah?
Kali ini Iskandar pula yang cemas bila Nur Nilam melarikan wajahnya ke arah lain. Mahu menduga pada awalnya sekarang di penghujung dia pula yang terduga kerana membuatkan air mata itu mengalir lagi di pipi Nur Nilam. Ya Allah..
“Sayang..sayang...abang gurau je. Janganlah menangis macam ni. Sayang, please..”Iskandar mula gelabah.
Nur Nilam sudah teresak-esak. Tidak pedulikan lagi pada kata-kata yang keluar dari mulut Iskandar.
“Sayang, dah la..syuhh..diam ek..abang gurau je. Abang dah maafkan sayang siang tadi lagi. Dah la..asyik nak menangis je. Banyak betul air mata sayang yek. Maaflah, abang cakap macam tu..” pujuk Iskandar pula sambil memeluk erat Nur Nilam. Tangannya lembut menepuk perlahan belakang Nur Nilam. Nur Nilam tidak menolak malah membiarkan sahaja walaupun pada awalnya dia cuba mengelak.
“Jadi, abang sengaja nak main-mainkan Nilam!”
“Ye lah!Siapa suruh Nilam cakap macam tu?Tahulah Nilam nak goda abang pun. Nasiblah abang ni tak mudah nak tergoda dengan pujukan sayang tadi. Tapi,abang gembira sebab abang dah tahu yang isteri abang ni memang tak pandai nak pujuk tapi pandai nak goda. Seksi sangat!”
“Abang!”Nur Nilam menampar lembut bahu Iskandar. Air mata yang bersisa di kesat perlahan dengan tapak tangannya. Geram dengan usikan nakal suaminya itu. Dah tu suka perasan. Dia rasa malu sangat. Pandai betul Iskandar menduganya.
“Jangan goda yang lain sudahlah..kalau tidak makan hati berulam jantunglah abang..”
“Mengarut..”
Bila masa pula dia mahu menggoda orang lain. Sikit pun dia tak reti. Iskandarlah lelaki pertama dan terakhir di dalam hidupnya.
 “Nilam minta maaf sebab cakap macam tu siang tadi..”tuturnya lagi.
“Maaf je?Cuba kiss abang sikit?”
“Tak nak!”
“Abang pun tak inginlah sebab Nilam asyik menangis je tadi. Nanti air hingus tu basahkan pipi abang je!”
“Abang!!!!!” Nur Nilam menjerit kuat. Tidak sabar hatinya dengan usikan dari Iskandar. Ada sahaja kata-kata yang keluar dari mulut suaminya itu yang bisa melahirkan perasaan geram di hatinya.
 Kali ini gelak tawa Iskandar bagaikan memecah kesunyian malam. Melenyapkan kisah gurisan hati yang terjadi. Rajuk lenyap di buai asmara kasih yang mewangi. Terasa kebahagiaan sedang menyelimuti hati. Bulan pun turut tersenyum bagaikan tak ingin waktu berlalu.!


p/s:maaflah kalau ada yg kurang..tinggalkan komen agar saya dpt memperbaiki segala kekurangan..okey..



Wednesday, December 28, 2011

Hangatnya Cinta - Bab 20


Kehadiran Jueliana ke pejabatnya benar-benar mengundang kejutan di luar jangkaan. Kedatangan yang lansung tak di undang. Agak kelam kabut juga setiausahanya menghalang Jueliana daripada masuk ke dalam biliknya tadi. Tapi,Jueliana lebih pantas masuk. Jueliana dengan selambanya duduk di atas meja berhadapan dengannya. Dengan skirt hitam paras lutut dan baju yang agak mendedahkan dadanya membuatkan wanita itu benar-benar kelihatan seksi.

            “Apa you nak?”soal Iskandar sambil meletakkan pen yang sedang dipegangnya itu. Dia menyandarkan badannya di kerusi. Matanya tajam sahaja memandang Jueliana yang sedang tersenyum menggoda padanya. Langsung tidak menghiraukan pandangan tajam Iskandar terhadapnya.

            I rindukan you, Is. I ke rumah you semalam tapi auntie cakap you dah lama tak pulang ke rumah. Apalah agaknya ubat guna-guna yang perempuan itu guna sampai you sendiri boleh lupa jalan pulang ke rumah papa dan mama you..”

