Monday, January 2, 2012

DSRC - Bab 19 & 20



Ruang di pejabat sudah mula sunyi sepi.  Semua pekerja sudah beransur pulang.  Hanya Arisya yang masih setia berteleku di pejabat ini. Kerja masih banyak yang tertangguh.   Semuanya kerana peristiwa yang terjadi dua hari yang lalu.  Baik dengan Khyrill mahupun Nazirah. Kerana hal yang terjadi juga memaksanya mengambil cuti kelmarin. Duduk di rumah pun hatinya tidak juga tenang, jadi lebih baik dia datang bekerja hari ini.  
Aku relakan kau pergi Khyrill demi cita-cita yang kau idamkan selama ini.   Tapi kini hatiku luka sendiri. Mengapa kau tegar menyalahkan aku tanpa memberi peluang untuk ku jelaskan segalanya. Mengapa Khyrill?Mengapa antara kita mesti ada perubahan yang akhirnya melukakan.  Hubungan yang dahulunya penuh dengan bunga-bunga cinta, kini layu kering tak bermaya.
  Tidak pernah sekalipun dia bertengkar sebegitu dengan Khyrill.  Semenjak pergaduhan  tempoh hari, makin mendinginkan hubungan ini.  Tiada lagi kemesraan, tiada lagi kata cinta yang selalu Khyrill ucapkan untuknya. 
Apakah masih ada salah yang dia sendiri tidak tahu.  Puas dia cuba untuk kembali membetulkan keadaan, namun sikap Khyrill masih dingin untuknya.  Setiap mesej yang dihantar semakin sukar untuk mendapatkan pembalasan.  Apatah lagi telefon, sering sahaja Khyrill memberikan alasan yang dirinya terlalu sibuk.
 Sibuk? Mengapa baru sekarang.  Mengapa tidak dulu.  Sibuk sangatkah sehingga tiada masa walau sementara untuk berbual mesra. Kenapa Khyrill tidak mahu mendengar penjelasannya. Jika dia boleh memberi peluang kepada Khyrill untuk menerangkan segalanya mengenai gambar-gambar Khyrill di kelab itu, kenapa pula dia tidak diberi peluang yang sama untuk berbuat demikian.
Sehingga ke saat ini bayang wajah mamat tiang itu belum kelihatan.  Dia juga seboleh-bolehnya tidak ingin bertemu dengan  Fauzie.  Hatinya masih marah.  Marah dengan sikap Fauzie yang keterlaluan.  Sehingga membuatkan hubungannya dengan Khyrill menjadi dingin seperti ini.  Salahnya kerana menjawab panggilan itu.  Semua salahnya. Kerana Fauzie juga Nazirah menamparnya.
Khyrill pula seperti sudah hilang rasa kepercayaan terhadap dirinya. Mengapa kau begitu cepat menghukum atas kesalahan yang sekecil itu. Mengapa Rill, tahukah kau aku sedang derita merinduimu di sini.’ ungkap Arisya lagi.  Lantas rintik-rintik air mata duka mengalir membasahi di pipinya yang mulus.  Penderitaan yang tak mampu untuk di tanggung oleh hati wanitanya.
Tapi, mengapa pula Fauzie sanggup menghalau Nazirah hanya kerana ingin mempertahankannya. Rasa bagaikan tidak percaya pula yang Fauzie akan mempertahankannya.
Gambar Khyrill direnung untuk kesekian kali.  Memang banyak yang sudah berubah.  Dengan rambut yang sedikit panjang, menyerlahkan lagi kematangan seorang lelaki yang menjadi idaman setiap wanita ini.  Inilah gambar terbaru yang Khyrill utuskan untuknya sebelum kejadian tempoh hari berlaku.   Sepadankah dia untuk bergandingan dengan lelaki ini.  Lelaki yang terlalu sempurna keperibadiannya.  Khyrill.. hatiku  luka dengan seribu rindu.  Rindu yang semakin hari kuat mencengkam jiwaku ini.  Kau buat aku tak berdaya Rill.!
Di sebalik raut pintu bilik yang sedikit terkuak ada satu wajah yang sedang merenungnya tanpa ada keberanian untuk menegur.   Fauzie berasa serba salah.  Dia tahu Arisya menangis.  Cuma dia bingung kenapa? Adakah kerana peristiwa yang terjadi antara dia dan Nazirah tempoh hari  atau sebenarnya Arisya sedang mempunyai masalah dengan kekasih hati yang di pujanya itu. 
