Wednesday, July 17, 2013

Elusan Kasih - Bab 11

RIYADH sampai di perkarangan Hospital Parit Buntar tepat jam Sembilan empat puluh lima minit malam. Nombor telefon Fazzura didail berulang kali namun hampa tidak berjawab. Dia keluar dari kereta Alfa Romeo Giulietta miliknya itu. Keaadan di sekeliling hanya di terangi oleh lampu-lampu tiang. Kawasan hospital ini semakin sunyi menjelang malam. Maklum sahajalah waktu melawat hanya dibenarkan sampai pukul tujuh malam sahaja. Dia bersandar di sisi pintu kereta  itu. Sebuah keluhan kecil dilepaskan. Kenapa dengan dia ni? Risau semacam!
Dia pandang tubuhnya yang masih tersarung baju kemeja bewarna hitam dan seluar bewarna kelabu itu. Dari pejabat tadi dia terus bergerak menuju ke sini. Dia hanya berhenti menunaikan solat Maghrib di Perhentian Tapah. Siaplah dia duit untuk bayar saman AES selepas ini. Bayar ajelah. Itulah yang tak seronoknya Malaysia ni sikit-sikit nak saman. Tak tahu kita ni urgent macam mana.
“Riyadh?” Namanya dipanggil. Dia menoleh laju. Jantung seakan berdenyut kencang sebaik sahaja melihat wajah itu. Wajah wanita di hadapannya ditatap kemas. Dengan baju t’shirt putih dan jeans biru gelap. Simple. Rambutnya yang panjang sehingga melepasi paras bahu dibiarkan lepas bebas. Buat seketika matanya tidak berkerdip memandang seraut wajah itu. Ayu, tenang dan mendamaikan walaupun mata wanita itu kelihatan sangat sebam. Ternyata pertemuan ini tidak seperti pertemuan-pertemuan yang lalu. Dia rasa kekok setelah dua bulan tidak bertemu. Di mana yang tidak menariknya wanita ini kerana apa yang matanya pandang sekarang sudah cukup buat dia tertarik.
 Fazzura berdehem perlahan. Tidak selesa dengan cara pemuda itu memandangnya.
“Eh! Zurra...” Riyadh gelabah sendiri.
“Awak dah lama sampai?”
Riyadh angguk.“Macam mana keadaan Fazmizie?”
Anehnya kenapa dia jadi macam ni. Seolah-olah dia tidak pernah bertemu dengan Fazzura. Jelas perbezaan yang amat ketara pada pertemuan kali ini. Dengan Annis tak ada pula nak rasa begini. Tapi dia cuba mengawal. Lelaki beb! Jangan tunjuk sangat kegusaran tu.
Alahai! Lupa nak beritahu Annis yang dia berada di sini. Lupa lagi!
Persoalan dari Riyadh di biarkan tidak berjawab. Tidak mahu pemuda itu terlalu memikirkan anaknya. “Kesian awak datang jauh-jauh semata-mata nak tengok Fazmizie. Dia okey. Keadaan dia okey je. Sorry, tadi saya solat di surau dan tak dengar pun awak call.”
Riyadh angguk sambil tangannya mula menaip mesej untuk memberitahu Annis yang dia ada di sini. Tak nak nanti Annis cakap dia tak sayang pulak. Annis dah setuju terima lamaran dan dia cukup gembira. Jadi seboleh-bolehnya dia mahu menjaga hati bakal isterinya itu sebaik mungkin.
“Awak menyusahkan diri datang ke sini. Esok-esokkan boleh.” Bukan niat Fazzura untuk menghalang kedatangan pemuda ini. Tapi, dia rasa tak perlu pun. Nanti kalau cakap takut lelaki ni berkecil hati pula. Jadi dia pilih untuk cakap dengan susun atur perkataan yang paling sopan.
“Awak tak perlu buat macam ni. Saya beritahu pada awak. Bukan mintak awak datang ke sini.” ulangnya sekali lagi bila Riyadh macam dengar dengan tak apa yang dia katakan.
Riyadh senyum sekilas memandangnya sambil tangan terus menaip mesej kepada Annis. Telinga pulak mendengar bebelan Fazzura terhadapnya. Fazzura beritahu pun sebab dia tanya. Sebab tergerak hati nak call. Kalau tak, mati hidup semula pun dia tak akan tahu punya. Yalah, sebab dia bukan siapa-siapa pun.
“Apa yang susah? Bukannya perlu ambil tiket bas ke apa. Kuala Lumpur dengan Perak ni berapa jam aje pun.”
Yalah, Riyadh bolehlah cakap macam tu. Dia ada semuanya. Bukan nak perlu bersusah-susah macam dia pun. Ermm…apa bezanya sewaktu dia bersama dengan Aqil dulu. Dia balik kampung pun naik kereta. Tak susah pun. Entahlah, buat apa nak kenang lagi semua yang bukan miliknya.
“Awak terus datang dari tempat kerja?” Fazzura tanya sekadar untuk berbasa basi. Kalau tengok dari pakaian yang tersarung ditubuh Riyadh ni memang dia dah dapat jawapan pun.
“A’ah,terus datang sini. Risaulah. Mana boleh nak buat kerja.” Pelik! Macam anak dia pula yang sakit.
“Boleh ke ni nak tengok Fazmizie kejap.”
“Dah lewat kut…”
“Alah…mintak je lah kat jururawat tu kalau Zurra takut nak cakap biar saya yang cakap.”Cadangnya pula. Macam mana pun dia nak tengok keadaan Fazmizie dulu baru dia akan pergi. Kalau tak jangan harap. Tidur kat sini pun tak pe lah!
 “Awak nak cakap apa pulak kat jururawat tu. Dia orang marah awak je nanti.”
“Hah! Lantaklah…peduli apa saya. Dalam sejarah di Malaysia ni belum ada lagi Jururawat makan orang.” bebelnya tak puas hati bila Fazzura cakap macam tu.
“Ataupun Zurra yang tak izinkan saya ni?” dia kerling Fazzura. Kemudian ketawa. Kerisauannya yang tadi bersarang rasa hilang tiba-tiba walaupun belum dengar khabar yang sebetul-betulnya tentang Fazmizie dari Fazzura. Dia cakap memang okey. Selagi tak tengok depan mata dia jangan harap dia nak percaya seratus peratus. Baru lima puluh peratus. Fazzura ni pulak bukan jenis yang nak cerita sangat. Suka pendam sampai dua tiga hari baru nak cerita. Itupun kena paksa.
“Awak tak perlu nak buat macam tu. Tak kanlah saya ni sanggup tak bagi pulak!” Sampai ke situ pulak yang Riyadh fikir.
“Saya nak balik rumah kejap. Nak ambil barang-barang Fazmizie. Saya ingatkan dia tak kena tahan tadi. Tapi, doktor mintak duduk wad dulu.  Sebab tadi banyak sangat darah dia keluar.”  
“Darah banyak  keluar?”