            Iskandar mendengus kasar sebelum bangun dari kerusi yang di dudukinya.

            I rasa meja ni tak sesuai untuk perempuan seksi macam you duduk. You tak nampak ke dalam pejabat I ni ada benayk kerusi boleh you duduk!” ucap Iskandar lagi sambil mengetuk-ketuk perlahan mejanya itu. Angin benar dia dengan Jueliana. Memang sengaja nak cari pasal betul. Sudahlah masuk ke pejabatnya tanpa keizinan, lepas itu tanpa rasa segan silunya dia duduk di atas meja dengan kaki yang di juntai-juntaikan. Buatlah macam mana pun dia sikit pun tak tergoda. Baru sahaja nak buat kerja sudah ada gangguan-gangguan yang bangang begini.

            You semakin sombong dengan I, Is..”tutur Jueliana sambil berjalan menghampiri Iskandar. Bau wangian yang di pakai oleh Jueliana terasa menyusuk ke hidungnya. Dia kemudiannya menghenyakkan punggungnya di atas sofa bewarna ungu itu.

            I ulang sekali lagi apa yang you nak? I ada banyak kerja nak buat.”soal Iskandar sekali lagi dengan tatapan mata yang tajam.

            I dengar auntie cakap Kamalia dah balik Malaysia? Tentu hati you sedang berbunga-bunga sekarang sebab buah hati yang you cintai tu dah balik. Kesian Nilam..”kata Julieana lagi dengan senyuman yang sengaja di buat-buat.

            “Apa yang you merepek ni, Jue?I rasa kalau dia balik sekalipun itu bukan urusan you. Kenapa you dah tak ada kerja?Asyik nak sibuk hal orang kenapa?”

            You pun tahu Is, hubungan I dengan Kamalia bagaimana. Kami tak pernah baik sejak kita sama-sama study di luar Negara,” ucap Jueliana lagi.

            Mana mungkin dengan mudahnya dia lupa betapa sakitnya hati dia melihat kemesraan di antara Kamalia dan Iskandar sewaktu sama-sama belajar dahulu. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk memikat hati Iskandar tapi ternyata Iskandar tidak pernah mahu melayannya. Hinggalah dengan kehadiran Joseeith hubungan cinta antara Kamalia dan Iskandar akhirnya musnah. Waku itu dia rasa dunia sudah berpihak kepadanya. Tapi sayang seribu kali sayang, kehadiran Nur Nilam menghancur lumatkan sebuah harapan.

            “Itu bukan urusan I sekarang. You nak bergaduh ke? Bertekak ke?itu kau orang punya pasal. I tak ada kaitan lagi dengan semua tu. Tapi, I cuma nak ingatkan sesuatu yang mungkin you lupa. You yang kenalkan dia orang berdua. Semuanya bermula dari you!”

            “Okey!Imengaku  I yang kenalkan dia orang berdua. Tapi, Kamalia yang you puja-puja tu yang lebih-lebih melayan. Maklumlah, Joseeith tu kan menjadi kegilaan di kolej kita. Termasuklah menjadi pujaan buah hati you tu!”balas Jueliana pula dengan senyuman melebar.

            “Oh ye ke?Penting ke untuk you beritahu I semua ni? I rasa tak perlulah you nak bangkitkan kembali cerita lima tahun dahulu. Agaknya you lupa yang I pun dah berkahwin. I dah bahagia hidup dengan isteri I. Jadi, apa kaitannya dengan I?I tak mahu dengar apa-apa lagi. You ada apa-apa lagi ke nak cakap? Sebab I banyak sangat kerja yang lebih penting nak buat.” kata-kata Iskandar benar-benar membuatkan rona di wajah Jueliana berubah warna. Senyumannya lenyap tiba-tiba. Iskandar seperti mahu menghalaunya agar segera keluar dari pejabatnya ini. Reaksi dari Iskandar sudah cukup untuk memberitahunya.

            “I cuma tak mahu you masuk perangkap Kamalia untuk kedua kali,”ucapnya pula sambil bangun dan segera menapak langkah menuju ke muka pintu.