 Arisya asyik memegang gambar buah hatinya itu.  Memandang bagaikan melepaskan rindu dendam.Hebat sangatkah lelaki itu? Kenapa dia rasa gelisah tiba-tiba. Ah! Persetanlah semua!  Bisik hatinya lagi.  Kenapa cemburukah dia? Sedangkan dia sendiri tidak percaya pada cinta. 
Tapi kedatangan  Arisya bagaikan memberi satu rasa.  Mungkin itu semua mainan perasaan semata-mata.  Hatinya berbisik lagi.  Jiwa kelelakiannya terlagu ego untuk mengaku.  Dia akhirnya berganjak dari pintu bilik Arisya.  Dia tidak mahu mengganggu gadis itu saat ini, biarlah segalanya reda dahulu.
 Dia kembali semula ke biliknya. Meraup muka beberapa kali. Fikirannya agak berserabut kala ini. Tidak lama kemudian pintu biliknya di ketuk berulang kali. Terpacul wajah Arisya yang masam mencuka.
“Awak memang tak patut buat saya macam ni?Apa awak ingat senang ke saya nak dapatkan pelanggan tu!” Tinggi suara Arisya berkata kepada Fauzie sebaik sahaja dia mengetahui pelanggannya membatalkan kontrak untuk mendapatkan perkhidmatan perhiasan rumah dari Syarikat milik Fauzie ini.  Semuanya gara-gara adegan yang berlaku antara Fauzie dan Nazirah.   Tiada lagi panggilan bos yang keluar di bibirnya.  Hatinya sangat marah saat ini, bukan sahaja sebab kehilangan seorang pelanggan tapi juga perbuatan Fauzie yang memandai-mandai menjawab panggilan Khyrill itu. 
Dia sudah tidak peduli apa yang pekerja lain akan kata mengenainya.  Biarkan mata-mata di luar sana terus menjeling.  Biar sampai juling sekalipun dia tidak peduli.  Jika dahulu, dia lebih banyak berdiam dari bercakap. Tapi tidak sekarang.  Sikap Fauzie semakin melampau-lampau.
“Awak duduk dulu, Arisya.! Bincang cara elok tak boleh ke?” Tutur Fauzie pula.  Tinggi jugalah sifat kesabarannya dengan Arisya ni, kalau perempuan lain memang dah sah kena halau.  Lagipun selepas peristiwa yang berlaku ketika melihat Arisya sedang melihat gambar Khyrill dahulu dia tidak mahu lagi memarahi gadis ini sesuka hati.  Nampak sangat menunjukkan tahap kebodohan dirinya.  Tak kanlah kerana hal yang kecil macam tu dia nak mengamuk macam orang hilang isteri.  Tapi boleh jadi jugak, orang hilang isteri mengamuk macam dia.  Aduhai..gila punya fikir.
“Apa lagi yang nak di bincangkan.  Semunya sudah terlambat Encik Fauzie!” Keras kedengaran nada suara Arisya menyebut nama Fauzie.
“Biarlah, syarikat saya. Awak peduli apa.!  Bukan pelanggan tu yang bayar gaji awak, saya yang bayar ! Hey! Arisya awak tak perlu nak kecoh-kecoh macam ni lah.!”  Fauzie kembali membalas.  Geram pula dia dengan Arisya yang terlalu emosi pula hari ini.  Entah datang bulan agaknya !  Sempat lagi dia berfikir macam-macam.
            “Mudahnya Encik Fauzie cakap!Okey, baik!kalau macam inilah sampai bila-bila pun Encik Fauzie tak akan untung! dan jangan pulak nak salahkan saya kalau prestasi syarikat Encik Fauzie ni menurun.!”  Balas Arisya lagi.
            Tahukah Fauzie betapa susahnya dia hendak dapatkan seoarang pelanggan.  Fauzie senang-senang merosakkan segalanya.  Setakat nak rosakkan anak dara orang  tu sudahlah, ini tak semua dia nak rosakkan.  Huh! dasar mamat tiang!Hati Arisya berbisik lagi.  Sempat mengutuk lagi. 
Fauzie pula hanya tersenyum seperti tidak ada apa yang berlaku.  Mungkin baginya soal itu terlalu remah.  Lagipun betul juga seperti yang di kata, syarikat dia.  Suka hati dialah apa dia nak buat.