Fazzura angguk. “Jangan risau sekarang dah okey pun.” Bila lepas habis solat Isyak tadi dia terus datang ke kereta untuk balik ke rumah sebentar. Terpaksa tinggalkan Fazmizie buat seketika. Sebenarnya dia tak menjangkakan yang pemuda ini betul-betul akan datang ke sini.
“Eh!teruk ke dia?” soal Riyadh lagi.
“Tak teruk sangat.  Luka tu dalam sebab tu banyak darah keluar. Tapi keadaan dia dah stabil. Minum susu tadi tidur terus. Esok boleh keluarlah tu.”
“Macam mana boleh jadi macam tu?” Nak tahu lagi.
“Budak-budak biasalah…Mizie pulak awak faham-fahamlah. Baru boleh berjalan. Kena kepung selalu. Alpa seminit je ermm…” Dia rasa sedikit menyesal. Sepatutnya dia tak biarkan Fazmizie main di situ. Teruk sangat ke dia ni. Sampai anak kecil macam tu pun boleh alpa sangat.
“Sebab tu lah kena awasi dua puluh empat jam. Dia tu kecil lagi. Jangan tinggalkan dia main sorang-sorang.”
“Hmm…” Fazzura sedar memang salahnya.
“Boleh ke tunjukkan saya di mana katil dia. Biar saya tolong jagakan dia.”
 Fazzura angguk dan mula berpaling untuk menuju ke wad kanak-kanak yang menempatkan anaknya itu. Tidak jauh dari kawasan tempat letak kereta itu. Dia tahu walau macam mana pun dia bagi alasan lelaki ini tetap berdegil.
 “Saya harap tak menyusahkan awak, Riyadh. Awak dah banyak tolong kami. Sampai sekarang pun awak masih ambil berat terhadap kami. Kami ni bukan siapa-siapa pun. Orang luar yang tiba-tiba hadir dan menyusahkan hidup awak. Tak ada kaitan pun kan?”
“Tak pernah ada istilah susah untuk anak-anak awak, Zurra. Jangan cakap macam tu. Jangan buat ayat simpati macam tu. Saya ni yang orang luar bukan awak. Apalah sangat ha...kecik punya hal lah.” balas Riyadh tenang.
Buat apa nak cakap lagi. Kalau menyusahkan tak adalah dia berada kat sini sekarang. Dia tak pernah rasa susah pun. Sikit pun tak! Fazzura asyik pandang susah dia, cubalah pandang keikhlasan dia ni.
 Mereka terus beriringan berjalan menuju ke wad. Tetapi seketika kemudian langkah kaki Riyadh terhenti. Dia pandang Fazzura dengan dahi berkerut. “Kenapa pula dengan awak ni?” soal Fazzura aneh. Pelik sangat cara Riyadh pandang. Dia tak suka.
“Zurra, boleh tak kalau nak mintak tolong Zurra?” Riyadh cakap sambil peluk tubuh. Nak kata ada angin sebab sejuk tak pula. Style kut!
Dia menentang mata lelaki yang berdiri dihadapannya ini. “Awak nak saya tolong apa?” Selama dia mengenali pemuda ini tidak pernah sekalipun Riyadh meminta pertolongan darinya. Apa yang dia terima adalah sebaliknya. Riyadh selalu ada saat-saat ujian datang menimpa dirinya.
“Boleh awak bawa Aqilah sekali?” luah Riyadh dengan muka ala-ala mintak simpati. Fazzura rasa serba salah. Bimbang Abah tak izinkan dia bawa sekali Aqilah. Lagipun di sini, bukannya selesa sangat pun. Tak kan nak tidur atas lantai wad tu. Agak-agaklah!
“Macam ni, awak bawa dia  ke sini. Nanti malam saya sewa hotel berdekatan. Awak boleh tidur dengan dia. Saya jaga Fazmizie boleh?” Fazzura terus geleng kepala. Tak setuju dengan cadangan Riyadh. Kalau Aqil mungkin dia setuju. Ada juga pertalian darah di situ.
“Saya tak nak menyusahkan awak, Riyadh. Awak kena faham tu…”
“Zurra, please... okey kalau Zurra tak nak saya jaga Fazmizie, Zurra bawa Aqilah sekali nanti. Saya jaga dia. Zurra bawa pakaian dia sekali. Kita tukar plan!” pujuk Riyadh sekali lagi.
 “Saya janji saya jaga dia.” sambungnya pula bila melihat Fazzura diam sahaja seperti sedang memikirkan cadangannya yang pada pendapatnya tak perlu nak fikir-fikir lagi. Setuju sajalah. Bukan kena jatuh hukuman apa pun kalau dia setuju.
Fazzura geleng kepala. Tidak bersetuju  dengan cadangan itu. Bukankah semua itu hanya akan menyusahkan pemuda ini.
“Zurra, boleh lah Zurra. Awak ni macam tak percayakan sayakan?” rayunya lagi.
“Tak boleh Riyadh. Saya tak nak menyu..”
“Boleh tak  Zurra jangan cakap saya menyusahkan Zurra!”nada suaranya keras sambil pandang Fazzura. Anak mata bewarna hitam itu ditenung dalam namun Fazzura cepat sahaja melarikan pandangan matanya. Fazzura memang degil. Apa benda mesti nak kena cakap berulang kali baru dia setuju. Tapi yang dia tahu orang degil ni luar aje. Dalam hati baik.
“Saya tak tahu kenapa awak perlu buat semua ni Riyadh?”
“Awak jangan soal saya benda yang saya tak ada jawapan. Apa yang pasti saya ikhlas. Ikhlas dengan apa yang saya lakukan.”
Fazzura geleng kepala. Dia terus mengorak langkah. Tidak peduli dengan permintaan Riyadh. Dia tetap tak nak menyusahkan pemuda itu. Sudahlah Riyadh.
“Zurra, please…”
Fazzura menoleh. Lagi sekali Riyadh buat muka kesian. Allah! Dia tak sampai hati. Tolonglah Riyadh. Jangan merayu macam tu depan aku.
Please… ” pinta Riyadh sekali lagi. Dia tidak berganjak sedikitpun dari situ walaupun Fazzura dah sedikit kehadapan meninggalkannya.
“Zurra!”
“No Riyadh! saya tak nak menyusahkan awak. Saya tak nak menyusahkan awak. You can go and come tomorrow.”
“Semua tu akan hilang bila dia orang berdua ada di sisi saya!” jawab Riyadh tegas. Degil sungguh Fazzura ni. “I will not go!” balasnya geram. Bertimbang rasalah sikit dekat dia. Dia ni datang jauh-jauh tak kan tak boleh nak jumpa Aqilah langsung.
“Manalah saya tahu?” Fazzura cebik mulut.
“Eee.. .dia ni kan! Aku cium jugak nanti kut. Please la Zurra! Awak tak kesiankan saya ke?”dia buat lagi muka simpati. Aduh! Tadi cakap ikhlas sekarang dah macam mintak balasan pulak. Kenapa dengan dia ni!