            Iskandar yang mendengar hanya tersenyum sahaja. Dia ingat aku bodoh ke nak masuk dalam perangkap perempuan itu untuk kedua kali. Ah!Perempuan. Bisik hatinya pula.

            “Terima kasih sebab ingatkan I.Tapi, I juga nak ingatkan hati  I agar tidak masuk di dalam perangkap you. Okey!Tolong tutup pintu ya.” Dengan selamba sahaja Iskandar berkata-kata sambil bangun dari sofa itu dan segera berlalu menuju ke mejanya. Saat itu juga pintu bilik di hempas kuat. Sudah tentu nak tunjuk marah pada dia sebab kata-kata yang keluar dari mulutnya tadi sangatlah celupar.

            “Nasib kaulah Jue..”ucapnya perlahan.

Kehadiran Jueliana sekadar mahu mengungkit cerita-cerita yang hanya tingal sejarah. Memang Kamalia pernah menjadi ratu di hatinya. Pernah menjadi wanita yang paling di pujanya. Tapi itu dulu. Kamalia hanya tinggal sebagai kenangan yang mengajarnya mengenali erti perempuan. Meninggalkan pengalaman yang sangat berharga. Kamalia bukan sahaja mengenalkannya dengan erti kasih, tapi juga erti cinta pertama yang terlalu sukar untuk di lupa. Kamalia jugalah yang mengenalkannya tentang kecewa dan sakit hati.Tak mungkin perempuan seperti itu mahu di terima kembali. Lagipun kini, hatinya hanya milik Nur Nilam Qaseh yang abadi. Hanya Nur Nilam yang mampu membuat degupan jantungnya lebih laju dari kebiasaan. Ah! Baru setengah hari dia bekerja perasaan rindunya untuk menatap seraut wajah comel itu sudah membuak-buak. “Sayang, abang rindu...”bisiknya perlahan sambil tersenyum manis.

***

Nur Nilam duduk berhadapan dengan cermin solek itu. Denyut di kepalanya masih terasa. Perlahan-lahan jari jemarinya membuka kain anduh yang sejak dari kelmarin lagi terlilit kemas di kepalanya. Pandai betul Iskandar buat semua ini. Dia pun tak reti nak balut-balut begini.

Dia melihat luka di kepalanya itu di sebalik cermin solek itu. Tumbuh penyesalan di hatinya sebab tak pakai tali pinggang keselamatan. Kalau tidak dia tak akan terhantuk dengan kuat dan sudah tentu kepalanya dapat di selamatkan dari kecedaraan begini.

            Sebenarnya dia rasa kasihan pada Iskandar. Sudahlah kerja di pejabat itu bertimbun-timbun dia pula jadi begini. Baru nak belajar bantu Iskandar dah menyusahkan dia semula. Kesian Iskandar. Kesian sangat-sangat. Ternyata kini, kehadiran Iskandar di dalam hidupnya adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.

            Telefon bimbitnya yang terletak di atas katil berdering-dering. Dia segera mengorak langkah mendapatkan telefon bimbitnya itu. Sudah di duga pasti Iskandar yang akan menghubunginya waktu-waktu begini.

            “Assalammualaikum..”jawabnya sambil duduk di  hujung bucu katil itu.

            “Waalaikumussalam sayang, buat apa?Dah makan ke belum?”

            “Dah pun..Kenapa abang tak makan lagi ke?”

            “Belum!”

            “Kenapa?”

            Jam dah menunjukkan ke angka 2 petang. Tak kanlah buat kerja sampai tak ingat nak makan langsung. Bisik hatinya pula.

            “Tunggu sayang suapkan!”

Selepas itu telinga Nur Nilam mendengar gelak tawa Iskandar. Tahu suaminya itu sedang rancak untuk mengenakkannya. Sukalah tu dapat buat dia bengang.

            “Mengadalah!”

            Balasnya keras. Talian di putuskan. Bukan merajuk tetapi malas nak melayan kerenah suaminya itu. Dalam hati gembira tak terkata bila diri di sayangi. Bila kehadiran yang pada awalnya tak diundang di hargai dan kini ditatang bagai minyak yang penuh. Walaupun dalam apa jua hal Iskandar tidak pernah menunjukkan yang dia itu berharta tetapi Nur Nilam tahu suaminya itu seorang yang suka bersederhana. Cuma barannya sajalah yang tak ada sederhana. Terlebih-lebih adalah.