            “Saya tak akan salahkan awak, Arisya.  Saya yang buat,saya akan tanggung.! Okey. Awak faham.  Kalau tak ada apa-apa lagi awak boleh sambung kerja awak.  Jangan asyik nak berangan je..”  Perghh.. sempat lagi Fauzie memerli dia.  Sudahlah tu, senyum macam orang kena sawan.  Tapi ada ke, orang yang tengah sawan senyum macam tu? Ah!gila. 
            Okey, fine! cuma satu lagi saya nak tanya dekat Encik Fauzie.?”
            “Cakaplah.?”
            “Ada ke dalam peraturan syarikat  Encik Fauzie ni boleh jawab panggilan orang lain dengan suka hati tanpa kebenaran.? Soalan Arisya benar-benar mengejutkan Fauzie.  Memang keras kedengaran nadanya menyebut nama ’ Encik Fauzie’. Fauzie terpana seketika. Nampaknya Arisya sudah tahu.
Fauzie memandangnya bersahaja seperti orang yang tidak pernah buat kesalahan.  Baling batu sembunyi tangan.  Macam itulah boleh di ibaratkan.
            “Entah? mungkin peraturan tu, hanya wujud dengan awak je kot....”  Balas Fauzie dengan senyuman. Mak ai! kalau macam ni punya senyum isteri orang pun boleh goyah.  Mujur hatinya belum terusik dengan senyuman lelaki ini.  Biar tidak terusik sampai bila-bila sekalipun kerana hatinya hanya untuk lelaki yang bernama Mohd  Khyrill Zafrie sahaja!
            “Lain kali jangan nak pandai-pandai jawab panggilan orang! Dah buat salah tu tak reti nak minta maaf.!”  Arisya berkata kuat.
             Boleh tahan juga erk bila Cik Arisya kita ni marah.”
            “Jangan nak buat lawak kat sini Encik Fauzie.!” Balas Arisya pula.  Entah di mana datangnya keberanian dia untuk berbicara sebegini dengan lelaki di hadapannya ini.  Sepatutnya dia lebih menghormati lelaki ini, bukankah lelaki ini adalah bosnya.
            “Jom lunch dengan saya.” Fauzie cuba mengalih topik.  Makin menambahkan rasa geram yang bertapak kukuh di hati Arisya.
            “Eh!terima kasih aje lah Encik Fauzie.  Saya tak nak lah makan penampar awek kesayangan Encik Fauzie tu dua, tiga kali.  Sakit pun belum hilang lagi.  Okeylah saya keluar dahulu.!”  Tutur Arisya dengan lajunya dan terus keluar dari bilik Fauzie.  Agak lama juga dia berada di dalam bilik lelaki itu sampaikan dia sendiri tidak sedar sudah sampai waktu lunch.
 Perutnya lapar  tapi mulutnya belum ada selera untuk makan.  Biarkanlah. Tapi bukankah dia sudah berjanji dengan Emilia untuk makan bersama hari ini. Ah!sudah.  Dia segera bergegas masuk ke dalam biliknya mengambil beg sandangnya.  Pasti Emilia sedang menunggunya sekarang.
            Fauzie hanya terpinga-pinga melihat Arisya yang terus keluar dari biliknya tanpa sempat untuk dia berkata apa-apa.  Memang sah, Arisya masih marah dengan kejadian yang berlaku tempoh hari.  Berturut-turut kejadian yang berlaku. 
Tapi apa nak buat, bukan dia yang mintak pun semua ini berlaku.  Nazirah punya pasallah.  Tapi dia pun salah jugak, yang pandai-pandai  jawab panggilan di telefon bimbit Arisya itu siapa suruh.  Memang sengaja mencari penyakit yang akan menyusahkan diri sendiri.  Ah! lantaklah.  Dia peduli apa.  Bukannya selalu nak buat Arisya marah.  Dia akhirnya tertawa sendiri bila mengenangkan peristiwa tadi. 
***
            “SORRY, Emilia.  Aku ada hal tadi.  Tak sedar la dah time lunch.” Tutur Arisya sebaik sahaja sampai di meja yang Emilia duduk.  Agak ramai juga orang yang berada di Restoran Sri Buluh ni.  Makanan di sini boleh tahan juga sedapnya.  Tapi tidak selalu sangat dia makan disini kecuali dengan Emilia sahaja dia akan ke sini.