“Teruknya awak!” ujar Fazzura perlahan. Rasa nak ketawa pula bila tengok muka Riyadh masam macam tu. Peliknya lelaki ini. Pelik sangat!
“Lantaklah…saya ni dah sayang sangat kat anak-anak Zurra tu. Dah rasa macam anak sendiri. Zurra tu degil. Bagilah saya jaga Aqilah kejap malam ni aje. Esok Zurra cakap adik dah boleh keluar, habis  tu bila masa yang saya nak jumpa Aqilah. Nak bagi saya penasaran pun agak-agaklah!” Hah! Ambik kau.
“Ermm…Okey! Okey! Tapi saya tak berani janji. Bimbang kalau abah tak izinkan. Lagipun awak faham-faham sajalah hubungan saya dengan keluarga belum pulih lagi. Tapi saya cuba sebab awak dah banyak tolong saya.” Kata Fazzura tenang. Rasanya tak sampai hati pula untuk dia menghampakan permintaan Riyadh. Walaupun di awal tadi dia begitu berdegil akhirnya dia berlembut juga bila pandang wajah Riyadh. Jatuh kasihan.
Riyadh tarik nafas lega mendengar jawapan dari mulut Fazzura.
“Tak apalah, sekurang-kurangnya awak cuba. Apa-apa pun kena cuba.” dia tarik senyum lebar. Puas hati. Macam yakin sangat yang abah Fazzura nak benarkan Fazzura bawa Aqilah.
“Zurra, awak tahu tak…saya rindu sangat dengan dia orang. Rindu sangat tau. Awaklah ni, saya ajak stay aje kat sana. Awak tak nak. Saja nak siksa batin saya ni.” luah Riyadh perlahan tapi cukup buat Fazzura terharu mendengarkan kata-kata pemuda itu. Aqil sendiri tak pernah nak ambil tahu pasal anak-anaknya. Inikan pula si Riyadh yang nak rindu bagai. Ermm…sayang sungguh dia dengan anak-anak aku. Sampai cakap aku siksa batin dia. Dia tak tahu ke Kuala Lumpur  tu lagi buat batin aku tersiksa.
“ Dia orang pun rindukan awak jugak. Maklumlah awak tu selalu sangat layan kerenah diorang berdua. Selalu belanja ice-cream.  Bawak jalan-jalan. Balik kampung tak dapatlah nak merasa semua tu selalu.”
“Sedihnya…”.
“Apa?”
“Tak ada apa-apalah.” Kalau duduk dengan aku makanlah sampai habis sejuta pun tak apa. Aku rela!gumam hati Riyadh perlahan. Langkahnya kembali seiring bersama Fazzura. Tinggi lampai jugak Fazzura ni. Wajah dia ala-ala bulat sikit tapi cantik. Hidung tak mancung sangat tapi boleh buat sesiapa pun tertarik. Dia? Rasa mecam dah tertarik.
Fazzura meminta keizinan kepada jururawat yang bertugas untuk masuk sebentar ke dalam wad bersama dengan Riyadh. Jururawat tu  senyum  pandang  Riyadh yang berada di sisinya. Lagi bertambah senyum bila Riyadh cakap dia nak tengok anak dia.Ouh! Tak perlu pun. Orang tu tak tanya buat apa nak terhegeh-hegeh nak beritahu. Pulak tu menipu. Buat dosa aje.
Sampai sahaja di hadapan katil yang menempatkan Fazmizie, Riyadh terus menghampiri tubuh kecil yang sedang lena di atas katil itu. Wayar berselirat di atas tapak tangan Fazmizie. Wajah Fazmizie pucat. Mungkin kerana terlalu banyak darah yang mengalir. Tangannya menyentuh lembut tubuh itu. Diusapnya perlahan bak melepaskan rindu yang terpendam. Lama direnung sebelum bibirnya menuturkan kata.
 “I miss you so much dear...” Wajahnya kemudian didekatkan lalu satu ciuman jatuh di wajah Fazmizie. 
Uncle datang sayang…” tangannya terus-terusan mengusap lembut tubuh kecil itu. Matanya jatuh ke kaki  Fazmizie yang sudah dibalut dengan kain anduh itu. Hatinya kian sayu. Kenapa terlalu banyak kesakitan yang perlu di lalui si kecil ini. Kalaulah boleh ditukar ganti, dia rela.
“Sabar ya sayang…” ucapnya sekali lalu ciuman jatuh bertubi-tubi di dahi, pipi dan terakhir kalinya di hidung si comel itu. Fazzura yang berdiri di hujung katil hanya memandang tingkah Riyadh. Teringatkan Aqil…ermm. Dia mengetap bibir cuba menahan perasaan.
“Riyadh, saya gerak dulu.” ujarnya menghampiri lelaki itu. Riyadh angguk tanpa menoleh ke arahnya. Mustahil lelaki itu menangis kerana anaknya.
“Ibu tinggalkan adik kejap nanti ibu datang ya sayang…” bisik Fazzura lembut lalu mencium dahi anaknya itu. Hatinya berat untuk meninggalkan Fazmizie walau seminit tetapi di dalam keadaan sekarang dia terpaksa kerana satu barang apa pun dia tak bawa tadi.
“Zurra, hati-hati bawa kereta tu. Kunci pintu kereta. Kalau jadi apa-apa awak call saya terus ya. Handphone tu jangan letak dalam beg. Letak dekat tempat yang senang nak dicapai. Jangan bawak laju-laju sangat.”
Fazzura angguk. Kakinya terus melangkah keluar dari wad kanak-kanak itu. Kesian Riyadh, tak pasal-pasal kena jaga anaknya pula. Seolah-olah dia hidup sebatang kara. Yang pasti dia tak nak menyusahkan keluarganya.
Riyadh terus  menarik kerusi lalu duduk ditepi katil itu dengan pandangan masih lagi terarah ke wajah comel Fazmizie. Pipi tembam itu dioles lembut.
“Adik tahu tak sebab adik jugalah uncle boleh kenal kakak. Sebab adik jugalah uncle boleh kenal ibu.”tuturnya perlahan sambil meraih jari jemari kecil itu. Membuka sejarah lalu.
“Adik tahu tak sebab adik dengan kakak, uncle mula terbuka hati untuk bekeluarga. Untuk memiliki anak seperti adik dan kakak.” Diusapnya lembut tapak tangan itu.  Kemudian didekatkan ke bibirnya. Teringat saat-saat Fazmizie menarik rambutnya. Bergetaran hatinya seoalah membayangkan si kecil ini anaknya. Dan saat itu perasaannya makin membuak-buak mahu hidup seperti sebuah keluarga.
“Bila kita terpisah uncle macam hilang arah jugak. Tapi uncle simpan semua perasaan rindu ni. Tahu uncle ni bukan siapa-siapa pun. Hari ni takdir mempertemukan kita lagi. Dengan cara yang sama.” Dia teringat pertemuan pertama mereka di hospital dulu. Dia yang mendukung Fazmizie sehingga masuk ke dalam bilik rawatan. Mana boleh lupa kenangan indah itu.