            Pintu bilik yang di tolak kuat membuatkan jantungnya macam nak luruh sahaja. Terpacul wajah suaminya itu dengan senyuman yang meleret-leret. Maknanya Iskandar sudah ada di dalam rumah sewaktu menelefonnya tadi. Hish..Iskandar anginnya tak boleh di duga.

            “Sayang..for you..”ucap Iskandar romantic sahaja sambil tersenyum manis padanya. Sejambak mawar merah terhidang di depan mata. Dia toleh Iskandar kemudian pandang bunga itu balik. Betul ke?atau dia sebenarnya sedang bermimpi. Tengok brutal je, hari ini dah boleh bertukar jadi mamat jiwang tahap bersawang pula suaminya ini.

            “Sayang, tak sudi nak ambil ke?”kata Iskandar lagi.

            Nur Nilam telan liur. Dalam hati ada getaran yang begitu menggila. Bunga itu di ambil lalu di kucup perlahan. Wangian ros terasa mendamaikan jiwa. Tak sangka bunga ini untuknya.

            “Terima kasih, abang..”ucapnya perlahan. Iskandar senyum lagi. Ah!senyuman itu ibarat panahan petir yang bisa membunuh hati mahupun jiwa yang memandangnya.

            “Suka?”soal Iskandar pula sambil duduk bersebelahan Nur Nilam.

            “Suka! Abang tahu tak Nilam tak pernah dapat bunga dari siapa-siapa. Inilah kali pertama dalam sejarah hidup Nilam..”

            “Iye ke? Samalah macam abang. Seumur hidup abang tak pernah sekalipun abang beri bunga kepada perempuan. Nilam adalah orang pertama yang abang bagi. Sebab tu abang pun tak tahu Nilam suka ke tak. Abang tak pandailah nak pilih-pilih. Takut nanti tersilap beri bunga tahi ayam pula lagi muncunglah mulut Nilam tu.”

            Iskandar senyum lagi. Matanya redup merenung Nur Nilam. Bagai menumpahkan kasih sayangnya di situ.

            “Nilam tak kisah..apa yang abang bagi Nilam terima. Apa yang abang buat pada Nilam pun Nilam redha je. Sebab Nilam terima semuanya. Cinta Nilam tak berkurang dengan keburukan..”

            “Sayang, jangan cakap macam tu. Jangan tambahkan rasa bersalah abang pada sayang. Abang dah banyak buat silap. Dah banyak sakitkan hati sayang. Abang tahu sayang tersiksa dengan sikap abang yang kadangkala tak menentu. Abang menyesal. Maafkan abang..sebab abang juga kepala sayang ni cedera.Abang tak sepatutnya biarkan sayang pergi seorang diri.”

            Nur Nilam rasa sebak tiba-tiba mendengarkan kata-kata itu. Dia tunduk memandang ke lantai.

            “Sayang..tolong jangan nangis. Sayang tu sakitkan. Bunga ini satu terapi untuk orang yang sakit. Nanti bila sayang cepat sembuh dapatlah tolong abang di pejabat,”ucap Iskandar pula sambil mencuit hujung hidung Nur Nilam dengan jarinya. Berharap agar tidak ada air mata yang akan mengalir lagi.

            “Kenapa abang susah-susah nak buat semua ini. Luka Nilam bukannya teruk sangat. Kerja abangkan banyak di pejabat?Kenapa abang balik pula.?”

            “Macam mana abang nak buat kerja kalau asyik ingatkan sayang je?Lagipun kat pejabat tu banyak sangat gangguan. Baik abang duduk dan buat kerja di rumah saja.”

            “Gangguan? Kenapa?Di pejabat abang tu ada hantu ke?”

Kali ini tawa Iskandar sudah pecah berderai mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Nur Nilam. Ada sahaja kata-kata yang keluar dari mulut isterinya itu membuatkan dia tidak gering gusi ketawa.  Rasa macam nak guling-guling je atas lantai sebab dah tak tahan sangat. Mujur, dia masih mampu kawal bila terpandangkan muka tidak puas hati Nilam itu.