            “Ohhh....apa sorry-sorry! dah naik kebas punggung aku tunggu hang.  Hang buat hal apa yang lambat ni ha.?”  Soal Emilia. 
“Kot yer pun bagi la nafas aku stabil dulu cik Emilia oii..!”  Balas Arisya .  Memang kalut sungguh kawannya seorang ni. Emilia akhirnya ketawa. Mungkin menyedari kekalutannya.
Hang nak makan apa Risya?aku nak order.” Tutur Emilia semula setelah keadaan agak tenang.
“Kau je lah makan. Aku tak lapar lagi.”  Balas Arisya.  Hakikatnya perutnya terasa lapar. Tapi mulutnya belum ada selera untuk makan.  Entahlah, sampai bila dia akan begini.  Sejak hal yang terjadi itulah yang membuatkan selera makannya bagaikan tertutup.  Dia sangat merindui kekasih hatinya itu.  Sangat-sangat rindu.
“Hah!Itu sajalah kerja hang Arisya. Makan tak mahu, berangan je setiap masa.!Kenyang dengan berangan tu.!”kata-kata Emilia yang agak kuat itu menyedarkannya.  Arisya hanya tersenyum kelat.
 Emilia segera bangun untuk memesan hidangan.  Memang betul kata Emilia, lantas tidak ada apa yang perlu di nafikan.  Cuma dia bukan berangan tapi terkenang.  Walaupun lebih kurang sama aje bunyinya.
“Aku rasa nak berhenti kerjalah, Emilia.”  Arisya berkata sebaik sahaja makanan yang dipesan oleh Emilia sampai. Dia hanya memesan minuman.  Hanya tekaknya sahaja yang kehausan.  Emilia di hadapannya mengerutkan kening.  Mujur nasi masih belum disuapkan ke mulut.  Kalau tak, mahu tersembur.
Hang ni, dah dapat kerja best-best nak berhenti pulak.!Dah fikir masak-masak?.” Soal Emilia kembali.  Entah kenapa tiba-tiba sahaja Arisya hendak berhenti kerja.  Tak kanlah pasal kes dengan Nazirah tempoh hari yang membuatkan Arisya mengambil keputusan macam ni.  Zaman sekarang bukan senang hendak dapat kerja.
“Aku....hmm..entah lah..susahlah nak cakap.!”  Arisya berkata tergagap-gagap.  Memang dia tidak punya sebab yang kukuh.
Hang ni kenapa.?  Ada masalah dengan Fauzie ka.?”
“Aku geram la dekat mamat tiang tu, Emilia.!” Arisya berkata siap dengan mimik muka tak puas hati.
“Dia buat apa.?Hang habaq mai kat aku.!” Tutur Emilia.  Memang pekat sungguh lorat utaranya itu.
“Kau pun tahu, Emilia. Segala-galanya yang berlaku sejak akhir-akhir ni semua sebab dia. Sampaikan hubungan aku dengan Rill sudah tidak semesra dulu.  Semuanya hilang dalam sekelip mata.”  Kedengaran nada sebak di sebalik ucapan Arisya.
Hang tak boleh mengaku kalah macam ni,Sya.! Pedulikan dia.  Hang buat kerja hang sudah la.”Balas Emilia. Sambil terus menyuapkan makanan ke mulutnya.   Memang dia seorang yang sangat berfikiran positif.
 Arisya hanya terdiam.  Memang ada kebenarannya pada kata-kata Emilia.  Inilah sahabatnya yang paling setia tatkala susah dan senang sentiasa bersama.
“Ai...berangan lagi...!”
Sapa Emilia kembali apabila melihat Arisya sedang kusyuk melayan apa nentahlah.  Memang suka berangan tak kira tempat.  Dalam keadaan yang bising macam ni pun boleh lagi melayan jiwanya yang sedang terdera tu.  Kelakar la pulak.
“Aku tak berangan laaa..”
“Habis tu, yang hang diam tu kenapa.? Sudahlah..tak payah nak berhenti kerja.  Nak dapat bukannya senang.  Nak dapat bos yang baik hati macam Fauzie tu lagi la tak senang..hahaha..” Emilia berkata siap dengan gelak tawa.  Manakan tidak, dapat kenakan si Arisya macam tu.  Seronoklah.