Selama hampir dua bulan dia  rasa hatinya sarat menanggung rindu. Hari ini dia rasa tenang. Memandang wajah kecil ini hilang tekanannya. Apatah lagi sejak dua menjak ini dia terlalu sibuk dengan urusan perkahwinan. Sampaikan pening kepala di buatnya. Annis letak syarat macam-macam. Nak kahwin terus tak nak bertunang. Dia tak kisah asalkan Annis mahu kahwin.
 Mana dengan butik Annis yang dia janjikan nak tolong. Projek Denai Alam pun masih ada yang belum selesai lagi. Tapi semua masalah tu hilang bila terpandangkan wajah kecil ini. Itu belum lagi dia jumpa dengan Aqilah yang petah bercakap tu. Kadang-kadang dia sendiri tidak mengerti dan memahami kenapa dia terlalu kasihkan mereka. Kenapa? Setiap nafas yang dia hela terasa mereka ada bersamanya. Kenapa juga takdir seringkali membawanya kepada mereka. Kenapa?
Hampir satu jam dia berada di sisi Fazmizie.  Sedikitpun dia tidak berganjak. Seolah-olah yang sedang tidur di atas katil itu anaknya sendiri. Selama mereka hilang dari pandangan matanya dia cuba juga untuk melupakan. Tetapi ingatannya semakin hari semakin kuat. Akhirnya dia membiarkan sahaja mereka menjadi raja di dalam hatinya.
Bunyi mesej dari telefon bimbit yang berada di dalam poket seluarnya itu segera di ambil.

Riyadh, saya tunggu di luar ni. Awak keluar kejap. Saya tak nak Aqilah tengok  Fazmizie. Nanti bising pula. Lagipun dah lewat sangat ni.

Riyadh terus bangun. Bibirnya mencium lembut ubun-ubun anak kecil itu. Kemudian dia terus melangkah perlahan menuju ke luar. Tidak mahu mengganggu pesakit-pesakit lain yang ada. Sebaik sahaja pintu wad ditarik terus Aqilah jerit memanggil namanya.
“Sayang…comelnya dia pakai baju kelawar ni?” terus didukungnya Aqilah sambil menonyoh perlahan wajahnya ke wajah si kecil itu.
Uncle…uncle…ibu cakap Aqilah tidur dengan uncle malam ni.” soal Aqilah petah.
 “Ya sayang, malam ni Aqilah tidur dengan uncle. Ibu nak jaga adik. Rindu uncle tak ni?” Riyadh mencium lagi dan lagi. Rasa lepas bebas.
Aqilah angguk. “Aqilah rindu uncle. Kenapa uncle tak datang bawa Aqilah jalan-jalan. Dekat umah nenek ada pantai.”
 “Aqilah, janganlah soal uncle macam tu. Ibu kan dah cakap uncle sibuk.” baru menginjak usia empat tahun. Tapi, petahnya dia sampai kadang-kadang tak terlayan Fazzura. Siap bercerita tentang pantai yang ada di kampung mereka.
“Eh! Mana ada sibuk. Sekarang uncle tak sibuk. Tapi dah malam sangat tak boleh nak bawa Aqilah jalan-jalan. Esok uncle bawa tengok pantai okey.” jawab Riyadh sambil menurunkan Aqilah dari dukungannya. Aqilah lompat gembira sambil memeluknya.
“Kita pergi jalan-jalan bawa adik dengan ibu sekali okey?”
“Yee! bila kita nak pergi uncle. Aqilah dah lama tak jalan-jalan.” Dipeluknya Riyadh dengan gembira.
 “Kalau boleh sekarang pun uncle nak pergi sayang. Tunggu adik sembuh dulu. Uncle janji, uncle bawak pergi jalan-jalan. Kita bawa ibu sekali ek!”
Fazzura geleng kepala. Jalan-jalan nak bawa dia sekali. Dah gila ke apa Riyadh ni. Nanti tak pasal-pasal pula dia dicop macam-macam. Dengan statusnya yang baru sahaja memegang gelaran janda. Orang luar akan cop apa sahaja kepada dia. Seoalah-oleh janda gatal. Lagipun dia lebih selesa jika hanya anak-anaknya sahaja yang rapat dengan Riyadh. Dia tiada keinginan untuk semua itu.
“Riyadh, jangan nak susah-susah macam tu.” Lagipun dia bimbang jika anak-anaknya asyik menuntut janji. Asyik bertanya itu dan ini. Susah dia nak jawab. Mulut budak-budak ni bukan boleh control. Kalau cakap depan emak dan abah nanti lagi payah.
“Apa pulak yang susahnya. Zurra ni kan… macam tak suka sangat saya rapat dengan anak-anak Zurra.” Riyadh tak puas hati.Tak habis-habis nak cakap susah..susah…naik bosan dia dengar.
“Bukan macam tu maksud saya.”
“Habis tu?” soalnya ingin tahu. Fazzura asyik cakap tak nak susahkan dia. Padahal dia buat semua ini ikhlas. Kalau tak ikhlas tak kan dia nak ada di sini. Buang masa dia je. Baik dia pergi keluar dengan Annis bincang pasal majlis perkahwinan mereka. Lagi bagus!
“Kenapalah ibu ni tak faham-faham yang uncle ikhlas.” tuturnya lagi sambil pandang Aqilah.  Macamlah budak tu mengerti apa itu ‘ikhlas’!
Fazzura ketap bibir. “Nah...” Dia menghulurkan sebungkus plastik kepada Riyadh.
“Saya belikan nasik tadi. Tentu awak laparkan. Awak makanlah bila balik bilik nanti.”  Dia yakin pemuda itu belum makan. Belum mandi dan belum lagi mencari mana-mana bilik hotel untuk disewa. Alang-alang dia keluar tadi terus dia carikan bilik dan juga membeli makanan untuk Riyadh.
“Terima kasih Zurra. Awak tahu tak mana-mana hotel yang dekat dengan area ni?” soal Riyadh kembali tenang walaupun tadi dia dah start nak makan hati. Tapi, pandai pula Fazzura tawan dengan berikan nasi ni. Aduhai….kau jangan buat aku tergoda pula Zurra. Nanti kang Annis ke mana kahwin ke mana. Bisik hatinya pula.
Fazzura senyum. “Saya dah carikan untuk awak. Ini kunci bilik awak. Tapi di sini tak ada hotel lima bintang. Yang ada Hotel Damai ni je.” usik Fazzura. Riyadh terkejut.
“Zurra, awak ni kan…kenapalah nak susah-susah tolong carikan untuk saya pula. Ish…saya tak mintak pun.” dia geleng kepala.
“Saya datang sini bukan nak menyusahkan awak pun, Zurra.” Kali ini gilirannya pula yang guna perkataan susah tu.
“Bila lagi saya nak balas budi awak kan?”