            “Kenapa abang ni? Dah gila kot!Dah kena sampuk hantu ke!”

            “Geram betullah abang kat sayang ni!”Iskandar mencubit perlahan pipi Nur Nilam dalam tawa yang masih bersisa.

            “Abang cakap gangguan lain. Bukannya hantu.! Terlebih fikirlah pulak dia.”Iskandar sambung ketawa lagi.

            “Agaknya sebab kemalangan semalam tak? Sebab tu asyik terlebih fikir yang bukan-bukan. Bahaya ni. Semakin parah sakit sayang ni.”Iskandar cuba mengusik.

            “Abang boleh tak berhenti dari ketawa!”

            “Tak boleh!Sebab bila abang pandang  muncung yang mengalahkan burung belatuk sayang tu lagilah abang nak ketawa..Hehehe..” Hilang sudah rasa sedih dan sebak.

            “Suka hati abanglah!”balas Nur Nilam sambil cuba untuk bangun. Namun jangan haraplah bila tangan gagah suaminya itu lebih cepat mencapai pinggangnya membuatkan dia kembali terduduk. Kali ini bukan duduk di atas tilam tapi di atas paha suaminya pula. Ya Allah, dia rasa malu sangat. Rasa muka pun dah bertukar warna. Tapi, berlainan pula dengan Iskandar yang masih dengan selambanya asyik tersengeh-sengeh ke arahnya.

            “Abang  ni kenapa? Nilam tengok abang hari ini pelik je. Abang boleh tak jawab apa yang Nilam tanya?Semalam pun Nilam tanya abang tak jawab-jawab lagi. Dah tu pandai pula tukar topik. Nak mengelaklah tu!”tutur Nur Nilam memecah keheningan yang berlaku. Cuba untuk menghilangakn debaran hatinya. Entah kenapa?Dia sebenarnya masih malu untuk berhadapan dengan suaminya ini.

            Pertanyaan dari Nur Nilam mematikan senyumannya. Pelukan di pinggangnya Nur Nilam makin kuat.Takut Nur Nilam lari bila dia mula bercerita nanti.

            “Abang..semalam..bawa Kamalia dan babynya ke Klinik..”

            Nur Nilam diam. Tapi hatinya tidak. Mendengarkan nama Kamalia sahaja cukup membuatkan dia rasa cemburu beserta pilu. Entahlah. Dia sepatutnya kuat untuk melaluinya kerana jika dia tidak hadir dindalam hidup Iskandar sudah pasti Iskandar akan kembali kepada Kamalia.

            “Sayang..abang buat semua ini sebab simpati. Dia merayu pada abang agar membantunya. Sebab anaknya sakit. Bukan sebab abang masih ada hati lagi pada dia. Tak!Cinta abang hanya untuk sayang..”

            Dadanya semakin berombak kencang. Dia cuba bertahan walaupun dia tidak kuat. Dia cuba memujuk kerana dia sendiri tahu bayi kecil itu memang tidak bersalah. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya hati Iskandar sudah mula lembut.

            “Nilam tahu pasti lambat laun hati abang akan lembut juga.Tak mengapalah, Nilam tak kisah. Nilam tahu dia cinta pertama abang. Cinta pertama yang sukar untuk dilupakan. Siapa Nilam nak menghalang perjalanan dan apa sahaja yang mahu abang buat. Nilam tak kisah sekalipun abang ingin kembali kepadanya semua.

            “Nilam!Apa Nilam cakap ni?Jangan nak merepek boleh tak!Sanggup Nilam cakap macam tu. Nilam ingat abang ni apa? Barang mainan? Macam tu ke?Kenapa perlu cakap lagi tentang hati dan perasaan abang pada dia! Bukan ke abang dah cakap yang cinta abang dah mati untuk dia. Sampai hati Nilam!”

            Nur Nilam terkedu. Apatah lagi Iskandar meletakkan kembali tubuhnya di atas tilam lantas berlalu tanpa sebarang suara. Kalau tadi wajah suaminya itu ceria dek gelak tawa tapi kini masam mencuka. Sikitpun tidak menoleh padanya. Marah sangatkah Iskandar pada kata-katanya sebentar tadi. Ya Allah, aku tak sengaja untuk membuatkan dia berkecil hati.


NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...