“Gila!!!”ungkap Arisya dengan agak kuat.  Mereka akhirnya tertawa bersama.  Segala masalah yang membelenggu Arisya bagaikan lenyap bersama gelak tawa tersebut.

Bab 20



JALAN  raya pagi ini agak sesak.  Biasalah Kuala Lumpur tidak pernah sunyi.  Suasana nyaman bagaikan tak wujud lagi di kota besar ini.  Arisya terus memandu kereta dengan berhati-hati.  Walaupun terasa begitu tidak bersemangat untuk memulakan kerja pada hari ini, dia tetap gagahkan diri.  Tentang hasratnya untuk berhenti kerja itu mungkin terpaksa di tangguhkan dahulu.  Bila di fikirkan semula ada kebenaran pada kata-kata Emilia. 

Zaman sekarang bukan senang untuk mendapatkan pekerjaan.  Mungkin dia akan memikirkan kembali hasrat itu bila berkahwin kelak.  Berkahwin?Tingginya angan-angan entahkan tercapai entahkan tidak.  Bisik hati Arisya pula.

 Hubungannya sekarang pun berlangsung dalam keadaan dingin.  Marah betul Khyrill di atas peristiwa yang berlaku.  Lalu, bagaimana lagi cara untuk dia memujuk rajuk di hati lelaki yang di cintainya itu. Bila kekasih mula merajuk...

“Hai Arisya..selamat pagi!” Sapa Hidayah sebaik sahaja dia menapak masuk ke dalam pejabat itu.

“Hai, selamat pagi.” Jawab Arisya sambil tersenyum nipis lantas meneruskan langkah menuju ke biliknya.

“Arisya, tunggu….” Jerit Hidayah lagi.  Arisya menoleh melihat Hidayah sedang melambai-lambaikan tangannya kepada Arisya agar datang ke mejanya. Beberapa pekerja lain hanya memandang mereka berdua kehairanan. “Ini dia…Ada bunga  untuk awak.” Sapa Hidayah sambil menyerahkan sejambak mawar merah ke arah Arisya.  Dahi Arisya berkerut.  Hari ini bukan hari lahirnya.  Habis siapa pula yang bermimpi menghadiahkan bunga ini untuknya.

            “Wah…sekarang dah ada peminat nampak. Jelaous I tau..” Usik Hidayah lagi. Arisya hanya tersenyum kelat. Entah siapa punya gerangan yang menghantarnya.  Khyrill..?Aahh, tak usah bermimpi mengharapkan sesuatu dari lelaki yang sedang di ulit perasaan rajuk itu.