“Macamlah saya mintak Zurra balas.”
“Ambillah, harap awak selesa.”
 “Terima kasih.”
“Manalah tahu takut awak tak selesa.” balasnya lagi.
“Kalau nak berbulan madu hotel macam ni mungkinlah tak selesa!” balas Riyadh selamba. Dia senyum pandang raut wajah Fazzura yang nampak terkejut. Cakap lagi kan dah kena.
Fazzura buat tak peduli. Bukan urusan dia pun. Suka hati Riyadh lah. Sempat Fazzura memandang wajah Riyadh yang ada tahi lalat di bawah mata. Nampak menarik tetapi itu tak bermakna dia tertarik. Dahulu wajah Riyadh lebih terurus tidak seperti sekarang. Janggut dan misai mula mengambil tempat di wajah pemuda itu. Tapi Riyadh tetap ada auranya tersendiri. Sebagai lelaki yang bekerjaya namun bersederhana dalam banyak perkara. Itulah yang mampu dia rumuskan tentang Riyadh. Lagipun dia lebih sedar siapa dirinya jika hendak di bandingkan dengan Riyadh. Pasti bakal isteri pemuda ini jauh lebih bagus darinya. Eh! Tak perlu dia nak bandingkan pun sebenarnya.
“Selesa itu yang sebenarnya lebih datang dari hati bukan pada tempat.” kata Riyadh lagi sambil memegang tangan Aqilah. Dia bergurau pun Fazzura tetap buat muka serius.
“Okey, sayang…cium tangan ibu…kita balik tidur dulu. Esok kita datang lagi.”
Anaknya itu hanya menurut.
 “Letih sangat dah ni dia. Kesian dia.” Riyadh ambil beg yang mengandungi pakaian dan barang-barang Aqilah dari Fazzura.
“Terima kasih Riyadh.” ucap Fazzura.
Riyadh angguk. “Kalau ada apa-apa jangan lupa call saya.”
Fazzura angguk lagi.
“Dah, Zurra pergi masuk dalam. Jangan risau pasal Aqilah. Saya jaga dia baik-baik. Saya tak akan sia-siakan susah payah awak bawa dia ke sini. Terima kasih sanggup bagi peluang untuk saya. Terima kasih sebab percayakan saya. Saya sangat menghargai.” ucap Riyadh dengan wajah yang tenang.
Mata Fazzura mengekor langkah kaki Riyadh dengan anak matanya. Di perhatikan juga Aqilah yang sangat selesa di samping Riyadh. Tidak menduga sekali lagi takdir menemukan mereka di dalam keadaan yang sama. Riyadh, kenapa kau baik sangat? Bisik hatinya pula lalu terus menapak perlahan masuk ke dalam wad itu.



Friday, July 12, 2013

Elusan Kasih - Bab 10


ANGIN laut memupuk lembut ke wajah.  Fazzura duduk di atas batu itu dengan pandangan mata terarah kepada laut yang terbentang luas. Sudah hampir dua bulan dia pulang ke kampungnya di negeri Perak Darul Ridzuan. Jauh meninggalkan kota metropolitan yang meninggalkan kenangan pahit di hatinya.
Dahulu, di sinilah tempatnya. Di persisiran Pantai Ban Pecah ini dia melepaskan kekusutan. Terlalu banyak perubahan yang berlaku di kawasan sekitar. Jika dahulu kawasan ini sunyi sahaja tetapi kini sudah banyak gerai-gerai makan yang dibuka. Hari ini dia benar-benar rasa bebas setelah sekian lama terkurung di rumah. 
Ingatannya melayang pada hari pertama dia tiba di kampung. Abah dan emak begitu terkejut dengan kepulangannya yang tiba-tiba. Apatah lagi pulangnya dia membawa beg besar.
“Besar beg?” tanya emak sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Dia hanya mampu tersenyum. Memandang wajah emak dan abah yang semakin dipapah usia. Namun dia akur sampai bila mahu di sembunyikan hal yang sebenar. Sudahnya dia terpaksa menceritakan hal yang sebenar. Hati ibu-bapa mana yang tidak terguris. Apatah lagi di saat hati mula terbuka untuk menerima Aqil di dalam kamus hidup. Leteran emak yang mengukit kisah lima tahun dahulu semakin menambah hampa di jiwa.Ah! itu belum lagi Kak Shahira dan Maria. Masak dia menahan rasa.
“Aku dah cakap dulu hang memang degil. Sekarang siapa yang susah? Hang jugak! Laki hang tu senang-senang ceraikan hang. Apa yang hang dapat? Tu hah! anak-anak hang tu. Hang yang kena tanggung.” bebel emak panjang.
“Mak, dah nasib Zurra macam ni.”
“Hang tu degil. Aku dah cakap dulu. Tapi hang tak nak dengar. Gatal sangat nak berlaki. Hah! Sekarang hang balik nak menyusahkan abah dengan mak  pulak.” Tempelek Shahira kepadanya.
“Apa ni Kak Shira, janganlah doakan Zurra macam tu. Perjalanan takdir saya dah tertulis macam tu. Saya kena terima Kak Shira. Sudah-sudahlah kak…saya tak nak gaduh dengan akak. Kita bukannya muda lagi. Dah besar.”
“Amboi! Sejak-sejak jadi janda ni pandai pula hang jawab cakap aku!” Kak Shira benar-benar tak puas hati mendengar kata-katanya. Dia hanya tersenyum sahaja. Bukan apa, Kak Shira tu anti lelaki. Itu pasal la dia marah sangat. Tak habis-habis.
“Pandai-pandailah hang cari kerja! Hang nak hidup.” ujar emak pula. Kalau emak tak cakap pun itu yang akan dia akan lakukan.
“Kalau dia tak kerja siapa yang nak bela dia mak.” sampuk Shahira lagi. Wajahnya persis emak. Perangai pun lebih kurang sama dengan emak. Cuma emak tak anti lelaki. Kalau anti lelaki sah-sah dia tak wujud saat ini.
Sebenarnya leteran emak menghiburkan. Adatlah emak mana yang tak sayang anak. Sekarang apa yang terjadi pun dia kena tanggung. Marah Kak Shira pula menyakitkan tapi ada juga kebenaran. Maria? Sampai sekarang dia belum jumpa Maria lagi. Duduk di Kuala Lumpur tu pun belum pernah mereka berjumpa. Argh! Makin di kenang makin sakit. Abaikanlah soal itu.
“Assalammualaikum Zurra?”
“Waalaikumusalam” jawab Fazzura seraya menoleh ke arah empunya suara.
“Err…Ammar Haikal?”
“Huh! Ingatpun kau dekat aku. Ingatkan dah lupa.” balas lelaki itu. Ammar Haikal bukanlah satu nama asing di dalam sejarah hidupnya. Amar Haikal, merangkap sepupu yang pernah suatu masa menyimpan perasaan terhadapanya. Ammar Haikal, lelaki pilihan emak dan abah yang sebenar-benarnya. Sayangnya, Ammar Haikal tidak pernah jadi pemilik hatinya. Ini kerana sikap Ammar Haikal itu sendiri yang selalu menyakitkan. Dia tahu Ammar sudah berjaya jadi kontraktor yang berjaya.
“Aku pergi rumah Mak Ngah tadi. Dia cakap kau dah balik. Balik untuk…”
“Selamanya.” jawab Fazzura tenang. Ammar senyum. Mengejek dia barangkali.
“Mak Ngah dah cerita dekat kau pasal aku?” soal Fazzura walaupun sebenarnya dia begitu yakin emak dan abah sudah menceritakan segalanya. Telinga sudah naik bernanah dengar emak asyik mengungkit kisah dulu kala.
“Jadi sekarang, giliran akulah nak jadi suami kau.” jawab Ammar sambil ketawa kuat. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Fazzura. Dia pun dah lama tak pulang ke Kampung ni. Bila dapat tau yang Fazzura dah jadi janda itu yang cepat-cepat dia balik kampung. Mak Ngah tak cerita pun tak apa. Sebab awal-awal lagi emaknya dah telefon beritahu.
“Tak habis-habis. Baik kau simpan angan-angan kau tu Ammar. Kau ingat aku barang mainan ke apa.”
“Aku rela tak kahwin pun tak apa Ammar dari kena kahwin dengan kau.” sambungnya sekali lagi. Kurang senang dia mendengar kata-kata dari Ammar itu. Lebih baik dia fikirkan cara nak besarkan anak-anaknya dari soal kahwin.
 Ammar mendengus kasar.“Jangan belagak dengan akulah Zurra. Kau ingat sikit. Kau tu janda. Janda okey!”
“Habis apa masalahnya dengan janda? Kau ingat janda tak laku?” bidas Fazzura geram. Kalau tak menyakitkan hati dia tak boleh agaknya si Ammar ni. Dari dulu perangai tak pernah nak berubah. Cakap ikut sedap mulut dia. Tak fikir hati orang lain dah.
 Ammar ketawa kuat mendengar kata-katanya. Sejak dari dulu lagi tak habis-habis nak sakitkan hati dia. Ammar ni memang tak pernah nak berputus asa. Kalau dia cakap dia nak, dia nak lah. Degil lebih kurang sama dengan dia waktu muda-muda dulu. Tapi now, dia dah banyak buang yang buruk tu. Degil tu zaman remaja yang dah berlalu. Tapi adalah jugak sikit-sikit.
“Janda buat cara jandalah Zurra. Kalau ada yang nak tu terima lah. Apalagi yang kau tak puas hati kat aku ni Zurra. Kau tu janda anak dua tau. Kau kena sedar tu!”luah Ammar lagi. Fazzura ketap bibir. Sakit benar hatinya mendengar kata-kata dari  Ammar itu.
“Aku ni calon yang paling sesuai untuk kau. Aku ni sepupu kau, tak kanlah aku nak main-mainkan kau pulak.” ujarnya lagi. Tubuhnya digerakkan menghampiri Fazzura.
Fazzura mendengus. Kehadiran Amar mengundang reaksi kurang senang di hatinya. Sejak dari awal lagi dia tidak menyenangi kehadiran Ammar. Apatah lagi di tempat yang terbuka seperti ini Ammar seolah-olah sengaja menujukkan kemesraan. Meraih perhatian orang ramai untuk menjaja kisah mereka.
“Kau ni dah kenapa Ammar. Aku sedar diri yang aku ni janda. So, apa masalah dengan kau. Untuk pengetahuan kau, itu bukan alasan untuk aku terima sesiapa sahaja dengan mudah. Termasuklah kau. Kau jangan fikir bila aku jadi janda hidup aku dah mati. Tak Ammar! Aku masih ada sisa semangat untuk meneruskan kehidupan aku tanpa bergantung dengan sesiapa pun. Apatah lagi bila lelaki yang macam kau, Mar. Lagilah…aku tahu cara hidup kau macam mana. Kita tak sepadan Ammar.” kata Fazzura lagi.
“Baguslah kalau kau sedar diri Zurra. Sebagai sepupu yang baik hati aku cuma nak ingatkan kau. Lagipun apa salahnya aku jadi bapa  kepada anak-anak kau tu. Alah...mak Ngah tu bukan dari dulu lagi berkenan dengan aku ni. Kau tak nak ke bagi orang tua tu happy sikit Zurra? Soal layak tak layak tak perlu kau nak cakap. Sebab aku nak kahwin dengan kau. Kau terima habis cerita.”  Dia kuit lembut pipi Fazzura sambil tersenyum. Pantas Fazzura menepis. Ternyata cara Ammar itu benar-benar menyakitkan hatinya.
“Kalau mak ngah suka kan kau itu tak bermakna anaknya pun suka. Sedarpun yang kau tu sepupu aku. Jadi kau tolong jaga sikit tingkah laku kau tu. Kita bukan budak-budak lagi Ammar!” Fazzura terus bangun. Tak kuasa dia melayan Ammar yang macam ulat bulu. Gatal! Gumam hatinya pula. Kalau dengan Ammar memang dia tak boleh nak berlembut. Dah macam anjing dengan kucing waktu budak-budak dulu. Tapi, yang peliknya emak suka sangat dekat Ammar ni. Sikit-sikit Ammar. Depan orang tua biasalah, pijak semut pun tak mati. Habis kuat pun semut tu pengsan kejap. Huh!
Ammar pantas menarik tangan Fazzura. Tarikan kuat itu menyebabkan Fazzura hampir-hampir terjatuh di atas Ammar Haikal. Lelaki itu senyum gembira. Dia benar-benar sukakan Fazzura. Kecantikkan Fazzura seringkali membuatkan nafsunya bergelora. Bila mengetahui wanita ini sudah memegang gelaran janda makin seronoklah dia.
Fazzura terus merentap tangannya dengan kasar dari pegangan Ammar. Bergetar tubuhnya menahan perasaan marah. Ammar memang sengaja mencari penyakit yang akan menambahkan bala untuk dirinya. Bukannya Ammar tak tahu, kampungnya ini macam mana. Berita lebih laju dari TV3. Kampung  nelayan ini terlalu banyak memaparkan kisahnya yang tersendiri. Dia yakin ada mata-mata yang memandangnya dengan Ammar. Ah! Dia terus bergerak laju meninggalkan Ammar di situ. Sakit hatinya!
Ammar terus bangun dan mengejarnya. “Zurra, kau nak ke mana tu?” soal Ammar dingin.
“Kau nak sibuk-sibuk hal aku kenapa Ammar. Dah lah Ammar aku nak balik!” tukas Fazzura tanpa menoleh sedikitpun memandang Ammar.