“Arisya!!Jauhnya termenung, cepatlah buka kad tu..! Saya dah tak sabar nak tengok ni. Hehehe….”Gelak Hidayah lagi. Arisya segera membukan kad kecil bewarna putih tersebut.

            Arisya, saya minta maaf tentang hal tersebut.  Saya harap awak sudi keluar lunch dengan saya nanti..!!

Fauzie..

What?!

“Gila! apa semua ni..?” ujar Arisya sambil matanya terus memandang kad tersebut. “ Dia ingat saya apa..?Senang-senang aje dia nak minta maaf. Huh! awak aje la ambil bunga ni Hidayah.  Kalau awak tak nak, awak kasi je dekat mak cik cleaner yang datang nanti. ” Tutur Arisya lagi. Hidayah hanya tergelak melihat situasi itu.

            “Memang bos tu ada hati ka awak, Arisya.”

            “Hidayah! Awak dah gila agaknya! Awak pun tahu perangai dia tu macam mana. Tak nak lah saya dekat mamat tiang tu…!”

            “Ehh…apa dia Arisya, saya kurang jelas ayat awak dua yang terakhir tu.”

“Err..hmm..tak ada apa.  Saya masuk pejabat dulu okey.” Fuhhh…Arisya sudah terlepas cakap. Mujur  Hidayah tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi. Kalau tidak keadaan akan bertambah parah.

Dia segera berlalu masuk ke pejabatnya.  Fauzie..Fauzie..sudah gila agaknya. Siap dengan bunga-bunga untuk memujuknya. Hmm..dia mengeluh perlahan. Dia segera kembali menyambung kerja- kerja yang belum selesai.



“KENAPA dengan kau ni, Fauzie? Senyum sorang-sorang sampai aku masuk pun kau masih tak sedar.”

“Eh..kau ni, masuk tak ketuk pintu. Bagi salam pun tak.  Kau nak apa ni? Tak ada kerja ke nak buat hah.?” Soal Fauzie kembali kepada Syamirr .

“Engkau tu yang asyik berangan macam orang yang mabuk bercinta je. Tak pun dapat hadiah best semalam.Hahaha?” Tutur Syamirr sambil ketawa.  Fauzie faham sangat apa yang di maksudkan oleh Syamirr tersebut dan dia juga turut ketawa.

“Woi kau ni, kalau setakat hadiah istimewa tu aku tak heran sangatlah.!”

“Habis tu?” Soal Syamirr pelik.

“Tuuu...” Fauzie menunjuk bibirnya ke arah Arisya.

“Hah!! kau biar betul Fauzie. Tak kan dengan Arisya yang baik macam tu pun kau sapu. Eh..kau jangan, budak tu baik Fauzie!!”

“Woi, kau apahal! Otak kau ni boleh tahan kuning jugak ya. Aku ada lunch la dengan dia nanti. Itupun kalau di sudi la. Tapi kalau dia tak sudi pun aku akan guna kuasa veto aku la. ”

“Laaa, engkau ni, macam tak pernah lunch dengan dia. Tapi aku tahu mesti lunch hari ni special kan..?”

“Ehh..setakat lunch customer ada sekali buat apa.  Hari tu dia marah benar pada aku pasal aku gaduh dengan Nazirah. Tak pasal-pasal lari pelanggan dia pulak itu. Itu pasallah yang dia bengang dengan aku tu. Sekarang ni aku tengah dalam usaha nak pujuk dia.”

“Wah!kau biar betul? Memang sah la kau dah syok kat dia kan.”

“Eh, mana ada...Tapi entah lah..”

“Engkau tak payah nak bohong aku. Kau sebenarnya sudah  jatuh cinta kat dia.  Dulu bukan main lagi beria-ia tak percaya pada cinta konon. Sekarang tengok apa dah jadi. Tersengih sana, tersengih sini macam orang sewel dah aku tengok. Tapi boleh tahan jugak budak tu..” Tutur Syamirr lagi separuh berbisik. Fauzie pula hanya tersenyum.