“Zurra, tunggu!” lagi sekali tangan Fazzura diraihnya. Dia masih belum puas untuk menatap seraut wajah yang dipujanya itu sejak dulu. Semakin Fazzura marah semakin jelas kejelitaannya terserlah. Dengan rambut Fazzura yang dibiarkan mengurai. Hatinya sudah diulit rasa setelah sekian lama tidak berjumpa. Rindu dan nafsu yang sudah sama beraja di hatinya seiring.
“Lepaslah! Kau tak malu ke Ammar orang pandang nanti. Walaupun kau tu sepupu aku itu tak bermakna kau boleh sentuh aku sesuka hati kau je!”
Ammar semakin melampau. Jangan Ammar ingat dia dah jadi janda, Ammar boleh sentuh dia ikut suka saja.
“Aku sayangkan kau, Zurra? Kenapa kau tak boleh nak beri peluang tu kepada aku?”
Fazzura gelak. “Kau dah gila agaknya Ammar.” luahnya dan terus berlalu dari situ. Dia bukannya kembali ke kampung ini untuk meraih simpati sesiapa sahaja termasuk Ammar sendiri. Dia tidak ingin pisang berbuah dua kali. Nasib diri perlu diubah dan dia tidak akan bergantung dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi lelaki seperti Ammar. Ya! Dia langsung tidak percaya dengan sepupunya sendiri.


SEWAKTU dia sampai di pintu rumah, Aqilah dan Fazmizie sudah terjaga dari tidur. Ruang tamu sedikit bersepah dengan bantal dan botol susu mereka berdua.
“Anak-anak ibu ni kenapa sepahkan bantal ni. Nanti nenek dengan dan tok wan marah nanti.” luah Fazzura sambil tangannya mula mengemas kembali ruang tamu yang sedikit berselerak itu.
“Hah! Kalau dah tahu emak hang ni nak marah, lain kali jangan tinggalkan anak macam tu. Hang pandai beranak tak tahu nak jaga? Keluar rumah tinggal anak macam tu. Hang pergi mana?” bebel emak yang datang dari arah dapur.
“Saya keluar kejap mak. Dah lama sangat tak tengok angin pantai di depan tu.” balas Fazzura lembut.
“Tengok angin pantai ke hang pergi menggatal?” kata-kata emak kedengaran sinis. Sampai begitu sekali emak fikir akan dirinya. “Hang kalau rasa nak duduk di sini lama-lama. Jangan cuba nak buat hal  Zurra. Hang ingat sikit, hang tu janda!”
“Apa masalahnya mak kalau Zurra janda? Dah takdir Zurra macam ni mak.”
Kadang-kadang dia terfikir, apa perlunya dia membalas setiap bicara-bicara emak. Semuanya hanya mengundang api kemarahan yang telah sedia ada di dalam diri emak. Ternyata kerana peristiwa lima tahun lalu hubungannya dengan emak akan menjadi dingin. Kerana cintanya kepada Aqil hubungan dengan emak berantakkan. Mujur abah sudah semakin sejuk hatinya. Kalau tidak sudah pasti dia angkat kaki dari sini.
“Takdir yang engkau sendiri nak. Dulu, aku dah larang keras hang dengan Aqil tu. Tapi, hang degil. Hang nak sangat nikah dengan dia. Hang tu muda lagi tapi dah gatal nak menikah. Aku suruh hang belajar. Macam Shahira dan Maria. Sekurang-kurangnya dapat balas budi aku dengan abah hang yang dah susah payah membesarkan hang. Tapi sebab kedegilan hang tu, hang susah pada hari ni. Hang bawa gelaran janda dalam usia yang muda. Hang tak malu?”
Entah kenapa soal malu yang selalu di persoalkan. Teruk sangatkah bawa gelaran janda? Jahat sangat ke janda? Sedangkan itu hanya gelaran. Janda pun ada hati dan perasaan. Bukan tunggul yang tidak punya perasaan.
“Saya mintak maaf mak. Memang saya menyusahkan mak… menyusahkan abah… saya degil. Saya sedar  semua tu. Tapi mak, jodoh, ajal maut itu semua di tangan Tuhan. Dah jodoh saya dengan Aqil tidak panjang. Saya reda bawa gelaran ni. Tak ada apa yang perlu saya malukan mak.” balas Fazzura semula.  Dia cuba berlagak tenang walaupun di dalam hati sudah berkocak. Saat ini dia perlukan sokongan. Bukan pematah semangat yang hanya tinggal sisa-sisa dalam dirinya. Jika bukan dari darah daging sendiri siapa lagi yang dia ada. Dia perlukan kasih sayang dari keluarga. Tapi sejak dulu lagi dia tak pernah rasa semua itu. Dia berkahwin dengan Aqil kerana merasakan hanya kasih sayang lelaki itu yang mampu membahagiakan dia. Tapi Aqil pun sama sahaja.
“Aku pun tak tau pasai apa laki hang ceraikan hang. Aku tau hidup hang dengan Aqil tu dah senang lenang di Kuala Lumpur sana. Sekarang hang  balik bawa gelaran janda? Tak ada apa yang beza. Hidup hang dulu dengan sekarang hang  nilailah sendiri.”
 Emak terus berlalu dari ruang tamu itu. Mungkin tidak lagi mahu memanjangkan persengketaan dengannya. Emak boleh cakap apa sahaja. Dia terima dengan lapang dada kerana walau macam mana pun dia cuba jelaskan emak tak akan pernah cuba untuk memahami hatinya. Kata-kata emak memang terselit kebenarannya. Dia tidak salahkan emak kalau nak marah-marahkan dia. Emak mana yang nak lihat anaknya menderita.Tapi sejak kecil apa sahaja yang dia buat ada saja tak kena di mata mak.
 “Ibu…bu... nenek marah ibu?”Aqilah menggoncang lembut lengannya. Dia tersenyum mendengar persoalan dari anaknya itu. Sebab itulah Riyadh pernah pesan kalau nak gaduh jangan depan anak- anak. Hmm…
 “Aqilah ni…apa yang ibu cakap dengan nenek semua nak dengar. Aqilah budak-budak lagi. Nenek tu bukan marah kat ibu. Nenek sayang ibu. Sayang Aqilah dengan adik. Tok wan pun sama.” ujarnya pula. Rambut Aqilah yang kusut itu diusap perlahan. 
“Fazmizie jangan main kat situ. Nanti jatuh barang-barang tu...” suaranya dikeraskan sedikit ke arah Fazmizie yang menarik-tarik kain yang menutupi almari itu. Jatuh barang-barang di atas tu nanti tak pasal-pasal pula telinganya ni kena mendengar leteran emak lagi.
Pranggggg!!
Bunyi kaca berderai. Dia dah agak. Bingkai gambar yang terletak di atas almari itu terjatuh. Pecah berderai bersama tangisan kuat si kecil. Ya Allah sayang!
Dia bingkas bangun mendapatkan Fazmizie yang sudah terduduk.
“Ya Allah… ibu dah cakap jangan main, sayang degil macam ni.” Fazzura melihat serpihan kaca yang mengenai kaki Fazmizie. Anaknya itu sudah teresak-esak menangis. Kelam kabut di buatnya dia. Hatinya semakin cemas tatkala darah merah mula mengalir laju.
“Anak ibu!”
“Ibu!kaki adik berdarah bu!” jerit Aqilah kuat. Fazzura segera mencempung tubuh Fazmizie yang kecil itu jauh dari kaca-kaca yang berderai.
“Syutt… sikit je sayang. Ibu sapukan ubat. Syutt…diam sayang diam…”pujuk Fazzura lembut. Tangannya sendiri sudah bergetar. Dia sudah rasa cuak bila melihat serpihan kaca yang sedikit terkena kaki anaknya itu. Apatah lagi darah merah yang mengalir di sebalik luka itu. Budak-budak sebesar itu sudah cukup sakit untuk merasainya. Dia dapat merasakan kesakitan anaknya itu.
“Masya Allah apa dah jadi ni Zurra?” tegur abah dari arah belakang.
“Adik luka tok wan…kaki adik darah.” jawab Aqilah petah.
“Darah banyak tu Zurra! Hang tunggu apa lagi. Bawa anak hang ke hospital la ni. Hang ingat anak hang tu luka biasa ka tuh? Kaca tu Zurra. Hang ambil sapu tangan ni balut dulu kaki dia tu.” Abah menghulurkan sehelai sapu tangan yang berada di dalam poket bajunya.
“Err...tak pe lah abah. Zurra cari kain lain balut luka dia ni.” Dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan abah. Sapu tangan kesayangan abah tu.
 “Dalam keadaan macam ni hang ambillah sapu tangan aku ni. Bukannya mahal pun!” kata abah lagi.
“Nah hang ambil kunci kereta ni. Hang bawa dia pergi hospital sekarang.” Kali ini abah menyuakan kunci kereta yang berada di tangannya. Lambat-lambat Fazzura mengambil kunci yang di hulurkan itu. Bukannya dia tak mahu, tetapi cara abah buatkan hatinya tersentuh. Dengan kedegilannya dahulu, dengan kemarahan abah pada waktu-waktu lepas abah tetap bertanggungjawab terhadap dia dan anak-anak. Padahal, seumur hidup yang dia tahu abah belum pernah benarkan sesiapa sahaja menggunakan kereta kesayangan abah itu.
“Terima kasih abah...” tuturnya pelahan.
“Dah pergi sekarang. Aqilah duduk dengan tok wan.”
Fazzura melihat Aqilah anggukkan kepalanya. Tidak membantah apa-apa. Hanya pandangan sayu melihatnya membawa Fazmizie ke dalam kereta. Fazzura semakin tersentuh dan serba salah. Kalau abah tak ada, siapalah lagi yang akan membantunya. Harapkan emak, tentu tak mungkin. Kak Shira lagilah…jangan di harap.


DADANYA terasa berdebar tiba-tiba. Di ruang matanya terbayang wajah Aqilah dan Fazmizie. Satu kerja pun dia tak boleh buat kalau perasaan jadi tidak tenteram begini. Aduhai, dia benar-benar rindukan mereka. Sejak mereka pergi dia rasa sunyi. Lantas telefon bimbitnya di ambil. Jari jemari mula menekan nombor telefon Fazzura. Dalam beberapa saat panggilan disambut.
“Assalammualaikum Zurra?”
“Waalaikummusalam…”suara Fazzura kedengaran serak dihujung talian. Kenapa pula dia ni? Setiap kali telefon mesti dengar suara Fazzura macam tu. Menangis lagilah tu!
“Kenapa ni Zurra? Serak je suara awak?Awak menangis?” Dia dapat rasakan wanita itu  menangis.
“Zurra…tell me why?” soalnya sekali lagi apabila dia langsung tidak mendengar sebarang jawapan di hujung talian. Hati kian resah menanti sebuah jawapan.
 “Zurra…” panggil Riyadh lembut.“Kenapa ni? Awak ada masalah ke? Mana budak-budak?” lagi sekali Riyadh bertanya.
“Saya ada di hospital. Fazmizie…”
“Kenapa dengan dia? Zurra... awak bagitau saya kenapa dengan dia? Dia sakit lagi ke?” Dia terus memotong percakapan Fazzura. Bertubi-tubi soalan yang keluar di bibirnya. Penghawa dingin yang terpasang di dalam pejabatnya terasa bagaikan tidak berfungsi. Apatah lagi bila suara serak Fazzura membuatkan dia terfikir akan sesuatu.
“Riyadh, awak jangan risau...dia tak ada apa-apa.” jawab Fazzura lemah. Dia tak mahu membebankan Riyadh. Tetapi, setiap kali musibah hadir di dalam hidupnya lelaki itu sentiasa ada. Walaupun tidak di sisi tetapi semangat lelaki itu bagaikan mengalir dalam dirinya.
“Zurra, boleh tak awak cakap jujur dengan saya. Kenapa dengan Fazmizie? Mana dia? Mana Aqilah? Kalau dia okey beri saya dengar suara dia.” kali ini nada suaranya kedengaran tegas.
 “Awak nak sembunyikan apa-apa dari saya? Saya tau saya orang luar tapi salah ke saya nak ambil tahu pasal anak-anak awak. Pasal awak!”
Fazzura tersentak dengan kata-kata terakhir dari Riyadh itu. Apa maksud lelaki itu nak ambil tahu pasal dia? Apa pentingnya dia.
“Err…Zurra, saya mintak maaf…” ucap Riyadh setelah diam beberapa ketika. Dia tak sepatutnya cakap macam tu. Mesti Fazzura dah fikir bukan-bukan. Tapi dia tidak mampu menidakkan hal yang sebenarnya dia memang ingin ambil tahu tentang Fazzura dan anak-anaknya. Salah ke? Tak ada salah pun rasanya. Ambil berat tak beerti dia curang dengan Annis.
“Dia okey jer…” Okeykah anaknya? Dia sendiri tidak pasti kerana Fazmizie masih diberikan rawatan di dalam bilik kecemasan. Terlalu banyak darah yang mengalir dari luka anaknya tadi. Dia sangka sikit sahaja tapi ternyata luka itu terlalu dalam.
“Okey? Kalau okey kenapa suara awak serak? Zurra, bagitahu yang sejujurnya boleh tak?”
“Kaki dia kena serpihan kaca. Sekarang saya di Hospital Parit Buntar.”
“Ya Allah…kenapa sampai macam tu Zurra?” Riyadh cuba kawal perasaannya. Kalau tak teruk tak mungkin sampai di hospital. Fikirnya lagi.
“Zurra, awak sabar ya. Awak jangan stress…jangan menangis. Berdoa banyak-banyak. Saya nak gerak ke Perak sekarang. Jangan halang saya. Assalammualaikum.” punat merah terus ditekan. Terus dia bangun dari kerusi yang di dudukinya itu. Jam di tangan dikerling sekilas. Sudah hampir pukul 7.00 malam.
Ah! Tunggu uncle sayang!




NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...