“Boleh tahan dan tak mudah untuk di jinakkan.”Ucap Fauzie lagi membuatkan gelak tawa Syamirr berderai. Agaknya memang Fauzie sudah jatuh cinta pada Arisya. Bisik hatinya pula.



WAKTU yang di tunggu hampir tiba, Fauzie sudah menapak menuju ke bilik Arisya. Menguak perlahan pintu pejabat itu. Arisya memandangnya dengan perasaan yang sukar untuk di mengertikan. Dia tahu kedatangan Fauzie ke biliknya adalah untuk menjemputnya keluar makan bersama. Tapi dengan kejadian-kejadian yang berlaku hatinya masih sakit. Tingkah laku Fauzie hanya akan mengundang keadaan yang lebih tidak selesa bagi dirinya.  Dia tak mahu lagi di tuduh curang oleh Khyrill. Tidak..!!

“Arisya,awak sudi ke awak tak sudi ke saya tetap nak lunch dengan awak hari ni. Jom cepat.!”

“Err...hmm..bos saya rasa baik bos keluar je dengan awek bos tu. Saya bukannya apa, tak mahu pisang berbuah dua kali. Sorry ya bos..” Jawab Arisya pula.

“Saya betul-betul rasa bersalah pada awak Arisya. Saya tunggu awak dekat bawah okey..”

“Eh!..bos..nanti..!” Arisya mendengus geram. Kenapa dengan mamat tiang ni. Tiba-tiba sahaja jadi baik. Kalau ya pun nak minta maaf tak perlulah dengan nak keluar makan bersama. Tak adil bagi pekerja lain. Menyusahkan orang aje. Hatinya sudah mula menyumpah seranah Fauzie. Dasar mamat tiang.!bebelnya lagi.

Dia segera mengambil kunci keretanya dan berjalan keluar menuju ke tempat parking kereta. Fauzie yang berada di situ sudah tersenyum memandang  Arisya. Pasti dia menyangkakan yang Arisya sudi keluar makan dengannya. Namun, dia tersilap langkah kerana Arisya sedang menuju ke arah  keretanya   sendiri. Fauzie  cuba mengejar  Arisya. Sambil cuba mamanggil nama Arisya berulang kali.

“Arisya..Arisya..!”Fauzie memanggil nama Arisya berulang kali. Namun hampa apabila panggilannya di biarkan sepi oleh Arisya. Bagi Arisya pula, dia sememangnya tidak mahu untuk keluar makan dengan Fauzie kecuali jika ianya melibatkan hal-hal yang penting baru dia akan keluar dengan Fauzie. Biarlah segala yang berlaku atas dasar profesional semata-mata.

“Arisya..!”

Fauzie sudah menarik kasar tangan Arisya. Geram dengan tingkah laku Arisya. Arisya menarik kembali tangannya itu dengan kasar.

          “Bos, kan saya dah cakap. Saya tak boleh nak terima pelawaan bos tu.! Saya rasa bos tak  payahlah nak rasa bersalah lagi sebab saya sudah memaafkan bos. Lagipun ini kan syarikat bos. Kalau rugi pun bos yang kena tanggung  bukan saya. Okeylah bos saya dah lambat ni. Nanti kalau  saya masuk lambat bos potong pulak gaji saya.”Arisya masih sempat memerli Fauzie. Dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya keberanian dia untuk berbicara sebegitu dengan mamat tiang di hadapannya ini.   Fauzie merenungnya dengan pandangan yang tajam. Renunglah renung..sampai juling sekalipun aku tak akan sudi untuk keluar makan dengan kau,Fauzie.!Hatinya berbisik lagi.

            “Arisya, awak tak boleh buat saya macam ni.! Awak sepatutnya hormat saya. Saya ni bos awak.! Majikan yang menggajikan awak.!”

            “Siapa kata saya tak hormatkan bos. Saya cuma tak boleh nak menerima pelawaan bos tu.  Saya harap bos faham dengan keputusan saya.” Balas Arisya lagi. sambil tangannya memberi isyarat ke arah Fauzie agar ketepi kerana dia ingin segera masuk ke dalam keretanya.

            “Wah..!dekat sini rupanya kamu berdua sedang memadu kasih. Bahagianya..!”Arisya dan Fauzie menoleh serentak. Nazirah! Bala apa pula yang akan menimpanya kali ini.

“Hey betina! dah berapa kali aku nampak kau dengan Fauzie bukan main mesra lagi. Hey! kau ni perempuan jenis apa hah?!Tak pernah nak serik-serik.! Apa penampar yang aku bagi dekat kau tu belum kuat agaknya.!” Sambung Nazirah lagi dengan kuat. Arisya mendengus kasar. Perempuan seksi di hadapannya ini sudah lebih. Mesra apa yang perempuan seksi ini maksudkan. Mulut ikut sedap hati je nak tuduh.! Bentak hatinya kuat. Di sebolehnya tidak mahu lagi pertengkaran yang berlaku tempoh hari berulang kembali.

“Hey!Nazirah. Sudahlah tu. Jangan you nak buat kecoh lagi dekat sini.!” Fauzie yang sejak tadi berdiam diri akhirnya bersuara.

You jangan ingat I nak berdiam diri macam ni. I tak akan biarkan hati I ni sakit.! Betina ni punca segala-galanya.! You tampar I tempoh hari kerana betina ni bukan.!”

“Jangan nak tuduh tanpa soal selidik terlebih dahulu Cik Nazirah.!Nanti cik juga yang akan menyesal tak sudah. Saya rasa Cik dah salah faham.” Arisya pula bersuara.

“Kurang ajar punya betina..!Nazirah sudah meluru ke arah Arisya. Rambut Arisya di tariknya dan Ariya terdorong ke tengah jalan. Namun belum sempat Fauzie meleraikan tarikan  itu, Nazirah  terlebih dahulu  bertindak dengan menolak Arisya jatuh ke atas  jalan dan BUMMM!!!!!!!....

“Arisyaaaaaaaaa..!!!!!!!!!!”Jerit Fauzie kuat.

Semuanya berlaku di dalam sekelip mata sahaja. Arisya sudah terkulai tidak sedarkan diri. Darah merah mula mengambil tempat di atas  jalan itu. Kereta yang melanggar Arisya tidak sempat untuk memberhentikan kenderaan kerana tiba-tiba sahaja Arisya berada di tengah jalan. Nazirah cepat-cepat beredar dari situ. Fauzie mengangkat perlahan tubuh Arisya yang sudah di penuhi dengan darah yang mengalir dari kepala Arisya yang cedera. Arisya...bisiknya perlahan..Jahanam kau Nazirah.! Aku akan ajar kau cukup-cukup.!hati Fauzie menjerit kuat.


p/s:ini adalah bab yg terakhir saya publish..kepada yg menyokong terima kasih bnyk2..skongan anda begitu saya hargai..sama2 kita nntikan perjalanan cerita yg akan di bukukan tdk lama lagi. InsyaAllah dengan Izin dariNya..

Kau dan aku kini..

Bertemu kembali..

Menunaikan perjanjian sejati..

Dalam suka duka jauh terpisah..

Terbukalah..Rahsia..cinta..



           











           



           
           
           





           

2 comments:

  1. ala buat lahhhh smpai 30 plezz akkk...bru nak msuk klimaksss dah kena ptg lak..plezz ek ek kak :( :( :( :(

    ReplyDelete
  2. hehe..tu la rmai gk yg gtaw suh msukkn skit bab lgi...

    ReplyDelete

NOVEL PATERI

Assalamualaikum & Salam sejahtera... Perghh...bersawang blog. 2016 kosong terus... Alhamdulillah...2017 Penghujung yang indah. T...